iklan nuffnang

Pelancongan Terengganu

Tuesday 31 August 2010

Tebu Mountain Challenge 2010.. RM30,700 di tawarkan


Persatuan Pemandu Pelancong Alam Semula jadi Terengganu (TENAGA) akan menganjurkan cabaran aktiviti lasak Tebu Mountain Challenge 2010 yang akan di adakan pada 24 hingga 25 September 2010.

Cabaran ini akan bermula di kaki gunung iaitu di Hutan Lipur Lata Belantan. Kategori yang di pertandingkan adalah Lelaki dan wanita terbuka, Lelaki dan wanita master (44 tahun ke atas) serta kategori pelajar 13 hingga 20 tahun.

Jarak pertandingan adalah 14km pergi dan balik mengharungi cabaran dan rintang geografi gunung yang mencabar. Hadiah pertandingan yang ditawarkan adalah lumayan di mana RM30,000 telah diperuntukkan untuk semua kategori. Pemenang akan menerima hadiah sehingga tempat ke 10 bagi semua kategori.

Penganjuran Cabaran Tebu Mountain Challenge ini adalah dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu.

Bagi yang berminat boleh menghubungi Sekretariat penganjur TMC di talian 012-9297837 (Encik Khairul), 0199176000 (Encik Zahari) dan 0199359358 (Encik Nek Yunus)

Friday 27 August 2010

Tanjung Jara Resort.. memang resort bertaraf dunia


Baru-baru ini blogger sempat mengunjungi salah sebuah resort yang terkenal di daerah Dungun. Terletak di Tanjung Jara, ianya sememangnya indah bagai di kata.






Terletak bersebelahan kampung Tanjung Jara ianya memberi pelbagai dimensi tarikan kepada pengunjung daripada keindahan pantainya, keunikan budaya kampung nelayan serta rekaan senibina resort itu sendiri yang unik dan menarik sekali.



Resort ini dibina berasaskan binaan istana tradisional Melayu kurun ke 17. Dibangunkan dikawasan seluas 17 hektar ia mempunyai 99 buah chalet yang unik dan menarik.




Falsafah resort ini adalah berasaskan keunikan resort ini sendiri iaitu ' sucimurni' yang menekankan 'purity of spirit, health dan well being'. di mana ia diasaskan untuk mengembalikan semula tenaga kesegaran fizikal dan spiritual.


Jenis-jenis bilik yang terdapat di resort ini adalah :


  • Anjung Suite


  • Anjung Room



  • Serambi Room


  • Bumbung Room

Selain itu, di antara keunikan yang terdapat diresort ini adalah Spa Village Tanjong Jara yang pastinya memenuhi falsafah resort ini sendiri iaitu ' Suci Murni'.


Seharian meninjau keseluruhan resort ini bagaikan tidak puas mata memandang. Keindahan susunan landskapnya yang banyak berasaskan pokok herba seperti pokok kadok, setawar halia atau tebu gogoh, pandan wangi dan sebagainya sememang manarik mata untuk terus menyusuri keseluruhan kawasan resort.


Terima kasih Pak Iskak iaitu Door Man yang melayan kerenah blogger dan kawan-kawan.






Awards
Top 10 Super Spas - Spa Village Tanjong JaraElle UK, 2009
Best Spa ResortExpatriate Lifestyle, The Best of Malaysia Travel Awards, 2008
Best Hotel Spa in Asia Pacific and the Indian Subcontinent / Listed in “ Best of the Best” World’s Top 26 Spas – ranking number twoCondé Nast Traveller UK – Readers’ Spa Awards, 2008
Five Star Diamond AwardThe American Academy of Hospitality Sciences , 2002, 2003, 2004, 2005, 2006, 2007
Most Innovative Spa Tatler UK – Spa Awards, 2007
Best Wellness Programme ( Syurga Tujuh )Malaysia Spa & Wellness Awards, 2007Best Spa TherapistAsia Spa & Wellness Awards, 2006
Best Overseas Hotel Spa – Ranked FifthCondé Nast Traveller UK – Readers’ Travel Awards, 2006
One of the Seven Natural Wonders of the WorldCondé Nast Traveller UK ( March 2006)
Best Spa Therapist – Pak YahyaMalaysia Spa & Wellness Awards, 2006
Hotel of the WeekThe Independent on Sunday, UK – November 27, 2005
One of the Seven Natural Wonders of the WorldCondé Nast Traveller UK ( March 2005)
Top Ten in Overseas Hotel Spas- Asia’s category / Listed in the “ 100 Top Spas Worldwide”Condé Nast Traveller UK – Readers’ Spa Awards, 2004





Aga Khan Award for AchitectureSecond award Cycle





Berikut adalah anugerah yang telah di menangi dan dianugerahkan oleh Tanjong Jara Resort. Maklumat lanjut resort ini boleh dilayari di : www.tanjungjararesort.com

* gambar ehsan Tanjong Jara Resort


Monday 16 August 2010

Tip Tempah Bilik Dengan Bijak






Setiap kali ingin bercuti atau ada urusan, ramai yang risau untuk menempah bilik penginapan. Bimbang jika bilik yang ditempah mahal dan tak berbaloi dengan apa yang di bayar.

