iklan nuffnang

Pelancongan Terengganu

Sunday 13 October 2019

Nasi Goreng Ikan yang sedap di Kedai Koffie, Kg Losong Haji Long, bagai masakan ibu...


Kedai Koffie di Kg Losong Haji Long kini menjadi tumpuan dengan pelbagai menu menarik dan suasana kedai yang santai dan menarik.

Pelbagai menu menjadi tarikan pengunjung dari masakan panas, masakan barat malah hingga ke snek berat dan ringan. Semuanya nampak sedap.

Begitu juga dengan pelbagai pilihan minuman seperti pelbagai pilihan minuman susu goncang atau 'milk shake'.

Harga bagi setiap makanan dan minuman juga berpatutan dan mampu dinikmati oleh semua golongan.



Kedai Koffie yang diusahakan oleh Puan Haslinda dan dan suami ini terletak dilokasi strategik iaitu jalan menuju ke Muzium negeri Terengganu dan Taman Tamadun Islam serta jalan menuju ke LPT.


Admin sendiri mencuba Nasi Goreng Ikan yang memang sedap dan klasik bagaikan masakan ibu serta Kopi Ais.

Berbaloilah datang ke sini...

#setiupost
#terengganupedia
#makan

Saturday 5 October 2019

Di antara Nasi Ayam Terbaik Terengganu di Restoran Nurul Iman, Batu Buruk..memang terbaik


Restoran Nurul Iman yang terletak di hadapan SMA (A) Sultan Zainal Abidin, Batu Burukyang juga sekolah Admin dulu adalah antara restoran Nasi Ayam yang terbaik di Terengganu.

Bayangkan selepas 30 tahun meninggalkan alam persekolahan disini, masih boleh menikmati keenakan nasi ayam sebagaimana zaman sekolah dahulu.

Malah ada antara pekerjanya yang dulu masih bekerja hingga kini dan pemilik restoran yang yang dulu muda dan hensem masih setia menjaga kaunter dan menerima bayaran daripada pelanggan walaupun harganya sudah jauh berubah iaitu dulu RM.2.50 sepinggan dan kini RM5.50 sepinggan.

Apa yang istimewanya restoran ini, ia hanya menyajikan 2 menu sahaja iaitu Nasi Ayam dan Rojak Ayam atau orang Terengganu menyebutnya 'Rojak Keling' .

Setiapkali datang menjamu selera di sini, orang dan dan parking sentiasa penuh dengan pelanggan setia yang mungkin mempunyai memorinya yang tersendiri tentang restoran dan makanan di sini.

Jika anda ingin datang ke sini, lokasinya adalah selepas KTS Hospital dan berhadapan dengan SMAASZA di sebelah kanan anda.

Nikmatilah keenakan antara Nasi Ayam terbaik Terengganu di sini. Rojak Ayamnya pun boleh tahan sedapnya. Rojak Ayam Terengganu memang istimewa dan memang tidak sama dengan tempat lain atau pasembur.

Jom kita terokai keenakan makanan Terengganu

#setiupost
#terengganupedia

Sunday 1 September 2019

Macamana nak dapatkan harga Flight MURAH kat Online?.....


Image result for flight airasia

Sebenarnya ramai dari korang yang tertanya-tanya camne nak dapat flight harga murah kan. Lepas tu mesti korang nak bandingkan harga dengan cara yang paling senang sebab korang malas nak research lebih-lebih kan. Kalau bukak internet browser je dah banyak tab yang korang nak bukak sebab nak cek satu persatu. Tu belum nak tau sama ada fully book atau tak. Lepas tu kalau nak buat booking pon kadang-kadang nak kena pakai kad kredit. Sebab tu aku tulis artikel ni nak cerita kat korang yang korang cuma pergi ke 1 apps je tak payah pening-pening nak cari cheap flights online. Baca slow-slow k. hehehe.. 

