iklan nuffnang

Pelancongan Terengganu

Friday 30 July 2010

Jalan Lagi ke Muzium Negeri Terengganu

Kali ini kita meneroka satu lagi destinasi penting di Terengganu iaitu Kompleks Muzium Negeri Terengganu.
Ia terdiri daripada bangunan utama yang indah dan unik, Muzium Maritim, Muzium Perikanan, 4 rumah tradisional serta taman boani dan herba. Terdapat 10 galeri di muzium ini untuk kita kenali sejarah Terengganu dan juga Tamadun Melayu iaitu hasil tenunan yang bermutu, hasil kraft, barang-barang sejarah dan pra sejarah, peralatan di raja, sudut alam semulajadi, hasil seni, petroleum, sejarah Islam, sejarah generasi baru serta seni kontemporari.



Kita dapat mengenali susur galur sejarah keilmuan Islam dengan sejarah pelbagai alim ulama yang suatu ketika dulu menunjangi negeri samada dengan menjadi ulama, pendakwah, pembesar atau penasihat sultan iaitu Tokku Paloh, Tokku Pulau Manis, Syeikh Abdul Malik, Tokku Tuan Besar dan ramai lagi.

Jadi kenalah datang sendiri untuk melihat dan alami sendiri. Pastikan anda memperuntukkan masa yang agak lebih sedikit iaitu sekurang-kurang 4 jam agar lawatan destinasi anda memberi makna dan segala penngetahuan apat di manfaatkan oleh anda sekeluarga.

  • waktu operasi: 9.00 am hingga 5.00 pm setiap hari
  • tutup dari 12.00 tengahari hingga 3 pm pada hari Jumaat
  • Bayaran masuk:
  • Warga Malaysia: RM2.00 dewasa, RM1.00 kanak-kanak dan RM0.50 pelajar berpakaian sekolah
  • Bukan warga Malaysia : RM5.00 dewasa dan RM2.00 kanak-kanak
  • Nombor telefon: 09-6221444
  • laman web: museum.terengganu.gov.my

Lagi Gambar-Gambar Menarik di Taman Tamadun Islam




Bersama di sertakan gambar-gambar menarik di Taman Tamadun Islam, datang jangan tak datang.

Bagi yang berkeluarga, jadikan ia sebagai 'Education Tour' untuk anak-anak. Layan pertanyaan anak-anak yang dahagakan maklumat dan pengetahuan.


Kita juga sebagai ibu bapa patut ambil tahu serba sedikit maklumat apa yang ada di TTI ini agar maklumat tersebut sama-sama dapat dikongsi bersama anak-anak.

Jalan-Jalan di Taman Tamadun Islam



Sapa-sapa yang belum pernah ke sini pasti teruja bila dapat sampai ke Taman Tamadun Islam, di Pulau Wan Man, Losong. Apa apa pun adalah lebih baik bagi sapa-sapa yang ada plan nak berkunjung ke sini untuk sampai lebih awal. Bukan apa bimbang tak puas round habis taman ini. Itu belum lagi untuk mencuba aktiviti di sini seperti menaiki tram, juga mengayuh paddle boat yang memang menyeronokkan.


Bagi penggemar fotografi, pastinya terasa macam tak cukup kamera untuk shoot angel yang bagus-bagus. Rasa macam masih banyak sudut-sudut menarik yang belum di teroka.

Apa yang paling menarik di sini adalah monumen-monumen yang terkenal dari seluruh dunia telah direplikakan dengan begitu halus dan teliti sekali dan rupanya seperti yang asal seperti Kubah Al Sakkrah, Masjid Negara, dan macam-macam lagi.

Nak tahu dengan lebih jelas lagi jom kita plan untuk datang sini. Makanan kat B Benteng pun best jugak. Hari tu sempat juga pekena Nasi Kambing Berempah serta makanan Arab yang lain.

Nak cerita panjang pun susah jugak tapi kalau anda sendiri datang ke sini dan nikmati sendiri keindahan Masjid Kristal, pemandangan di tepi Sungai Terengganu, menaiki bot menyusuri Sungai Terengganu dan macam-macam lagi pastinya memberi keseronokan anda sekeluarga.

Suasana waktu senja di sini sungguh mendamaikan sekali. Di sini saya ingin berkongsi gambar-gambar kawan-kawan yang datang berkarya di sini. Apa yang pasti ia begitu indah sekali.

