Rumah Jambi Terengganu.. warisan berharga
KEMAMAN – Reka bentuk unik Rumah Jambi yang berbumbung limas bungkus dan bertanduk kerbau kerana menerapkan unsur tradisi binaan Jambi, Sumatera, membuatkan rumah yang terletak di Kampung Laut, Pasir Gajah, Air Putih ini menjadi salah satu tinggalan sejarah yang sangat berharga buat daerah ini. Berikutan keistimewaan itu, Rumah Jambi yang kini mencecah usia 75 tahun bukan sahaja menjadi tempat wajib dikunjungi pelancong yang singgah di Kemaman, malah ia juga menjadi tarikan buat pengkaji sejarah. Bangunan indah ini dikatakan dibina anak raja Jambi, Sumatera, Engku Mahmud Tengku Abu Bakar yang melarikan diri ke Tanah Melayu bersama pengikutnya apabila kawasan mereka diserang tentera Belanda ketika Perang Dunia Pertama meletus pada 1914. Pelayaran mereka mengambil masa selama tiga bulan melalui jalan darat dan air, sebelum Engku Mahmud yang juga seorang tokoh agama terkenal menerokai dan membuka Kampung Pasir Gajah. Difahamkan Rumah Jambi mula dibina pada 1933 sebelum siap sepen...