Korang pernah dengar atau ada baca kat mana-mana pasal Traveloka tak? Kalau tak pernah aku suggest mula-mula sekali korang install Apps traveloka atau boleh surf internet pergi ke web dia. Contohnya kalau korang nak book flights to Langkawi, korang boleh find out kat situ. Korang kena pilih sama ada sehala atau pergi balik, kemudian korang pilih korang nak naik kapal terbang dari mana, then korang pilih untuk berapa orang, aku cadangkan korang letak 1 je dulu. Korang set tarikh departure korang and tarikh balik kalau korang pilih 2 hala. Kalau tak nak harga mahal korang cari tarikh yang bukan hari perayaan atau cuti sekolah. Lepas tu korang pilih la sama ada korang nak naik economy class, business class atau first class. Dah setel semua korang klik ‘cari tiket’. Tadaa akan ada list of penerbangan yang ada dari airlines yang berbeza. Biasanya yang paling murah akan ada kat paling atas sekali. Kalau korang rasa puas hati dengan harga tu korang boleh buat booking. Kalau tak puas hati cuba cari tarikh lain. Senang kan? Sebab korang buat perbandingan harga dari airline lain jugak kat Traveloka ni. 



So let say korang plan nak ke Langkawi, korang boleh pergi ke Pantai Pasir Tengkorak sebab kat sini adalah salah satu daripada tarikan yang menawarkan segala yang diimpikan beach lover. Ini disebabkan kat sekitarnya ada hutan rimba yang penuh kehijauan, pasir putih yang lembut di telapak kaki, air yang berwarna biru kristal serta paras air yang cetek menjadikan ianya sesuai untuk dijadikan lokasi bermandi-manda. Bukan itu saja, pantai ini juga lengkap dengan pelbagai kemudahan macam tandas, bilik mandi, meja santai dan gazebo. Tapi takde kedai makan atau gerai yang boleh didapati kat sekitar pantai ini melainkan korang datang pada hujung minggu atau cuti umum semasa mana banyak gerai akan dibuka kat pagar utama.

Bagi para pencinta sejarah, lawatan ke Makam Purba boleh menjadi pelengkap perjalanan korang, walaupun bukanlah destinasi yang wajib disinggahi, tapi sebagai salah satu peninggalan tertua di Langkawi, apa salahnya untuk tengok sendiri di depan matakan? Makam Purba yang terletak di Kampung Padang Gaong atau dalam sekitar 13 km dari Pekan Kuah ini adalah sebuah kubur lama yang telah ditemui pada tahun 1975 ketika proses mengorek tanah untuk pembinaan rumah. Makam yang berkepanjangan sekitar 236 cm ini dipercayai adalah kubur seorang perempuan yang berkemungkinan memiliki kaitan dengan pendudukan Acheh di Langkawi pada suatu ketika dulu.

Setelah puas beraktiviti lasak atau berjalan-jalan, destinasi terbaik yang boleh dilawati sebelum pulang ke tempat penginapan adalah ke kawasan air terjun yang dapat mengembalikan kesegaran badan. Salah satu lokasinya adalah di Air Terjun Durian Perangin. Untuk menuju ke sini, korang perlu mendaki dalam sekitar 20 minit sahaja. Jangan risau, perjalanan ke sini cukup mudah untuk dilalui. Setibanya di kawasan air terjun, jangan buang masa lagi,  korang boleh terus terjun ke dalam air dinginnya, lagi best kalau korang bermandi-manda betul-betul di bawah curahan air terjun, memang puas! Sambil-sambil berendam badan, korang mungkin dapat melihat beberapa ekor ikan berenang dengan bebas.



Bagus jugak sebenarnya korang pergi bercuti dalam negara sebab korang boleh jimatkan kos tapi ada banyak tempat yang menarik korang boleh pergi atau buat aktiviti yang boleh relaxkan kepala korang dari stress kat tempat kerja. Actually point dia kat sini aku nak korang try la Traveloka sebab korang pasti takkan menyesal.

Meh semak web di www.traveloka.com


Monday 5 August 2019

Nasi Dagang Atas Tol di Cafe Pozi Kubang Badak.



Image may contain: 1 person, sitting, eating, food and indoor
Nasi Dagang Atas Tol  (NGAT) adalah satu nama yang menjadi sinonim dengan makanan Terengganu dan sudah menjadi ikon makanan Terengganu dan berada pada kelas tersendiri.

Baru-baru ini admin sempat untuk membeli secara bungkus Nasi Dagang Atas Tol ini di Cafe Pozi di Kubang Badak.