Wednesday 28 July 2010

Masjid- masjid di Terengganu




Kalau kita berjalan di sepanjang jalan dari Kemaman hingga ke Besut, apa yang paling menarik pada pandangan mata adalah keunikan masjid-masjid di Negeri Terengganu. Pelbagai ragam binaan bukan sahaja sebagai tempat beribadat dan berehat di perjalanan, ia juga menghasilkan hasil seni foto yang menarik andai masa dan ketika yang sesuai dengan sudut serta pengcahayaan yang baik akan menghasilkan hasil seni yang memukau dan indah di pandang mata.


Begitulah hebat rumah Allah swt, jika kita menghayatinya, ia bukan sahaja menarik pada pandangan mata juga boleh mengagumkan kita bahawa ilham yang diberi pada arkitek dan juga ketenangan suasana alam dapat menyejukkan pandangan dan menenangkan kalbu.



Ini adalah di antara hasil-hasil foto anak Terengganu yang cukup memikat bagi menceritakan keindahan masjid-masjid di Terengganu dari perspektif fotografi.

Sunday 25 July 2010

Kuala Terengganu, Bandaraya Bertaraf Dunia




Bunyinya macam 'klise' tapi itulah impian sebenar. Sejak dinaik taraf menjadi Bandaraya Warisan Pesisir Air, Kuala Terengganu terus mengorak langkah dengan perancangan yang rapi untuk menjadi bandaraya berkelas dunia.

Jika diukur dari segi sejarah, Kuala Terengganu mempunyai sejarah yang panjang dan terkenal sebagai salah sebuah pelabuhan perdagangan di rantau ini dan menjadi tempat persinggahan utama kapal-kapal dagang. Dan ianya banyak tercatat dalam catatan sejarah samada melalui Catatan Tun Sri Lanang, Catatan I Tsing, Catatan Cheng Ho ataupun dalam Sejarah Persuratan Melayu.

Dari segi asasnya ia telah meninggalkan begitu banyak warisan samada senibina, budaya, hasil kerja tangan masyarakat, cara hidup yang perlu kita jaga dan pulihara agar ia terus kekal utuh mencabar zaman.

Banyak monumen menarik terdapat di Kuala Terengganu seperti warisan di Kampung Cina, Bukit Puteri, Istana Maziah, Masjid Putih (Masjid Sultan Zainal Abidin), Istana Pura Tanjung Sabtu juga warisan budaya di Kampung Losong, Kampung Ladang dan lain-lain.


Apa yang ada di Kuala Terengganu sememangnya unik dan tersendiri seperti keenakan Nasi Dagang yang istimewa dan tiada di tempat lain, begitu hasil tenunan songket Terengganu yang terbukti antara yang terbaik di dunia, begitu juga penghasilan bot tradisional di Pulau Duyung yang di akui berkelas dunia.

Asas-asas ini sememangnya memungkinkan Kuala Terengganu untuk menjadi bandaraya berkelas dunia.

Apa yang perlu kita titik beratkan dalam 'blue print' mahupun 'master plan' adalah bagaimana kita mahu membentuk sikap dan atitud warga Kuala Terengganu mahupun Terengganu manjadi berkelas dunia.

Secara asasnya kita telah mula mencipta sejarah dalam banyak perkara dan hal seperti pembangunan pendidikan di mana, Terengganu adalah negeri yang terbaik di Malaysia dan ini dibuktikan melalui peperiksaan awam samada UPSR, PMR, SPM mahupun STPM dan STUM.

Dari segi pendidikan pra sekolah, Terengganu adalah negeri yang terbaik dalam pembentukan asas kanak-kanak di mana telah mengkhatamkan Al Quran kanak-kanak berumur 5 dan 6 tahun, dari situ juga telah menghasilkan kanak-kanak yang telah menghafal yasin serta terjemahan dengan begitu ramai sekali.

Asas-asas ini telah kita bina dan ianya perlulah ada kesinambungan untuk generasi baru Terengganu menjadi bangsa berkelas dunia. Program Ulul Albab juga telah diwujudkan bagi melahirkan golongan tajdid baru yang menghafal AL Quran 3o Juzuk, serta mahir dalam pelbagai bidang profesional seperti Fizik, Kimia, Biologi, Sastera, Ekonomi dan sebagainya.

Langkah kerajaan untuk menghantar pelajar ke MIT, Harvard, Mesir dan Rusia bagi melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang berkemahiran tinggi seperti perubatan, sains, aeroangkasa, dan sebagainya adalah langkah awal dalam membentuk generasi berkelas dunia. Ini memungkinkan untuk Kuala Terengganu menjadi bandaraya berkelas dunia bukan sahaja dari segi fizikal juga dari segi ketamadunan manusia.

