iklan nuffnang

Pelancongan Terengganu

Friday, 29 June 2012

Bukit Keluang, Besut, Terengganu sejak dahulu tetap cantik


Pantai Bukit Keluang di Besut, Terengganu sememangnya telah terkenal kepada warga tempatan sejak dahulu lagi. Kemudian populariti pantai ini tenggelam dan sepi mungkin kerana kemudahan di sini atau pembangunan di pantai ini yang perlahan. Namun semasa kunjungan blogger ke pantai ini tempohari, ia tetap cantik seperti dahulu dan sudah ada peningkatan kemudahan yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan.


Apa yang unik pantai Bukit Keluang ini adalah bersebelahan dengan pantainya adalah terdapat sebuah bukit yang berbatu dan mempunyai gua-gua yang misteri. Dahulunya di gua-gua ini dikatakan tempat persembunyian lanun-lanun. Dan kini ia dihuni oleh keluang dan kelawar serta unggas-unggas seperti walit dan lain-lain.
tetap cantik dan damai di sini

Dari jauh Pulau Rhu dipandang


Di hadapan pantai ini terdapat sebuah pulau iaitu Pulau Rhu iaitu kira-kira 2 km daripada pantai. Ia sebuah pulau yang cantik dan dahulunya terdapat sebuah resort di sini.
Kemudahan lalun yang rosak dan wajar dibaiki semula, ia adalah identiti  kepada Bukit Keluang

Di Bukit Keluang ini juga terdapat sebuah kem yang dahulunya popular kerana menjadi hos dan tuan rumah bagi perkhemahan Pengakap Jambori Asia Pasifik pada tahun 90 an. Kini ia masih wujud dan diuruskan oleh Majlis Daerah Setiu. Terdapat juga resort-resort yang cantik seperti Bukit Keluang Beach Resort, Demong Beach Resort, Damai Beach Resort dan beberapa resort kecil yang lain.
Peserta Jelajah Warisan singgah dan berehat sebentar di sini


Sebuah institusi latihan kerajaan juga terdapat di sini iaitu Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di bawah JAKIM. Begitu juga institusi pendidikan seperti Institut Perguruan Sultan Mizan, MRSM Kota Putera dan sedikit masa lagi kampus utama UNISZA serta Taman Ilmu yang akan menempatkan beberapa universiti antara bangsa di sini.

Keunikan dan kecantikan tidak akan luntur jika kita sama-sama menjaganya. Anugerah tuhan kepada kita tidak wajar dipersia-siakan. Jika membangunkannya dengan lestari dan mapan ia akan terus memberi manfaat kepada lebih ramai orang terutama peniaga-peniaga kecil yang meraih rezeki di sini.

Wednesday, 27 June 2012

FRI Tanjung Demong, Besut, Terengganu- Jelajah Warisan Besut 2012

Nampaknya kena buat akuarium kat rumah macam ni juga
FRI Tanjung Demong atau Pusat Teknologi Pembenihan Akuakultur Marin, telah ditubuhkan pada 1983 sebagai Pusat Pengeluaran Benih Ikan/ Udang Laut (PPBIUL). Kemudian pada 1986 ia menjadi Pusat Pengeluaran Benih Ikan Laut (PPBIL). Dan pada 2010 ia diselaraskan sebagai Pusat Teknologi Pembenihan Akuakultur Marin @ FRI.

Anak benih kerapu harimau

Fungsi
  • Penyelidikan teknologi pembenihan akuakultur marin (R&D)
  • Verifikasi teknologi terbaru dalam akuakultur marin
  • khidmat teknikal dalam pembangunan industri

Objektif
  • mengungguli teknologi pembenihan ikan, krustasia dan invertebrata marin
  • menyaksikan pertumbuhan pusat industri pembenihan ikan, krustasia dan invertebrata marin
  • mengkaji dan mengeluarkan makanan hidup zoo plankton dan fito plankton untuk benih ikan laut.

Anak kerapu hybrid

Di antara kejayaan terbaru FRI Tanjung Demong adalah mengeluarkan Kerapu Hybrid iaitu kerapu kacukan daripada Kerapu Harimau dan Kerapu Kertang. Ia dikatakan membesar dengan lebih cepat dan harga pasaran juga baik iaitu sekitar Rm80.00/kg.
para peserta diberi taklimat oleh pegawai FRI- Encik Saiful

Lawatan Jelajah Warisan Besut oleh ahli Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu baru-baru ini benar-benar memberi manfaat dan info yang menarik berkaitan industri akuamarin di Terengganu.

