iklan nuffnang

Pelancongan Terengganu

Thursday 30 August 2012

agro resort, setiu , terengganu, apa ada sini??


Entry ini adalah berkaitan sebuah resort di Setiu, Terengganu iaitu Peladang Setiu Agro Resort.

Maklumat lanjut boleh layari laman web: www.agroresort.com atau hubungi 09-6902245 atau 0199192240

Bagi mereka yang ingin mengadakan program rekreasi, kursus, gathering, seminar dan sebagainya, ia amat sesuai sekali.

Aduan Makanan Mahal.. harap-harap tuan punya kedai dapat ambil tindakan serius dan segera

Pada 22/8 bersamaan hari raya ke 4 saya ke kedai makan Nasi Kampung Catering, Padang Nenas, Jalan Mengabang Telipot untuk menjamu selera.Seperti mana maklum pada hari raya sudah pasti sukar untuk mencari kedai kerana ramai peniaga bercuti pada hari raya. Ketika kejadian saya makan seorang diri. Masa tiba di kedai makan terbabit tidak banyak lauk yang tinggal malahan nasi pun sudah tiada. Dalam sekitar 10 minit menunggu nasi telah tiba. Kualiti nasi yang lembik tidak diendahkan kerana lapar. Saya hanya mengambil nasi kosong tanpa kuah, sambal belacan sesudu dan ikan bakar yang saiznya biasa sahaja. Harga tidak dipamerkan dan segelas air teo o ais.


Ketika sedang menjamu selera datang seorang pekerja untuk memberi bil yang ditulis dikertas kosong. Saya tidak endahkan lagi tetapi ketika sedang makan saya tergerak hati untuk melihat bil tersebut. Alangkah terkejutnya dengan harga yang cekik darah tersebut. Saiz ikan tersebut biasa sahaja malah boleh dikatakan standart saiz ikan goreng biasa. Harga dikenakan rm15.50 untuk ikan sahaja. Nasi rm1.50 dan air rm1.20 total rm18.20.
Apabila bertanya pada pekerja dengan berlagaknya cakap itu harga timbang. Pekerja disini tidak mesra alam dan ketika tengah bercakap dengan pekerja disini pun dia berlalu pergi dengan pantasnya tanpa endahkan pertanyaan pelanggan. Saya antara regular customer kedai makan ini apabila pulang ke kampung. Kebiasaanya ikan bakarnya dalam harga rm10-12 sahaja itupun boleh dikatakan berpuas hati dengan saiznya. Saya jenis tidak berkira untuk menjamu selera tetapi harga tersebut tersangatlah tidak logik akal. Disebabkan tidak berpuas hati selera makan saya hilang dan ke kaunter untuk membuat bayaran. Apabila diminta bil secara specific pekerjanya hanya memberi bil biasa tanpa tercatit nama kedai dan harga secara terperinci.

Untuk makluman pada waktu ini pemilik kedai tiada dan pekerjanya yang sangat tidak mesra alam itu menguasai segalanya. Harga tidak dipamerkan dan harga bergantung kepada pekerja sahaja. Harga hanya mengikut suka hati pekerjanya sahaja. Ini kerana sebelum ini saya dan beberapa kawan pernah terkena. Apabila minta dikira keseluruhan  makan 3-4 org harga pada bil sangat berbeza dan pada masa yang sama apabila minta dikira asing iaitu seorang2 mengikut makanan masing2 apabila ditotal pasti tidak sama dengan jumlah keseluruhan tadi. Apabila ditanya pekerjanya hanya buat bodoh dan berlalu pergi.
Saya ada mengambil beberapa keping gambar dan bil yang tidak complete kedai tersebut. Tarikh pada bil tersebut juga tidak betul.
Saya seorang penggemar ikan bakar/seafood. Sekiranya pembaca yang tinggal atau pernah datang ke selangor/kl pasti tahu kedai makan ikan bakar yang famous iaitu istana bukit dan fendi ikan bakar kelana jaya. Kedai makan ini sangat famous dan harga sangat berpatutan. Kebiasaanya jika makan dengan harga rm20 kami boleh makan ikan yang tersangatlah besar. Jika tidak percaya bolehlah berkunjung ke sana dan ianya terletak di BANDARAYA BESAR
Itu jika disekitar kl/selangor. Kedai selera kampung ni terletak di padang nenas kuala terengganu. Jika diikutkan kawasan sekitarnya ianya hanya jalan laluan utama hendak ke Kelantan bukannya terletak di tengah bandaraya. Kedudukan kedainya yang berhampiran laut juga tidak logik dengan harga yang dikenakan. Dan ikannya dibakar awal pagi dlm pukul 10-11am kerana ini terbukti ikan itu sendiri dalam keadaan sejuk.