Ayuh sama-sama kita sumbangkan idea, fikiran, tenaga dalam pelbagai sumber dan aspek agar sama-sama kita mendokong bagi menjayakan visi dan misi ini.

Saturday 24 July 2010

Promosi Terengganu di Sabah






Promosi produk Terengganu seperti batik, makanan tradisional seperti buah rotan, nira nipah dan lain-lain, produk pelancongan telah di adakan sempena Borneo Trade Fair di Sabah. Ianya di bawah kelolaan Yayasan Pembangunan Usahawan dan Tourism Malaysia Terengganu.

Turut di adakan adalah persembahan kebudayaan Terengganu serta peragaan fesyen hasil produk Terengganu. Ianya cukup mendapat sambutan yang begitu baik sekali.


Bagi produk pelancongan ia di wakili oleh Sumai Hotel & Suite dan Agro Resort, Setiu Terengganu.

Pameran selama 5 hari ini meninggalkan kesan yang cukup besar kepada warga Borneo bagi menarik mereka mengunjungi negeri yang penuh keunikan dan warisan iaitu Terengganu.

Friday 23 July 2010

Cabaran X-treme di Agro Resort, Setiu












Bagi penggemar aktiviti lasak dan mencabar tentunya ingin menguji keupayaan diri secara fizikal dan mental. Jom kita cuba aktiviti lasak dan mencabar bukan sahaja fizikal malah minda dan keyakinan diri kita juga akan teruji.


Aktiviti yang dimaksudkan adalah 'Flying Fox dan Abseiling' di Agro Resort, Setiu, Terengganu. Anda tak perlu bimbang kerana ia dikendalikan oleh jurulatih yang terlatih, berlesen dan berkemahiran. Segala aspek keselamatan amat dititikberatkan bermula dari taklimat serta prosedur pengendalian.



Apapun setelah mencubanya, anda pasti berasa teruja dan seronok. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

Mengikut kata jurulatih Agro, Uncle Nek Yunus @ Mr Jungle, aktiviti sebegini boleh meningkat daya keyakinan diri dan ianya mampu memberi kepuasan kepada yang mencubanya. Apa yang pasti anda akan gembira dan dapat melakukannya dengan selamat.

Nak contact Uncle Nek ini boleh berhubung dengan beliau di talian 019-9359358 atau mengunjungi laman web Agro Resort iaitu www.agroresort.com untuk maklumat lanjut.

Tuesday 20 July 2010

1 Malaysia Bersih Dan Indah

Sedang membaca Harian Metro bertarikh 19 Julai 2010, terpandang iklan Kementerian Pelancongan Malaysia yang bertajuk 1 Malaysia Bersih Dan Indah bertemakan 'ingatlah pelancongan dan majulah pelancongan'.

Menarik juga iklan ini yang sama-sama mengajak kita untuk memantau dan menjadi pro aktif kepada tempat-tempat pelancongan sekitar kita supaya bersih dan terjaga dengan indah. Niat murni dan baik ini patut sama-sama kita dokong dan sokong supaya pelancongan kita terutama Pelancongan Terengganu berkelas dunia. Kata orang ada 'class'.

Mulakan gerak kerja kita hari ini. Masih banyak lagi kemudahan awam kita terutama di kawasan-kawasan pelancongan perlu kita perbaiki serta naik taraf agar ianya dapat dimanfaatkan oleh semua. Lihatlah di pantai-pantai, di kawasan air terjun, di kawasan-kawasan tumpuan utama seperti Batu Buruk, Taman Shahbandar, Pasar payang masih banyak lagi kesedaran perlu disebarkan serta dikongsi supaya sikap dan atitud orang-orang kita berubah dan menjadi lebih baik. Ianya bukan untuk orang tetapi untuk diri kita, bangsa kita serta warga Terengganu sekalian.

kalau ada gambar-gambar terkini tentang keadaan kawasan menarik kita yang tercemar serta tak terjaga bolehlah dimuat naik untuk sama-sama kita cari jalan penyelesaian.

Maklumat lanjut kempen ini boleh dilayari di www.1malaysiagreenandclean.com.my

Thursday 15 July 2010

Seronok bergurau dengan kambing



Hari ada kesempatan untuk bergurau dan bermain dengan kambing. Mencari kelainan untuk menenangkan jiwa dari kekusutan tekanan kerja.

Kambing juga yang jadi pilihan. Sebaik tiba di kandang terus didatangi kambing yang jinak dan mesra untuk dibelai. Sambil bergambar, ia seronok untuk digosok.