Sebagai pengenalan kita perlu kenal pasti bahawa biasanya hotel mempunyai jenis-jenis bilik berikut:

  • bilik standard
  • bilik superior
  • bilik deluxe
  • bilik family
  • bilik executive
  • junior site
  • executive suite
  • presidential suite
  • royal suite

Pada umumnya, hotel yang bertaraf 4 dan 5 bintang sahaja yang mempunyai semua jenis bilik di atas. Namun bagi hotel 3 bintang dan ke bawah, lazimnya menyediakan bilik yang lebih murah iaitu bilik standard. Bagi hotel 2 bintang dan orkid iaitu kategori hotel budget juga menyediakan bilik yang lebih murah dengan kemudahan asas yang standard. Apa yang mungkin membezakan adalah kemudahan dalam bilik seperti peti sejuk, seterika serta kemudahan di hotel itu sendiri yang membezakan harga bilik.

Pada umumnya, harga bilik hotel 4 dan 5 bintang di Malaysia adalah RM200 dan ke atas. Jika anda mempunyai di bawah RM200, hotel bertaraf 2 atau 3 bintang adalah sesuai untuk anda. Jika budget anda adalah RM120 dan kebawah, hotel budget, adalah sesuai dengan kemampuan anda.

JIKA DATANG BERKELUARGA ATAU RAMAI

Jika anda ingin menginap di hotel, mungkin anda bole memilih bilik Family atau Deluxe kerana lazimnya katil yang disediakan adalah katil bersaiz King atau Queen dan ruang dalam bilik adalah lebih luas.

Namun begitu jika anda mempunyai budget yang agak terhad, anda boleh memilih rumah penginapan dengan kadar yang lebih murah. Ada yang menawarkan penginapan RM150 hingga RM200 untuk sebuah rumah yang boleh dihuni sehingga 6 dan 10 orang.

Kemudahan yang disediakan dirumah penginapan kini juga sudah agak baik dengan kemudahan penyaman udara, ASTRO serta dapur dan lengkap dengan mesin basuh.

Rancang percutian anda dan selidiki kemudahan agar sesuai dan memenuhi kehendak percutian anda samada bersama pasangan mahupun keluarga.

Rujukan: Libur Jun 2010

Tips- Tips Memilih Agensi Pelancongan

Jika anda memilih untuk melancong dengan menggunakan Agensi Pelancongan @ Travel Agent, pastikan anda memilih dengan bijak. Ini Kerana kepakaran setiap agensi adalah berbeza bagi memenuhi kehendak anda sebagai pelancong, pelanggan dan pengguna.

Di sini beberapa tip yang boleh di kongsi:

  • membuat kajian perbandingan harga pakej-pakej yang ditawarkan. kebiasaannya harga berubah mengikut musim dan jenis pakej yang yang dipilih. Perlu diingat yan terendah bukanlah yang terbaik. Pastikan ia selaras dengan budget anda.
  • Menyelidiki latar belakang agensi, lesen, serta permit syarikat yang sah. Ia adalah sebagai langkah keselamatan agi mengelakkan anda ditipu dan sebagainya.
  • Mengambil tahun syarikat penerbangan dan jenis perjalanan jika pakej yang dipilih termasuk tiket penerbangan. Ini kerana setiap agensi penerbangan mungkin menyediakan perkhidmatan yang berbeza atau ada kos-kos tambahan yang lain.
  • Mengambil tahu tentang hotel penginapan yang disediakan oleh agensi.
  • mengenalpasti cara bayaran dibuat samada menggunakan tunai, kad kredit , bayaran online dan sebagainya.
  • Pastikan tiada bayaran tambahan atau tersembunyi yang dikenakan. Ini adalah kes yang selalu berlaku dimana anda mungkin dikenakan bayaran tambahan yang tersembunyi. oleh itu berhati-hatilah sebelum membuat sebarang keputusan.
selamat melancong.... anda bersedia hati gembira...

Sunday 15 August 2010

Durian oh Durian












walaupun Ramadhan menjelma, kemeriahan untuk merasai serta menjamu dan menikmati durian tidak terhenti begitu sahaja. Apalagi kedatangan musim buah bersama raja buah ini hanya sekali setahun. Peluang yang datang takkan dilepaskan begitu sahaja.

Sebeleum Ramadhan baru-baru, blogger sempat menjelajah kebun durian di Setiu iaitu di Agro Resort. Kebun seluas hampir 40 ekar ini turut di tanam dengan dokong, rambutan, manggis, salak, abiul, duku dan lain-lain.

Cerita kita tentang durian. Di sini terdapat 4 jenis klon durian terpilih iaitu MDUR 88 dan MDUR 79 iaitu benih daripada MARDI. 2 lagi klon adalah D24 dan Bantal Emas.

