iklan nuffnang

Pelancongan Terengganu

Wednesday 31 October 2012

Penginapan Terengganu: Hotel Mingstar Kuala Terengganu

bilik hotel bajet yang cantik

Hotel Mingstar Kuala Terengganu adalah sebuah hotel bajet yang terletak dilokasi yang strategik iaitu di Jalan Sultan Zainal Abidin, berhampiran dengan Bulatan Batu Bersurat menghala ke Kg Tanjung dan Taman Shahbandar.

Ia amat sesuai samada untuk penginapan perniagaan mahupun berkeluarga dengan bilik yang selesa serta dihias dengan dekorasi yang indah.
bilik air yang selesa

Setiap bilik dihias indah dengan kemudahan serba lengkap seperti penghawa dingin, TV dengan saluran satelit, kemudahan WIFI tanpa had, kemudahan air minuman serta kopi dan teh.

Terdapat 4 jenis bilik yang di tawarkan iaitu:

  • Deluxe  RM178.00 semalam
  • Superior plus RM158.00 semalam
  • Superior RM148.00 semalam
  • Standard RM128.00 semalam
 * harga adalah termasuk sarapan pagi untuk dua orang

Bagi maklumat lanjut dan lokasi bolehlah lawati laman web hotel sebagaimana berikut:

http://mingstarhotel.com

Pengalaman blogger bermalam di sini semasa menghadiri satu mesyuarat di Kuala Terengganu, ia menyediakan penginapan yang memuaskan walaupun saiz bilik tidaklah terlalu besar, tetapi ia tetap selesa.

Tuesday 30 October 2012

TEMCO- PPNT anjur seminar pelancongan

wetland Setiu

Oleh:Noraini Jusoh

Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) akan menganjurkan Seminar Pengendalian Perniagaan Sektor Eko Pelancongan dan Marin Pelancongan 2012 (International TEMCO 2012) pada 6 hingga 7 November ini.

Penganjuran seminar oleh PPNT dengan kerjasama kerajaan negeri dan Kementerian Pelancongan Malaysia akan diadakan di Primula Beach Hotel selama dua hari.


Pengerusi TEMCO 2012, Encik Alex Lee Yun Ping, berkata, seminar yang kali ketiga diadakan ini akan memberi tumpuan terhadap usaha memartabatkan sektor pelancongan di negeri ini khususnya dan membincangkan idea-idea praktikal serta mencari penyelesaian yang memberi inspirasi kepada perubahan positif dalam sektor Eko & Pelancongan Marin.

“Setakat ini 100 peserta telah mendaftarkan diri dan penambahan peserta dijangka akan berlaku sekaligus mencapai matlamat kami iaitu 120 orang peserta.

“Peserta yang bakal hadir terdiri daripada individu yang berkait rapat dengan sektor pelancongan antaranya pengusaha-pengusaha produk pelancongan serta wakil dari kerajaan negeri,” ujarnya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.

Katanya, pelbagai topik menarik yang bakal dibincangkan sepanjang seminar ini berlangsung, termasuk potensi pembangunan Tasik Kenyir, pembentangan kertas kerja oleh penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta perbincangan meja bulat kalangan usahawan eko-pelancongan di negeri ini.

“Selain memberi pemahaman berkaitan pelancongan lestari kepada masyarakat, penganjuran seminar sebegini juga dapat menggalakkan mereka melibatkan diri dalam sektor Eko & Pelancongan Marin seperti menyediakan homestay, kampungstay serta menceburi bidang penyewaan bot pelancongan untuk snorkeling, menyelam dan belayar.

“Selain itu, ianya juga bertujuan untuk mencadangkan peningkatan dan penambahbaikan dalam sektor Eko & Pelancongan Marin tanpa mengganggu ekosistem dan alam sekitar di Terengganu,” ujar beliau.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Dato' Haji Abdul Rahin Mohd Said bakal menyempurnakan majlis perasmian seminar pada kali ini.

Thursday 25 October 2012

Salam Aidil Adha 2012

Di kesempatan ini, blogger ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan SALAM AIDIL ADHA dan sama-samalah kita mengambil keberkatan perayaan ini dengan melakukan korban ataupun sama-sama meraikan mereka yang berkorban dengan menolong semasa penyembelihan dilakukan, membahagikan daging korban ataupun menerima daging korban dan mengucakan kesyukuran ke hadrat Allah swt.

