iklan nuffnang

Pelancongan Terengganu

Monday 30 July 2012

TEGANU KITA: Peruntukan RM168j ubah wajah Taman Rekreasi Waterfront


Oleh: Aida Abd Rahman
Taman Rekreasi Waterfront, Pulau Kambing bakal berubah wajah dan mampu menggamit lebih ramai pengunjung dalam dan luar Terengganu tidak lama lagi apabila kerja menaik taraf lokasi pelancongan yang menelan belanja kira-kira RM168 juta bakal dilaksanakan bermula tahun depan.

Kerja mereka bentuk, membina dan menyiapkan infrastruktur di pusat tumpuan pelawat di pinggir Sungai Terengganu itu termasuk dalam projek pembangunan pelancongan negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata komponen yang terlibat dalam projek berkenaan seperti kerja menambak kawasan seluas 6.2 hektar dan pembinaan 535 lot parkir kenderaan kepada pengunjung.

“Kerja-kerja lain yang akan dibangunkan di kawasan itu termasuk membina sebuah jeti berukuran 25 meter x 100 meter untuk ke Pulau Redang,dua jeti terapung, lima unit wakaf, satu kilometer (km) laluan pejalan kaki dengan tiga meter lebar (kiri jalan) dan satu km laluan pejalan kaki dengan dua meter (kanan jalan).

“Turut dilaksanakan kerja membangunkan kawasan landskap seluas satu km dengandua meter lebar (kiri jalan) dan satu km trek jogging dengan tiga meter lebar (kiri jalan),” katanya.

Beliau berkata, dua projek lain yang akan dibangunkan menerusi projek pembangunan pelancongan negeri pada tahun depan ialah menaik taraf Jeti Pelancongan Pulau Redang, dan membangunkan bekalan elektrik ke Pulau Perhentian Kecil, Besut.

Katanya, kedua-dua projek masing-masing membabitkan kos RM2 juta dilaksanakan Jabatan Kerja Raya dan RM32 juta menerusi Tenaga Nasional Berhad.

“Kerja-kerja di Jeti Pelancongan Pulau Redang termasuk mengganti baru `handrail’, menyiapkan struktur jeti dan menaik taraf tempat duduk. Manakala di Pulau Perhentian Kecil pula melibatkan kerja kabel dan `substation’ TNB,” katanya.

Saturday 28 July 2012

TEGANU KITA: TIIAF 2012 bakal dihadiri 50,000 pengunjung




Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 50,000 pengunjung tempatan dan luar negara dijangka hadir memeriahkan `Terengganu International Islamic Arts Festival (TIIAF) 2012’ di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man, Kuala Terengganu.

Program yang berlangsung selama empat hari dan bermula 14 September itu dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama TTI.

Sebanyak 17 negara, termasuk Singapura, Indonesia, Brunei, Thailand, Jepun, China, India dan Pakistan akan terlibat sepanjang program itu berlangsung.


Pengarah Urusan TTI Haji Engku Md Azmi Engku Abd Rahman berkata, apa yang membanggakan, pakar-pakar seni khat dan pemuzik profesional dari Mesir, Turkey, Syria, Iran, Afrika Selantan dan Sepanyol turut menyertai festival kali kedua dianjurkan.

Katanya, program yang akan berlangsung nanti adalah kesinambungan daripada program Inspirasi Seni Khat Peringkat Kebangsaan yang diadakan pada tahun lepas.

“Sambutan yang diterima pada program itu sangat menggalakkan sehingga mendorong TTI memperluaskan program sama ke peringkat antarabangsa.

“Di samping seni khat yangdiperkenalkan tahun lepas, pengunjung festival kali akan meyaksikan keunikan Muzikhat iaitu suatu konsep persembahan muzik yang digubah dan dialun dengan keindahan seni khat,” katanya.

Menurutnya, batikhat akan diperagakan secara ekslusif kepada orang ramai supaya lebih memahami fungsi dan teknik batikhat.

“Pihak kami berharap dengan adanya festival seumpama ini, ia akan menjadi satu lagi produk pelancongan tersohor seiring dengan acara lain seperti Moosun Cup, Sukan Berkuda dan 4x4 Challange.

Friday 27 July 2012

Kuih Hati Sukma, begini rupanya


Blogger ada mendapat pertanyaan pengunjung yang ingin mengetahui bagaimana rupanya kuih Hati Sukma, pada mulanya blogger sendiri tak pernah mendengar. Dan hasil tinjauan dan carianm maka terjumpalah resepi dan gambaran Kuih Hati Sukma ini.

kalau tengok pada rupanya pernah tengok dan pernah makan, cuma tak tahu nama. Rupanya kuih ini Hati Sukma namanya.

Berikut gambaran dan resepi Kuih Hati Sukma untuk tatapan anda.

