Penjenamaan Tasik Kenyir Sebagai Destinasi Pelancongan Bertaraf Dunia
Kerajaan negeri komited membangunkan industri pelancongan sebagai tunjang ekonomi negeri dengan melaksanakan transformasi terbesar menerusi penjenamaan semula Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan yang bertaraf dunia.
Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd rahman, berkata strategi ini diyakini akan menghasilkan impak yang positif kerana Tasik Kenyir merupakan antara aset terbaik Negeri Terengganu.
“Proses penyediaan pelbagai kemudahan dan produk pelancongan sedang giat dijalankan bagi meningkatkan daya saing Tasik Kenyir sebagai ikon pelancongan.
“`Trend’ peningkatan bilangan pelancong ke Tasik Kenyir yang meningkat dari tahun ke tahun menambahkan keyakinan kerajaan negeri bahawa Tasik Kenyir mampu menjadi hab pelancongan yang terkenal di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-52 Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin, di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu.
Ahmad Razif berkata, peningkatan pengunjung ke destinasi terkenal itu juga akan membantu merealisasikan hasrat Tasik Kenyir sebagai hab eko- pelancongan dan kawasan bebas cukai satu masa nanti.
Untuk rekod, data kemasukan pengunjung ke Tasik Kenyir pada tahun lalu mencatatkan peningkatan bilangan sebanyak 17.8 peratus kepada 467,678 orang berbanding pada 2012 (397,000 orang).
Sementara pada 2011 seramai 275,241 orang pengunjung direkodkan ke tasik itu, meningkat 44 peratus berbanding 2012.
Katanya, perkembangan itu memberi petanda positif terhadap sasaran kerajaan negeri untuk menjadikan sektor pelancongan sebagai medium sumber penjana ekonomi negeri yang utama akan tercapai .
aidaabdrahman@teganu kita
Comments