Ia penting bukan sahaja sebagai satu insdustri malah sebagai sumber bekalan makanan negara kepada penduduk Terengganu dan Malaysia.

Sunday, 24 June 2012

Rumah Unik 70 tingkap di Losong, Kuala Terengganu

pix_gal0


Rumah 70 tingkap
Oleh Baharom Bakar
bminggu@bharian.com.my
2012/04/15

Kediaman Haji Su simbol kehebatan pertukangan Melayu era 1800, ilham pedagang tersohor gabung seni bina Nusantara termasuk Jaipur, India

RAMAI terfikir apa agaknya rahsia di sebalik gahnya sebuah rumah agam Melayu yang tampak usang di Kampung Losong Haji Su di Kuala Terengganu, Terengganu, hingga Lembaga Muzium Terengganu melabur RM3.2 juta membeli kediaman itu. Sekalipun usang dan buruk, rumah agam ini damai dikelilingi pokok buluh cina.
Aura kediaman mewah zaman silam itu tetap menyerlah, hinggakan rumah itu sering dibanjiri pelancong tempatan dan luar negara termasuk dari Mesir, Belanda, Jepun dan Amerika Syarikat (AS). Tidak ketinggalan, kalangan arkitek tersohor antarabangsa termasuk dari Filipina dan Korea Selatan yang mahu mengkaji kehalusan seni bina rumah agam ini.
Selain arkitek, pengkaji sejarah juga tidak ketinggalan merakamkan gambar rumah agam ini, biarpun mereka tidak dibenarkan memasuki harta peninggalan jutawan Melayu Terengganu tersohor iaitu Su Mohammed Salleh Mohammed. Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Haji Su di kalangan masyarakat tempatan, cukup terkenal di Terengganu pada era 1800-an. Ketokohan Haji Su terserlah hinggakan namanya terpahat pada nama Kampung Losong Haji Su, Kuala Terengganu.

Selepas beberapa kali tertangguh, hasrat menjejaki rumah agam Melayu yang dibina pada 1850 ini akhirnya tercapai selepas Pengarah Muzium Terengganu, Mohd Yusof Abdullah sedia meluangkan masa dari kesibukan jadualnya untuk bersama penulis, baru-baru ini untuk melihat sendiri keunikan Rumah Haji Su.

Rumah Haji Su adalah manifestasi kekayaan usahawan Melayu lama dan cita rasa tinggi mereka selayak taraf martabat bangsa. Seperti yang diakui Mohd Yusof, Rumah Haji Su bercirikan keunikan seni bina dan ketukangan masyarakat Melayu tradisional Terengganu dibeli untuk dipulihara dalam usaha mengekalkan martabat kesenian Melayu.

Kali pertama memasuki rumah itu, diakui meremang bula roma dan rasa takut mula menular ke peroman. Perasaan terus menerjah dibawa ke zaman silam pada era kegemilangan rumah agam ini, di mana sudah pasti, ruang tamu tersergam besar seperti balairong seri istana itu meriah dengan pelbagai aktiviti - namun kini dimamah sepi. Rumah agam kayu cengal itu pernah didiami semua anak Haji Su sehinggalah anak bongsunya meninggal dunia pada 2008, rumah itu tidak berpenghuni serta terbiar begitu saja.
Begitupun, keunikan dan keindahan seni reka rumah yang dibina secara pasak tanpa sebarang paku itu cepat menyulam kembali rasa teruja ketika meneroka ruang tamu seluas 4.8 meter x 18 meter tanpa disokong tiang seri, selain keindahan siling rumah. Keseluruhan rumah itu diperbuat daripada kayu cengal dan mempunyai 70 tingkap serta 12 pintu besar yang diukir indah oleh adiguru ukir tempatan. Keseluruhan rumah dihias indah dengan seni ukir menarik dengan pelbagai motif yang padan dengan kehidupan istina zaman silam.

Tidak mahu rumah yang merakam sejarah silam teknokrat Terengganu zaman silam, Lembaga Muzium Terengganu (LMT) mengambil masa lebih dua tahun menjejak waris rumah itu yang tiba-tiba seperti terputus 'rahmat' dan terbiar sepi hingga membingungkan ramai yang kagum dan memuja keindahannya.