Pada 24/8 saya ke sebuah restoran seafood yang terletak di bandaraya kuala terengganu. Keadaan restoran ini yang boleh dikatakan special dengan pemandangan indah masjid kristal dan ditepi sungai dan ianya sebuah restoran yang unik(sila google restoran ni dan ianya boleh dikatakan restoran yang STANDART.D muara live seafood (namapun dah GAH ) nama restoran tersebut. Saya memesan nasi putih,sambal belacan,tomyam campur,dan seekor sotong bakar.Sangat terkejut harga hanya sekitar rm17.Ianya MURAH dan BERPATUTAN dan sangat SEDAP. Saya ada sertakan bil restoran special ini pada sebelah kiri dan bil restoran Nasi kampung tersebut sebelah kanan.Perbezaan harga ketara dan kauliti yang berbeza.Didalam bil Dmuara seafood tersebut ada nyatakan Sotong kecil tpi saiznya hanya lebih kurang ikan yang saya makan di restoran nasi kampung tersebut.
Tagline restoran nasi kampung tersebut adalah “mak kita marah jual mahal ” ianya sangat kelakar Ok (ada sertakan gambar ) Berhati-hati ketika memilih kedai makan nasi campur.Kadang2 kedai biasa mengalahkan RESTORAN.
Beberapa keping gambar disertakan.sila tgk saiz ikan..Merujuk pada tulang ikan pun terbukti ikan tu hanya bersaiz biasa atau katogeri kecik.
By: En Kay
PERINGATAN:  AduanRakyat.com.my tidak bertanggungjawab terhadap aduan yang diutarakan melalui laman web ini. Ia adalah aduan peribadi pengadu dan tidak semestinya menggambarkan pendirian AduanRakyat.com.my.

P:S; Blogger juga tumpang simpati pada pengadu, kerana blogger biasa makan di sini dan mengenali tuan punya kedai, apapun diharap tuan punya kedai dapat mengambil tindakan serius dan segera kerana sekali orang kena, mereka akan serik. Tujuan perkongsian ini bukanlah berniat memboikot atau memulau, ia hanya bertujuan untuk menegur supaya sama-sama dapat manfaat. Kita mahu dapat makanan berkualiti pada harga yang wajar.

Tuesday 28 August 2012

Jom kenali Blogger...

Coretan untuk kali ini ringkas sahaja iaitu jom berkenalan dengan Blogger. Apa yang best adalah dalam versi karikatur yang telah dilakar oleh kartunis tempatan iaitu Kulat dan Ram pada tahun 2006 dalam satu pameran di Kuala Lumpur.

Mungkin lepas ni nak minta khidmat Ujang, Zoy, Datuk Lat, Aie serta lain-lain rakan kartunis untuk inspirasikan wajah blogger dalam karikatur. Memang ia menjadi minat blogger.

Apa-apa pun jika pembaca atau follower ada sebarang cadangan untuk blog ini bolehlah email ke terengganulegend@yahoo.com atau komen di blog.

Banyak legi cerita yang akan blogger kongsi antaranya:

-Udang galah di Tanjung Sabtu, Manir,
-Nasi Dagang Chendering,
-Nasi Lemak Kimia
-Maggie Udang Galah


-serta banyak lagi isu dan  lokasi menarik di Terengganu.