HATI SUKMA BERAS ::


Bahan-bahan:240gm tepung beras
500ml santan pekat
480gm gula pasir
6 biji telur

Cara memasak:1. Goreng tepung beras hingga kekuningan dan berbau harum. Ketepikan.
2. Dalam bekas berasingan, campurkan gula bersama telur dan juga santan. Gaulkan hingga sebati.
3. Apabila sebati dan gula hancur, tapiskan dan campurkan dengan tepung beras.
4. Masak adunan di atas api sederhana hingga adunan menjadi kering.
5. Angkat dan hidangkan.

sumber- http://www.rasa.com.my/resipi/manisan/default.asp?ID=836

Wednesday 25 July 2012

T Holidays melangkah setapak lagi dengan bas persiaran terbaru



T Holidays Travel  & Tour, sebuah agensi pelancongan yang pertama bertapak di Bandar Permaisuri, Setiu, Terengganu kini melangkah setapak lagi dengan pelancaran bas persiaran terbaru.


Bas dengan kapasiti 40 penumpang ini baru operasi dan sedia memberi perkhidmatan kepada mana-mana agensi yang memerlukan dengan kadar harga yang berpatutan.


Bas model Hino E 5 ini sungguh selesa dengan rekaan terkini dari SKS Bus lengkap dengan kemudian audio dan TV LCD 42 inci pastinya memberi kepuasan kepada penumpang sepanjang perjalanan.


Hasil usaha gigih usahawan anak muda Setiu  iaitu Nik Man Mohd Yasin ini kini boleh dibanggakan yang bermula dari bawah dengan usaha secara kecil-kecilan.


Kegigihan beliau ini boleh dijadikan tauladan dan dorongan kepada anak muda yang lain untuk turut sama memajukan lagi bidang keusahawanan di Terengganu dan khususnya di Setiu.
 Di antara perkhidmatan yang di tawarkan adalah perkhidmatan van dan bas persiaran, pakej ke Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau  Langkawi, Cameron Highlands, Tasik Kenyir dan lain-lain destinasi menarik di Terengganu dan Malaysia.


Untuk maklumat lanjut mengenai pakej dan perkhidmatan yang di tawarkan bolehlah menghubungi:


T Holidays Travel & Tour
Bandar Permaisuri,
Setiu, Terengganu
Tel: 09-6090268
Faks: 09-6098268
H/P: 019-9836398
email: tholidays@yahoo.com.my
laman web: tholidays.webs.com

Tuesday 24 July 2012

Program Pulau Bersih & Indah semai semangat cintai keindahan alam

 
Oleh: Aida Abd Rahman
Dalam usaha memupuk semangat mencintai keindahan dan kebersihan di lokasi tarikan pelancong, program Pulau Bersih dan Indah, diadakan di Kampung Pulau Perhentian Kecil, Besut, baru-baru ini.
Program dianjurkan Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu (PKPMNT) dengan kerjasam kerajaan negeri, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Pelajaran dan Tourism Malaysia Terengganu.

Pengarah PKPMNT, Encik Mohd Sabri Zakaria, berkata program yang julung kali dilaksanakan Kementerian Pelancongan itu merupakan antara program ke arah meningkatkan inovasi dalam sektor pelancongan sempena kempen `1Malaysia Green, 1Malaysia Clean’ .

“Program dapat menyemai semangat cintakan keindahan dan kebersihan dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya di tempat yang sentiasa menjadi tarikan pelancong tempatan dan luar negara.

“Seramai 500 peserta di kalangan masyarakat kampung dan pelajar sekolah menyertai acara yang dapat memupuk semangat cintakan keindahan dan kebersihan itu,” katanya.

Menurutnya, penglibatan pelbagai lapisan masyarakat dapat memupuk perpaduan di kalangan pelajar atau generasi muda yang berbilang kaum berdasarkan gagasan dan konsep 1Malaysia.

Katanya, pada masa yang sama, program juga dapat memupuk kesedaran tentang implikasi terhadap industri pelancongan dan membuka minda setiap rakyat supaya menjaga kebersihan dan memastikan negara sentiasa bersih dan indah.

”Apabila kawasan pelancongan kekal bersih dan indah, pastinya mampu menarik minat dan perhatian pelancong tempatan dan luar negara untuk melawat berulang kali ke tempat-tempat berkenaan,” katanya.

Monday 23 July 2012

explore terengganu: Kuih Bekang


explore terengganu: Kuih Bekang: Di Terengganu terdapat sejenis kuih yang hampir pupus... hehehehe.. bunyinya macam dinasourlah pulak tapi serius ni, sangat susah nak bertem...

explore terengganu: Warung Atap Nipah


explore terengganu: Warung Atap Nipah: Jika anda baru pertama kali tiba di Kuala Terengganu saya pasti anda tercari-cari di mana hendak bersarapan pagi. Saya tertarik untuk memper...

Kuih tradisional jadi pilihan pengunjung Bazar Ramadan


 
Oleh: Suriati Ali
Gambar ZULKIPLI PUTRA


Puluhan kuih tradisional Terengganu seperti nekbat sira, onde-onde, puteri mandi, buah gomok, tepung pusu, asam gumpal, tepung pelita dan akok telur mendapat sambutan mengalakkan setiap kali menjelang Ramadan.

