Solat ketika rawatan dialisis, bagaimana?

 


Kuliah ilmu
Solat Ketika Rawatan Dialisis
Dalam isu di atas, kami mendoakan agar Allah SWT memberikan kesembuhan dan keringanan kepada mereka terpaksa yang menjalani proses dialisis. Kita memahami bahawa proses dialiasis boleh mengambil masa yang lama. Oleh sebab itu, kesannya bukan sahaja kepada keletihan fizikal, bahkan kesan kepada kestabilan mental juga. Hal ini mungkin memberi kesan kepada golongan tua untuk menunaikan solat.

Seseorang itu lebih mengetahui keadaan dirinya. Kami mencadangkan penyelesaian utama ialah dengan membawa perbincangan bersama doktor yang merawat untuk menetapkan waktu rawatan pada waktu pagi supaya tidak menganggu waktu solat. Jika tidak boleh, penyelesaiannya kita lihat melalui dua keadaan:

Pertama: Seseorang itu boleh solat dalam keadaan duduk ketika proses rawatan dialisis dilaksanakan kerana ada keperluan. Justeru, tidak perlu untuk menjamakkan atau menqadakan solat fardu Asar tetapi dilaksanakan mengikut kemampuan.

Daripada Imran bin Hussein RA: Aku dahulu terkena buasir, lalu aku bertanyakan Rasulullah SAW tentang solatku, Baginda SAW bersabda:
صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Maksudnya: “Solatlah kamu secara berdiri, jika kamu tidak mampu, maka solatlah secara duduk. Jika tidak mampu (juga) maka solatlah di atas lambung (yakni baring mengiring).”[2]
Imam al-Nawawi menjelaskan: Sekiranya seseorang (yang solat secara berdiri) itu takutkan kesusahan yang kuat atau bertambahnya kesakitan, maka dia boleh untuk solat secara duduk serta tidak perlu untuk mengulanginya.[3]

Begitu juga berdasarkan pendapat yang disebut oleh Imam al-Ramli seperti dinukil oleh Syeikh Hasan bin Ahmad al-Kaf yang menyatakan bahawa dibolehkan untuk seseorang itu solat secara duduk apabila terdapatnya masyaqqah (kepayahan) yang boleh menghilangkan kekhusyukan semasa solat.[4]

Kata Imam Al-Nawawi lagi dalam kitab al-Majmu’ (4/226): Umat telah bersepakat bahawa sesiapa yang tidak mampu untuk berdiri di dalam solat fardhu maka dia boleh melakukannya secara duduk dan solat tersebut tidak perlu diulangi. Demikian juga pahalanya (solat secara duduk) tidak berkurang daripada solat secara berdiri kerana dia diberikan keuzuran. Telah sabit di dalam Sahih Al-Bukhari bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا
Maksudnya: “Apabila seseorang hamba itu sakit ataupun dia bermusafir akan dituliskan (ganjaran) untuknya sama seperti mana yang dilakukan oleh seorang yang dalam keadaan bermukim dan juga seorang yang dalam keadaan sihat.”[5]

Manakala Imam al-Syaukani ketika mengulas hadis Imran bin Husein R.A di atas berkata: Hadis Imran menunjukkan kepada keharusan bagi sesiapa yang mempunyai keuzuran yang menyebabkan dirinya tidak mampu berdiri untuk solat dalam keadaan duduk. Manakala sesiapa yang mempunyai keuzuran yang menyebabkan dirinya tidak boleh duduk maka dia boleh untuk solat di atas lambungnya.[6]

Ibn Qudamah al-Maqdisi berkata: Telah ijma’ (sepakat) para ulama bahawasanya sesiapa yang tidak mampu untuk solat secara berdiri maka dia boleh melakukannya secara duduk.[7]

Kedua: Perlu juga diperhatikan apakah maksud “tidak boleh melakukan pergerakan yang banyak”. Adakah sampai tidak boleh untuk ke tandas? Jika mampu, selayaknya juga diberikan peluang untuk melakukan solat. Jika tidak mampu dilaksanakan solat ketika rawatan, boleh dilakukan solat jamak taqdim solat asar dan solat zuhur, tanpa mengqasarkan solat kerana solat qasar hanya dilakukan sewaktu musafir. Ini kerana kita mengambil kira keadaan pesakit yang memang tidak mampu untuk menunaikan solat selepas rawatan, atau ditakuti rawatan akan melewati waktu asar.