Memang terbukti begitu ramai sekali menikmati nasi dagang tersohor ini samada makan di cafe mahupun yang membungkus untuk di bawa pulang.Memang kena beratur tetapi tidak lama dengan sisem jualan yang sistematik dan efisien kepada pelanggan.

Image may contain: car and outdoor
Terdapat dua bahagian iaitu bahagian makan di kedai dan satu lagi untuk yang ingin membeli secara bungkus.

Rasa nasi dagangnya memang terbaik serta gulai ikan aya bukan sahaja sedap malah besar juga ketulannya dengan harga RM4 sebungkus, memang berbaloi.

Image may contain: food and outdoor

Dan NDAT ini boleh dimakan sampai ke petang dan jika di simpan didalam peti sejuk boleh saja dinikmati pada bila-bila masa.

NDAT di Cafe Pozi adalah cawangan keempat selepas di lokasi asal dekat kubur Kg Atas Tol, di Padang Negara serta di Losong.

Penggemar NDAT boleh menikmati nasi dagang dipelbagai lokasi , apapun pastikan datang awal kerana biasanya jam 10 pagi sudah habis nasi dagang ini.

Mungkin selepas ini perlu ada NDAT secara sejuk beku bagi menjadi buahtangan bagi mereka diluar Terengganu mahupun orang Terengganu yang jauh dari lokasi jualan di atas.

Datang ke Terengganu tanpa menikmati nasi dagang bagaikan tidak lengkap kunjungan anda.

Tuesday 9 July 2019

Budu, cencalok serta tempoyak.. rupanya sumber probiotik yang hebat...




Apabila kita bercakap mengenai probiotik, tentunya dadih (yogurt) serta minuman susu kultur seperti Vitagen, Yakult akan terlintas di fikiran kita dahulu. Ini kerana kita sedia maklum  terdapatnya kandungan kultur bakteria baik di dalam minuman tersebut. Namun bagaimana pula dengan makanan tradisional kita seperti budu, cencalok dan tempoyak, adakah mereka  boleh dikategorikan  sebagai sumber probiotik dan juga prebiotik?.

Apa beza di antara prebiotik, probiotik dan juga sinbiotik ?

Sebelum kita membincangkan topik ini dengan lebih lanjut, mari kita fahami dahulu istilah – istilah berikut; probiotik, prebiotik dan sinbiotik. Apakah perbezaan utama di antara ketiga-tiga istilah ini?. Probiotik menurut definisi daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan daripada Amerika Syarikat (FDA)  serta Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bermaksud bakteria baik yang jika diambil dalam jumlah yang mencukupi akan memberikan manfaat kesihatan kepada penggunanya. Dua bakteria baik yang utama  terdiri daripada spesis Bifidobacteria dan juga Lactobacillus.Manakala prebiotik pula bermaksud makanan yang tidak dapat dicernakan oleh hos itu sendiri dan ia memberi manfaat kesihatan kepada hosnya dengan menggalakkan pertumbuhan serta aktiviti bakteria baik di dalam usus besar hos tersebut. Antara contoh prebiotik adalah seperti inulin, oligofruktosa dan galaktooligosakarida. Akhir sekali, sinbiotik pula adalah gabungan sinergi di antara prebiotik dan probiotik di mana kandungan prebiotik di dalam sinbiotik itu akan membantu serta menggalakan pertumbuhan probiotik yang turut terkandung di dalamnya.


Adakah makanan tradisi kita seperti budu, cencalok dan tempoyak juga boleh dikategorikan sebagai sumber  probiotik ?

