iklan nuffnang

Pelancongan Terengganu

Friday 28 June 2013

TMT 2013 perlukan usahasama semua orang- Ketua Sekretariat TMT 2013


Pada 26 Jun 2013, sewaktu berurusan di Wisma Darul Iman, admin berkesempatan untuk berjumpa dengan Ketua Sekretariat Tahun Melawat Terengganu 2013, Encik Ahmad Fathil Bin Abd Ghani. Lama benar tidak bersua muka dengan beliau yang sebelum ini ke negeri Perak untuk menggerakkan Tahun Melawat Perak 2012.

Sekadar bertanya khabar tentang perkembangan Tahun Melawat Terengganu 2013 dan senario pelancongan semasa dan admin diberitahu jumlah pengunjung ke Terengganu meningkat terutama pada bulan Mei 2013.

Banyak sekali program dan promosi dirangka dan dilaksanakan dalam menjayakan TMT 2013 antaranya iklan yang agresif di luar Terengganu seperti di LPT, lapangan terbang serta majalah seperti Gaya Travel dan Santai.

Begitu juga dengan sokongan kepada program-program peringkat kebangsaan yang berlangsung di negeri Terengganu selain program yang sememangnya di rancang awal sejak tahun lepas lagi.

Banyak lagi program katany perlu di laksanakan yang memerlukan kerjasama pihak ketiga samada persatuan yang terlibat dengan industri pelancongan dan sebagainya bagi menjayakan lagi TMT2013.

Sejam masa bersembang dengan beliau cukup sekejap sahaja rasanya. Beliau begitu serius dalam menjayakan misi TMT2013 sehinggakan 'proof reading' untuk periklanan pun dilakukannya sendiri agar mencapai maksud yang diingini.

Bagi admin, usaha yang luar biasa insyaallah akan menghasilkan 'result' yang luar biasa juga. Dalam perjalanan pulang ke Setiu, bermacam-macam isu dan perkara yang bermain difikiran admin dalam mencari cetusan idea dan gerakan memajukan pelancongan di negeri Terengganu. Dengan majunya pelancongan, ia akan memberi peluang kepada lebih ramai orang dan rakyat Terengganu meraih rezeki hasil kedatangan orang luar dan pelancong ke negeri cantik Terengganu.

Begitu juga usaha admin mewujudkan blog ini juga dengan niat agar ianya memberi cetusan dan sokongan kepada industri pelancongan dalam kapasiti kecil admin yang tak seberapa. Sekurang-kurangnya orang boleh merujuk tempat-tempat atau warung, restoran yang telah admin kunjungi sebagai membantu usahawan kecil di Terengganu.

Thursday 20 June 2013

Kembara Cuti-Cuti 1 Malaysia 2013 meneroka keunikan Terengganu


 Kembara Cuti-Cuti 1 Malaysia yang dihoskan oleh Gaya Travel Magazine kini meneroka keunikan Negeri Terengganu Darul Iman. Negeri Cantik Budaya Menarik dan orangnya memang baik.

Program bermula dari daerah Kemaman dengan meneroka makanan tradisi 'sata dan otak-otak Wan Aziz, kemudian merasai keunikan Kopitiam Hai Peng yang terkenal di bandar Chukai. Mereka juga dibawa menyaksikan kunang-kunang atau orang Terengganu panggil 'firefly' di Sg Yakyah di Ibok, Kemaman sebelum di bawa ke Monica Bay atau Teluk Mak Nik untuk melihat dan merasai sendiri pengalaman melihat penyu bertelur.

Rombongan juga dibawa ke Kompleks Tg Nurzahirah di Kuala Terengganu sebelum dibawa mencuba keenakan masakan Terengganu di Restoran Kuah Singgang di Cabang Tiga. Pada petangnya aktiviti berkuda di TER Kuala Ibai menjadi pilihan sebelum merasai pengalaman mencandat sotong di perairan Pulau Kapas.