Sewajarnya perkara ini juga dilihat dengan lebih terperinci supaya difahami isu dengan kerangka yang sempurna dan tidak terburu-buru membuat keputusan, kerana kaedah fiqh mengatakan:
الْحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ
Maksudnya: “Hukum atas suatu perkara terbina atas pandangan keseluruhan perkara tersebut.”
Menurut al-Jurjani berkata: “Tasawwur merupakan menghasilkan gambaran sesuatu pada akal dengan tepat. Bukanlah maksud dengan tasawwur dalam kaedah ini semata-mata gambaran pada zihin pada akal dari sesuatu.[8]

Hal ini lebih ditegaskan oleh Abu al-Baqa’ al-Kafawi yang menyebut: “Tasawwur kadang-kadang dengan maksud ilmu atau pengetahuan. Dan ia bukanlah berdasarkan kepada tasawwur yang dusta. Justeru, tasawwur yang dimaksudkan dalam kaedah ini ialah tasawwur yang penuh dengan ilmu yang mendalam tentang sesuatu perkara. Ini kerana tasawwur tersebut adalah dhabit pada zihin dan fikir yang selamat daripada kesilapan.[9]

Justeru, gambaran yang sahih dan pengetahuan yang mendalam bagi setiap cabangan masalah yang diutarakan dalam kajian merupakan asal atau prinsip. Ini kerana mengetahui hakikat sesuatu dan pemahaman dengan segala maknanya dikira perkara asas dalam sesebuah gambaran.
Wallahu a’lam.
9rujukan: Dr Zulkifli Al bakri
Rumusan
Solat semasa rawatan dialisis sah selagi rukun dan syarat solat dipenuhi, dengan pilihan untuk solat duduk di kerusi, menjamakkan solat (jamak taqdim atau ta'khir) jika ada kesulitan, atau berwuduk dengan bantuan jururawat jika tidak dapat berwuduk sendiri. Pesakit perlu memastikan badan dan pakaian bersih daripada kesan darah sebelum solat.

Cara Solat Semasa Dialisis:

1. Solat Duduk:
Pesakit boleh solat dalam keadaan duduk di kerusi masing-masing, sama ada secara normal atau dalam keadaan lain yang lebih ringan seperti duduk iftirasy (duduk antara dua sujud).

2. Solat Berbaring (Jika Perlu):
Jika duduk dalam keadaan iftirasy tidak mampu, pesakit boleh berbaring secara mengiring di atas rusuk kanan, atau secara menelentang.

3. Wudu':
• Ambil wuduk terlebih dahulu sebelum rawatan dimulakan.
• Jika tidak mampu, minta bantuan jururawat untuk membantu mengambil wuduk.

4. Tayamum:
Jika air tidak ada atau tidak dapat digunakan, tayamum boleh dilakukan sebagai ganti wuduk.

5. Jamak Solat:
• Jika ada kesulitan untuk solat pada waktu tertentu (seperti ketika sedang menjalani rawatan dialisis), pesakit dibenarkan menjamakkan solat.
• Jamak boleh dibuat secara jamak taqdim (solat awal waktu) atau jamak ta'khir (solat kemudian waktu), bergantung kepada jadual rawatan.

6. Bersihkan Najis:
Pastikan tempat solat dan pakaian bebas daripada najis, seperti kesan darah yang mungkin ada ketika rawatan, sebelum mendirikan solat.

Perkara Penting:
• Solat tetap wajib dilakukan selagi syarat-syaratnya dipenuhi, seperti tidak gila atau hilang akal.
• Pilih kaedah solat yang paling sesuai dengan keadaan badan dan jadual rawatan.

Comments

Popular post this month

Lagu terbaru MOK oleh Saudara Naquib Mohamad- Ikon lagu loghat Terengganu

10 Pemain Pingpong TERBAIK MALAYSIA lelaki dan wanita

Terengganu negeri paling bahagia di Malaysia bagi tahun 2024 oleh DOSM Malaysia

Kenali Pengarang Kitab Terkenal, 'Penawar Bagi Hati', Syeikh Abdul Qadir Al Mandili (1910-1965)

D Kekabu Inn, destinasi pelancongan baru di Setiu, Terengganu

Cendawan 3K dan khasiatnya

AMazing Terengganu: Bahasa Teganung.. jom kita kenal loghat Teganung

Pengunjung blog