Durian-durian sentiasa menjadi rebutan dan pilihan para pengunjung yang berkunjung ke resort ini. Boleh dikatakan setiap hari ada sahaja pengunjung yang berkunjung ke sini untuk medapatkan durian terpilih ini.

Selain berkunjung ke kebun, para pengunjung boleh menikmati durian samada makan bersama santan dan gula melaka atau di jadikan pengat durian. Menu ini sering menjadi pilihan pelanggan untuk merasai kenikmatan durian di Agro Resort ini.

Apalagi, jom kita serbu Agro Resort untuk dapatkan durian ini sebelum musim buah berakhir. Untuk menanti tempoh setahun lagi adalah waktu yang panjang. Jom makan durian. Maklumat lanjut tentang resort ini boleh di dapati di www.agroresort.com

Saturday 14 August 2010

Terengganu dan Ramadhan

Bulan Ramadhan bulan yang memang ditunggu-tunggu . Di negeri Terengganu akan nampak kemeriahannya terutama bazar-bazar Ramadhan dari Kemaman hinggalah ke Besut. Ramai yang mencuba bakat menjadi usahawan di Bazar Ramadhan serta karnival yang berkaitan.

Apa yang menarik dan unik adalah kemunculan kuih-kuih terpencil dan asing pada bulan-bulan lain tetapi menjadi trademark pada setiap Ramadhan. Pelbagai jenis kuih muih menghiasi juadah meja jualan. Bagaikan kelabu dan bercelaru mata memantaunya. Rambang mata dibuatnya.

Apapun pada Ramadhan 2010 ini jelas menunjukkan bahawa harga kuih muih serta lauk pauk telah meningkat harganya berbanding sebelum ini. Bilangan kuih yang boleh di beli dengan harga RM1 dan kurang dan kalau adapun bilangannya dah makin mengecil dan sedikit bilangannya. Manakala lauk-pauk pula semuanya bermula dengan RM3, itupun bukan lauk utama, kata orang setakat kerabu je, puratanya bermula dengan RM5.

Pembelian dibazar Ramadhan tahun ini nampaknya kenalah buat budget ikut poket, bukannya ikut sedap mata memandang. Belian hendaklah dibuat mengikut keperluan sebenar bukannya berkongsi dengan tong sampah mahupun kucing atau ayam kat rumah.

Namun begitu pengunjung di setiap Bazar Ramadhan tetap meriah dan ramai sekali sejak awal 4.00 petang lagi. Bagi blogger, akan tetap mencari menu atau juadah yang sentiasa menjadi rebutan ramai, kat mana ada juadah sohor, di situ akan kita cari. Bukan apa sekadar nak merasa apa kehebatan juadah yang menjadi rebutan.

Apa yang penting, kita mengharapkan pengusaha-pengusaha Bazar Ramadhan mementingkan aspek kebersihan, agar setiap juadah yang dibeli tidak basi sebelum masanya, atau boleh menyebabkan keracunan makanan. Sudahlah terlantar keletihan akibat salah makan, terlepas pula peluang untuk berterawih.

Pastikan niat kita baik dan bersih agar semua pihak dapat manfaatnya, daripada penjual yang dapat peluang meraih keuntungan dan menjadi usahawan, pembeli pula dapat menikmati juadah dengan enak dan selamat dan ia mampu menarik pengunjung dari luar untuk merasai kemeriahan Ramadhan di Negeri Terengganu.

Pastikan Terengganu mendapat Ramadhan yang hebat!!!!

Wednesday 11 August 2010

Fakta Menarik Pulau Redang

Fakta Menarik berkenaan Pulau Redang;

  • Terletak 50km di luar pantai Kuala Terengganu
  • Merupakan salah satu lokasi selam skuba (scuba diving) yang terbaik di Malaysia
  • Mempunyai spesis batu karang tertua di dunia
  • Penerima Anugerah Pelancongan Malaysia anjuran Tourism Malaysia dalam Kategori Alam Semulajadi Terbaik sebanyak 2 kali iaitu pada tahun 1994/95 dan 2002/03

Lokasi selam skuba di Pulau Redang

  • Tanjung Lang
  • Tanjung Tok Kong
  • Tanjung Gua Kawah
  • Pasir Panjang
  • Batu Mak Chantek

Penginapan di Pulau Redang

  • Berjaya Redang Beach Resort
  • Coral Redang Island Resort
  • Laguna Redang
  • Redang Bay Resort
  • Redang Beach Resort
  • Redang Kalong Resort
  • Redang Lagoon
  • Redang Reef Resort
  • Redang Lang Island Resort
  • Redang Holiday Beach Villa Resort

(di susun dan dirujuk dari Libur Julai 2008 ms 77)

Tuesday 10 August 2010

Pulau Redang..... wonderful island




Pulau Redang... destinasi yang sentiasa menjadi pilihan pengunjung untuk ke Terengganu. Tarikannya bagaikan magnet bukan sahaja menggamit pelancong tempatan malah antarabangsa. Sebaik sampai di jeti Merang untuk menaiki bot, telah timbul rasa teruja yang menceritakan bahawa Pulau Redang memang benar-benar cantik, kata orang indah khabar indahlah rupa.