Berbalik kepada persoalan sama ada  makanan tradisi  seperti budu, cencalok dan juga tempoyak boleh dikategorikan sebagai sumber prebiotik dan juga probiotik. Jawapannya adalah ya kerana ketiga-tiga makanan ini dihasilkan melalui proses fermentasi yang mengandungi kultur bakteria hidup. Fermentasi ikan bilis bersama garam, asam jawa dan gula melaka selama beberapa hari akan menghasilkan budu manakala  fermentasi udang geragau bersama nasi dan juga garam selama beberapa hari akan  menghasilkan cencaru. Begitu juga fermentasi durian bersama garam akan menghasilkan tempoyak. Bagaimana pula dengan tempeh di mana ianya juga merupakan produk fermentasi kacang soya?. Perlu di ingat di sini, sekiranya produk makanan ini dipanaskan atau disterilkan maka kandungan kultur bakteria hidup akan mati maka ia tidak lagi boleh berfungsi sebagai probiotik. Jikalau kita lihat, tempeh kebiasaannya di ambil dalam bentuk hidangan yang telah di masak. Maka sudah tentu kandungan kultur bakteria hidupnya telah mati akibat suhu panas ketika memasaknya . Berbeza pula dengan budu, cencalok dan juga tempoyak di mana kita memakannya begitu sahaja tanpa perlu memasaknya atau mengambilnya sebagai cecahan. Maka kandungan kultur bakteria hidup masih ada dan kekal terpelihara. Namun begitu tempeh masih boleh dikategorikan sebagai prebiotik berikutan kandungan kacang soya yang mempunyai serat yang tinggi.
Kajian terkini daripada Kalil et al (2018) menunjukkan kehadiran  tujuh  strainLactobacillus iaitu L. plantarumL. fermentumL. crispatusL. reuteri, and L. pentosusdi dalam tempoyak. Kesemua spesis ini dibuktikan mempunyai aktiviti antioksidan yang tinggi (32.3 – 73.4 %), boleh menurunkan kadar kolestrol (22.6 – 75.2 %) serta mampu merencat aktiviti patogen . Berdasarkan sifat-sifat di atas, tempoyak telah dibuktikan boleh bertindak sebagai sumber probiotik yang bagus. Kajian oleh Liasi et al (2009) juga telah menunjukkan kehadiran  tiga strain Lactobacillus iaitu L. plantarum, L. casei dan juga L.paracasei di mana ketiga-tiga strain ini telah dibuktikan mampu merencat aktiviti patogen.

Apakah kelebihan utama pengambilan prebiotik dan juga probiotik terhadap kesihatan kita?

Kelebihan utama prebiotik dan juga probiotik adalah peranannya dalam memanipulasi populasi atau aktiviti bakteria yang menghuni di dalam usus besar manusia. Pengambilan  probiotik atau prebiotik secara berterusan mempunyai impak positif terhadap kesihatan penggunanya di mana ia meningkatkan sistem ketahanan tubuh badan, mengurangkan berlakunya jangkitan di usus serta memperbaiki sistem pencernaan dan sistem perkumuhan manusia. Selain itu, probiotik dan prebiotik juga dikatakan mampu mencegah penyakit kanser berikutan aktiviti antioksidanya yang tinggi. Justeru itu, pengambilan probiotik atau prebiotik amat digalakkan dalam usaha kita menjaga kesihatan serta menghindari penyakit-penyakit merbahaya.

Rujukan: 

  • Khalil E.S., Abd Manap M.Y., Mustafa S., Alhelli A.M & Shokryazdan P., 2018. Probiotic properties of exopolysaccharide-producing Lactobacillus strain isolated from Tempoyak Molecules 23 (398)
  • Liasi S.A, Azmi, T.I., Hassan M.D., Shuhaimi M., Rosfarizan M., & Ariff A.B., 2009. Antimicrobial activity and antibiotic sensitivity of three isolates of lactic acid bacteria from fermented fish product, Budu Malaysian Journal of Microbiology (5)33-37

