Temasya alam Tasik Kenyir




Foto

Temasya alam Tasik Kenyir
Oleh Nazdy Harun
bhkt@bharian.com.my
2010/12/26

JIKA ditanya apa uniknya Tasik Kenyir, pasti ramai, khususnya kaki pancing segera mengaitkan destinasi di Terengganu itu sebagai syurga mereka. Apa tidaknya, tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu menjadi lubuk pelbagai spesies ikan air tawar yang diburu kaki pancing.
Namun, di sebalik popularitinya di kalangan pemancing, Tasik Kenyir sebenarnya layak dicanangkan sebagai gedung ilmu alam dengan keunikan serta keindahan flora dan faunanya. Projek pembinaan empangan jana elektrik di sini membentuk 340 pulau unik dan landskap alam serba baru selain tinggalan sejarah di Tasik Kenyir.
Tidak hairanlah, kelebihan Tasik Kenyir itu mendorong Kerajaan Terengganu melaksanakan pelbagai projek pembangunan selain menjadikan beberapa pulaunya sebagai taman burung, taman buah-buahan, taman orkid selain menaik taraf taman herba sebagai santuari ikan kelah.
Foto
Add caption
Lebih menarik lagi, tidak lama lagi Tasik Kenyir bakal menjadi syurga beli-belah dan destinasi percutian sekeluarga apabila kerajaan negeri memberi peruntukan dana RM100 juta untuk membangunkan Pulau Bayas - pulau terbesar di sini sebagai kawasan bebas cukai dengan gedung beli belah serba lengkap untuk memenuhi selera pelbagai lapisan masyarakat.
Penulis baru-baru ini, bersama rakan media dan pencinta alam semula jadi di negeri ini berpeluang merasai keindahannya tetapi dengan kaedah paling asas iaitu berkhemah di sebuah dataran di muara Sungai Cacing, lubuk tersohor untuk ikan kelah.
Foto
Ikuti catatan menarik ini mengenai pengalaman kami berkhemah berbanding pengalaman pengunjung lain yang lazimnya memilih rumah bot atau menginap di beberapa pusat peranginan pelbagai agensi termasuk Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).
Jumaat:
8.00 pagi: Kami tiba dan berkumpul di Kampung Manir, menikmati sarapan pagi sebelum bertolak ke Pengkalan Gawi, di Tasik Kenyir. Dalam konvoi lima kenderaan, kami bergerak mengikut jalan yang bukan biasa dilalui pelancong iaitu Jalan Manir-Kampung Matang, merentas Kuala Telemong di daerah pedalaman Hulu Terengganu.

10.30 pagi : Setibanya di destinasi, kami disambut Pengurus Petang Island Resort, Mohd Fauzi Salleh yang turut bertindak sebagai juru pandu membawa kami ke kawasan Taman Negara, Tasik Kenyir. Bagaimanapun sebelum bertolak kami sempat meninjau sekitar kawasan di Pengkalan Gawi, selain membeli anak ikan keli, cengkerik serta buah kelapa sawit sebagai umpan memancing.

11.30 pagi: Selesai proses pendaftaran dengan Jabatan Perhilitan dan Taman Negara dan kerja memunggah barangan dibantu kakitangan Petang Island Resort (PIR), kami semua kelihatan teruja memulakan ekspedisi ini.

12.00 tengah hari: Bot sarat penumpang serta muatan, meluncur perlahan membelah tasik menuju ke lokasi. Paras air kian cetek kira-kira dua meter pertama berikutan persediaan menghadapi musim tengkujuh, menyukarkan kerja jurumudi bot keluar dari jeti. Perjalanan empat jam dengan bot laju ke Sungai Cacing bermula dan bagi mengisi masa panjang itu, ahli rombongan mengambil peluang menikmati pemandangan persekitarannya yang mendamaikan. Mohd Fauzi sempat menerangkan latar belakang beberapa buah pulau kepada peserta. Selepas dua jam mengharungi tasik, Mohd Fauzi memberhentikan bot dipandunya di jeti Perhilitan untuk membuat pengesahan pendaftaran anggota kumpulan.