"LMT mengambil inisiatif menjejak pemilik rumah itu bertujuan mengambil alih dan mempertahankan rumah itu yang sarat dengan warisan seni bina dan ketukangan masyarakat Melayu tradisional. Rumah itu perlu dipulihara serta dijadikan antara aset penting dalam sektor pelancongan di negeri ini," kata Mohd Yusof.

Lebih jauh meneroka rumah agam yang turut menempatkan 10 rumah warga lain ketika itu, rumah yang kini sudah berusia 162 tahun di tapak seluar 0.4851 hektar terus mengujakan sesiapa saja. Justeru, apabila kerja baik pulih disempurnakan nanti, pasti teratak mewah lambang keusahawanan Melayu silam akan menjadi aset penting menyemarakkan kegiatan pelancongan Terengganu.

Berdasarkan beberapa catatan dan riwayat soheh, rumah agam itu mula dibina pada 1840 dan siap 10 tahun kemudian oleh sekumpulan tukang Melayu yang sangat hebat sehinggakan tiang di dalam rumah itu tidak kelihatan. Tiang itu dikatakan semuanya disembunyikan di sebalik dinding. Binaannya bercirikan rekaan rumah Limas Belanda dan Bujang Berpeleh Kembar Tiga yang menjadi ciri utama rekaan rumah Melayu negeri ini.

Ada juga penerapan seni bina dari luar kerana Haji Su seorang pedagang yang belayar di seluruh Asia serta memperoleh ilham untuk diterapkan dalam seni bina kediamannya. Sebagai contoh, ukiran di dinding bahagian atas rumah itu menyamai ukiran istana dan kota lama di Jaipur, India.

Dindingnya daripada papan kesek dihiasi dengan bendul berlorek yang memisahkan bahagian atas dan bawah rumah serta berfungsi mengukuhkan setiap sambungan dinding. Kiri dan kanan bahagian bumbung pula dikemaskan dengan kayu peleh, manakala puncak setiap bumbung diletakkan kayu berukiran sebagai hiasan. Ada tiga bahagian dalam rumah itu, ruang beranda agak kecil, tetapi sebaik melangkah ke ruang tamu, keluasannya cukup menyenangkan dengan ukuran 4.8 meter x 18 meter dan dibahagikan kepada dua sudut.

Penyelidikan LMT mendapati, pembinaan dua sudut itu bertujuan memisahkan tetamu lelaki dan wanita sebagai mematuhi peraturan dan adat serta agama. Manakala bahagian rumah ibu atau ruang makan seluas kira-kira 2 meter x 4 meter dan dilengkapi meja makan klasik untuk meraikan tetamu dalam pelbagai majlis yang diadakan.

"Seni ukiran menarik memenuhi bahagian dalam rumah bagi memastikan dinding tidak kelihatan kosong. Manakala kawasan luar rumah direka untuk mempunyai halaman luas dan dipagari dengan pokok buluh cina," kata Mohd Yusof lagi.

Ciri lain yang menarik bagi rumah itu ialah 70 tingkap dan 12 pintu besar yang dibina bagi membolehkan sistem pengudaraan memasuki setiap ruang, manakala bahagian atas tingkap dipasang cermin bagi memberi laluan cahaya semula jadi. Ini penting supaya setiap ruang dan sudut mendapat pencahayaan yang cukup, manakala lantainya yang menggunakan papan cengal kelihatan sentiasa kemas walaupun tidak dibersihkan.

Mengulas kejayaan pembelian rumah itu, Mohd Yusof berkata, ia adalah sebahagian usaha kerajaan mengekalkan monumen atau artifak warisan bangsa agar tidak lenyap begitu saja.

"Mungkin ada yang mempersoalkan mengapa membelanjakan wang membeli rumah usang. Ia bukan sekadar soal rumah atau tapak warisan, tetapi kita sebenarnya turut membeli dan mengekalkan bersama ilmu mengenai seni bina Melayu, yang melambangkan intipati kemajuan teknologi, ketinggian nilai seni serta acuan corak budaya.

"Apa yang pernah menjadi lambang kebanggaan dalam kehidupan silam bangsa dan kini hampir lenyap perlu terus dipertahankan untuk diwarisi," katanya.