Untuk ke sana kita boleh menaiki bot samada dari jeti Merang ataupun menggunakan feri dari Kuala Terengganu. setelah sampai di sana keindahan pasir pantai yang memutih pastinya memukau mata anda. Sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.

Pulau Redang mempunyai dua pantai yang mempersonakan iaitu pantai Pasir Panjang yang juga terletak banyak chalet dan resort di sini serta pantai Teluk Dalam Kecil.


Apa yang menarik, pelbagai aktivitiviti boleh dilakukan di sini. Antara yang paling menyeronokkan adalah 'snorkeling' sambil menikmati keindahan alam bawah laut yang jauh berbeza dengan dengan alam daratan. Pelbagai spesis ikan dan karang yang berwarna warni membuatkan anda lupa di mana destinasi anda. Anda tak perlu bimbang aktiviti dibekalkan dengan jaket keselamatan serta di pantau oleh jurulatih yang berpengalaman.


Taman Laut Pulau Redang

Satu lagi daya tarikan utama ke Pulau Redang. Dengan dikelilingi 9 buah pulau kecil, dunia bawah laut Pulau redang antara yang tercantik di dunia. Spesis karangnya dikatakan antara yang tertua didunia. Di antara spesis yang terdapat di sini adalah sea squirts, sea fan dan nudibranch coral.


Setiap hari taman laut ini dipenuhi pengunjung di mana para pengunjung dapat menikmati keindahan alam bawah laut dengan bersnokling. Tak payah pergi jauh ke tengah. Dengan jarak 5 hingga 10 meter dari gigi air anda sudah dapat menikmati syurga di bawah air. Jika bernasib baik anda akan melihat 'kerapu gergasi' yang menjadi penghuni taman ini sejak sekian lama.

Rancanglah percutian anda ke Pulau Redang. Orang dari seluruh pelusuk dunia sudah sampai di sini, anda bila lagi. Tempahan awal adalah lebih baik dan rebutlah peluang pada MATTA Fair setiap tahun untuk mendapatkan harga yang terbaik.

Sunday 8 August 2010

Gua Bewah .. Warisan Pra Sejarah


Gua Bewah terletak di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, Terengganu,Malaysia. Bewah bermaksud aktiviti kenduri-kendara . Terdapat beberapa gua batu kapur yang lain di sini seperti Gua Taat dan Gua Batu Tok Bidan.

Gua Bewah juga dikenali sebagai Gua Tahi Kelawar . Najis burung kelawar menghasilkan tanah yang sangat subur khususnya di sekitar sepanjang tangga dari pelantar Bewah hingga ke pintu masuk gua dan kaya dengan tumbuhan keladi besar dan cili padi.

Tanjung Bewah dibangunkan sebagai tapak perkhemahan yang lengkap dengan tandas, pondok wakaf dan barbeque. Ramai pemancing mengunjungi Gua Bewah.
Rangka Manusia Zaman Mesolitik

Jabatan Muzium dan Persatuan Sejarah Malaysia Terengganu pernah melakukan ekskavasi pada 10 hingga 24 Julai 1976.Artifak yang ditemui termasuklah rangka manusia, serpihan tembikar, kapak batu dan sisa makanan iaitu sisa tulang haiwan dan cengkerang-cengkerang siput sedut yang dipotong pada segmen ketiga.Titisan air menghasilkan pelbagai bentuk dan saiz formasi stalaktit (yang meruncing dari siling gua) dan stalakmit seperti burung unta dan lembaga manusia. Terdapat spesies endemik lipas ekor biru dan lumut hijau berkilauan.

Pada Mei 1956, arkeologis British, R.O.D. None yang bertugas di Muzium Perak pernah mengkaji gua itu dan menemui beberapa artifak penting zaman Neolitik termasuk kapak batu, kendi dan mangkuk tanah.


Arkeologis dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jabatan Muzium Negara dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu menemui rangka manusia yang dipercayai dari zaman Mesolitik berusia 8,000 hingga 11,000 tahun.

Timbalan Pengarah Institut Tamadun dan Alam Melayu (Atma) UKM, Prof Datuk Dr. Nik Hasan Shuhaimi Nik Abdul Rahman menyatakan rangka manusia purba itu dalam keadaan mengerekot . Ditemui pada kedalaman 65cm hingga 70cm. Sampel DNA (asid deoksiribonukleik) dihantar ke Amerika Syarikat untuk dianalisis.

1975, rangka purba pertama ditemui di Gua Batu Tok Bidan, Tasik Kenyir.