Memerhatikan kambing makan amat seronok sambil melihat gelagat haiwan ini. Sebab itulah apabila kita melihat penternak dengan ternakannya sentiasa terjalin hubungan yang mesra dan tulus. Dari jauh lagi binatang ternakan akan menunggu enjin motor tuannya seakan-akan memahami siapa yang datang. Naluri hubungan begitu kuat sekali.

Amat berbeza dengan kita manusia, sentiasa bercakaran, dendam dan irihati. Hubungan yang tulus amat sukar dicari.

Oh ya, kat mana tempat ni... Ini di projek ternakan kambing Jamnapari kat Agro Resort. Juga terdapat Kambing Kaprima dan Boer.

Tuesday 13 July 2010

Kuala Terengganu Dulu- Dulu





Sedang jari -jemari bermain tetikus melihat koleksi gambar dalam komputer, terpandang satu fail yang mengandungi gambar-gambar lama di mana ia telah di ambil oleh teman baik Cik Adlan Grand Cont Kuala Terengganu.

Apabila di renung, didapati ianya penuh dengan nilai nostalgia, sejarah dan warisan. Beginilah rupanya Kuala Terengganu suatu waktu dahulu. Sebuah pelabuhan yang terkenal dan tercatat dalam sejarah Melayu lama dan sejarah China seperti catatan Tun Sri Lanang, Pelayar terkenal China Laksamana Cheng Ho, Pelayar I- Tsing dan lain-lain catatan.

Masakan tidak, tentunya keistimewaan buatan bot di Pulau Duyung tak akan tersebar ke pelusuk dunia. Ia juga mempunyai sejarah yang tersendiri dan panjang seperti jalinan perdagangan dengan Kerajaan di Songkhla @ Singgora.


Apabila terpandang jam besar bersebelahan Pasar Besar Kedai Payang, teringat masa kecil-kecil dulu semasa mengikut emak ke pasar untuk membeli barangan dan keperluan untuk di jadikan jualan di Felda Chalok @ Kg Rahmat Setiu. Pengangkutan popular di bandar pada masa itu adalah beca roda tiga @ teksi panggilan warga tempatan.

Emak selalu meninggalkan aku dengan seorang pakcik yang kudung kakinya sementara beliau membeli barang. Umur aku pada masa itu 5@ 6 tahun. Kalau ikut tahun antara 1979 hingga 1981. Jam besar menjadi mercu tanda utama bandar Kuala Terengganu. Setiap kali tengok cerita P Ramlee yang menunjukkan jam besar samada di Singapura atau Kuala Lumpur, tentunya memoriku akan kembali kepada jam besar di Pasar Payang Kuala Terengganu.

Monday 12 July 2010

Terengganu wonder pet



Ha..binatang ini macam menarik untuk dijadikan binatang peliharaan. Nampak macam manja dan jinak.

Nama apa binatang ni ye? Kalau di Setiu orang panggil Pok Kangguk @ Pok Angguk, dan banyak terdapat di serata dan seantero negeri. Ada yang panggil sesumpah. Sukahatilah...

Ada ke sesiapa yang nak popularkan binatang ini untuk jadi ikon baru macam wonder pet ke, nimo ke atau lain-lain ikon untuk kanak-kanak atau ikon kartun.

Teringat hari tu ada satu drama bersiri di tv iaitu Nimf di mana ia sebenarnya raksaksa yang menakluk bumi di zaman saintifik dan moden.

Apapun peliharakanlah warisan kita agar binatang ini tidak pupus oleh kesan pembangunan dan kemajuan kita. Biarlah pembangunan kita dirancang dan digerakkan secara lestari di mana warisan kita sentiasa terpelihara dan terjaga.

Saturday 10 July 2010

Masjid Guntung Luar, Setiu... kini hentian pengunjung



Kg Guntung Luar, Setiu kini menjadi pilihan pengunjung untuk berhenti rehat terutama Masjid Kg Guntung Luar di samping menunaikan ibadat yang wajib. Keadaan dan suasana masjid yang nyaman serta kemudahan tandas yang sentiasa bersih menjadi pilihan pengunjung.

Bersebelahan masjid ini juga terdapat Sungai Guntung di mana airnya mengalir jernih. Juga terdapat jambatan gantung di mana kita dapat menikmati pemandangan sungai dan suasana pekan Guntung dari sini.

Apa yang istimewa di Pekan Guntung ini adalah Nasi Pagi Gulai Ayam Kampung dan Itik. Terdapat beberapa kedai yang menyediakan juadah yang istimewa ini. Yang paling popular adalah Kedai Haji Ya Ayam Kampung yang terletak tidak jauh dari simpang Guntung menuju ke Kg Guntung Dalam/ Kg Saujana.