INFO

  • Rumah Haji Su siap dibina pada 1850 oleh usahawan Melayu, Su Mohammed Salleh Mohammed atau Haji Su
  • Konsep rekaan ialah Limas Belanda dan Bujang Berpeleh Kembar Tiga berpasak tanpa paku
  • Diambilalih LMT pada 2010 dengan kos RM3.2 juta (termasuk kos tanah)
  • Terletak di Kampung Losong Haji Su, Losong, Kuala Terengganu
  • Ciri-ciri unik antaranya memiliki 70 tingkap dan 12 pintu masuk

 sumber: Berita Minggu

Berbakti di Pulau Bidong

Foto
Peserta mengutip sampah di dasar laut yang merosakkan terumbu karang dan berbahaya kepada spesies laut.

Berbakti di Pulau Bidong
Oleh Syed Mohd Ridzuwan Syed Ismail
bminggu@bharian.com.my
2011/10/23

  


  • Foto
    Peserta bergambar kenangan sempena Hari Pemuliharaan Alam Sekitar 011 di Pulau Bidong, Terengganu.
  • Foto S

MENYEDARI pentingnya usaha pemeliharaan dan pemuliharaan dasar laut, Persatuan Pemuliharaan Terumbu Karang Malaysia (Coral Malaysia) menganjurkan Hari Pemuliharaan Alam Sedunia 2011 di Pulau Bidong, Terengganu pada 15 hingga 18 September lalu.
Program memulihkan khazanah alam ini yang masuk tahun keempat, dijayakan dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Kerajaan Terengganu, disertai 80 sukarelawan termasuk penyelam skuba dengan aktiviti utama menjurus kepada usaha membersihkan dasar laut dan pantai.
Turut diadakan pada program yang diserikan dengan kehadiran Duta Coral Malaysia, Fauziah Latiff ini adalah dialog bersama peserta. Kemuncak acara adalah majlis menandatangani plak akujanji memelihara perairan Pulau Bidong yang kemudian ditempatkan di Galeri Dasar Laut yang dibina Coral Malaysia pada 2006.

Perairan Pulau Bidong juga menempatkan tukun tiruan khas untuk penyelam skuba yang sentiasa mencari kelainan apabila meneroka dasar lautan. Sekitarnya, ada kira-kira 21 lokasi selam skuba, setiap satu dengan keunikan tersendiri, antaranya Tukun Bidong, Tugu Bidong, Pasir Tenggara, Teluk Belanga.

Ada juga Galeri Dasar Laut yang unik kerana turut menempatkan replika warisan negeri, antaranya batu bersurat, tepak sirih, tengkolok, keris dan perahu payang.

Pulau ini pernah menjadi tempat perlindungan hampir 250,000 pelarian Vietnam selama 16 tahun bermula Mei 1975 sebelum ditutup pada 1991. Mengambil kira aspek sejarahnya, pulau berkeluasan kira-kira 203 hektar ini turut dijadikan khazanah negeri dan sebarang pembangunan tidak dibenarkan kecuali sebuah pusat penyelidikan UMT.
Ikuti catatan penulis yang berpeluang menyertai program selama tiga hari ini.

Rabu

9 malam
Peserta yang memilih berkonvoi ke destinasi berkumpul di Galeri CM, Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur untuk mendengar taklimat mengenai konvoi dan apa yang perlu dilakukan sepanjang perjalanan dan sebaik tiba di Jeti Marang, Terengganu, keesokannya.

Khamis

10 pagi
Peserta yang terdiri daripada penuntut dan pensyarah UMT, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dari kampus Gombak dan Pahang, ahli Anak Laut, Skuba Ted serta wakil media dan kakitangan Kementerian Pelancongan Terengganu, Tourism Malaysia Terengganu dan wakil Kerajaan Terengganu berkumpul di Jeti Marang untuk bertolak ke Pulau Bidong yang terletak 30 batu nautika dari pantai dan mengambil masa kira-kira 45 minit untuk sampai dengan menaiki bot.

11 pagi
Peserta diberikan taklimat oleh Presiden Coral Malaysia, Jamhariah Jaafar dan Pegawai Sains Kanan UMT, Baharin Mustapa serta Dekan Fakulti Agro Teknologi dan Sains Makanan UMT, Prof Sayed Mohd Zin S Hassan berhubung program dan objektif Hari Pemuliharaan Alam Sedunia 2011. Sebaik tiba di destinasi, majlis suai kenal diadakan diikuti makan tengah hari sambil menikmati pemandangan sekitar pulau yang masih cantik terpelihara.