Pada hari ketiga, rombongan dibawa ke daerah paling bongsu iaitu Setiu untuk menikmati keindahan warisan pertukangan Melayu dan keunikan senibina rumah Terengganu di Terrapuri Heritage Village di Kg Mnagkuk Setiu. Kemudian mereka di bawa ke Peladang Setiu Agro Resort, iaitu sebuah resort berkonsepkan agrotourism yang unik dan mempunyai kelainan dalam satu pusat peranginan.
Taklimat oleh Pengurusan Agro Resort

Menu hidangan yang disajikan

Selepas taklimat oleh pihak pengurusan iaitu oleh Ahmad Sanusi selaku Pengurus Resort, rombongan dibawa ke Taman Herba Agro untuk merasai dan mengenal khazanah perubatan Melayu serta merasai sendiri air herba yang berkhasiat di sini. Hidangan petang menanti rombongan dengan keunikan masakan kampung iaitu Pulut Mempelam bersama santan, kerepok lekor, cendawan goreng celup tepung, ubikayu rebus, ubi keledek rebus yang dicecah bersama kelapa dan sambal bilis.
Ubi keledek rebus

keropok lekor goreng

Selesai check in bilik, aktiviti petang menanti iaitu Flying Fox, River Crossing serta berkayak di Tasik Agro dengan bimbingan jurulatih Agro, Nek Yunus M Nor yang berpengalaman.

Memang seronok memerhatikan gelagat 'orang bandar' yang 'masuk kampung'. Rombongan CC1M kali ini adalah terdiri daripada rakan media dari Image Media Network, Singapura, Primeworks, Media Prima, ANTV Indonesia RTM, NTV7, Berita Harian, TV AL Hijrah, MICE Magazine, MY Tourism TV. Juga turut bersama adalah rakan blogger yang 'famaous' iaitu Si Traveller Comel, blogger Marinimz, blogger ruby.com, blogger Emily2u serta hos Gaya Travel Magazine dan Tourism Malaysia.
Sambal bilis untuk di cicah dengan ubi kayu rebus

pulut mangga bersantan

Ikut turut serta adalah agensi pelancongan Amazing Travel & Tours, Leisure Incentive Tour, Ceria TRavel & Tours, Permai Rantau Tour dan IMG Travel & Tour. Mereka ini turut diiringi oleh pasukan PDRM dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia bagi memastikan keselamatan dan kelancaran program.
menu yang menjadi tarikan

peserta rombongan cukup berselera menikmati hidangan

Sebelum pulang ke Kuala Lumpur, rombongan akan di bawa ke Taman Tamadun Islam serta menaiki Bot Cruise untuk ke Pasar Payang sebelum pulang ke ibu kota.

Semoga penganjuran program CC1M ini akan melonjakkan lagi industri pelancongan di negeri Terengganu yang sememangnya unik dan menarik untuk di terokai.
seronok mereka datang ke Setiu, Terengganu


Kehadiran Ketua Penolong Kanan Pentadbir Tanah Setiu, Encik Rusdi Bin Awang dalam Majlis Makan Malam bersama rombongan juga di harap dapat mencetuskan era baru pelancongan di Setiu yang mempunyai banyak sekali produk pelancongan yang unik dan menarik. Banyak cetusan idea dan cadangan semasa makan malam bersama Encik Zulfa- Tourism Malaysia Terengganu serta Encik Shamsul- Gaya Magazine Travel dan rakan rombongan yang lain.

teruja melihat ikan besar

Apa yang ditengok tu?

Monday 17 June 2013

Ais Kacang Jalan Beserah, Kuantan


Ais Kacang Jalan Beserah,Kuantan memang sedap dan memikat. Ia dijual secara tradisi oleh keluarga India Muslim di sini.

Sejak admin selalu berulang alik ke Kuantan dari tahun 2002 sehingga sekarang rasanya tetap memikat seperti dulu. Ada ais kacang biasa, ais kacang pulut dan cendul pulut.

Sementara menunggu bungkus, sempat juga menjamah semangkuk. Memang sedap!

Saturday 15 June 2013

Kerajaan anjur kejohanan jetrace di pantai Batu Buruk



Oleh; Esah Abdullah 

Kerajaan negeri akan menganjurkan kejohanan ‘Terengganu World Jetrace Challenge’ untuk kali ke-4 di pantai peranginan Batu Buruk bermula 21 hingga 23 Jun depan.