Tuesday 21 August 2012

Nasi Mandy Ayam, menu hari raya dari Blogger Terengganumyheritage

Inilah Nasi Mandy Ayam.. made in Terengganu
Menu untuk hari raya kali ini, memang blogger bercadang untuk mencuba Nasi Mandy Ayam.. Mandy Dajjaj kata orang arab. Biasa masak 3 @ 4 cetong @ pot . Kali ini buat dalam 2 kg Beras basmathi super long... panjangggggg.
sungguh berselera pekena nasi arab

Namun alhamdulillah menjadi dan mendapat pujian untuk hidangan petang dan malam. Ia turut dihidangkan dengan 'salatah' atau salad serta salad buah-buahan dan sos krim tomato.
salatah atau salad

ayam mandy

Apa yang best apabila ia dihidang dan dimakan dalam talam dan boleh dimakan 2 atau 3 orang. Ia adalah budaya sunnah yang boleh menambahkan keberkatan dan silaturrahim.
salad sayur sayuran

Salad buah buahan

Nampak gaya lepas ini kena bersedia untuk menjadi chef jemputan untuk masakan arab ini.
Beras basmathi panjangggggggggggggg


Kemeriahan hari raya, jangan lupa budaya ziarah...sayangi orang tua

Solat raya walaupun di surau kecil tetap meriah.

Suasana hari raya cukup meriah diraikan disejenak penjuru kampung. Tiada yang lebih gembira dengan mengunjungi sanak-saudara selain kanak-kanak yang girang ke sana kemari.


Di masa inilah peluang untuk bertanya khabar saudara dan waris selain rakan taulan terutama yang mencari rezeki di perantauan. Kepulangan yang beberapa kali setahun ke kampung halaman adalah peluang untuk bertemu kawan-kawan, juga tautan generasi baru saudara mereka.
sayangilah orang tua kita, kesempatan yang amat berharga

tautan silaturrahim perlu diutuhkan lagi

Kunjungan ke rumah nenek , moyang, atuk serta tok ki adalah penghubung silaturrahim generasi baru dan lama. Budaya ziarah ini perlu kita kukuhkan terutama kepada anak-anak agar lebih memahami budaya menghormati orang tua akan menjadi lebih mendalam untuk mereka teruskan di masa akan datang.

Cabaran tetap ada terutama program tv, internet, gadget canggih yang sedikit melekakan serta mengasyikkan generasi baru hingga terlupa nikmat hari raya yang sebenarnya.

Salam hari Raya Aidil Fitri dari Blogger Terengganu My Heritage, di Besut, Terengganu.

Saturday 18 August 2012

budak kampung SETIU...: Jalan Jalan di Taman Tamadun Islam Pulau Wan Man

budak kampung SETIU...: Jalan Jalan di Taman Tamadun Islam Pulau Wan Man: J alan jalan kat sini sambil membawa kamera dan ambil angin bersama anak-anak memang rasa tak puas dengan suasana petang yang damai dan ten...

budak kampung SETIU...: Masjid Putih Kuala Terengganu

budak kampung SETIU...: Masjid Putih Kuala Terengganu: Beginilah suasana malam di perkarangan Masjid Putih atau Masjid Sultan Zainal Abidin. solat di sini memang selesa dengan berhawa dingin....

Salam aidil fitri dari Terengganumyheritage

Di kesempatan ini Admin blog Terengganu My Heritage ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir dan Batin kepada semua pembaca dan followers blog. Juga kesempatan memohon maaf jika ada tulisan atau komen yang mengguris perasaan atau tidak menyenangkan.

Juga selamat memandu dengan berhati-hati buat mereka yang pulang ke kampung. Sama-samalah kita berbakti kepada kedua ibu bapa kita dan juga sedeqahkan al Fatihan kepada mereka yang telah pergi.

Didiklah anak-anak kita berziarah saudara mara agar warisan dan nilai murni ini berterusan dalam mengharungi cabaran teknologi, TV, Astro, Broadband dan sebagainya.

Salam Aidil Fitri Untuk Semua

Admin
Terengganumyheritage
Setiu, Terengganu

Nasi Mandy dari dapur Blogger.... menjadi aah.. sedap

Inilah hasil nasi mandy yang blogger buat berdasarkan resepi dari internet.. memang menyelerakan

Kali ini blogger ingin berkongsi resepi Nasi Mandy. Setelah menjamunya beberapa kali di Restoran AL Edrus, Gong Badak dan Kg Ladang, Restoran Nasi Mandy AL Fateh Batu Buruk, serta Restoran Assafah di Makkah, tergerak hati untuk mencari resepi Nasi yang enak ini di internet dan mencubanya di rumah.