3.30 petang
Syawal masih belum berakhir ketika program ini dilangsungkan, jadi suasana hari raya masih dirasai. Peserta bergotong royong membuat persediaan meneruskan kemeriahan Aidilfitri di Pulau Bidong dengan menu istimewa, antaranya kambing panggang, sate, lemang dan ketupat.

8 malam
Makan malam dan sambutan hari raya di Pulau Bidong dalam suasana unik berlatar belakangkan keindahan pantai dan kedinginan angin malam memberikan peserta semangat walaupun penat memandu dan menguruskan aktiviti sepanjang hari.

10 malam
Peserta diberikan taklimat mengenai program yang akan dilalui keesokannya, termasuk meletak tukun tiruan di lokasi sekitar perairan pulau Bidong.

Jumaat

9 pagi
Selepas bersarapan, sekumpulan peserta memulakan aktiviti selam untuk meletakkan barangan di Galeri Dasar Laut dan sebahagian lagi membersihkan jeti serta pantai, diikuti jamuan tengah hari. Sampah seperti tin minuman dan plastik yang dikumpul kemudian ditanam untuk memastikan ia tidak mencemarkan laut.

8 malam
Majlis makan malam diadakan serentak persembahan rakaman video projek menurunkan tukun tiruan. Peserta turut diberikan taklimat mengenai majlis menandatangani plak ikrar Akujanji Memelihara Pulau Bidong di dasar laut yang akan disenaraikan dalam The Malaysia Book of Records (MBR) sebagai majlis pertama seumpamanya pernah diadakan di negara ini.

Sabtu

10 pagi
Majlis menandatangani plak akujanji disempurnakan pada kedalaman 13.5 meter oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said sambil disaksikan lebih 60 ahli Coral Malaysia. Turut serta pada majlis bersejarah itu, Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Aziz Deraman; Jamhariah; Fauziah dan wakil MBR, Zulhairi Md Zin. Acara ini adalah yang keenam dicatat dalam MBR menjadikan Coral Malaysia persatuan pencinta laut paling banyak mencipta rekod dalam MBR. Selepas majlis selesai kira-kira jam 11.30 pagi, semua penyelam meraikan hari raya di dasar laut, menyelam sambil mengenakan pakaian raya.

8 malam
Majlis makan malam diadakan serentak penyampaian sijil penghargaan kepada peserta program.

Ahad

9 pagi
Selepas bersarapan, semua penyelam tidak melepaskan peluang meneroka keindahan dasar perairan Pulau Bidong. Mereka yang tidak memiliki lesen skuba pula menyertai aktiviti snorkling yang tidak kurang hebatnya.

3 petang
Selepas tiga hari menjalankan aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan dasar laut di Pulau Bidong serta menikmati keindahan ciptaan Ilahi, semua peserta berkumpul untuk berlepas ke Jeti Marang dan seterusnya pulang ke destinasi masing-masing

 sumber: berita harian

* Blogger pun belum sampai lagi ke Pulau Bidong ini untuk melihat sendiri sejarah peninggalan pelarian Vietnam serta keindahan bawah lautnya yang dikatakan amat indah bagaikan syurga di bawah laut.