Penolong Setiausaha Kerajaan (Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan) Che Wan Mohd Zulkifli Che Wan Jalil berkata, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee akan mengadakan sidang media mengenai pertandingan pada 21 Jun di Primula Hotel jam 11 pagi. 

“Majlis perasmian akan dilakukan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said pada 21 Jun diperkarangan kolam renang Hotel Primula jam 8 malam manakala majlis penutup dan penyampaian hadiah pada 23 Jun jam 4.30 petang,” katanya.

Katanya, kejohanan bertaraf dunia itu berlangsung selama tiga hari dengan penyertaan peserta dari dalam dan luar negara sekali gus mampu melonjakkan negeri ini sebagai destinasi pelancongan sukan popular di peringkat antarabangsa.





-Teganu Kita

Pulau Bidong jadi pulau warisan negeri





Kerajaan negeri bercadang menjadikan Pulau Bidong, yang kaya dengan peninggalan sejarah selain keindahan alam semulajadi dan terumbu karang, sebagai pulau warisan negeri, sekali gus menjadi tarikan pelancongan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan negeri Datuk Mohd Jidin Shafie berkata pihaknya sedang mengumpul maklumat untuk mengkomersilkan pulau itu yang pernah menjadi tempat pelindungan pelarian Vietnam.
Pulau Bidong suatu ketika dahulu

Bagi merealisasikan impian itu, beberapa infrastruktur akan ditambah selain kerja-kerja pembersihan selain memelihara khazanah yang terdapat di pulau itu, katanya kepada Bernama selepas mengadakan lawatan ke pulau-pulau di kawasan Pulau Bidong baru-baru ini.
“Kita akan menjadikannya sebagai pulau pusat rekreasi sejarah selain membolehkan penggiat sejarah meneruskan kajian mereka terhadap peninggalan masyarakat terdahulu,” katanya.

Datuk Mohd Jidin berkata walaupun pulau berkenaan dibuka untuk kunjungan pelancong namun pihaknya akan memastikan ia dilakukan secara terkawal bagi memastikan warisan peninggalan sejarah terus terpelihara.
sebagai tempat pelarian Vietnam

Katanya pulau seluas 203 hektar itu mempuyai nilai sejarah yang tinggi dan kerajaan negeri akan melakukan beberapa program pemuliharaan untuk mengekalkan keindahan alam semulajadi di pulau itu.

Selain itu, katanya beberapa kemudahan juga akan ditambah di pulau-pulau untuk nelayan kecil berlindung daripada ombak besar, angin kencang dan ribut.





-Teganu Kita

Semua pengusaha satay Jabi akan disatukan dalam satu jenama



Oleh: Mohammad Ishak

Kesemua pengusaha sate di pekan Jabi, Besut akan disatukan di bawah satu jenama dalam usaha untuk mempopularkan Sate Jabi kepada mereka yang datang ke negeri Terengganu secara besar-besaran.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan (ADUN) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar berkata, dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) kesemua pengusaha sate di pekan itu akan bekerjasama memajukan pengeluaran mereka dalam menjadikan perusahaan sate di Jabi sebagai satu lagi tarikan pelancongan di negeri ini.


“Untuk itu YPU akan membantu supaya produk sate yang bakal diusahakan secara kumpulan di Jabi itu nanti digemari peminat sate apabila datang ke Terengganu”, katanya selepas merasmikan Program Polis Bersama masyarakat di Kampung Kuala Kubang dekat sini.

.Menurutnya, sebelum ini pekan Jabi sudah memang terkenal sebagai pengeluar sate ayam dan sate daging yang terkenal terutamanya kepada penduduk negeri ini termasuk mereka yang melalui pekan Jabi daripada Kuala Terengganu ke Kota Baharau atau sebaliknya.

Namun begitu, katanya, sate dijual secara berasingan oleh pengusaha-pengusaha tertentu yang menyebabkan ianya tidak dapat diperkembangkan secara besar-besaran

"Jenama 'Sate Jabi' akan dicadangkan untuk digunakan oleh pengusaha berkenaan supaya secara tidak langsung dapat mengetengah dan mempromosikan Jabi sebagai lokasi yang menjadi pilihan jika ingin menikmati keenakan sate sebenar selain tarikan alam di sini,.

Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau menyangkal laporan daripada pemimpin pembangkang yang melaporkan kawasan Jabi tidak selamat kepada penduduk kerana sering dilanda masalah jenayah yang tidak terkawal.

 “Ini merupakan satu andaian semata-mata kerana mengikut laporan polis dari awal januari hingga hujung Mei hanya terdapat 9 kes jenayah yang dilaporkan penduduk yang mana 6 daripadanya telah pun berjaya diselesaikan oleh polis”, katanya

Menurutnya, beliau sedih kerana dalam usaha polis menjalankan tanggungjawab bagi menjaga keamanan dan keselamatan, ada pihak yang cuba mengelirukan rakyat dengan cuba menakut-nakutkan penduduk dengan mengatakan yang tahap keselamatan di kawasan berkenaan amat rendah.

-Teganu Kita

Lagi cerita:

Sate Lanang, Sate Terbaik, Terengganu - Terengganumyheritage

Peserta BOTR terokai keindahan Tasik Kenyir



Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berharap semua peserta Boat On The Road (BOTR) 2013 dapat menikmati dan memanfaatkan keindahan alam serta khazanah yang bernilai di Tasik Kenyir, Hulu Terenganu, dengan sepuas-puasnya.

 “Pada masa yang sama, saya harap semua peserta selamat di sepanjang perjalanan dan tiba tanpa sebarang perkara tidak diingini di tasik buatan manusia yang menjadi tarikan utama pemancing seluruh dunia itu.

“Selain itu juga, jangan pula membuang sampah seerti plastik, puntung rokok, sisa makanan di merata tempat dan sama-sama menjaga kebersihan alam sekitar,”katanya sebelum melancarkan majlis pelepasan peserta program BOTR 2013 di Sri Pentas TV3 Bandar Utama, Petaling Jaya, pagi tadi.

Menteri Besar turut menampal pelekat acara yang memasuki edisi ke empat penganjuran itu, di sebuah pacuan empat roda peserta. 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankasa Pelancongan, Kebudayaan, Penerangan da Komunikasi negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee; Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial Media Prima Bhd Datuk Ahmad A. Talib; Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial Media Prima Bhd Datuk Ahmad A. Talib.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani.

Tasik Kenyir sekali lagi akan menjadi tumpuan kaki pancing dari dalam dan luar negara sepanang tiga hari apabila program cabaran memancing Boat On The Road (BOTR) 2013 membuka tirainya hari ini.

BOTR anjuran kerajaan negeri dan Unit Joran Berita Harian itu menyediakan hadiah keseluruhan berjumlah RM73,300 termasuk RM20,000 kepada pemancing yang berjaya menaikkan ikan Arapaima Gigas.

Haji Wan Mat Amin berkata sebagai tuan rumah pihaknya sudah bersedia menanti kehadiran peserta sepanjang acara berlangsung.

Katanya, berdasarkan pengalamanan penganjuran sebelum ini, acara ini berjaya menarik ramai kaki pancing dari dalam dan luar negara sekali gus meningkat jumlah pelancong sempena TMT 2013.

“Peluang yang sama kepada pemancing seperti jua tahun-tahun sebelumnya, di mana mereka ditawarkan ganjaran berjumlah RM20,000 jika berjaya menaikkan ikan Arapaima Giagas yang dipercayai menghuni Tasik Kenyir.

“Penganjuran BOTR ini juga dijangka mampu meningkatkan kehadiran pelancong ke tasik buatan manusia itu,” katanya.





-Teganu Kita

Wednesday 12 June 2013

Hasil sulong madu lebah kelulut... sedap rasanya

madu lebah kelulut

Inilah hasil sulong dari ternakan lebah kelulut di rumah. Tak banyak cuma dua koloni sahaja. Memang seronok tengok lebah kelulut ini. Balik kerja petang-petang, jengok sekejap bagi menghilangkan penat dan tekanan kerja.

Dan setelah dua bulan, inilah hasil madu daripada lebah kelulut. Sedap rasanya, masam-masam manis. Ianya dikatakan cukup berkhasiat dan antara madu terbaik.

sarang lebah kelulut

pintu masuk koloni

Ia amat baik untuk kesihatan kita terutama bagi mereka yang ada ulser dalam mulut.