Bila makan durian, badan rasa panas.. kenapa yee



Memandangkan sekarang musim durian, ramai yang berkongsi kegembiraan menikmatinya dan tidak kurang pula yang berkongsi cara memilih yang betul agar tidak tertipu dengan penjual. Perumpamaan yang sering dikaitkan dengan buah durian ialah ‘tastes like heaven, smells like hell!’. Benar atau tidak, ianya subjektif kepada individu. Buat saya, si penggemar ‘tegar’ durian, bau dan rasa durian saya sangat gemari. Maka tiadalah istilah ‘hell’ pada saya 😌.
Ada yang bertanya kenapa makan durian badan kita akan menjadi ‘panas’🤔
Sebelum menjawab persoalan ini, kita haruslah faham apa yang dimaksudkan dengan ‘panas’ dan bagaimana mungkin ianya terjadi daripada tindakbalas yang dicetuskan oleh bahan kimia semulajadi dalam durian semasa penghadaman.
Apakah yang dimaksudkan dengan ‘panas’ badan?
‘Panas’ badan ini sebenarnya istilah yang dipraktikkan di dalam perubatan tradisional sama ada Melayu, Cina dan India. Selain daripada istilah ‘panas’, istilah berlawanan iaitu ‘sejuk’ juga sering digunakan. Banyak makanan umumnya diklasifikasikan sebagai ‘panas’ dan ‘sejuk’.
Dalam perubatan tradisional Cina, ianya dipanggil sebagai Shanghuo (上火) , yang mana menerangkan ketidakseimbangan tenaga haba dalam badan atau mudahnya ‘panas dalam badan’. Ianya digambarkan kepada kitaran tenaga ‘Yang’ (panas) dipasangkan dengan ‘Yin’ (sejuk) yang mampu dibawa oleh sesetengah makanan kepada badan.
Antara simptom ‘panas’ yang dimaksudkan ialah
• demam,
• sakit kepala,
• berpeluh,
• jantung berdegup dengan kencang,
• sakit tekak,
• ulser pada mulut,
• nafas berbau,
• bibir kering,
• hidung berdarah
• sembelit
Merujuk kepada simptom di atas, ‘panas’ ini dekat kepada istilah perubatan ‘hyperthermia’ iaitu kenaikkan suhu badan lebih dari yang normal 36-37 degree Celsius.
Setakat carian, terdapat satu kajian yang mengaitkan kesan kepada fungsi fisiologi badan apabila seseorang memakan durian. Namun dapatan kajian ini tidak signifikan.
Pun begitu, kebanyakkan berpendapat ‘panas’ makan durian adalah disebabkan oleh kenaikkan tekanan darah dan suhu badan secara mendadak disebabkan oleh kandungan gula yang tinggi dalam durian ini. Sejauh mana kebenarannya, mari kita teliti bahan-bahan kimia semulajadi dalam durian ini yang mempunyai kebarangkalian untuk mencetuskan rasa ‘panas’ itu.
Durian atau nama saintifiknya Durio zibethinus(family Bombacaceae) merupakan buah yang digelar ‘raja buah’ walaupun baru-baru ini takhta ini diberikan kepada buah betik oleh World Health Organisation (WHO). Tumbuhan ini natif kepada negara Asia Tenggara.


Struktur Kimia Sebatian Sulfur terdapat di dalam (A) Durian & (B) Bawang


Rasa unik durian adalah disebabkan oleh bahan kimia semulajadi dari kumpulan ester dan sulfur seperti thioester, thioacetal, thiolanes dan juga alkohol. Durian juga mengandungi kadar karbohidrat (gula) yang sangat tinggi, sedikit protein, serat serta lemak tepu.
Bahan-bahan kimia bersulfur dan ester ini senang meruap. Inilah sebabnya kenapa durian ini dapat kita bau walaupun jauh.
Bolehkah bahan-bahan kimia dalam durian menyebabkan ‘panas’ ini?
BOLEH. Bergantung kepada sistem penghadaman individu, apabila dimakan dalam kuantiti yang signifikan, bahan kimia bersulfur meruap dalam durian ini mungkin boleh mengaktifkan protein (TRPA1) pada sistem penghadaman tertentu yang bertanggungjawab menyebabkan sensasi ‘panas’ (burning sensation). Mekanisma ini membuatkan kita berasa panas. Kesan sama boleh berlaku dengan pengambilan bawang putih, halia dan cili.
Sebahagian bahan kimia sulfur yang tidak ‘sempat’ meruap pula akan diproses oleh bakteria dalam usus besar dan menghasilkan gas hidrogen sulfida. Kehadiran bahan-bahan kimia dalam proses penghadaman ini akan menyebabkan pengumpulan gas (yang juga dipanggil dengan istilah ‘angin’) seterusnya boleh menyebabkan sendawa, pedih ulu hati (heartburn), kembung (bloated) atau kentut.
Bahan kimia lain seperti karbohidrat pula akan dimanfaatkan oleh tubuh untuk tenaga dan selebihnya (termasuk sebahagian bahan kimia bersulfur) akan dikumuhkan dalam air kencing dan najis. Sebab ini jugalah air kencing juga boleh berbau seperti durian.
Benarkah meminum air dari pangsa durian boleh mengurangkan ‘panas’?
Tiada kajian saintifik mengenai ini dan agak sukar untuk mengaitkan dengan komponen kimia dalam pangsa durian ini. Pun begitu, kesan placebo (berkat keyakinan tinggi mendorong bahan kimia dalam otak berfungsi) mungkin memainkan peranan di sini menyebabkan praktik ini berkesan.
Sebenarnya apa yang dipraktik oleh pengamal ubat tradisional China ialah dengan meminum air garam (calcium sulphate) untuk menurunkan suhu badan. Air garam jenis ini yang sangat popular ialah ‘air badak’. Air jenis ini mengandungi elektrolit yang mampu menyeimbangkan larutan dalam dan luar sel semasa dehydration (kehilangan air) disebabkan ‘panas’ tadi.
Tips untuk mengurangkan kesan ‘gas’ dari durian:
Makan durian bersama dengan susu (sebaiknya susu segar). Susu segar mengandungi casein yang boleh meneutralkan bahan kimia bersulfur ini.
Minum air kelapa juga membantu menurunkan ‘panas’ badan dengan menyeimbangkan elektrolit dalam sel.
Nota kaki: Selain daripada gula yang tinggi, durian juga tinggi dengan kandungan potassium. Maka mereka yang mempunyai masalah buah pinggang, haruslah mengelakkan pengambilan durian ini.
*Semoga bermanfaat 😊*