Kuih Penganan
Kuih Seri Muka @ Tok Aji Serban
Tinjauan Teganukita di beberapa bazar Ramadan di kawasan bandar raya Kuala Terengganu mendapati kebanyakan pembeli terutama warga emas tidak melepaskan peluang membeli kuih tradisional itu yang dijual antara RM0.50 hingga RM1.50 sekeping.

Peniaga bazar Ramadan, Rohayu Alias, 26, berkata setiap tahun beliau menjual kuih-muih pada bulan puasa dan antara kuih yang dijual termasuk kuih menganang telur yang diperbuat daripada tepung gandum dan telur.

"Kebiasaannya saya menjual kuih baulu, namun pada bulan puasa kuih menganang telur ini lebih mendapat sambutan dan mendapat permintaan yang tinggi.

Kuih istimewa iaitu Jala Mas
"Dalam sehari, saya boleh jual 300 biji menganang dengan harga sebiji RM2.50 malah saya boleh balik sebelum waktu berbuka kerana kuih sudah habis dijual," katanya yang menjual di Bazar Ramadan Batu Enam sejak sepuluh tahun yang lalu.

Sementara itu, seorang lagi penjual kuih, Nur Masjidil Aina Wahab, 36, berkata selain kuih karipap, apam, dan seri muka, kuih tradisional seperti kuih ulat bulu turut laris dijual kerana keunikan dan keenakan rasanya.

Kuih ulat bulu diperbuat daripada campuran tepung pulut dan tepung pulut hitam manakala bentuknya seperti kuih onde-onde tetapi berbentuk seperti ulat bulu.

Beliau berkata kuih itu boleh didapati dalam pelbagai warna seperti hijau, hitam dan coklat malah terdapat juga inti kacang merah di dalam kuih itu.

Selain kuih tempatan, terdapat juga kuih baru yang jarang ditemui seperti kuih tradisional dari Thailand iaitu kuih Locong.

Menurut penjualnya, Ibrahim Abu Bakar, 42, beliau mendapat bekalan kuih itu daripada seorang temannya berasal dari Thailand yang sudah lama menetap di Terengganu dan menjualnya dengan harga RM1.50 sebungkus.

"Kuih ini diperbuat daripada debu sagu dan air gula di dalamnya terdapat buah kabung atau nangka.

"Cara untuk memakannya ialah seperti cendol dengan berkuahkan santan. Makanan ini lebih sedap dimakan sejuk iaitu meletakkan ais bersama-sama santan sebelum dimakan," katanya.

Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud (LAJSM) tawar hadiah keseluruhan RM250,000


Oleh: Suriati Ali

Terengganu mahu mengembalikan semula kegemilangan Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud (LAJSM) yang telah terhenti lebih 14 tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat berkata, pihaknya telah bersetuju untuk menganjurkan semula acara tersebut pada 29 September ini yang dijangka disertai lebih 10,000 peserta dari dalam dan luar negara.

Katanya, larian sejauh 21 kilometer itu menawarkan hadiah lumayan berupa wang tunai keseluruhan sebanyak RM250,000 dengan pemenang tempat pertama meraih RM30,000.

Katanya, larian terbahagi kepada beberapa kategori iaitu kanak-kanak, pelajar sekolah, pelajar Institut Pengajian Tinggi dan terbuka antarabangsa.

"Buat masa ini, kita telah menawarkan penyertaan ke beberapa negara dan ada kalangan negara itu seperti Thailand, Singapura serta di benua Afrika sudah mengesahkan untuk turut serta.

"Kita masih buka kepada yang ingin turut serta dan mereka boleh mendapatkan borang penyertaan menerusi media massa dan internet yang akan kita hebahkan dalam waktu terdekat," katanya.

YB Rozi memberitahu, Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud itu diwujudkan semula bukan hanya bertujuan mencungkil bakat baru dalam acara tersebut malah dapat membantu menjana industri pelancongan Terengganu.

"Larian ini sudah dikenali di serata dunia suatu ketika dulu, namun terhenti lebih 14 tahun. Jadi, kita nak wujudkan semula larian ini dalam usaha membantu mempromosi pelancongan Terengganu di peringkat antarabangsa," ujarnya.

Larian itu dianjurkan dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu dan Persatuan Olahraga Negeri Terengganu.

Makanan Timur Dari Lidah Orang Barat

Chef Zam menunjukkan salah satu makanan istimewa Malaysia kepada wartawan asing.



Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Ini merupakan minggu terakhir kita semua menyambut Syawal dan saya lihat masih ramai yang berlumba-lumba mengadakan rumah terbuka, termasuklah akhbar mStar sendiri.
Sehingga semalam, jemputan masih lagi saya terima dan penuhi hinggakan dah agak naik kembang tekak tatkala terlintas bayangan lemang dan rendang di kepala.
Tapi pada saya tujuannya bukanlah nak menghabiskan segala hidangan di meja, cuma untuk mengeratkan lagi silaturahim yang terjalin selain meluaskan rangkaian kenalan yang mungkin ditemui ketika bertandang dan berborak.
Saya sendiri pun berasa seronok dapat berkenalan dengan ramai muka baru padatahun ini di majlis-majlis sedemikian. Semoga persahabatan yang baru terjalin akan terus mekar, insya-Allah.
Program Malaysian Kitchen
Minggu lalu saya ada menyentuh sedikit mengenai program-program yang dijalankan oleh agensi-agensi kerajaan dalam memartabatkan seni kulinari Malaysia di mata dunia.
Saya agak bertuah kerana sering kali terpilih untuk turut sama terlibat setiap kali pihak Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) mahupun Kementerian Pelancongan Malaysia membawa masuk pelbagai pihak, khususnya para pengkritik makanan serta wartawan dari luar negara untuk merasai sendiri pengalaman menjamu selera di Malaysia.
Mungkin ada yang tertanya-tanya apakah manfaatnya membawa masuk wartawan dari luar negara yang perbelanjaannya ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan? Jawapan saya mudah saja.
Jika hendak mempromosikan makanan Malaysia di sana, penglibatan mereka secara terus haruslah ada. Dengan memberikan “first hand experience” kepada segelintir mereka yang berpengaruh, impaknya akan lebih dirasai oleh semua dan pelaburan wang ringgit yang dikeluarkan akan mendatangkan hasil yang berlipat ganda, Insya-Allah.
Lagi pula, publisiti melalui tulisan di akhbar oleh mereka yang pernah datang ke sini akan mempunyai corak yang berbeza dan lebih meyakinkan.
Kekenyangan di Pasar Payang
Pada hari Selasa lalu, seramai tujuh orang wartawan dari London telah diterbangkan khas ke sini oleh Matrade di bawah seliaan pegawai bernama Razida Hanim Abdul Razak sempena program Malaysian Kitchen yang kini telah menampakkan hasilnya.
Antara bandar-bandar untuk mereka lawati adalah Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Melaka.
Ketiga-tiga tempat ini adalah pilihan mereka sendiri setelah membuat sedikit penyelidikan melalui internet dan juga sumber-sumber lain.
Mungkin ada sesuatu yang begitu unik dan berjaya menarik perhatian mereka agaknya.
Memandangkan saya berasal dari Kuala Terengganu, peluang untuk membawa mereka dan menunjukkan keindahan negeri saya itu tidak mungkin saya lepaskan.
Saya begitu teruja untuk membawa mereka atau sesiapa saja bagi menikmati keunikan serta kelazatan pelbagai juadah yang kebanyakannya berasaskan ikan di negeri pesisir pantai itu.
Inilah kebanggaan saya kerana pasti mereka bukan saja akan terpesona dengan kecantikan Pantai Batu Buruk yang berpasir putih bersih itu, malah mungkin mengingau teringatkan keropok lekor Kak Yah Losong, rojak betik, ceranang, laksam, pulut lepa dan seribu satu macam lagi juadah tradisi Pantai Timur yang lazat-lazat.
Menaip perkataan itu sudah membuatkan air liur saya meleleh! Adussss...
Kami mulakan penerokaan di Pasar Payang Kuala Terengganu dengan ‘menyerang’ sebuah gerai menjual pelbagai jenis kuih-kuih asli Terengganu.
Pengusaha gerai ini sememangnya terkenal di kalangan penduduk Kuala Terengganu dengan jualan kuih-muih mereka yang pelbagai semenjak dulu lagi.
Tambahan pula, seluruh keluarga mereka yang mempunyai muka ‘sepesen’ terlibat sama.
Yang paling saya kagumi ialah pengetahuan mereka mengenai asal-usul sesuatu kuih yang mendalam. Ajaklah bersembang mengenai kuih apa pun, pasti mereka ada cerita menarik mengenai susur galurnya.
Di situ saya berpeluang memperkenalkan beberapa kuih yang menjadi kegemaran semenjak kecil seperti paung goreng, karipap inti ikan, nasi himpit bersambal tahi minyak, akok berkedut, hasidah dan beberapa lagi kepada mereka.
Walaupun masih pening-pening lalat dek penangan baru turun dari kapal terbang setelah dua belas jam di awan dari London, mereka ternyata teruja dalam melihatkan keadaan Pasar Payang kami yang agak ‘horror’ bagi sesetengah pihak.