Jika di pasaran, harga madu kelulut ini agakmahal kerana ia agak sukar untuk didapati dan ia juga tidak secepat dan sebanyak madu daripada lebah madu.

pintu masuk

Apa yang admin buat adalah suka-suka dan juga sebagai education kepada anak-anak untuk mereka mendekati keunikan alam dan juga alam haiwan.

Sunday 2 June 2013

Pelancong ke Malaysia meningkat lebih 25 juta orang



Malaysia mencatatkan pertumbuhan pelancongan menggalakkan tahun lalu dengan peningkatan lebih 25 juta orang dan pendapatan pelancongan meningkat empat peratus kepada RM63 bilion (ASD20.2 bilion) berbanding pada 2011.

Di bawah Program Tranformasi Ekonomi (ETP), sektor pelancongan telah dikenal pasti sebagai salah satu daripada 12 Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA) untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Sejak itu, beberapa projek pembangunan pelancongan diwujudkan bagi mencapai sasaran 36 juta pelancong dan RM186 bilion (ASD60 bilion) pendapatan pelancongan menjelang 2020.

Bagi mencapai sasaran tersebut, jenama Acara Utama Malaysia di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah diwujudkan untuk berada seiring dengan acara biro global.

Pengurus Besar Acara Utama Malaysia, Tony Nagamaiah berkata, dengan penjenamaan semula yang telah dilakukan sejak setahun lalu, pihaknya yakin acara utama Malaysia mampu mencapai kejayaan lebih besar dalam menjadikan negara destinasi pilihan untuk acara utama di rantau Asia Pasifik.

“Dengan itu, ia dijangka menyumbang RM0.414 bilion (ASD0.134 bilion) kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) dan 8000 peluang pekerjaan sementara menjelang 2020.

“Dengan adanya kemudahan infrastruktur sukan serba lengkap, Malaysia kini telah berpengalaman dan mendapat kepakaran luas untuk menganjur dan menjadi tuan rumah pelbagai jenis acara sukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, selepas menjadi tuan rumah acara sukan antarabangsa selama lebih sepuluh tahun, Malaysia kini pastinya telah berjaya menarik perhatian global.

Isu Pasar Payang: Meja Rundingan Sentiasa Terbuka

Pelanggan sedang memilih batik sutera, antara produk popular yang dijual di Pasar Payang.

KUALA TERENGGANU – Meja perundingan sedia dibuka bagi mengadakan perbincangan semula isu Pasar Payang yang seolah-olah masih belum mencapai permuafakatan berkenaan pembangunan yang dirancang oleh Kerajaan Negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee berkata, sepatutnya ada permuafakatan antara kedua-duanya, agar pembangunan yang dirancang berjalan mengikut kehendak rakyat.

 Menurutnya, beliau juga sedia mendengar apa-apa pandangan dan juga buah fikiran terutama di kalangan pengusaha di situ bagi menyelesaikan kemelut yangmasih belum berakhir itu, walaupun Kerajaan Negeri telah memutuskan pembinaan Pasar Payang baru tetap dilakukan.

 “Sepatutnya ada muafakat supaya sesuatu perubahan hendak dilakukan adalah mengikut kehendak rakyat. Setiap pembangunan yang ingin dilaksana juga perlu diperjelas kepada rakyat dan jika mereka menerima perubahan itu, ia boleh dilaksanakan.

“Tetapi jika ada sebarang ketidakpuasan hati, termasuk dalam isu Pasar Payang, meja perundingan sentiasa terbuka,” katanya.

 Beliau juga menyifatkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said adalah seorangyang boleh dibawa berunding dan sentiasa terbuka dengan pemikiran baru.

Ditanya perundingan bagaimana yang dimaksudkan, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut memandangkan baru dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Negeri.

Beliau bagaimanapun memaklumkan akan mendapatkan penerangan jelas daripada pihak berkuasa negeri berhubung isu itu dalam masa terdekat.