Kalau diikutkan sebenarnya, Aidil ADha ini adalah lebih penting dan lebih besar fadhilatnya daripada perayaan Aidil Fitri, ini kerana Allah swt menuntut umatnya untuk berkorban kerana Allah swt. Iaitu mengorbankan sedikit harta atau pendapatan untuk sembelihan korban dan kemudiannya daging korban dibahagikan terutama kepada fakir dan miskin.

Dan sepatutnya kita boleh berkorban dengan lebih banyak dan meriah kerana perayaan Aidil Adha ini tidak menuntut kita menukar langsir baru, perabot baru, duit raya dan sebagainya. Tetapi ia telah diatasi dengan kemeriahan sambutan AIdil Fitri hingga menenggelamkan betapa besar fadilat AIdil ADha.

Sama-sama kita mengembalikan hari kebesaran Islam ini ke tempat yang sewajar dan sepatutnya.

Salam Aidil Adha 2012

Blogger Terengganumyheritage

Wednesday 24 October 2012

Nasi Berlauk Pokok Besar Kg Tanjung, Kuala Terengganu


Pada kebiasaannya apabila selesai urusan di bandar Kuala Terengganum Warung Nasi Berlauk Pokok Besar di Kg Tanjung menjadi pilihan untuk makan dan minum petang.

Terletak di Kg Tanjung berhampiran Jln Kg Kolam menuju Flat Sri Kolam, sentiasa menjadi tumpuan pada waktu petang. Banyak sekali kuih-kuih tradisional Terengganu di jual di sini. Apa yang selalu menjadi pilihan blogger adalah nasi Berlauk Ikan Aya  dengan Sambal Belacannya yang pedas dan sedap (nyangkut orang Terengganu kata).

Selain itu, menu yang selalu menjadi kegemaan pelanggan adalah Kuew Tiaw Goreng Basah, yang kata pelanggan sedap dan boleh tahan sedapnya.

Walaupun keadaan gerainya nampaknya biasa-biasa sahaja, tetapi tetap menjadi pilihan ramai. Kalau tuan punyai kedai dapat menaiktaraf sedikit keadaan kedai, tentunya ia akan menjadi pilihan ramai terutama mereka yang memerlukan standard yang tinggi dalam kebersihan kedai mahupun makanan (dengan kata lain agak cerewet).

Saturday 20 October 2012

Makan Malam di Atas Bot Penambang 'Susur Sungai Terengganu'.. anda patut mencubanya

Bot Penambang 'Terengganu River Cruise'

Jemputan daripada Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) untuk makan malam di atas bot 'Terengganu River Cruise' sesuatu yang sukar dilepaskan.

Turut bersama dalam majlis ini adalah rakan-rakan media seperti BERNAMA, Unit Komunikasi SUK Terengganu, MANIS FM, Pengarah Kementerian Pelancongan Negeri Terengganu, Ketua Sekretariat Tahun Melawat Terengganu 2013, pengusaha pelancongan, Tourism Malaysia serta blogger.
Penerangan oleh Pengerusi PPNT, Wan Sufian Dato Wan Ishak

Rakan media dan tetamu yang hadir

Rasa seronok apabila sekali sekala bersama dan bertukar pandangan terutama dalam hal ehwal industri pelancongan di negeri Terengganu. Apa yang istimewa adalah masa bersama ini diraikan dalam majlis makan malam istimewa di atas bot penambang yang kini telah dinaik taraf sebagai bot pelancong untuk menyusuri Sungai Terengganu.

Sup Krim Cendawan yang enak antara menu santapan dalam Makan Malam atas bot
Pada majlis ini blogger dijamu dengan menu ala western yang sedap dengan Sup Krim Cendawan serta Stik Kambing dan Ayam dengan Sos Lada Hitam , air pula adalah air nira Kelapa. Juga menu ala BBQ yang enak untuk para tetamu.