Temasya alam Tasik Kenyir




Foto

Temasya alam Tasik Kenyir
Oleh Nazdy Harun
bhkt@bharian.com.my
2010/12/26

JIKA ditanya apa uniknya Tasik Kenyir, pasti ramai, khususnya kaki pancing segera mengaitkan destinasi di Terengganu itu sebagai syurga mereka. Apa tidaknya, tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu menjadi lubuk pelbagai spesies ikan air tawar yang diburu kaki pancing.
Namun, di sebalik popularitinya di kalangan pemancing, Tasik Kenyir sebenarnya layak dicanangkan sebagai gedung ilmu alam dengan keunikan serta keindahan flora dan faunanya. Projek pembinaan empangan jana elektrik di sini membentuk 340 pulau unik dan landskap alam serba baru selain tinggalan sejarah di Tasik Kenyir.
Tidak hairanlah, kelebihan Tasik Kenyir itu mendorong Kerajaan Terengganu melaksanakan pelbagai projek pembangunan selain menjadikan beberapa pulaunya sebagai taman burung, taman buah-buahan, taman orkid selain menaik taraf taman herba sebagai santuari ikan kelah.
Foto
Add caption
Lebih menarik lagi, tidak lama lagi Tasik Kenyir bakal menjadi syurga beli-belah dan destinasi percutian sekeluarga apabila kerajaan negeri memberi peruntukan dana RM100 juta untuk membangunkan Pulau Bayas - pulau terbesar di sini sebagai kawasan bebas cukai dengan gedung beli belah serba lengkap untuk memenuhi selera pelbagai lapisan masyarakat.
Penulis baru-baru ini, bersama rakan media dan pencinta alam semula jadi di negeri ini berpeluang merasai keindahannya tetapi dengan kaedah paling asas iaitu berkhemah di sebuah dataran di muara Sungai Cacing, lubuk tersohor untuk ikan kelah.
Foto
Ikuti catatan menarik ini mengenai pengalaman kami berkhemah berbanding pengalaman pengunjung lain yang lazimnya memilih rumah bot atau menginap di beberapa pusat peranginan pelbagai agensi termasuk Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).
Jumaat:
8.00 pagi: Kami tiba dan berkumpul di Kampung Manir, menikmati sarapan pagi sebelum bertolak ke Pengkalan Gawi, di Tasik Kenyir. Dalam konvoi lima kenderaan, kami bergerak mengikut jalan yang bukan biasa dilalui pelancong iaitu Jalan Manir-Kampung Matang, merentas Kuala Telemong di daerah pedalaman Hulu Terengganu.

10.30 pagi : Setibanya di destinasi, kami disambut Pengurus Petang Island Resort, Mohd Fauzi Salleh yang turut bertindak sebagai juru pandu membawa kami ke kawasan Taman Negara, Tasik Kenyir. Bagaimanapun sebelum bertolak kami sempat meninjau sekitar kawasan di Pengkalan Gawi, selain membeli anak ikan keli, cengkerik serta buah kelapa sawit sebagai umpan memancing.

11.30 pagi: Selesai proses pendaftaran dengan Jabatan Perhilitan dan Taman Negara dan kerja memunggah barangan dibantu kakitangan Petang Island Resort (PIR), kami semua kelihatan teruja memulakan ekspedisi ini.

12.00 tengah hari: Bot sarat penumpang serta muatan, meluncur perlahan membelah tasik menuju ke lokasi. Paras air kian cetek kira-kira dua meter pertama berikutan persediaan menghadapi musim tengkujuh, menyukarkan kerja jurumudi bot keluar dari jeti. Perjalanan empat jam dengan bot laju ke Sungai Cacing bermula dan bagi mengisi masa panjang itu, ahli rombongan mengambil peluang menikmati pemandangan persekitarannya yang mendamaikan. Mohd Fauzi sempat menerangkan latar belakang beberapa buah pulau kepada peserta. Selepas dua jam mengharungi tasik, Mohd Fauzi memberhentikan bot dipandunya di jeti Perhilitan untuk membuat pengesahan pendaftaran anggota kumpulan.

4 petang : Tiba di Sungai Cacing dan selepas mengenal pasti lokasi tapak perkhemahan sesuai, Mohd Fauzi mengemudi bot ke tebing untuk menurunkan peserta. Selepas semua barangan diturunkan, Mohd Fauzi dan kakitangan Pulau Petang Resort kemudian meninggalkan kami di tapak perkhemahan. Selain khemah, sebuah 'jerumun' iaitu pondok beratapkan daun pokok bayas dan pokok pakis di kaki bukit, turut didirikan.

6.30 petang: Habis tugasan penting itu, kami melepaskan lelah dengan turun mandi ke tasik biarpun terpaksa memakai jaket keselamatan disediakan PIR. Ada juga yang mengambil kesempatan mencari lokan di beberapa kawasan berselut yang bakal menjadi antara hidangan makan malam.

8.30 malam: Selesai menunaikan solat Isyak, kami menikmati hidangan telur dadar, ayam goreng dan kangkung goreng digaul dengan isi lokan yang sememangnya manis.

9.45 malam: Peserta menyiapkan joran dan mencari lubuk memancing malam itu. Dan seperti sepatutnya, kami melepaskan ‘gian’ menikmati keindahan alam sambil meneruskan maraton memancing. Namun, tiba detik jam 3 pagi, ramai mengantuk apalagi berpuas hati dengan hasil tangkapan yang lumayan.

Sabtu:
6 pagi: Kami bangun awal untuk melihat sendiri matahari terbit. Udara sungguh segar dan nyaman. Pancaran matahari yang berbalam di sebalik balak menaikkan seri semula jadinya pada dataran kehijauan tebing yang dipenuhi pakis berbunga dan rumput.

