Kem Gajah di Tasik Kenyir Produk Baru Pelancongan
Oleh FAUZI MOHD
Video oleh MOHD YAHYA MUDA
HULU TERENGGANU - Sebagai sebahagian daripada langkah meningkatkan daya tarikan Tasik Kenyir agar menjadi produk pelancongan utama negeri, struktur asas kem gajah kini telah siap dibangunkan.
Kem yang dikenali sebagai ‘Kenyir Elephant Village’ di kawasan seluas 256 hektar di Pengkalan Gawi dijangka dibuka kepada orang ramai pertengahan tahun ini

Ia mengambil sebahagian daripada contoh di Chiang Mai, Thailand yang membantu menjadikannya sebagai pusat pelancongan terkemuka.
Pengurus Unit Pembangunan Tasik Kenyir, Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman berkata, kem itu akan dijadikan pusat pertunjukan gajah dan pada masa sama sebagai kawasan pemeliharaan haiwan itu.

Beliau berkata, tapak yang mula dibina tahun 2012 itu mempunyai keindahan semulajadi seperti air terjun dan sungai yang mengalir jernih, sesuai dijadikan kawasan rekreasi.
''Buat permulaan, tujuh ekor gajah jinak telah diperoleh daripada Jabatan Perhilitan yang akan dilatih untuk mengadakan pelbagai aksi dan pertunjukan seperti melukis, menari manakala orang ramai boleh turut menunggang,” katanya.

Selain itu katanya, selain kemudahan 30 buah kandang gajah, jambatan gantung sepanjang 500 meter turut dibina bagi membolehkan pengunjung melihat gajah separuh liar yang ditempatkan di situ.
Katanya, untuk memastikan keselamatan pengunjung, kawasan itu akan dilengkapi pagar elektrik terutama di kawasan penempatan gajah liar dan bagi menambahkan daya tarikan dan memberi pengalaman menarik, calet di atas pokok akan dibina.
''Buat permulaan dua buah calet akan dibina dan ianya akan dilaksanakan secara berperingkat dalam fasa seterusnya jika mendapat sambutan,'' katanya.
sumber: Teganu Kita
Comments