Dalam suasana biasa pasar di pagi hari yang agak hingar-bingar dengan suara orang tawar-menawar, ditambah pula dengan mata beberapa orang makcik yang hampir terkeluar dari ‘soketnya’ melihatkan baju paras paha tanpa lengan tetamu luar negara itu.
Kembang kempis
Sempat juga saya menyuapkan tapai pulut yang dibungkus dalam daun ketapang ke mulut setiap seorang. Serta-merta muka dan telinga mereka merah samar bak udang kena BBQ dek penangan tapai pulut Terengganu.
Ada yang suka dan ada yang tidak berapa gemarkan tekstur serta rasa nasi pulutnya yang agak masam-masam manis.
Kembang-kempis jugalah hidung mereka menghembuskan nafas sambil menelan tapai tu.
Seterusnya saya membawa mereka ke gerai buah-buahan tempatan pula. Dah rezeki mereka agaknya berkebetulan dengan musim buah duku, langsat, dokong, rambutan, manggis dan sebagainya.
Sampaikan naik buncit perut kami pagi-pagi buta menyental manggis di tepi bakul sampah.
Ternyata mereka agak terpegun dengan keputihan isi buah manggis yang sememangnya manis itu. Menariknya, mereka dapati isi buah duku dan langsat seakan-akan rasa buah laici dari Taiwan dan China. Ada benarnya di situ.
Biasanya lidah ‘orang putih’ ni agak sensitif dan ini amat mengagumkan saya sendiri.
Kalau orang kita pakai bedal aja apa yang ada di depan mata, tapi mereka lazimnya lebih peka dengan cita rasa sesuatu bahan makanan dan berupaya membezakan atau menyamakannya dengan sesuatu yang pernah mereka jamah.
Budu penawar rindu
Kedatangan mereka ke Terengganu tidak akan sempurna jika tidak diperkenalkandengan ‘cicahan keramat’ rakyat sejati negeri itu.
Untuk itu saya perkenalkan mereka dengan berbagai jenis budu yang tersusun indah di atas para-para pasar.
Naik juling mata mereka tatkala mencium ‘haruman kasturi’ yang keluar dari botolnya sebaik saja dibuka.
Namun dengan gigih sampai berbuih mulut saya berkempen bagi pihak Makcik Budu tentang keenakannya jika diberikan beberapa titis perahan limau nipis, hirisan bawang merah serta tenyehkan cabai burung, lantas di cicah dengan ikan kembung panggang tawar mahupun yang digoreng garam kunyit. Ulam pucuk daun gajus, kacang botol dan timun pun minta agar jangan dilupakan.
Kempen punya kempen, tiga dari mereka pulang menggelek sebotol budu seorang sebagai pengubat rindu bila pulang ke London nanti.
Gayanya tak ubah seperti mereka baru menang trofi Ms World/Universe. Berjaya juga kempen ‘Belilah Budu Terengganu’ saya nampaknya.
Selain dari itu, banyak lagi tempat-tempat menarik yang sempat saya bawa mereka.
Antaranya Taman Tamadun Islam Terengganu (seronoknya hinggakan salah seorang dari mereka ‘terkena sawan unta’ ketika sedang bersiar-siar dengan bot), Terengganu Water Front yang sedang giat disiapkan, Kampung Cinam dan sebagainya.
Mereka juga diberi peluang untuk mendekati dan mengenali industri pembuatan keropok lekor di kampung Losong.
Langsai dua pinggan keropok lekor goreng dibedal mereka. Lapar kembali agaknya setelah diarak ke sana-ke mari.
Bengkel masakan Havoc di Silverspoon International College
Sekembalinya mereka dari Kota Kinabalu serta Melaka setelah beberapa hari di sana, dengan bangganya saya menjemput mereka ke kolej saya yang terletak di One Puchong Business Park untuk sesi ‘bergelumang’ dengan rempah-ratus Malaysia.
Antara menu yang menjadi pilihan mereka untuk dicuba adalah rojak buah eksotika, sup ekor, nasi minyak hujan panas, acar rampai Bukit Puteri, dalca sayuran bersama daging tetel, pengat pisang tanduk serta sirap bandung Johor.
Mereka juga ringan mulut apabila membuat permintaan istimewa untuk belajar membuat rendang daging. Pada mulanya saya agak terkejut juga tapi rupa-rupanya mereka sudah pun menikmatinya ketika di Melaka sehari sebelumnya.
Maka bergelumanglah semuanya hinggakan biji sagu pun sampai naik ke kening jadinya.
Apa pun, saya pasti mereka pulang dengan membawa seribu kenangan yang manis belaka dan akan berupaya menguarkan-uarkan keunikan, keenakan serta kepelbagaian makanan dan budaya kita di mata dunia. Kita jumpa lagi minggu depan. Wassalam
* Chef Zamzani Abdul Wahab adalah Pengarah Urusan dan Pengetua Silverspoon International College yang berpusat di Puchong, Selangor. Untuk sebarang pertanyaan mengenai kursus-kursus Sijil Kemahiran Malaysia bidang Seni Kulinari, Pastry & Bakery dan F&B Service serta bengkel memasak, sila hubungi (03) 8075-9923/(014) 214-7837 atau info@silverspoon.edu.my