Ia sentiasa menjadi pilihan pengunjung terutama pegawai-pegawai kerajaan dari Bandar Permaisuri serta Kuala Terengganu dan Kota Bharu.

Juga terdapat kedai yang menyediakan masakan tradisional lain seperti nasi kerabu istimewa di sepanjang jalan di Kg Guntung Luar ini.

Jika anda melalui jalan ini, jangan lupa, terdapat keistimewaan yang tersembunyi di sini. Sekali dapat pasti anda akan datang lagi.

Apa dia ni.... khazanah alam

MISAI KUCING



Inilah dia khazanah alam kita yang tak ternilai harganya. Mempunyai nilai tradisi perubatan yang tinggi.

Misai kucing ini dikatakan amat berkhasiat bagi yang mempunyai penyakit darah tinggi, kencing manis serta membantu peredaran darah dalam badan kita.

Bunga dan daun muda boleh dibuat ulam untuk di makan bersama sambal atau budu dan juga boleh dibuat kerabu

MAS COTEK

Manakala Mas Cotek juga turut mempunyai khasiat yang tersendiri di mana telah banyak produk komersil ada di pasaran dalam membantu kita untuk menjadi lebih sihat.

Ia berkhasiat bagi macam-macam penyakit seperti lemah tenaga batin, pemulihan wanita selepas bersalin dan membantu peredaran darah.







KULAT KERING

Ini adalah adalah antara khazanah istimewa hutan semulajadi kita di Terengganu iaitu Kulat Kering yang banyak terdapat di Hutan Simpan Gunung Tebu.

Ia mempunyai keistimewaan yang tersendiri terutama kepada wanita bagi meningkatkan lagi pemuliharaan kewanitaan dan membantu memulihkan wanita lepas bersalin.

Ianya memang diamalkan dikalangan orang asli dan didapati amat mujarab sekali.

Untuk mengetahui lebih lanjut bolehlah menghubungi salah seorang jurupandu alam semulajadi iaitu Saudara Nek Mohd Yunus di talian 019-9359358 yang mahir dengan pelbagai keistimewaan lain khazanah alam di Hutan Simpan Gunung Tebu dan juga herba-herba yang terdapat di sana.

Sayangilah hutan kita. Mulakan dengan tidak membuang sampah merata-rata. Kita ubah sikap kita menjadi kelas dunia supaya pelancongan Terengganu bertaraf dunia.

Friday 9 July 2010

Mayang Sari Resort Dungun...... ada kelasss




Mayang Sari Resort, sebuah resort di pinggiran Teluk Lipat Dungun, memang cantik dan menarik sekali, pemandangan daripada jalan biasa nampak sebagaimana resort biasa sahaja.

Sebaik sahaja masuk ke dalam kawasan resort, suasana dan susunan landskapnya amat menarik dan nampak seakan-akan ala Bali.

Dengan kemudahan kolam renang serta restoran, ia mampu memenuhi keperluan percutian anda di sini.

Setelah 'check in' di bilik 'Pool Villa', terkejut juga rasanya bila melihat dekorasi bilik yang cantik dan menarik sekali. Dengan berkonsepkan 'ala Bali' dan tradisional ia pasti memukau mata sesiapa sahaja. Di sudut bilik terdapat sebuah wakaf rehat yang di hias cantik dan yang paling menarik setiap bilik pool villa ini terdapat kolam renang peribadi setiap bilik.

Apa yang pasti berbaloi rasana bercuti di sini. Siapa sangka di negeri Terengganu yang serba menawan ini juga terdapat resort yang unik dan menarik.

Maklumat lanjut boleh layari laman web: http://mayangsari.com.my/Dungun.html

Thursday 8 July 2010

Rhu Sepuluh.... memang memukau



Rhu Sepuluh, kampung nelayan tradisional yang pasti memikat sesiapa sahaja. Pantainya yang putih melepak pastinya memukau mata sesiapa sahaja. Menjadi destinasi pilihan dihujung minggu dengan hanya bersebelahan jalan utama laluan pantai Kota Bharu - Kuala Terengganu.


Apa yang menarik di sini adalah destinasi ICT utama di Terengganu, iaitu ikan celup tepung, sotong serta udang celup dengan harga yang berpatutan dan segar dari laut.

Juga boleh didapati di sini ikan segar setiap hari gerai jualan ikan.

Pada waktu petang, ianya sesuai untuk berkunjung bersama keluarga untuk bermain bersama anak-anak di taman permainan kanak-kanak.

bookcafe com

AGODA Booking

Get the LOWEST RATE of your hotel BOOKING by Online

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Blog List

kongsi blog