Warisan Terengganu: Bukit Keledang ikon pelancongan

SALAH satu sudut Bukit Keledang yang terletak di Kuala Terengganu menyimpan seribu cerita dan misteri sejarah kesultanan Terengganu.


Bukit Keledang yang terletak di pinggir Sungai Terengganu kini menjadi ikon pelancongan baru negeri apabila Jabatan Warisan Negara mewartakan kawasan itu sebagai salah sebuah tapak warisan bersejarah.
Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Mohd. Yusof Abdullah (gambar) berkata, pengiktirafan tersebut bukan sahaja mengangkat nama bukit tersebut dari sudut sejarah malah menjadikannya aset penting pelancongan negara.
Berikutan itu jelasnya, penyelenggaraan bukit tersebut kini berada di bawah penyeliaan Jabatan Warisan Negara manakala penjagaan rumput dan aspek lain diserahkan kepada pihak muzium.
‘‘Keputusan tersebut wajar kerana Bukit Keledang menjadi tapak awal sejarah kesultanan Terengganu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini pernah menyiarkan laporan mengenai kedudukan Bukit Keledang yang seolah-olah dibiarkan begitu sahaja sedangkan ia kaya dengan unsur sejarah dan mampu menjadi ikon pelancongan negeri sekiranya dimajukan.
Mengulas lanjut Mohd. Yusof berkata, Bukit Keledang pernah menjadi pangkalan kepada pedagang dari hulu Sungai Terengganu memunggah hasil dagangan pada abad ke-18.
Katanya, selain itu Bukit Keledang pernah menjadi lokasi awal pusat pemerintahan Sultan Terengganu pertama, Sultan Zainal Abidin I (1708-1733M) yang mendirikan istana dan sebuah kota yang dikenali sebagai Kota Lama.
Di kota itu Sultan Zainal Abidin 1 menjalankan urusan pentadbiran negeri sehingga baginda mangkat dan jenazahnya turut dimakamkan di atas bukit itu.
Sementara itu penjaga makam Bukit Keledang, Abdullah Said, 58, berkata, makam diraja di Bukit Keledang amat dihormati kerana ia adalah bekas tapak Kota Lama yang menjadi lokasi pemerintahan Sultan Zainal Abidin 1 selepas berhijrah dari Hulu Terengganu.
Katanya, walaupun bersejarah namun kehadiran pengunjung di bukit bersejarah itu ternyata amat mendukacitakan.
‘‘Mungkin orang ramai tidak mengetahui kepentingan Bukit Keledang dari segi sejarah atau mereka sendiri tidak menghargai sejarah tempatan,” katanya.
oleh:
Oleh WAN RAMLI WAN MUHAMAD
utusanterengganu@utusan.com.my

Comments

Popular post this month

Nasi Berlauk Malam Sudin Kubis 3, fenomena baru makan malam di Kuala Terengganu.. beratur panjang

10 Pemain Pingpong TERBAIK MALAYSIA lelaki dan wanita

Kenali Pengarang Kitab Terkenal, 'Penawar Bagi Hati', Syeikh Abdul Qadir Al Mandili (1910-1965)

Lagu terbaru MOK oleh Saudara Naquib Mohamad- Ikon lagu loghat Terengganu

Air Mineral Recaz, keluaran terbaru Cas Ligas, Kumpulan PMINT...

Majlis Tahnik atau belah mulut, di antara ibadat dan adat..

Warung Pak Nong Celup Tepung, antara destinasi makan terbaik di Terengganu.. puashati makan di sini

Pengunjung blog