Nasi Mandy adalah antara masakan nasi utama di rantau arab samada di Mesir, Saudi, Yaman dan sebagainya. Ia dihidang samada dengan kambing, ayam ataupun daging.
enak di makan sayur dan salad serta sos mayonis

Ia di masak istimewa bersama rempah ratus dan nasinya sedap di makan begitu sahaja. Kalau menjadi cadangnya nak buat menu hari raya nanti.

Di bawah ini blogger kongsikan resepinya untuk tatapan pembaca dan mungkin ada ibu-ibu yang ingin mencuba.

Nasi Mandy

bahan-bahan
nasi yang dimasak bersama rempah

Bahan
4 cawan/pot beras basmathi ~ rendam 20 minit dan toskan (beras biasa @ siam pun boleh)
3 camca besar minyak sapi/ minyak zaitun/ minyak jagung / minyak masak
4 cawan air atau secukupnya - **tambah air supaya nasi lembut
1 biji bawang besar ~ hiris halus
3 ulas bawang putih ~ hiris halus
1 inci halia ~ hiris halus btg mancis
1 sudu teh serbuk ketumbar
1 sudu teh jintan manis
1 sudu teh jintan putih
Inilah nasi mandy yang telah masak, ini baru beras biasa, belum Basmathi lagi


Ayam untuk Nasi Mandy
1 sudu teh rempah khabsa @ serbuk kari
sedikit kismis
Rempah tumis ~ 1 batang kayu manis, 1 kuntum bunga lawang, 3 biji buah pelaga, 5 kuntum bunga cengkih
Sedikit pewarna kuning- guna 1 sk kunyit campur dgn sikit air (kalau saffron lebih baik)
Garam secukup rasa.

Cara penyediaan nasi:
1. Panaskan minyak tumis rempah tumis, bawang putih, bawang besar dan halia hingga harum dan bawang layu. Masukkan kismis, goreng sebentar dan masukkan pula air, biar mendidih.
2. Bila mendidih, padamkan api dan tuang ke dalam rice cooker. Masukkan beras dan garam secukup rasa, kacau rata dan masak seperti biasa.
*3. Bila nasi kering, buat lubang ditgh nasi dan letakkan foil. Masukkan 1 sudu minyak dan seketul arang yang telah dibakar. Tutup tudung periuk selama 2minit supaya aroma asap arang tadi meresap ke dalam nasi.
4. Buka semula tudung periuk dan keluarkan foil bersama arang tadi.
5. Titiskan 2-3 titik pewarna kuning, kacau/gembur nasi dan masak nasi sehingga masak.
Untuk dapatkan nasi 2 warna begini jangan kacau rata-rata sangat nasi, nak nasi masak elok yang biasa buat bila masak nasi minyak dll, bila nasi kering tutup nasi dgn aluminium foil yg lebar,barulah tutup dengan tudung periuk....jadi nasi masak elok sebab wap nasi terperangkap.

Resepi Ayam mandy

Bahan-bahan ayam:
1 ekor ayam ~ dibelah 2 dan di cuci bersih
1/2 sudu kecil serbuk ketumbar
1/2 sudu kecil serbuk jintan manis
1/2 sudu kecil serbuk lada hitam
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu kecil serbuk kabsa ( kalau tak ada,gantikn dgn rempah campuran )-letak rempah kari
2 biji bawang besar ~ dihiris bulat
2 biji lemon ~ dihiris bulat
Garam
Sedikit pewarna kuning
Aluminium foil.

Cara penyediaan ayam:

1. Gaul rata ayam dengan semua bahan rempah, garam dan pewarna kuning. Perapkan dalam 15 minit.
2. Alaskan/balutkn bekas/dulang pembakar dgn aluminium foil. Kemudian susun hirisan bawang besar dan lemon atas foil tadi.
3. Letak ayam di atas bawang dan lemon tersebut. Tutup ayam tersebut dengan foil aluminium dan bakar pada suhu 250'c selama 1jam. Pada 10minit terakhir buka sedikit foil bahagian atas.
**suhu oven tak sampai 250'c, jadi bakar suhu 220'c selama 1 jam...kemudian buka bakar bawah grill selama 15-20 minit ...Selamat Menjamu Selera Nasi Mandy Ayam (Dajaj)

Thursday 16 August 2012

Buka Puasa di Motel Desa Kuala Terengganu, dari puncak bukit

Berselera anak-anak berbuka puasa di luar

Pada Ramadhan ke 25 2012, blogger bersama rakan pejabat telah mengadakan majlis Berbuka Puasa di Motel Desa, Kuala Terengganu. Ia sebuah resort yang mempunyai 20 bilik yang terletak di puncak Bukit Pak Apil, bersebelahan dengan RTM Terengganu.