4 petang : Tiba di Sungai Cacing dan selepas mengenal pasti lokasi tapak perkhemahan sesuai, Mohd Fauzi mengemudi bot ke tebing untuk menurunkan peserta. Selepas semua barangan diturunkan, Mohd Fauzi dan kakitangan Pulau Petang Resort kemudian meninggalkan kami di tapak perkhemahan. Selain khemah, sebuah 'jerumun' iaitu pondok beratapkan daun pokok bayas dan pokok pakis di kaki bukit, turut didirikan.

6.30 petang: Habis tugasan penting itu, kami melepaskan lelah dengan turun mandi ke tasik biarpun terpaksa memakai jaket keselamatan disediakan PIR. Ada juga yang mengambil kesempatan mencari lokan di beberapa kawasan berselut yang bakal menjadi antara hidangan makan malam.

8.30 malam: Selesai menunaikan solat Isyak, kami menikmati hidangan telur dadar, ayam goreng dan kangkung goreng digaul dengan isi lokan yang sememangnya manis.

9.45 malam: Peserta menyiapkan joran dan mencari lubuk memancing malam itu. Dan seperti sepatutnya, kami melepaskan ‘gian’ menikmati keindahan alam sambil meneruskan maraton memancing. Namun, tiba detik jam 3 pagi, ramai mengantuk apalagi berpuas hati dengan hasil tangkapan yang lumayan.

Sabtu:
6 pagi: Kami bangun awal untuk melihat sendiri matahari terbit. Udara sungguh segar dan nyaman. Pancaran matahari yang berbalam di sebalik balak menaikkan seri semula jadinya pada dataran kehijauan tebing yang dipenuhi pakis berbunga dan rumput.

8.00 pagi: Selepas makan, seperti biasa aktiviti diteruskan dengan memancing manakala beberapa lagi mula menyediakan unggun api untuk memanggang ayam.

11.30 pagi: Tidak tahan dibakar matahari, kami mula berundur dari tebing memancing dan mula balik ke khemah. Kepulangan kami rupanya, tepat pada masa kerana ayam, ikan dan lokan yang dipanggang sudah siap untuk dimakan. Selepas makan, ramai mengambil kesempatan berehat dalam jerumun. Rasa nyaman dan selesa di dalamnya menyebabkan ramai peserta akhirnya terlelap.

3.30 petang: Selesai mandi dan sementara menunggu bot dipandu Mohd Fauzi datang mengambil kami, peserta membersihkan kawasan persekitaran dengan membakar mana-mana bahan buangan seperti pinggan kertas.
Foto
5.30 petang: Bot tiba dan dalam perjalanan pulang, Mohd Fauzi membawa kami melihat tapak bersejarah di Kenyir seperti Gua Bewah dan Gua Taat. Hujan dan angin kuat membuatkan kami semua kesejukan.

8.30 malam: Tiba di Jeti Pengkalan Gawi. Selepas memunggah barangan, kami berkumpul bagi menikmati hidangan malam di bazar beberapa kilometer dari Pengkalan Gawi. Selepas selesai menikmati makan malam, kesemua peserta bersalaman sebagai tanda perpisahan sebelum kenderaan yang dinaiki berpecah mengikut destinasi masing-masing. Apa yang pasti, kenangan indah menghayati panorama alam di Tasik Kenyir pasti tidak dilupakan apalagi selepas meredah pelbagai aktiviti yang menguji kesabaran, minda dan keupayaan fizikal.
Sumber: Berita Harian 26/12/2010

 

Comments

Popular post this month

Nasi Berlauk Malam Sudin Kubis 3, fenomena baru makan malam di Kuala Terengganu.. beratur panjang

10 Pemain Pingpong TERBAIK MALAYSIA lelaki dan wanita

Kenali Pengarang Kitab Terkenal, 'Penawar Bagi Hati', Syeikh Abdul Qadir Al Mandili (1910-1965)

Air Mineral Recaz, keluaran terbaru Cas Ligas, Kumpulan PMINT...

Lagu terbaru MOK oleh Saudara Naquib Mohamad- Ikon lagu loghat Terengganu

Majlis Tahnik atau belah mulut, di antara ibadat dan adat..

Warung Pak Nong Celup Tepung, antara destinasi makan terbaik di Terengganu.. puashati makan di sini

Pengunjung blog