Sesekali di jamu ala western, best juga

Walaupun tidak sebesar bot seperti di Sungai Nil, tetapi ia tetap menggamit keistimewaan yang tersendiri apatah lagi ia adalah bot tradisional Terengganu yang menjadi nadi pengangkutan utama suatu ketika dahulu dan kini terutama kepada penduduk di Pulau Duyung dan Seberang Takir.

 'Susur Sungai Dengan Bot Tradisional' atau 'River Cruise' ini adalah satu inisiatif PPNT bagi mengembalikan nostalgia budaya Terengganu serta menikmati keindahan malam Kuala Terengganu Bandaraya Warisan Pesisir Air.
Para tetamu sedang menjamu selera



Pakej 'Susur Sungai' adalah bermula RM15.00 seorang bagi dewasa dan RM10.00 bagi kanak-kanak (8 hingga 12 tahun). Manakala pakej 'Makan Malam Di Atas Bot' bermula RM60.00 seorang bagi dewasa dan RM40.00 bagi kanak-kanak. Menu pilihan adalah samada masakan barat, masakan Melayu, BBQ dan ianya boleh dirunding mengikut keperluan pelanggan.Ia beroperasi setiap hari bermula jam 5.00 petang sehingga jam 11.00 malam.

suasana makan malam di atas bot penambang...
Menikmati panorama malam di sepanjang Sungai Terengganu ini adalah suatu yang mengasyikkan. Keindahan Kuala Terengganu Waterfront, Hotel Felda Residence, Taman Tamadun Islam termasuk Masjid Kristal, Jambatan Sultan Mahmud adalah tempat-tempat yang menghiasi keindahan di sepanjang Sungai Terengganu.

Nampak berselera tetamu kita di SUK Pelancongan, Encik Azmi Abdullah
Bagi anda yang berminat untuk mencuba sendiri pengalaman indah ini, bolehlah berhubung dengan urusetia atau PPNT di talian 09-6221891 atau 013-9821891.


Thursday 18 October 2012

Alami tarikan baru Payang Walk di Kuala Terengganu..

Bot Penambang yang kini digunakan untuk 'Terengganu River Cruise' memang menyeronokkan

Kuala Terengganu, Bandaraya Warisan Pesisir Air kini mempunyai daya tarikan baru di mana para pelancong dan pengunjung boleh mengenali keunikan bandar ini dengan lebih dekat dengan menaiki beca dan menyusuri sungai Terengganu.
Payang Walk.. tarikan baru di Pasar Payang

Hasil inisiatif Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu ini dilihat cukup berpotensi bagi meningkatkan lagi produk pelancongan serta keunikan Pasar Payang serta keunikan bandar Kuala Terengganu yang penuh dengan kisah sejarah yang masih banyak lagi yang belum terokai.
Jom kita naik beca dan alami sendiri keunikannya

Santai Beca adalah kesinambungan keunikan yang dulunya beca adalah pengangkutan utama penduduk tempatan ke mana-mana destinasi dalam bandar. Kini ia dijadikan tarikan pelancong bagi mengenali budaya Kuala Terengganu dengan lebih dekat. Dengan sewaan sebanyak RM15.00/beca bagi perjalanan dari Pasar Payang ke Kg Cina atau Masjid Abidin pergi dan balik, ia mampu memberi dimensi baru kepada pengayuh-pengayuh beca yang kini semakin dilupakan.
Kadar harga yang berpatutan

Tarikan beca ini akan melengkapkan lagi konsep 'Payang Walk' yang baru diperkenalkan dan sekaligus akan memberi pendapatn tambahan kepada pengayuh beca, penjual pasar payang serta peniaga kecil lain.
Pelbagai tarikan di Payang Walk

Bagi legasi 'bot penambang Seberang Takir' kini diteruskan dengan adanya perkhidmatan pelancongan baru iaitu 'Susur Sungai Terengganu @ Terengganu River Cruise' yang beroperasi setiap hari dari jam 5.00 petang hingga 11.00 malam setiap hari. Pengunjung akan menikmati keindahan panorama Kuala Terengganu dari tengah-tengah Sungai Terengganu yang sungguh indah dan permai. Ia juga akan mengimbau sejarah silam di mana pengangktan air adalah pengangkutan utama pada masa dahulu yang menjadikan Kuala Terenggau ini adalah antara pelabuhan yang terkenal di rantau ini.
Seronok dapat bersama menikmati keindahan Sungai Terengganu  Dan Bandaraya Pesisir Air

Tentunya anda patut mencuba kedua-dua daya tarikan baru ini. Blogger juga telah mendapat jemputan bagi merasai sendiri pengalaman 'river cruise' ini. Nantikan perkongsian pengalaman 'Makan Malam Dalam Bot Penambang sambil menikmati keindahan panorama malam Kuala Terengganu...