sumber: http://mstar.com.my/cerita.asp?sec=mstar_mingguan&file=/2010/10/11/mstar_mingguan/20101011121821

TMT 2013 mampu tarik empat juta pelancong

Oleh: Aida And Rahman
Gambar ZULKIPLI PUTRA
 
Kerajaan Terengganu optimis mampu mencapai sasaran empat juta pelancong sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 menerusi tarikan 27 acara pelancongan bertaraf dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata sasaran itu dibuat berdasarkan peningkatan purata tahunan kedatangan pelancong ke negeri itu sebelum ini.


"Biasanya, peningkatan kedatangan pelancong ini adalah antara lima hingga 10 peratus setiap tahun dan kita yakin dengan promosi besar-besaran serta kerjasama yang melibatkan ramai penggiat dan agensi pelancongan, TMT 2013 bakal mencatat kenangan manis untuk industri pelancongan Terengganu.

"Namun, perlu diingat semua ini hanya akan tercapai dengan penglibatan semua pihak, termasuk rakyat Terengganu supaya kenangan percutian ke negeri ini menjadi memori terindah bagi setiap pelancong," katanya selepas merasmikan pelancaran logo TMT dan menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan mencipta logo TMT di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato’ Wan Ahamad Wan Muda.

Dato’ Abdul Rahin berkata penganjuran TMT pada tahun 1997 dan 2008 telah merekodkan peningkatan kedatangan pelancong sebanyak 50.4 peratus (1997) dan 23 peratus (2008) berbanding tahun sebelumnya.

"Kadar penginapan pelancong luar di hotel-hotel sekitar Terengganu kini meningkat kepada 71 peratus berbanding sekitar 14 peratus tahun lalu di mana kadar penginapan di hotel hanya 50 peratus.

"Oleh yang demikian, kita berharap agar TMT 2013 ini akan memberi limpahan rahmat secara tidak langsung bagi semua penduduk Terengganu, khususnya dalam menjana ekonomi setempat," katanya.

Di majlis itu, pelajar jurusan Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Siti Nazira Abdul Rahman, 23, yang muncul pemenang utama mencipta logo TMT 2013 turut menerima hadiah wang tunai berjumlah RM10,000.

Wednesday 18 July 2012

Imtiaz satu jenama baru lahir professional


Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan yakin dengan adanya pelbagai kemudahan disediakan serta sistem pendidikan cemerlang yang diperkenalkan anak-anak negeri ini mampu memegang jawatan penting di jabatan kerajaan di seluruh negara dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat berkata, bermula dari sekolah Tabika telah diajar menghafaz surah Muqadam dan di sekolah rendah dibekalkan dengan e-Book disusuli dengan kelas j-Qaf dan Kafa.

“Keberkesanan ini mungkin akan dapat kita lihat 10 atau 15 tahun akan datang,” katanya kepada pemberi ta pada majlis penutup Program Khas Asasi Ulul Albab 2012 Sekolah-sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) dan Penyerahan Cek Bantuan Zakat Maidam di Terengganu Equestrian Resort, Kuala Terengganu hari ini (17 Julai).

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Haji Wan Harujan Sulaiman dan Pengarah YT, Encik Zakaria Yusof.

Katanya, di peringkat menengah, kita ada sekolah Imtiaz, ada Institut al-Quran dan ada sekolah Agama Sultan Zainal Abidin untuk pilihan ibu bapa menghantar anak-anak mereka menimba ilmu.

“Kita harap Imtiaz menjadi satu jenama baru untuk melahirkan profesional serta bijak pandai dalam agama yang mampu menjayakan matlamat dan cita-cita kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Haji Wan Harujan mewakili Maidam menyerahkan cek bantuan zakat sebanyak RM1 juta kepada YT untuk membiayai kelas-kelas dan guru tasmi’ di SM Imtiaz seluruh negeri.

Pada majlis yang sama seramai 30 pelajar daripada SM Imtiaz Besut, Dungun, Kuala Berang, Kuala Terengganu dan Kemaman menerima Anugerah Hafazan Terbaik (10 orang), Anugerah Bahasa Arab Terbaik (10 orang) dan Anugerah Personaliti Terbaik (10 orang).

Manakala lima orang pelajar terpilih untuk menerima Anugerah Tokoh Ulul Albab iaitu Nik karimah Nik Abdul Ghafar (SM Imtiaz Besut), Mohammad Aiman Johari (SM Imtiaz Dungun), Nik Nor Amirah Zulkifli (SM Imtiaz Kuala Berang), Mohammad Faris Mohamad Rafee (SM Imtiaz Kuala terengganu) dan Nusaibah Mohd daik (SM Imtiaz Kemaman).

YB Haji Khazan yang juga Ahli Lembaga Pengarah Pemegang Amanah Sekolah-sekolah Yayasan Terengganu telah menyampaikan anugerah kepada pelajar yang terpilih.


Sukma ke-15 : Terengganu Juara, 33 rekod diperbaharui


Oleh FAUZI MOHD
Temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 yang telah melabuhkan tirainya di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi jelas sekali meninggalkan 1,001 kenangan buat tuan rumah, Pahang.

Bagaimanapun, tumpuan sudah pasti terarah kepada kontinjen Terengganu yang muncul juara keseluruhan Sukma buat kali keempat berturut-turut.

