Kuala Terengganu, Bandaraya Bertaraf Dunia
Bunyinya macam 'klise' tapi itulah impian sebenar. Sejak dinaik taraf menjadi Bandaraya Warisan Pesisir Air, Kuala Terengganu terus mengorak langkah dengan perancangan yang rapi untuk menjadi bandaraya berkelas dunia.
Jika diukur dari segi sejarah, Kuala Terengganu mempunyai sejarah yang panjang dan terkenal sebagai salah sebuah pelabuhan perdagangan di rantau ini dan menjadi tempat persinggahan utama kapal-kapal dagang. Dan ianya banyak tercatat dalam catatan sejarah samada melalui Catatan Tun Sri Lanang, Catatan I Tsing, Catatan Cheng Ho ataupun dalam Sejarah Persuratan Melayu.
Dari segi asasnya ia telah meninggalkan begitu banyak warisan samada senibina, budaya, hasil kerja tangan masyarakat, cara hidup yang perlu kita jaga dan pulihara agar ia terus kekal utuh mencabar zaman.
Banyak monumen menarik terdapat di Kuala Terengganu seperti warisan di Kampung Cina, Bukit Puteri, Istana Maziah, Masjid Putih (Masjid Sultan Zainal Abidin), Istana Pura Tanjung Sabtu juga warisan budaya di Kampung Losong, Kampung Ladang dan lain-lain.
Apa yang ada di Kuala Terengganu sememangnya unik dan tersendiri seperti keenakan Nasi Dagang yang istimewa dan tiada di tempat lain, begitu hasil tenunan songket Terengganu yang terbukti antara yang terbaik di dunia, begitu juga penghasilan bot tradisional di Pulau Duyung yang di akui berkelas dunia.
Asas-asas ini sememangnya memungkinkan Kuala Terengganu untuk menjadi bandaraya berkelas dunia.
Apa yang perlu kita titik beratkan dalam 'blue print' mahupun 'master plan' adalah bagaimana kita mahu membentuk sikap dan atitud warga Kuala Terengganu mahupun Terengganu manjadi berkelas dunia.
Secara asasnya kita telah mula mencipta sejarah dalam banyak perkara dan hal seperti pembangunan pendidikan di mana, Terengganu adalah negeri yang terbaik di Malaysia dan ini dibuktikan melalui peperiksaan awam samada UPSR, PMR, SPM mahupun STPM dan STUM.
Dari segi pendidikan pra sekolah, Terengganu adalah negeri yang terbaik dalam pembentukan asas kanak-kanak di mana telah mengkhatamkan Al Quran kanak-kanak berumur 5 dan 6 tahun, dari situ juga telah menghasilkan kanak-kanak yang telah menghafal yasin serta terjemahan dengan begitu ramai sekali.
Asas-asas ini telah kita bina dan ianya perlulah ada kesinambungan untuk generasi baru Terengganu menjadi bangsa berkelas dunia. Program Ulul Albab juga telah diwujudkan bagi melahirkan golongan tajdid baru yang menghafal AL Quran 3o Juzuk, serta mahir dalam pelbagai bidang profesional seperti Fizik, Kimia, Biologi, Sastera, Ekonomi dan sebagainya.
Langkah kerajaan untuk menghantar pelajar ke MIT, Harvard, Mesir dan Rusia bagi melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang berkemahiran tinggi seperti perubatan, sains, aeroangkasa, dan sebagainya adalah langkah awal dalam membentuk generasi berkelas dunia. Ini memungkinkan untuk Kuala Terengganu menjadi bandaraya berkelas dunia bukan sahaja dari segi fizikal juga dari segi ketamadunan manusia.
Ayuh sama-sama kita sumbangkan idea, fikiran, tenaga dalam pelbagai sumber dan aspek agar sama-sama kita mendokong bagi menjayakan visi dan misi ini.
Comments