Temasya alam Tasik Kenyir
Oleh Nazdy Harun
bhkt@bharian.com.my
2010/12/26
JIKA
ditanya apa uniknya Tasik Kenyir, pasti ramai, khususnya kaki pancing
segera mengaitkan destinasi di Terengganu itu sebagai syurga mereka. Apa
tidaknya, tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu menjadi
lubuk pelbagai spesies ikan air tawar yang diburu kaki pancing.
Namun, di sebalik popularitinya di kalangan pemancing, Tasik Kenyir
sebenarnya layak dicanangkan sebagai gedung ilmu alam dengan keunikan
serta keindahan flora dan faunanya. Projek pembinaan empangan jana
elektrik di sini membentuk 340 pulau unik dan landskap alam serba baru
selain tinggalan sejarah di Tasik Kenyir.
Tidak hairanlah, kelebihan Tasik Kenyir itu mendorong Kerajaan
Terengganu melaksanakan pelbagai projek pembangunan selain menjadikan
beberapa pulaunya sebagai taman burung, taman buah-buahan, taman orkid
selain menaik taraf taman herba sebagai santuari ikan kelah.
|
Add caption |
Lebih menarik lagi, tidak lama lagi Tasik Kenyir bakal menjadi syurga
beli-belah dan destinasi percutian sekeluarga apabila kerajaan negeri
memberi peruntukan dana RM100 juta untuk membangunkan Pulau Bayas -
pulau terbesar di sini sebagai kawasan bebas cukai dengan gedung beli
belah serba lengkap untuk memenuhi selera pelbagai lapisan masyarakat.
Penulis baru-baru ini, bersama rakan media dan pencinta alam semula
jadi di negeri ini berpeluang merasai keindahannya tetapi dengan kaedah
paling asas iaitu berkhemah di sebuah dataran di muara Sungai Cacing,
lubuk tersohor untuk ikan kelah.
Ikuti catatan menarik ini
mengenai pengalaman kami berkhemah berbanding pengalaman pengunjung lain
yang lazimnya memilih rumah bot atau menginap di beberapa pusat
peranginan pelbagai agensi termasuk Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah
(KETENGAH).
Jumaat:
8.00 pagi: Kami tiba dan berkumpul di
Kampung Manir, menikmati sarapan pagi sebelum bertolak ke Pengkalan
Gawi, di Tasik Kenyir. Dalam konvoi lima kenderaan, kami bergerak
mengikut jalan yang bukan biasa dilalui pelancong iaitu Jalan
Manir-Kampung Matang, merentas Kuala Telemong di daerah pedalaman Hulu
Terengganu.
10.30 pagi : Setibanya di destinasi, kami
disambut Pengurus Petang Island Resort, Mohd Fauzi Salleh yang turut
bertindak sebagai juru pandu membawa kami ke kawasan Taman Negara, Tasik
Kenyir. Bagaimanapun sebelum bertolak kami sempat meninjau sekitar
kawasan di Pengkalan Gawi, selain membeli anak ikan keli, cengkerik
serta buah kelapa sawit sebagai umpan memancing.
11.30 pagi: Selesai
proses pendaftaran dengan Jabatan Perhilitan dan Taman Negara dan kerja
memunggah barangan dibantu kakitangan Petang Island Resort (PIR), kami
semua kelihatan teruja memulakan ekspedisi ini.
12.00 tengah hari: Bot
sarat penumpang serta muatan, meluncur perlahan membelah tasik menuju
ke lokasi. Paras air kian cetek kira-kira dua meter pertama berikutan
persediaan menghadapi musim tengkujuh, menyukarkan kerja jurumudi bot
keluar dari jeti. Perjalanan empat jam dengan bot laju ke Sungai Cacing
bermula dan bagi mengisi masa panjang itu, ahli rombongan mengambil
peluang menikmati pemandangan persekitarannya yang mendamaikan. Mohd
Fauzi sempat menerangkan latar belakang beberapa buah pulau kepada
peserta. Selepas dua jam mengharungi tasik, Mohd Fauzi memberhentikan
bot dipandunya di jeti Perhilitan untuk membuat pengesahan pendaftaran
anggota kumpulan.