Rujukan:

1) Aziz, N.A.A., and Jalil, A.M.M.,2019. Bioactive Compounds, Nutritional Value, and Potential Health Benefits of Indigenous Durian (Durio Zibethinus Murr.): A Review. Foods, 8(3): 96.
2) Boone, C.; Bond, C.; Hallman, A.; Jenkins, J. 2017. Sulfur General Fact Sheet; National Pesticide Information Center, Oregon State University Extension Services.
3) Terada, Y., Hosono, T., Seki, T., Ariga, T., Ito, S., Narukawa, M., Watanabe, T., 2014. Sulphur-containing compounds of durian activated thermogenesis-inducing receptors TRPA1 and TRPV1. Food Chemistry 157:213-20.
4) Porkert, M., 1974. The Theoretical Foundations of Chinese Medicine: Systems of Correspondence. MIT Press East Asian Science series.
kredit: majalah sains com

Ubi Gadong.. walaupun beracun tetapi berkhasiat.. dan menjadi makanan yang enak orang Terengganu dan Kelantan

Airul Ain Ashri & Azwan Mat Lazim, PhDUbi gadong merupakan sejenis ubi yang eksotik di negara kita. Ia mungkin menjadi salah satu sumber karbohidrat suatu ketika dahulu, namun kini ubi gadong kian dilupakan. Oleh kerana ia mengandungi komponen sianida dalam kumpulan alkaloidnya, ubi ini perlulah direndam dan dicuci dengan bersih terlebih dahulu bagi membuang racun (discorina) sebelum boleh dimakan atau digunakan sebagai ubatan. Apa yang menarik, ekstrak daripada ubi ini telah digunakan sebagai salah satu ramuan dalam penghasilan racun bagi masyarakat tradisional Melayu dalam menuba ikan dan mengawal makhluk perosak bagi penanaman padi. Selain itu ia turut digunakan oleh pengamal ilmu hitam dalam ramuan santau atau sihir. Oleh kerana ubi ini tidak lagi digunakan secara meluas, maka kumpulan penyelidikan kami telah mengeksploitasi serta memodifikasi hasil daripada ubi ini kepada suatu bahan yang lebih sofisikated. Antaranya hidrogel, surfaktan, pengelmusi, titik nano dan salutan. Dalam siri kajian ubi gadong, sebagai pengenalan, kumpulan penyelidikan kami akan memperkenalkan tentang manfaat yang boleh diperoleh daripada ubi beracun ini.
1.0 Ubi Gadong (Dioscorea Hispida Dennst)Dioscorea hispida Dennst atau lebih dikenali sebagai ubi gadong di Malaysia adalah sejenis tumbuhan monokotiledon. Dahulu, ubi gadong sangat terkenal di kalangan orang Melayu terutamanya di negeri Terengganu dan Kedah tetapi kini ubi ini kian dilupakan. Terdapat lebih kurang 1137 spesies Dioscorea yang terdapat diseluruh dunia dan kajian saintifik mengenainya telah bermula sejak tahun 1953 oleh para saintis di Amerika Syarikat. Taburan spesies ini sangat meluas di mana ia meliputi dari utara India merangkumi China Selatan hingga ke New Guinea. Ia tumbuh secara meliar di kawasan seperti hutan sekunder, belukar dan ada kalanya ditanam di halaman rumah serta mampu hidup dalam pelbagai keadaan cuaca serta dapat hidup bertahun lamanya dan amat sukar untuk mati. Terdapat beberapa nama dagangan bagi spesies Dioscorea hispida di serata dunia. Antaranya adalah seperti Mitsuda dokoro (Jepun), Podava (India) dan sikapa (Makassar). Di Malaysia sendiri ubi ini dikenali dengan pelbagai nama seperti tuba ubi, ubi nasi, ubi cerok, ubi kendudok, ubi kipas, gadog, gadong lilin, gadong mabuk, ubi arak dan taring pelanduk