8.00 pagi: Selepas makan, seperti biasa aktiviti diteruskan dengan memancing manakala beberapa lagi mula menyediakan unggun api untuk memanggang ayam.

11.30 pagi: Tidak tahan dibakar matahari, kami mula berundur dari tebing memancing dan mula balik ke khemah. Kepulangan kami rupanya, tepat pada masa kerana ayam, ikan dan lokan yang dipanggang sudah siap untuk dimakan. Selepas makan, ramai mengambil kesempatan berehat dalam jerumun. Rasa nyaman dan selesa di dalamnya menyebabkan ramai peserta akhirnya terlelap.

3.30 petang: Selesai mandi dan sementara menunggu bot dipandu Mohd Fauzi datang mengambil kami, peserta membersihkan kawasan persekitaran dengan membakar mana-mana bahan buangan seperti pinggan kertas.
Foto
5.30 petang: Bot tiba dan dalam perjalanan pulang, Mohd Fauzi membawa kami melihat tapak bersejarah di Kenyir seperti Gua Bewah dan Gua Taat. Hujan dan angin kuat membuatkan kami semua kesejukan.

8.30 malam: Tiba di Jeti Pengkalan Gawi. Selepas memunggah barangan, kami berkumpul bagi menikmati hidangan malam di bazar beberapa kilometer dari Pengkalan Gawi. Selepas selesai menikmati makan malam, kesemua peserta bersalaman sebagai tanda perpisahan sebelum kenderaan yang dinaiki berpecah mengikut destinasi masing-masing. Apa yang pasti, kenangan indah menghayati panorama alam di Tasik Kenyir pasti tidak dilupakan apalagi selepas meredah pelbagai aktiviti yang menguji kesabaran, minda dan keupayaan fizikal.
Sumber: Berita Harian 26/12/2010

 

Saturday, 23 June 2012

Desa Ukiran Kayu Istana Tg Long, Kg Raja, Besut, Terengganu- Legasi Seni Ukir Melayu Yang Hebat

Desa Ukiran Kayu Istana Tg Long yang terletak di Kg Raja, Besut, Terengganu adalah legasi warisan seni pertukangan dan ukiran kayu  Melayu yang hebat.

Gerbang masuk yang melambangkan gahnya seni ukiran Melayu

Ia umpama sekolah warisan yang meneruskan tradisi kehebatan ukiran tukang-tukang Melayu dahulu dalam meneruskan kesinambungan untuk generasi akan datang.
Istana Bumbung Limah

Antara hasil kerja pelajar seni ukir


Dengan binaan senibina warisan berasaskan Bumbung Limah, Potong Belanda dengan diukir serta binaan pasaknya, ia boleh menjadi rujukan dalam mengkaji kehebatan binaan Melayu lama.
Begitu halus dan teliti hasil seni ukiran Melayu

Di sini juga terdapat Sekolah Ukir atau kursus ukiran untuk anak-anak muda yang berminat meneruskan warisan tradisi seniukir Melayu. Ia adalah dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU Terengganu).
Taklimat oleh Encik Zulkarnain kepada peserta Jejak Warisan jelajah Besut 2012

Salah seorang pelatih ukir begitu tekun menyiapkan lukisan motif ukir


Selain itu ia juga menempatkan galeri hasil ukiran pelajar terdahulu dengan hasil seni dan gaya ukiran yang menarik.
Hasil kerja dan seni oleh pelatih

Juga di satu ruang galeri lagi ditempatkan biodata dan latarbelakang tukang-tukang ukir yang hebat yang mewarnai sejarah dan kehebatan seni ukir Melayu di Terengganu dan Besut. Antara legenda-legenda ukir yang menempa nama di Besut dan Terengganu adalah Wan Sum Wan Po (Mustafa), Che Long, Tengku Ibrahim Tg Wook, serta pengukir generasi baru seperti Norhaiza dan Saliza yang telah mengukir nama dengan hasil ukirannya kini terpampang Universiti Oxford, Istana Negara dan bermacam-macam lagi.
Para peserta lawatan mencuba bermain congkak yang di ukir cantik

Inilah gambar hasil seni ukir yang dipersembahkan kepada DYM Sultan Terengganu tempoh hari