Sungguh damai dan tenang suasana di sini. Pakej Bufet Ramadhan adalah Rm32.00 seorang dewasa dan Rm18.00 kanak-kanak yang dibuka setiap hari. Antara menu untuk hari ini adalah Sup tulang,  Bubur lambuk, ayam grill, nasi kuning, daging masak merah,  gulai ikan aya, ayam goreng, sotong celup tepung serta pelbagai ulam-ulaman, sambal, budu serta cencalok.

Signature dish Ramadhan, bubur lambuk Terengganu yang enak

Turut dihidangkan adalah kuih-muih tradisional seperti netbat, seri muka, beronok sagu, kuih lapis , koleh kacang, pelbagai jenis puding serta bubur pulut hitam. Air pula terdiri dari teh tarik, air soya, kordial dan air tebu. Boleh dikatakan macam-macam ada. Harga pun kira berpatutan.

bagi mereka yang ingin berbuka atau makan-makan dalam suasana yang santai dan tenang di tengah-tengah bandaraya Kuala Terengganu. Inilah tempatnya.
Bandaraya Kuala Terengganu dari puncak bukit


Resort ini mempunyai 20 buah bilik dengan harga dari RM120.00 sebilik semalam hinggalah bilik suite berharga RM380.00 semalam. Ia lengkap dengan kemudahan dewan, restoran, kemudahan seminar dan kursus.

Bagi maklumat lanjut bolehlah berhubung dengan:

Motel Desa
Tel: 09-6223033
email: mdesa@streamyx.com
web: www.moteldesa.com.my

ps: Terima kasih Encik Taufik Hj Ahmad,  Pengurus Motel Desa kerana sudi menjemput blogger untuk merasai keenakan berbuka puasa di Motel Desa.

Monday 13 August 2012

Gua Bewah terus tersohor






Oleh: Suriati Ali

Gua Bewah yang terletak di antara 340 gugusan pulau di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dahulunya hanya terkenal sebagai `kilang tahi kelawar’ berikutan puluhan penduduk sering mengunjunginya untuk mendapat najis haiwan itu.

Terdapat laluan khas yang dibina pihak tertentu bagi mengeluarkan najis kelawar untuk dijadikan baja tanaman.

Kini selepas dinaiktaraf oleh kerajaan Terengganu, lokasi tersohor itu seolah-olah menjadi destinasi wajib di kunjungi bagi pelancong setiap kali menjejak kaki di tasik buatan manusia itu.


Penemuan rangka manusia dipercayai berusia 16,000 tahun milik manusia zaman pra-sejarah antara artifak paling berharga di mana mampu meningkatkan jumlah pengunjung sedia ada ke lokasi itu.

Rangka tersebut dipercayai mayat remaja zaman pra-sejarah yang menghuni gua tersebut dan ia ditanam dalam keadaan merengkok (seperti bayi dalam kandungan), masih dikekalkan di tempat asal ia ditemui.

Artifak yang ditemui awal 2010 dalam kerja-kerja eskavasi itu akan ditempatkan di Gua Bewah selepas infrastruktur penting iaitu bingkai kaca di siap di pasang.

Selain rangka manusia turut dijumpai di gua berkenaan adalah serpihan tembikar tanah yang dipercayai dari zaman Neolitik.

Di antara serpihan tembikar itu terdapat serpihan yang tertulis corak seakan-akan tulisan lukisan batu yang pernah ditemui oleh pengkaji di tapak cari gali zaman Neolitik yang lain di seluruh Malaysia.

Pegunjung berpeluang melihatnya semua khazanah itu secara dekat jika mengunjungi lokasi itu yang jauhnya kira-kira 30 kilometer dari Pengkalan Gawi.

Turut di sediakan adalah mini muzium yang menempatkan gambar-gambar proses mencarigali bahan-bahan sejarah oleh ahli-ahli arkeologi terdahulu.,

Di katakan juga gua ini turut menjadi salah satu tempat persembunyian pahlawan melayu iaitu Mat Kilau.