Kerja ekskavasi dilakukan oleh 33 orang diketuai oleh Dr. Nik Hasan Shuhaimi bersama Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Mohd. Yusof Abdullah

Berikut adalah laporan Utusan Malaysia berkenaan dengan penemuan rangka manusia zaman Mesolitik:

Rangka manusia zaman Mesolitik ditemui di Gua Bewah

06/02/2010 6:50pm

HULU TERENGGANU 6 Feb. – Sekumpulan arkeologis dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jabatan Muzium Negara dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu yang menjalankan kerja-kerja ekskavasi di Gua Bewah, Tasik Kenyir sejak tiga bulan lepas, menemui rangka manusia yang dipercayai dari zaman Mesolitik.

Timbalan Pengarah Institut Tamadun dan Alam Melayu (Atma) UKM, Prof Datuk Dr. Nik Hasan Shuhaimi Nik Abdul Rahman berkata, rangka manusia zaman Mesolitik yang dipercayai remaja itu dianggar berusia 8,000 hingga 11,000 tahun.

"Rangka prasejarah itu ditemui pada kedalaman 65cm hingga 70cm yang disemadikan dalam keadaan merengkok dan kita telah menghantar sampel DNA (asid deoksiribonukleik) ke Amerika Syarikat untuk dianalisis.

"Keputusannya dijangka diketahui selewat-lewatnya bulan depan,” katanya kepada pemberita selepas Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan media melawat ke gua berkenaan di sini hari ini.

Nik Hasan Shuhaimi berkata, penemuan rangka manusia prasejarah ini adalah kali kedua di Tasik Kenyir selepas kali pertama ditemui di Gua Batu Tok Bidan, Tasik Kenyit pada 1975.

Beliau yang mengetuai kerja-kerja ekskavasi bersama Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Mohd. Yusof Abdullah dan 33 anggota cari gali lain berkata, ia adalah penemuan penting sejarah ketamadunan manusia di Malaysia. – Bernama

Begitu juga dengan catatan seorang wartawan Utusan Malaysia dalam blognya iaitu wshahara.blogspot.com berkenaan dengan Gua Bewah:


Hulu Terengganu selama ini popular ekoran kewujudan Tasik Kenyir yang juga berpotensi dibangunkan sebagai destinasi pelancongan prasejarah.

Di salah satu sudut, jauh ke pedalaman tasik tersebut sebenarnya ada satu rahsia unik iaitu kewujudan beberapa pulau batu kapur yang menurut anggaran saintis secara geologinya berusia 270 juta tahun.

Seperti kebanyakan bukit batu kapur di seluruh negara yang berusia tua, bukit-bukit batu kapur yang kini membentuk pulau itu juga menempatkan beberapa gua semula jadi yang mudah diterokai iaitu Gua Taat dan Gua Bewah.

Bukit Bewah setinggi 578 meter dari paras laut adalah salah satu bukit batu kapur Tasik Kenyir yang terletak di dalam kawasan perlindungan Taman Negara.

Penempatan Neolitik

Bukit yang dikatakan mendapat nama daripada aktiviti bewah atau kenduri kendara oleh masyarakat zaman purba yang pernah tinggal di situ merupakan lokasi kepada dua buah gua iaitu Gua Bewah dan Gua Batu Tok Bidan.

Bukti Gua Bewah sebagai penempatan masyarakat Neolitik atau Zaman Batu Baru dibuktikan menerusi kajian dan ekskavasi arkeologi oleh Jabatan Muzium dan Persatuan Sejarah Malaysia Terengganu pada 10 hingga 24 Julai 1976.

Antara lain mereka menemui pelbagai artifak termasuk rangka manusia, serpihan tembikar, kapak batu dan sisa makanan iaitu sisa tulang haiwan dan cengkerang-cengkerang siput sedut yang dipotong pada segmen ketiga.

Penemuan tersebut membuktikan Gua Bewah adalah penempatan manusia neolitik di antara 2,000 hingga 300 tahun Sebelum Masihi iaitu kira-kira 2,300 hingga 4,000 tahun yang lalu.

Pemandangan ukiran semula jadi batu kapur hasil dari titisan air telah menghasilkan pelbagai bentuk dan saiz formasi stalaktit (yang meruncing dari siling gua) dan stalakmit yang amat mengagumkan termasuk formasi seakan-akan burung unta dan lembaga manusia.

Jangan lupa bawa lampu suluh anda dan terokai bahagian dalam gua ini yang agak lapang dan tinggi.

Di bahagian bawah Bukit Bewah terdapat sebuah lagi gua yang tidak lagi kelihatan akibat ditenggelami air tasik iaitu Gua Tok Bidan.

Bagaimanapun seorang pengkaji sejarah Inggeris R.O.D. None yang bertugas di Muzium Perak pernah mengkaji gua itu sekitar Mei 1956 dan menemui beberapa artifak penting zaman Neolitik termasuk kapak batu, kendi dan mangkuk tanah.

Antara keunikan lain yang hanya terdapat di Bukit Bewah ialah spesies endemik lipas ekor biru dan lumut hijau berkilauan.

Gua Bewah juga dikenali sebagai Gua Tahi Kelawar dan pastinya anda boleh melihat kelawar berterbangan tinggi di dalam gua.