Ramai yang tidak tahu dan menyedari tentang wujudnya desa ukiran ini. Ia umpama rujukan bagi seni ukiran Melayu dan menjadi tempat kesinambungan warisan seni yang hebat ini.
Peserta bergambar kenangan di hadapan galeri

Ia di buka setiap hari dari jam 8.00pg hingga 5.00 ptg. Ia terletak bersebelahan dengan Istana Lama Tg Long di Kg Raja Besut. Jika anda dari bandar Jerteh, selepas lampu isyarat yang kedua hadapan Balai Polis Kg Raja, ambil kanan dan ia terletak lebih krang 300m di sebelah kanan.
Antara ahli ukir yang sedang menempa nama, Norhaiza

Sungguh hebat dan unik seni pertukangan Melayu

Thursday, 21 June 2012

Hutan Lipur Lata Tembakah, Besut Terengganu, anugerah alam yang tidak ternilai


Air terjun yang indah dan mendamaikan
Hutan Lipur Lata Tembakah yang terletak di Hulu Besut, Besut, Terengganu adalah antara hutan lipur yang terkenal di negeri Terengganu.
anugerah alam yang tiada nilainya

ketenangan dalam deru air

Air terjun yang unik dan indah ini adalah di bawah pengawasan Pejabat Perhutanan Negeri Terengganu di bawah Unit Rekreasi HLLT.

papan pandu arah air terjun

Ia mempunyai air terjun setinggi 5 tingkat dan airnya sentiasa mengalir jernih dan segar dan tiada hentinya.
jambatan gantung di pintu masuk Lata Belantan

Daripada Jambatan gantung di pintu masuk, untuk ke air terjun di tingkat 5, ia mengambil masa lebih kurang 60 minit dengan jarak sejauh 1.5km. Manakala untuk ke air terjun tingkat pertama, ia terletak lebih kurang 700m yang mengambil masa kira-kira 20 minit berjalan kaki.
Pokok balak yang tinggi nilainya

Disekitar hutan lipur ini juga terdapat banyak khazanah alam samada pokok-pokok hutan yang bernilai tinggi mahupun koleksi pokok-pokok herba yang mempunyai khasiat tersendiri.
chalet antara kemudahan yang terdapat di sini

senarai harga chalet

kemudahan asrama yang selesa dan berhawa dingin

Bilik air yang selesa, bersih dan mempunyai mandian air panas

Di antara kemudahan yang terdapat di sini adalah chalet penginapan yang di uruskan oleh Pejabat Perhutanan yang disediakan dengan harga berpatutan. Juga disediakan tapak perkhemahan bagi mereka yang gemarkan aktiviti atau ingin merasai suasana alam di sini. Di samping itu kemudahan asas lain turut terdapat di sini seperti wakaf, tandas serta kerusi rehat.
Kena berhati-hati, ada kawasan mencecah kedalaman 3 meter

kemudahan tapak perkhemahan yang disediakan

Cuma yang sedikit mengecewakan adalah sikap sebahagian pengunjung yang tidak menghargai kemudahan yang disediakan seperti tandas mahupun kemudahan lain yang sebahagiannya rosak akibat perbuatan pengunjung sendiri. Begitu juga dengan sikap tidak sensitif pada alam dengan membuang sampah atau sisa bekas makanan seperti polisterin atau polifoam serta sampah sarap lain.

Walaupun jika kita mempunyai tarikan berkelas dunia tetapi jika pemikiran dan sikap kita berkelas rendah, kita tidak akan ke mana. Jika kita sama-sama mempunyai kesedaran serta sikap sensitif dalam menjaga kesejahteraan alam, insyalah ia akan memberikan kita keselesaan bukan sahaja kepada kita tetapi kepada generasi akan datang.
Notis peringatan tentang fenomena 'kepala air'

sebahagian peserta Jejak warisan jelajah besut di Lata Tembakah

Untuk berkunjung ke sini, jika anda dari Kuala Terengganu, boleh melaluinya melalui simpang Kg Oh/ Pasir Akar dan kemudian ambil kanan menuju ke Hulu Besut/ Keruak/ Kg Bukit Payong. Manakalan bagi anda dari Kota Bharu, boleh melaluinya melalui susur ke Hulu Besut/ Kg keruak berhampiran jambatan Jerteh.

lazada advt

bookcafe com

AGODA Booking

Get the LOWEST RATE of your hotel BOOKING by Online

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Shopping @ ZALORA my

My Blog List

kongsi blog