Pada edisi kali ini, Terengganu yang bertandang ke Pahang dengan Ketua Kontinjen, Wan Nawawi Wan Ismail sekali lagi berada dalam kelas tersendiri apabila merekodkan 62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa.

Kejayaan itu mampu mengukirkan wajah gembira buat atlit dan sesiapa saja anak Terengganu termasuk Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said serta Menteri Belia dan Sukan, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek yang meraikan kejayaan itu.

Ia dianggap kejayaan terbaik yang dilakar Terengganu yang meraih 61 pingat emas, 39 perak dan 47 gangsa ketika kali pertama kontinjen yang digelar Terengganu Hanelang itu muncul juara kali pertama Sukma pada edisi 2008 di bumi sendiri.

Sementara itu, juara Sukma tujuh kali, Selangor pula terpaksa berpuas hati di tangga kedua apabila mengumpul 47 pingat emas, 54 perak dan 60 gangsa.

Tampil selaku tuan rumah, Pahang masih boleh berbangga apabila menempatkan diri dalam kelompok tiga kontinjen terbaik selepas mengutip 45 pingat emas, 50 perak dan 38 gangsa.

Selain kejayaan Terengganu mengungguli temasya Sukma buat kali keempat berturut-turut, dua atlet angkat berat, Abdul Mubin Rahim dari Terengganu dan Frenceay Titus (Sabah) masing-masing diumumkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Sukma kali ini.

Pihak penganjur sebulat suara memilih Abdul Mubin dan Frenceay berdasarkan kejayaan mereka memecahkan rekod kebangsaan dalam kategori masing-masing.

Selaku penerima anugerah Olahragawan dan Olahragawati Sukma ke-15, Abdul Mubin dan Frenceay membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta trofi.

Selain Abdul Mubin dan Frenceay, perenang Wilayah Persekutuan, Ian James Barr turut muncul sebagai atlet yang berjaya memecahkan rekod kebangsan pada Sukma kali ini menerusi acara 200 meter rampaian individu lelaki.

Selain tiga rekod kebangsaan, sebanyak 33 rekod Sukma berjaya diperbaharui, seterusnya meninggalkan memori indah buat kesemua 15 kontijen termasuk Brunei yang bertanding pada temasya kali ini.

Pada majlis penutup Sukma ke-15 malam tadi, Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak telah menyempurnakan upacara itu dalam suasana yang penuh gilang-gemilang dengan disaksikan lebih 30,000 penonton.

Najib dalam ucapannya berkata, beliau berharap agar temasya seperti Sukma dapat diperluaskan di peringkat daerah bagi mencungkil lebih ramai bakat baharu.

“Saya harap Sukma dapat berterusan menjadi ‘kilang’ atlet sukan negara berjuang pada temasya lebih besar seperti Olimpik. Jadi kita perlu lakukan sesuatu di peringkat daerah.

“Tahniah saya ucapkan kepada kontinjen Terengganu kerana muncul juara Sukma kali keempat berturut-turut selain pujian buat Pahang yang berlaku adil dalam setiap acara yang dipertandingkan,” katanya.

Majlis itu diakhiri dengan penyerahan bendera temasya yang menyaksikan Perlis bakal mengambil giliran menjadi tuan rumah Sukma 2014.

Sebaik menerima bendera Sukma daripada Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Adnan Yaakob, Najib kemudiannya menyerahkan bendera itu kepada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong.

blogger: sekalung tahniah untuk skuad Hanelang Terengganu... terus kuatkan usaha..

Thursday 12 July 2012

Santuari ikan di Sungai Loh, Sungai Pelong dan Sungai Lata Payong


Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan negeri dalam usaha untuk menjadikan tiga batang sungai di negeri itu sebagai pusat santuari beberapa jenis ikan bagi memajukan sektor pelancongan berasaskan akuakultur.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB. Asha'ari Idris berkata, tiga sungai itu ialah Sungai Loh di Dungun, Sungai Pelong dan Sungai Lata Payung di Setiu.

Beliau berkata, cadangan itu bagaimanapun bergantung kepada usaha penduduk kampung terlibat yang perlu memainkan peranan sebagai mata dan telinga agensi berkaitan.

"Perkara ini memerlukan komitmen banyak pihak kerana bukan mudah menjadikan sungai sebagai pusat santuari namun ia bukanlah perkara mustahil kerana sudah ada pusat santuari seumpama ini di Sabah dan Pahang.

"Cadangan untuk menjadikan tiga sungai ini sebagai pusat santuari memang sudah dimulakan dan proses itu dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya antara setahun atau dua tahun," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelepasan benih anak ikan di Sungai Lata Payung, Setiu semalam.

Sehingga kini kata Asha’ari, sebanyak 37,000 benih anak ikan pelbagai spesis dilepaskan di dua sungai yang terletak di Setiu itu antaranya lampam kerai, lampam sungai, jelawat merah dan talapia.

"Program pelepasan benih ikan yang dimulakan sejak beberapa tahun lalu kini mula menampakkan hasil yang positif.

"Apa yang boleh dilihat, kita boleh memberi ikan makan secara terus dari tangan seperti di Sungai Pelong, Setiu.