2.0 Ciri-ciri Botani dan TaksonomiSecara umum, ubi gadong adalah sejenis tumbuhan yang merayap dan memanjat di mana ia boleh mencapai ketinggian 5 hingga 20 meter. Arah rambatannya adalah berputar ke kiri (melawan arah jam, jika dilihat dari atas). Ciri khas ini penting untuk membezakan ubi gadong dengan gembili (Dioscorea aculeata) yang memiliki penampilan yang sama tetapi arah putaran batang ke kanan (mengikut arah jam). Daunnya bewarna hijau pekat, berbentuk tiga segi seakan-akan daun sirih dan tidak bercantum antara satu sama lain dengan urat daun yang jelas kelihatan. Rajah 1 menunjukkan ubi gadong dan daun ubi gadong. Batangnya yang berduri pula mempunyai ketebalan antara 0.5 hingga 1 cm, berbentuk silinder dan berwarna hijau dan ia boleh melilit batang pokok lain atau menjalar di atas tanah. Bunganya bewarna kekuningan dan berbau wangi serta tumbuh di bawah daun tetapi ia amat jarang ditemui.
Rajah 1 (Atas) Dioscorea hispida Dennst (ubi gadong) dan (Bawah) daun ubi gadong yang berbentuk tiga segi
Rajah 2. Bahagian pokok Dioscorea hispida. 1. batang melilit, 2. Ubi, 3. batang, 4. cabang berbungan (bunga jantan), 5. bunga jantan dan 6.buah (kapsul)
Ubi gadong membesar di dalam tanah seperti ubi kayu dan ubi keledek. Dalam satu liang atau pangkal pokok terdapat beberapa biji ubi dan berbentuk agak bulat dan boleh membesar sehingga mencapai beberapa kilogram, berkulit keras nipis dan terdapat akar serabut disekelilingnya. Kulitnya berwarna coklat kekuningan atau agak gelap sedikit bergantung kepada jenis tanah. Apabila ubi gadong terlalu tua di dalam tanah kulitnya akan bertukar menjadi warna kehijauan menunjukkan ia mengandungi kuantiti racun yang tinggi. Kaedah tanaman lazimnya menggunakan keratan ubi dan jarang menggunakan biji benih atau keratan batang. Rajah 2 menunjukkan morfologi bahagian pada pokok Dioscorea hispida Dennst.
3.0 Manfaat Ubi Gadong
3.1 Perubatan (Mengubati penyakit)
Gadong adalah sejenis tumbuhan liar yang boleh dimakan selepas proses pembuangan racun dilakukan. Ubi gadong biasanya direbus atau dijadikan kerepek. Selain sebagai sumber makanan kepada penduduk setempat, ubi gadong juga bermanfaat dalam mengubati pelbagai jenis penyakit. Masyarakat di Indonesia dan selatan China menggunakan parutan ubi gadong sebagai rawatan awal bagi penyakit kusta. Ia juga digunakan bagi mengubati penyakit kutil, kapalan dan mata ikan manakala di Thailand pula, hirisan ubi gadong digunakan untuk mengurangkan kekejangan perut juga menghilangkan nanah pada kulit akibat luka. Masyarakat di Filipina telah menggunakan ubi gadong bagi melegakan penyakit arthritis dan rumatik. Ia juga boleh digunakan untuk membunuh kutu (belatung) yang terdapat pada luka binatang. Bagi masyarakat Melayu di Malaysia, ubi ini akan dikeringkan sebelum dijadikan bedak untuk rawatan muka berjeragat dan jerawat. Turut dilaporkan bahawa masyarakat di negara China telah menggunakan ekstrak ubi ini sebagai alfrodisiak dan pembesaran payudara.