-sinar harian

Laporan Khas Pasar Payang- Sinar Harian



Leda Gordano bersama temannya, Bas Van Erp, sedang asyik menikmati makanan tradisional Terengganu di Pasar Payang.
Laporan Khas Pasar Payang: Kekalkan identiti asal
Abdullah menunjukkan gambar struktur asal Pasar Payang yang diambil pada 1970.
Laporan Khas Pasar Payang: Kekalkan identiti asal
Rohimah sedang mengupas bawang putih untuk dijual di tapak perniagaannya di Pasar Payang.
KUALA TERENGGANU – Hampir 95 peratus peniaga di Pasar Payang menolak sekiranya tapak pasar berkenaan digantikan dengan bangunan berhawa dingin setinggi empat tingkat.

Peniaga, Abdullah Chik, 52, berkata, mereka tidak menolak pembangunan malah ingin kawasan itu ditambah baik dengan membaik pulih serta menambah kawasan parkir kenderaan bagi mengelak kesesakan, namun mereka tidak setuju sekiranya struktur asal pasar warisan itu diruntuhkan dan dibina baru.


“Kita tidak tolak pembangunan, apa yang kita mahu ialah identiti asal Pasar Payang dikekalkan, sementara kawasan di sini dibaiki tanpa meruntuhkan struktur asal bangunan yang diwarisi sejak 46 tahun ini.

“Pelancong bukan mahu lihat bangunan yang gah, mereka mahu lihat warisan yang masih dikekalkan di setiap negara yang mereka kunjungi. Kalau kata nak bina bangunan gah, di tempat mereka pun dah banyak,” katanya.

Abdullah yang telah berniaga sejak 34 tahun lalu di situ berkata, Pasar Payang amat istimewa buatnya kerana di situlah punca rezekinya, malah perniagaannya itu diwarisi daripada bapanya yang mula mengasaskan perniagaan itu sejak Pasar Payang dikenali Pasar Tanjung pada 1967.


“Kalau sebut nama Pasar Payang, seluruh dunia tahu malah ia adalah pasar ketiga yang terkenal. Ramai pelancong asing telah berkunjung ke sini bahkan ia adalah salah satu daya tarikan yang mempengaruhi kunjungan pelancong ke Terengganu.

“Sejak berniaga di sini, pelbagai pengalaman telah saya tempuh, suka, duka. Sebab itulah saya mahu warisan ini dikekalkan malah hampir keseluruhan dan 95 peratus peniaga Melayu yang berniaga di sini menolak pembinaan bangunan setinggi empat tingkat bagi menggantikan struktur asal Pasar Payang,” katanya.


Sementara itu, seorang peniaga, Rohimah Abdullah, 50, berkata, sekiranya Pasar Payang dirombak, dia tidak tahu ke mana hala tujunya untuk meneruskan perniagaan yang diwarisi oleh arwah ibunya sejak 1960 an itu.

“Mak cik tak tahu kat mana nak berniaga selepas ini, kalau buat bangunan cantik, mestilah sewanya pun mahal. Peniaga seperti kami sudah tentu tidak mampu nak bayar kos sewa tapak.

“Tambahan pula, ia menyusahkan peniaga di sini yang terpaksa berpindah randah, sedangkan mereka telah selesa di sini dan telah mempunyai pelanggan yang tetap,” katanya.

Seorang pelancong asing dari Italy, Leda Gordano, 36, berkata, dia amat menyukai suasana dan persekitaran Pasar Payang, malah menyifatkan ia adalah satu warisan yang perlu dipelihara.

“Suasana di sini bagus. Saya suka ke sini untuk menikmati pelbagai jenis makanan, meninjau pelbagai koleksi warisan Terengganu yang ada di sini,” katanya yang turut disokong temannya, Bas Vaen Erp, 35.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan akan membina hotel bertaraf lima bintang setinggi 23 tingkat yang dijangka akan dibina di tapak Pasar Besar Kedai Payang hujung tahun ini.

Selain pembinaan hotel yang menyediakan 550 bilik itu, sebuah apartmen setinggi 30 tingkat turut akan dibina di kawasan berkenaan dan kesemua peniaga di pasar itu akan ditempatkan di tapak perniagaan sementara di Pulau Warisan sementara menunggu pembinaan pasar baru setinggi empat tingkat berhawa dingin disiapkan berhampiran hotel dan apartmen itu.

-sinar harian

bookcafe com

AGODA Booking

Get the LOWEST RATE of your hotel BOOKING by Online

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Blog List

kongsi blog