Monday 15 October 2012

anak dan kambing... melihat mereka bagaikan terapi yang menenangkan


Sekali sekala rasa nak tukar mood menulis kepada yang lebih ringan dan santai.

Kali ini blogger ingin berkongsi rasa seronok merakam detik-detik gembira anak-anak bermain dengan anak-anak kambing yang manja. Kata orang betul kalau bermain dengan binatang yang jinak memang dapat mengurangkan tekanan dan stress, malah kita yang memerhatikan pun cukup seronok melihat tingkah laku anak-anak bersama haiwan ini.

Jika kita dalam keadaan tidak tenang dan serabut dengan pelbagai masalah, bermain dengan haiwan ini boleh dikatakan terapi yang baik.

Jika kita renungkan, biasanya golongan petani dan penternak, mereka ini cukup gembira dengan hidup mereka walaupun sentiasa menghadapi dan melalui kepayahan hidup. Mereka ada hiburan mereka sendiri dengan haiwan peliharaan lembu, kerbau, kambing, ayam dan itik yang sentiasa menceriakan mereka.

Saturday 13 October 2012

Jemputan Untuk Makan Malam di River Cruise Payang Walk oleh Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu


Hari ini blogger telah mendapat jemputan untuk menghadiri Program Makan Malam di atas bot bagi Promosi River Cruise Payang Walk di Jeti Shah Bandar, Kuala Terengganu.

Program anjuran Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu ini akan berlangsung pada 16 Oktober 2012 yang akan dihadiri oleh pihak media, wartawan serta blogger-blogger jemputan termasuk blogger blog ini.

Ia adalah satu penghargaan kepada blogger di alam maya dalam mempromosikan pelancongan di Terengganu serta memperkenalkan Payang Walk di Pasar Payang yang diperkenalkan oleh Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu.

Terima kasih PPNT

Blogger: sentiasa bersedia untuk membuat preview produk pelancongan termasuk hotel, resort, restoran serta produk pelancongan baru.

Wednesday 10 October 2012

'Gear Box' Restoran Pak Ya, Pasir Puteh... mengecurkan air liur..

Sup Gear Box yang mengecurkan air liur anda

Kali ini blogger ingin berkongsi entry berkaitan makan-makan di negeri jiran Terengganu iaitu Kelantan Darul Naim. Destinasi kali ini adalah Restoran Pak Ya Gear Box di Pasir Puteh Kelantan. Ia terletak sebelum bandar Pasir Puteh di sebelah kanan jalan jika anda dari Bandar Jerteh.
Nasi ulam budu, kalau tak tambah nasi tak sah

Apa yang disajikan di sini pasti megujakan anda iaitu Sup Gear Box dan banyak lagi masakan tradisi Melayu Pantai Timur seperti Gulai Siput Sedut, Gulai Lemak Ikan Haruan, Daging Bakar, Ikan darat goreng, sayur cendawan dan macam-macam yang pasti mengecurkan air liur anda. 
Gulai lemak ikan haruan, resepi orang tua

Walau apapun lauk yang di pilih raja segala lauk iaitu 'budu' pasti menjadi keutamaan bersama ulam ulaman segar beserta kerabu mangga bersantan.
raja segala lauk... BUDU

Tentang sup Gear Box pula, apa yang istimewa disini ia dibaluti dengan daging yang banyak, memang sedap dengan hirupan lemak dalam tulang bersama straw.. fuhh memang betul-betul 'belasah gear box.
kerabu mangga.. sedap

Restoran ini antara pilihan ramai waktu tengahari. Jika anda ke Kota Bharu bolehlah singgah di sini. Boleh dikatakan kalau dikawasan Pasir Puteh - Kota Bharu mudah untuk mencari Nasi Sup atau gear box lagipun harganya amat berpatutan.