"Antara syarat untuk menjadikan sesebuah tempat itu sebagai pusat santuari ialah ia perlu persekitaran yang selamat dan sesuai bagi spesis ikan termasuk memastikan tiada ikan pemangsa di sungai berkenaan," jelasnya.

Berdasarkan analisis Jabatan Perikanan katanya, hanya 20 peratus daripada ribuan benih anak ikan yang dilepaskan dijangka dapat membesar, manakala bakinya akan mati akibat pelbagai faktor.

sumber: TEGANUKITA
 

Wednesday 11 July 2012

150 pengkaji memilih Hutan Simpan Gunung Tebu untuk kajian


Oleh: Mohammad Ishak 

Kawasan Hutan Simpan Gunung Tebu, Jabi, menjadi pilihan pengkaji dan ahli sains seluruh negara berkampung bagi menjalankan kajian mengenai sumber hutan dan biologi selama lima hari.

Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan anjuran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia itu bertujuan mengenal pasti pelbagai sumber hutan dan tumbuhan yang ada di kawasan berkenaan.

Seramai 150 peserta mewakili pelbagai profesion dari seluruh negara termasuk luar Negara memilih lokasi berkenaan kerana percaya Gunung Tebu mempunyai keunikikan dan keindahan hutan serta alam sekitar yang menakjubkan.

Ia diketuai oleh Prof.Emeritus Datuk Dr Abdul Latif Mohamad akan menamatkan kajian pada Khamis ini yang akan membentangkan pelbagai hasil dan penemuan baru mengenai biologi hutan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar Negeri, Yang berhormat Dato’ Toh Chin Yaw merasmikan program berkenaan yang bermula hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali, Tiumbalan Ketua Pengarah Perhutanan (Dasar dan Perancangan),Dato’Masran Md Salleh dan Pengarah Perhutanan Negeri Terengganu, Azmi Nordin.

Toh Chin Yaw berkata,ketika ini Terengganu masih mempunyai 544 juta hektar kawasan Hutan Simpan Kekal iaitu 42 peratus daripada keluasan tanah negeri ini. Katanya,

Gunung Tebu memang layak dijadikan lokasi untuk tujuan penyelidikan saintifik kerana ia mempunyai kepelbagaian sumber hutan dan alam flora dan secara tidak langsung ia menyumbang kepada sektor pelancongan negeri.

sumber: http://teganukita.blogspot.com/2012/07/150-pengkaji-memilih-hutan-simpan.html

Had kedatangan pelancong ke pulau


Oleh: Suriati Ali dan Umi Ikrimah Abdillah (Pelatih)

Kerajaan negeri akan mengehadkan kedatangan pelancong dan muatan barangan ke beberapa pulau peranginan tersohor di Terengganu dalam usaha memulihara alam semula jadi demi manfaat generasi akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Dato’ Abdul Rahin Mohd Said berkata, pihaknya akan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk meneliti beberapa aspek keperluannya sebelum ia boleh dilaksanakan.

Katanya, jawatankuasa itu akan mengkaji kemungkinan mengehadkan barangan mengikut jumlah jam pengunjung berada di pulau-pulau berkenaan bagi menikmati alam semula jadi.

“Pendekatan kita pada peringkat awal ini adalah untuk memikirkan berapa jam dibenarkan berada di pulau dengan bermalam di tanah besar.

“Mungkin kita akan menyediakan pakej tiga hari satu malam iaitu dua hari di tanah besar dan satu hari di pulau,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Tahunan Antarabangsa Universiti Malaysia Terengganu (UMTAS) di Kuala Terengganu, semalam.

Lebih 300 pelajar dan ahli akademik termasuk 35 orang dari lapan negara seperti Indonesia, Sri Lanka, Filipina, Vietnam, Libya, Iran, Pakistan, India dan Perancis menyertai simposium tiga hari dan berakhir esok (11Julai) itu.

Dato’ Abdul Rahin turut memberitahu,langkah itu wajar dilaksanakan segera kerana pihaknya mendapati tabiat penggunaan syampu, air kumbahan, baki makanan, sampah sarap dan sebagainya yang dibuang ke laut oleh pelancong semakin serius.

“"Apabila sampah terlekat pada batu karang, ianya menghalang batu karang daripada mendapat cahaya matahari menyebabkan ia rosak dan mati selain daripada batu karang patah dipijak oleh perenang yang tidak profesional," katanya.

Pulau-pulau peranginan yang menjadi tumpuan pelancong di negeri ini ialah Pulau Perhentian, Lang Tengah, Redang, Kapas serta Pulau Bidong yang dikawal oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

sumber: http://teganukita.blogspot.com/2012/07/had-kedatangan-pelancong-ke-pulau.htmlhttp://teganukita.blogspot.com/2012/07/had-kedatangan-pelancong-ke-pulau.html

bookcafe com

AGODA Booking

Get the LOWEST RATE of your hotel BOOKING by Online

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Blog List

kongsi blog