Najis kelawar menghasilkan tanah yang sangat subur khususnya di sekitar sepanjang tangga dari pelantar Bewah hingga ke pintu masuk gua dan kaya dengan tumbuhan keladi besar dan cili padi.

Justeru secara tidak langsung gua ini turut menjadi tumpuan pengunjung dan pemancing Kenyir apabila pengendali-pengendali rumah bot singgah untuk memetik cili padi yang subur.

Seorang pengendali rumah bot yang popular dengan nama Siam mengakui sering singgah memetik cili kerana rasa cili gua itu agak berbeza berbanding cili kampung.

"Sebelum petik jangan lupa memberi salam dan meminta izin dulu," pesannya.

Di sekitar gugusan pulau-pulau batu kapur itu juga terdapat Tanjung Bewah yang dibangunkan sebagai tapak perkhemahan lengkap dengan tandas, pondok wakaf dan barbeque.

Siling gua yang rata

Dari tanjung itu, kelihatan sebuah lagi gua iaitu Gua Taat yang hanya boleh diterokai semasa musim kemarau iaitu semasa air tasik kering. Ini kerana ia telah ditenggelami air dan hanya sebahagian kecil sahaja daripada gua itu yang kelihatan dari pintu gua.

Gua ini sama sekali bukan gua biasa. Menjengok dari pintu gua anda dapat melihat ruang dalam gua yang cukup luas dan siling gua yang rata selain stalaktit berbentuk silinder seolah-olah tiang bangunan buatan manusia. Juga kelihatan formasi seakan-akan seekor kuda yang melekat pada dinding gua.

Gua itu telah diekskavasi oleh sekumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia dan Muzium Terengganu pada 1989. Penyelidikan tersebut mendapati Gua Taat adalah merupakan penempatan masyarakat pra-sejarah yang lebih awal berbanding Gua Bewah.

Ini dibuktikan melalui artifak-artifak yang ditemui dikatakan berasal dari kebudayaan Hoabinhian iaitu berusia sekitar 10,000 hingga 3,000 Sebelum Masihi (kira-kira 5,000 hingga 12,000 tahun yang lepas)


________________
Rujukan:
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Gua_Bewah
  • http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_23.htm
  • http://wshahara.blogspot.com/2009/01/gua-bewah-warisan-arkeologi-berjuta.html

Saturday 7 August 2010

Aura Alam Semulajadi di Lake Kenyir Resort & Spa


Terdapat banyak sebab mengapa Tasik Kenyir sering menjadi perhatian pengunjung samada dalam mahupun luar negeri Terengganu. Salah satu daripadanya ialah ia bagaikan syurga kaki pancing serta suasana penginapan alam semulajadi yang menarik iaitu di Lake Kenyir Resort & Spa.

Terletak dalam kawasan seluas 6 ekar, resort ini menyediakan sejumlah 148 buah chalet yang selesa untuk pilihan anda. Terdapat 4 jenis bilik yang ada di resort ini iaitu Superior, Deluxe, Executive dan Kenyir Suite.

Salah satu keunikan resort ini terletak pada senibinanya di mana binaan bangunannya adalah daripada kayu cengal serta rekaan keseluruhan yang bercirikan budaya masyarakat Terengganu. Lokasi resort adalah dikelilingi dengan kawasan hutan dan taman landskap yang indah dan hampir kesemua chalet di sini menghadap keindahan Tasik Kenyir.

Di samping kemudahan asas seperti restoran dan kolam renang, resort ini turut menyediakan sebuah spa untuk anda mengembalikan kesegaran tubuh anda setelah penat bekerja. Ia dikenali dengan nama Ulik Mayang. Perkhidmatan yang disediakan di sini adalah Royal Malay Massage, Aromatherapy, Royal Baliness Massage, Thai Massage, Swedish Massage, Pakej Ayer Mawar serta pakej Ayer Manja.


Sajian tempatan atau makanan laut? Pilihan terletak ditangan anda. Terdapat 4 outlet menjamu selera di sini iaitu Restoran Tembat, Pool side, Pool Bar, serta Jenagor Lounge . Pelbagai menu istimewa terdapat di sini terutama sajian tempatan yang istimewa seperti masakan asam pedas ikan air tawar, dan macam-macam lagi.

Meskipun anda menginap dikawasan yang dikelilingi rimba dan tasik, kemudahan teknologi tetap disediakan iaitu kemudahan akses internet jalur lebar bagi memudahkan urusan harian anda walaupun jauh dari kesibukan kota.

Disamping merehatkan badan dan minda, anda juga boleh melakukan aktiviti riadah yang menyeronokkan di sini seperti memancing, bermain tenis, merentas hutan, berbasikal mahupun mencuba aktiviti air seperti berkayak.

Gabungan unsur-unsur tradisi, kehijauan alam sekitar dan kemewahan menjadikan Lake Kenyir Resort & Spa antara resort pilihan ramai di negara ini.