4 petang : Tiba
di Sungai Cacing dan selepas mengenal pasti lokasi tapak perkhemahan
sesuai, Mohd Fauzi mengemudi bot ke tebing untuk menurunkan peserta.
Selepas semua barangan diturunkan, Mohd Fauzi dan kakitangan Pulau
Petang Resort kemudian meninggalkan kami di tapak perkhemahan. Selain
khemah, sebuah 'jerumun' iaitu pondok beratapkan daun pokok bayas dan
pokok pakis di kaki bukit, turut didirikan.
6.30 petang: Habis
tugasan penting itu, kami melepaskan lelah dengan turun mandi ke tasik
biarpun terpaksa memakai jaket keselamatan disediakan PIR. Ada juga yang
mengambil kesempatan mencari lokan di beberapa kawasan berselut yang
bakal menjadi antara hidangan makan malam.
8.30 malam: Selesai
menunaikan solat Isyak, kami menikmati hidangan telur dadar, ayam
goreng dan kangkung goreng digaul dengan isi lokan yang sememangnya
manis.
9.45 malam: Peserta menyiapkan joran dan mencari
lubuk memancing malam itu. Dan seperti sepatutnya, kami melepaskan
‘gian’ menikmati keindahan alam sambil meneruskan maraton memancing.
Namun, tiba detik jam 3 pagi, ramai mengantuk apalagi berpuas hati
dengan hasil tangkapan yang lumayan.
Sabtu:
6 pagi: Kami
bangun awal untuk melihat sendiri matahari terbit. Udara sungguh segar
dan nyaman. Pancaran matahari yang berbalam di sebalik balak menaikkan
seri semula jadinya pada dataran kehijauan tebing yang dipenuhi pakis
berbunga dan rumput.
8.00 pagi: Selepas makan, seperti
biasa aktiviti diteruskan dengan memancing manakala beberapa lagi mula
menyediakan unggun api untuk memanggang ayam.
11.30 pagi: Tidak
tahan dibakar matahari, kami mula berundur dari tebing memancing dan
mula balik ke khemah. Kepulangan kami rupanya, tepat pada masa kerana
ayam, ikan dan lokan yang dipanggang sudah siap untuk dimakan. Selepas
makan, ramai mengambil kesempatan berehat dalam jerumun. Rasa nyaman dan
selesa di dalamnya menyebabkan ramai peserta akhirnya terlelap.
3.30 petang: Selesai
mandi dan sementara menunggu bot dipandu Mohd Fauzi datang mengambil
kami, peserta membersihkan kawasan persekitaran dengan membakar
mana-mana bahan buangan seperti pinggan kertas.
5.30 petang: Bot
tiba dan dalam perjalanan pulang, Mohd Fauzi membawa kami melihat tapak
bersejarah di Kenyir seperti Gua Bewah dan Gua Taat. Hujan dan angin
kuat membuatkan kami semua kesejukan.
8.30 malam: Tiba
di Jeti Pengkalan Gawi. Selepas memunggah barangan, kami berkumpul bagi
menikmati hidangan malam di bazar beberapa kilometer dari Pengkalan
Gawi. Selepas selesai menikmati makan malam, kesemua peserta bersalaman
sebagai tanda perpisahan sebelum kenderaan yang dinaiki berpecah
mengikut destinasi masing-masing. Apa yang pasti, kenangan indah
menghayati panorama alam di Tasik Kenyir pasti tidak dilupakan apalagi
selepas meredah pelbagai aktiviti yang menguji kesabaran, minda dan
keupayaan fizikal.
Sumber: Berita Harian 26/12/2010