3.2 Pertanian (Racun Perosak Organik)
Ubi gadong juga bermanfaat dalam bidang pertanian. Secara semulajadi, banyak serangga yang memakan tumbuhan yang mempunyai kandungan pyrrolizidine alkaloid. Hasilnya alkaloid ini akan terkumpul di dalam badan serangga menyebabkan kerosakan saraf dan seterusnya mengakibatkan kematian. Para petani di Kedah menggunakan ubi gadong untuk mengawal serangan perosak tanaman terutamanya ulat pengorek batang di sawah padi. Para petani akan menaburkan hirisan ubi gadong ke kawasan sawah padi. Kaedah ini didapati berkesan untuk mengurangkan dan mengawal populasi ulat pengorek. Kematian ulat pengorek mungkin disebabkan oleh racun dioscorina yang terdapat pada ubi gadong. Kajian yang dijalankan di Jepun dan Filipina ke atas ubi gadong menunjukkan keupayaan ubi ini untuk mengawal pertumbuhan larva serangga jenis Lepidoptera (kupu-kupu). Toksin ini merencat sistem pencernaan larva Lepidoptera hingga menyebabkan pertumbuhannya terbantut dan seterusnya mengakibatkan kematian. Ubi gadong berpotensi untuk dijadikan racun organik bagi mengawal haiwan perosak seperti ulat pengorek tanah dan siput gondang. Ubi gadong ini boleh digunakan sebagai salah satu alternatif bagi menggantikan racun kimia yang tidak menjejaskan kesihatan manusia serta mesra alam. Toksin organik ini tidak menyebabkan kesan residual, lebih selamat untuk digunakan serta jauh lebih murah.
3.3 Industri (Pewangi dan Peluntur)
Selain digunakan di dalam bidang perubatan dan pertanian, ubi gadong juga berpotensi digunakan sebagai pewangi kerana bunga kuning daripada ubi gadong berbau wangi dan dapat digunakan untuk mengharumkan pakaian. Kebanyakan masyarakat di Bali telah menggunakan bunga gadong untuk mewangikan pakaian dan sebagai perhiasan rambut. Cecair kuning yang terdapat pada isi dan teras (sap) ubi gadong turut digunakan sebagai peluntur pakaian.
4.0 Komposisi Nutrisi
Ubi bukan hanya sekadar sebagai jaminan makanan dan punca mata pencarian tetapi merupakan sumber nutrisi kepada berjuta penduduk di seluruh dunia. Ubi ini kaya dengan karbohidrat, vitamin dan mineral terutamanya jika diambil dalam kuantiti yang banyak. Kebanyakan spesies ubi ini mengandungi jumlah kalium yang tinggi, di mana kalium dapat membantu untuk mengawal tekanan darah. Ubi gadong sangat sesuai dimakan oleh penghidap tekanan darah tinggi tetapi tidak digalakkan untuk pesakit yang mengalami kegagalan ginjal. Jika dahulu, ubi ini mungkin menjadi makanan ruji bagi penduduk di Malaysia dengan dipelbagaikan kaedah masakan seperti merebus, bakar, dibuat bingka dan juga kerepek. Namun begitu, kini ubi ini tidak lagi popular mungkin disebabkan sumbernya yang sukar diperoleh. Walaupun begitu, ubi ini masih lagi menjadi pilihan alternatif bagi penduduk sekitar pantai timur Malaysia.

Nota : Prof. Madya Dr Azwan Lazim merupakan pensyarah kimia di Fakulti Sains dan Teknologi, UKM


kredit: Majalah sains com

bookcafe com

AGODA Booking

Get the LOWEST RATE of your hotel BOOKING by Online

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Blog List

kongsi blog