Sunday 7 October 2012

Pergambaran Program Makan Angin TV9 di Agro Resort, Setiu, Terengganu


Pengacara Makan Angin TV9 Faiz di Agro Resort, Setiu, Terengganu

Kali ini blogger ingin berkongsi gambar-gambar semasa rakaman rancangan program TV9 'MAKAN ANGIN' bersama pengacara Faiz.

Episod di Terengganu ini mengenengahkan keunikan masakan belut, ketam kulit lembut, sambal kecupu serta keunikan tarikan di Terengganu seperti Kg Rhu Sepuluh, Laguna Setiu, Agro Resort serta Kuala Terengganu.

Sepanjang pergambaran ini, kru ini telah menginap di Peladang Setiu Agro Resort selama 5 hari.
Kru dan hos sedang bersarapan


Sambal Buah Kecupu, makanan unik Terengganu

Inilah buah kecupu yang semakin sukar untuk mendapatnya, pihak Agro Resort telah mengambil inisiatif menanamnya di sekitar resort

Salah seorang kru mencuba bakat memasak di dapur

Set pergambaran di restoran AGro Resort, Setiu, Terengganu

Blogger bersama hos Faiz dalam episod Makan Angin di Terengganu

Bukan sekadar lakonan tetapi dah jadi aksi realiti

Saturday 6 October 2012

Pulut Gaul Nyiur, makan pagi orang Terengganu


Ini adalah antara menu sarapan tradisi orang Terengganu iaitu Pulut Gaul Nyiur. Bukan sekadar menu popular malah ia sentiasa menjadi keutamaan dalam bersarapan.

Pulut gaul nyir ini sedap dimakan samada bersama ikan masin, ikan pekasam atau yang paling sedap ikan kukus yang di goreng samada ikan selayang, kembong mahupun aya.

Ia adalah gabungan pulut yang di tanak atau di masak bersama kelapa yang dirasakan dengan sedikit gula dan garam. Kemudian ia digabungkan dengan elemen masin iaitu ikan masin ataupun ikan kukus goreng.

Jika anda datang ke Terengganu ia mudah didapati di warung-warung mahupun kedai kopi pagi. Malah disesetengah tempat telah dijual sebagai snek di waktu malam.

Ini adalah antara makanan tradisi Terengganu yang anda patut cuba..

Monday 1 October 2012

Pasar Minggu dan Pasar Tani Bandar Permaisuri, Setiu, macam-macam ada di sini

Batu permata bersama cincin dengan pelbagai pilihan yang menawan

Pasar minggu dan pasar tani Bandar Permaisuri di Setiu, Terengganu menjadi salah satu destinasi penting kepada warga Setiu, bukan sahaja bagi mendapatkan keperluan harian, malah pelbagai barangan eksotik yang sukar didapati di bandar mahupun hari biasa.
Sayur segar dari kampung


Ia boleh menjadi salah satu daya tarikan yang unik terutama bagi mereka yang gemarkan pelbagai kuih tradisional, ulam-ulaman segar dan jarang di jumpai, malah anak itik pun boleh dibeli disini. Juga tentu seronok melihat para penjualnya adalah makcik-makcik yang sebaya mak kita turut sama meraih rezeki di sini. Mereka ini membawa sendiri hasil tanaman atau jualan dari pelusuk kampung untuk diniagakan di sini. Kalau bernasib baik anda akan mendapat belian yang lebih dan harga yang murah.

Bagi penggemar permata dan cincin, pelbagai pilihan batu permata yang unik dengan bermacam-macam bentuk.
Ikan darat pun ada ataupun ikan sungai

Selain itu turut dijual keperluan lain seperti pakaian, sayur-sayuran, bahan mentah seperti ikan air tawar, ikan sungai, ayam dan bermacam-macam lagi. Seronok sebenarnya menjelajah di pasar tani atau pasar minggu pada setiap hari Sabtu dan Selasa setiap minggu.

Tentu anda akan menjumpai barangan kegemaran anda di sini.

bookcafe com

AGODA Booking

Get the LOWEST RATE of your hotel BOOKING by Online

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Blog List

kongsi blog