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi:

Lake Kenyir Resort and Spa
P.O. Box 32, 27100 Kuala Berang Terengganu Darul Iman, Malaysia

Tel: 609-666 8888
Fax: 609-666 8343
Email: resort@lakekenyir.com

atau layari http://www.lakekenyir.com/

( di susun dan di di petik dari Majalah LIBUR Julai 2008 ms 28)

Wednesday 4 August 2010

Taman Tamadun Islam... monumen dan bayaran masuk




Di antara monumen yang terdapat di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man

  • Al Hambra, Sepanyol
  • Masjid Agung Samara, Iraq
  • Masjid Aleppo Citadel, Syria
  • Great Mosque Agadez, Nigeria
  • Menara Kalyan, Uzbekistan
  • Masjid Kul sharif, Tatarstan, Rusia
  • Pattani Central, Thailand
  • Masjid Abu Nasr Parsa, Afganistan
  • Masjid Kudus Minar, Jawa, Indonesia
  • Masjid Negara, Kuala lumpur
  • Masjid Nabawi, Madinah
  • Masjid Sheikh Lutfalla, Iran
  • Masjid Mohamed Ali, Mesir
  • Tugu Kompleks Suleyman, Turki
  • Masjid Badshashi, Pakistan
  • Masjid Xian, China
  • Masjid Besar Qairawan, Tunisia
Waktu operasi

  • 10.00 am- 7.00 pm (Isnin hingga Khamis)
  • 9.00 am -7.00 pm (Jumaat hingga Sabtu)
  • Kemasukan akhir adalah pada jam 6.15 pm
  • Taman ini di tutup pada hari Selasa kecuali pada Cuti Sekolah dan Cuti Umum
  • Yuran masuk: warga Malaysia RM10.00 Dewasa dan RM5.00 kanak-kanak (7-12 tahun)
  • Bukan warga Malaysia RM20.00 Dewasa dan RM10.00 kanak-kanak (7-12 tahun)
  • Kadar istimewa untuk warga emas dan berkumpulan
  • Maklumat lanjut boleh hubungi : 09-6278888 atau layari www.tti.com.my

"Taman ini adalah taman yang pertama di dunia yang menampilkan konsep arkitektur Islam"

Promosi Ramadhan


Ramadhan telah pun hampir tiba, kini sana sini kelihatan promosi Ramadhan telah menjelma, begitu juga promosi di Agro Resort, Setiu, Terengganu turut menawarkan Promosi Ramadhan dengan harga yang menarik serta potongan harga bilik sehingga RM50%

Tuesday 3 August 2010

Kampung Cina... apa menariknya kat sini





Kampung Cina adalah 'Chinatown' di Kuala Terengganu di mana ianya menjadi destinasi penting di negeri Terengganu. Ianya amat terkenal dengan bangunan warisan sebelum perang. Kesan tinggalan sejarah ini amat jelas sekali dan ianya kini dijaga dengan baik dan cantik sebagai warisan negeri.

Deretan kedai lama di sepanjang jalan di Kg Cina ini masih jelas dapat dilihat dan dihayati melalui budaya penduduk di sini dengan meja kayu klasik, buku-buku lama dan pelbagai peralatan lama.


Dua tokong di sini iaitu Ho Ann Kiong yang dibina pada 1801 dan Tien Hok Kong pada 1896 telah mendapat pengiktirafan UNICEF sebagai Warisan Sejarah. Bangunan di Kg Cina ini dipercayai telah diduduki oleh kaum Cina yang tiba ke Semenanjung Tanah Melayu pada abad ke 19.

Maka amat wajarlah warisan sejarah dan budayanya terus dijaga sebagai daya tarikan dan pemuliharaan warisan di negeri Terengganu ini.

Kehebatan Kg Cina ini tak kurang sebagaimana terkenalnya Penang Road di Pulau Pinang. Warisan di Terengganu memang unik.

Asal- Usul Kemaman




Daerah Kemaman iaitu daerah yang paling selatan di Negeri Terengganu. Tahukah anda asal usul 'Kemaman' dan siapakah yang memberikan nama tersebut?

Mari sama-sama kita telusuri sejarah dan hikayat tentang asal usul Kemaman ini. Mungkin ramai yang tahu bahawa asal usul nama 'KEMAMAN' adalah daripada sebutan 'KERA MAMAN'. Tetapi lama-kelamaan nama daerah ini telah dipendekkan menjadi KEMAMAN sebagaimana sebutan sekarang.


Mengikut sejarah kira-kira 100 tahun yang lalu, ada satu kumpulan pelayar yang terdiri daripada para pedagang serta pendakwah agama Islam telah berlabuh di muara Sungai Kemaman. Mereka ini dipercayai sedang mencari perlindungan dari serangan lanun di negara asal mereka iaitu di Selatan Siam. Sedang mereka sedang berehat di muara sungai tersebut, ketua kumpulan pedagang tersebut iaitu 'Lebai Saras' telah terlihat sekumpulan monyet sedang bermain-main di dahan pokok ditebing sungai.

Lalu ia berkata, " Hai awak-awak, cuba lihat monyet-monyet yang sedang bergayut di atas pokok itu. Ekor binatang-binatang itu amat aneh sekali kerana bulu-bulunya berbentuk seperti daun maman".

Untuk makluman, daun maman adalah sejenis sayuran yang dijeruk terlebih dahulu sebelum dimakan dengan nasi. 'Jeruk maman' ini amat popular di negeri Terengganu dan Kelantan dan amat mudah didapati di pasar-pasar.

Selepas berbincang dengan awak-awak, Lebai Saras bersetuju menamakan tempat tersebut sebagai kawasan 'Kera maman'. Dan lama kelamaan sebutan telah berubah menjadi 'KEMAMAN".

Cerita ini telah disampaikan sendiri oleh waris Lebai Saras yang kini menetap di Kg Bukit Mentok Kemaman iaitu Encik Musa Bin Hamdan. Menurut Musa, beliau adalah keturunan yang ketujuh Lebai Saras.

"Selepas menamakan kawasan tersebut, Lebai Saras dan awak-awaknya telah mudik ke hulu dan kemudiannya telah menetap di sana. Mereka telah membuat keputusan untuk menetap terus di sana. Di antara kampung-kampung yang mereka tinggal adalah meliputi Kg Nipah Panjang, Kg Mak Cili, Kg Pasir Mina, Kg Binjai serta Kg Bukit Mentok di mana telah bertaburan waris-waris dari keturunan Lebai Saras dan awakawaknya.

(Sumber Petikan di petik dan disusun semula dari Buletin PPNT Vol: 01 Okt-Dis 2008)

Sunday 1 August 2010

Tasik Kenyir... memang mengasyikkan..



Tasik Kenyir
yang terletak 55 km daripada Kuala Terengganu adalah antara tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara dan di antara yang unik di dunia. Keluasan kawasannya meliputi 369 km persegi. Dengan kata lain, kita boleh ambil bandaraya Kuala Lumpur dan letak dalam Tasik Kenyir.

Ianya bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan yang terkenal dan unik, malah ia juga menyumbang kepada pembangunan negara melalui stesen hidroelektrik di Jenagor, Hulu Terengganu. Keseluruhan pulau yang ada di Tasik Kenyir selepas ia dilimpahi air adalah 340 buah pulau.


Dengan dikelilingi suasana Hutan Hujan Tropika, Tasik Kenyir amat popular bagi pencinta alam semulajadi, kaki pancing, jurugambar serta yang gemarkan cabaran. Di antara aktiviti yang selalu menambat hati pengunjung di sini adalah memancing, mandi air terjun, berkayak, menyusuri tasik dengan bot serta aktiviti lasak seperti kembara hutan, mendaki Gunung Gagau atau menjejak jejak Mat Kilau. AIr yang jernih di Tasik Kenyir pastinya mengimbau minat bagi kaki pancing untuk menawan pelbagai spesis ikan di sini seperti Baung, Toman, Kelah, Kelisa serta Sebarau. Dengan kemudahan seperti chalet, 'boathouse', resort dan kemudahan tapak khemah pastinya melengkapkan keseronokan percutian anda di sini.


Berhampiran Taman Negara Tasik Kenyir, terdapat kesan tinggalan sejarah dan penemuan terbaru telah menunjukkan bahawa penemuan rangka 'Bewah Man' adalah lebih tua daripada 'Perak Man'. Ia adalah bukti sejarah terkini arkeologi di Gua Bewah. Jabatan Muzium Negeri Terengganu masih meneruskan lagi kajian arkeologi di Gua Bewah ini untuk mengkaji lebih lanjut artifak-artifak dan tinggalan sejarah yang ada di sini. Tinggalan sejarah ini juga dapat didapati di gua berhampiran Gua Bewah iaitu Gua Taat. Kerajaan Negeri Terengganu bersama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengan (KETENGAH) telah menganjurkan pertandingan memancing di Tasik Kenyir bagi memburu ikan legenda di Tasik Kenyir iaitu dari Spesis Arapaima yang dikatakan agak besar. Tawaran RM10,000 juga telah dibuat oleh kerajaan negeri bagi sesiapa yang dapat menangkap ikan spesis ini.




Sebenarnya banyak lagi tarikan menarik di Tasik Kenyir ini iaitu Santuari Kelah di Sungai Cacing di bawah kelolaan Jabatan Perikanan, Taman Herba di Pulau Sah Besar, Santuari Gajah di Sungai Ketiar di bawah Jabatan Perhilitan, Taman Negara, air terjun Lasir, Saok dan lain-lain lagi. Dengan kata lain, jika datang dua hari masih belum cukup untuk kita meneroka semuanya. Cuma apa yang perlu diambil kira untuk bercuti di sini adalah kosnya sedikit tinggi kerana kebanyakan pergerakan kita adalah menggunakan bot untuk meneroka keindahan Tasik Kenyir. Jadi rancanglah percutian anda untuk meneroka keindahan Tasik Kenyir.

bookcafe com

AGODA Booking

Get the LOWEST RATE of your hotel BOOKING by Online

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Blog List

kongsi blog