Untuk kemudahan pelancong, pihak berwajib membina tangga dan laluan berjalan kaki untuk menuju kawasan itu selain dilengkapi dengan lampu solar.
Di kiri dan kanan tangga terdapat struktur batuan yang berbeza-beza menghiasi gua bewah itu.

Jika bernasib baik, pengunjung akan bertemu dengan spesis ular yang berwarna putih dicelah-celah batu yang menjadi salah satu penghuni tetap gua di samping kelawar.

TMT tawar harga istimewa produk kraf sempena raya


Oleh; Esah Abdullah

Tourism Malaysia Terengganu (TMT) mengadakan Mega Sale Ramadan yang menawarkan harga istitmewa terutama produk kraftangan sejak 15 Julai lalu sehingga 30 September ini.

Pengarahnya, Encik Mohd Nasir Khushairi berkata, sempena Ramadan dan menjelang raya, TMT menawarkan harga istimewa untuk semua produk batik, songket dan barangan kraf melalui beberapa pengusaha terpilih.

“Kita turut memberi tumpuan untuk menarik lebih ramai pelancong terutama daripada negeri Melaka dan Johor ke Terengganu, begitu juga sebaliknya,” katanya.

Menurutnya, program itu tercetus apabila pengendali pelancongan di negeri ini mengadakan lawatan ke Johor dan Melaka baru-baru ini yang ternyata banyak usahasama pelancongan dapat dijalin antara ketiga-tiga negeri itu.

Difahamkan pada masa ini rakyat Terengganu merupakan negeri kedua teramai mengunjungi Melaka samaada untuk melancong atau bercuti.

Friday 10 August 2012

Restoran AL Edrus, selera masakan Arab jadi pilihan untuk berbuka puasa

Menu pilihan untuk Nasi Mandy di Restoran Al Edrus, Ladang, Kuala Terengganu

Bagi Ramadhan 2012 ini sekali lagi blogger dan keluarga memilih untuk berbuka Masakan Arab di Restoran Al Edrus Ladang, berhampiran Bulatan Batu Bersurat, Kuala Terengganu.
Nasi Mandy dan Ayam Panggang

Restoran dengan dekorasi yang menarik

Entah mengapa, citarasa Timur Tengah ini cukup menarik perhatian kami sekeluarga untuk merasai sekali lagi Nasi Mandy di Restoran Al Edrus. Di tambah dengan dekorasi restoran yang ringkas dan menarik membuatkan selera kami membuak-buak.
Tak sabar menunggu waktu berbuka

Bila la nak berbuka ni, ayam sedap tu

Nasib baik juga kami membuat tempahan lebih awal, dimana semua meja yang boleh memuatkan 30 hingga 40 orang ini penuh ditempah.
Kambing Mandy istimewa

Menu yang dipilih adalah Nasi Mandy Ayam dan Kambing, Ayam Panggang, serta sup dan air Al Edrus. Apa yang istimewa adalah keenakan Nasi Mandy  yang cukup istimewa ditambah lagi dengan keenakan Ayam serta kambing yang dimasak ala Arab.
wajah gembira selepas berbuka

Wednesday 8 August 2012

Pesta Pelita Raya di Tepoh, Terengganu memang meriah

Oleh: Suriati Ali

Peserta Pertandingan Pelita Raya 2012 membabitkan lima kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh mempamerkan kreativiti masing-masing dengan memasang pelita mengikut kerangka buluh atau kayu yang dicipta.



Terdapat di antara mereka membentuk kerangka bangunan Kuala Lumpur City Center (KLCC), Menara Kuala Lumpur, kapal terbang dan kubah masjid, astaka, kapal layar dan penyu.



Kira-kira 200 rumah di Kampung (Kg) Padang Hangus, Kg Pagar Ubi, Kg Raja, Kg Baru dan Kg Tokeng mula diterangi cahaya pelita kira-kira jam 10 malam atau sebaik saja jemaah pulang dari mengerjakan solat sunat Tarawih.

Suasana menarik serta cukup unik itu dapat dilihat selama tiga malam berturut-turut dan berakhir pada malam ini (5 Ogos).

Tinjauan Teganukita di sekitar kampung yang terlibat mendapati peserta yang terlibat berganding bahu antara ahli keluarga untuk memasang pelita pada kerangka yang dibentuk.

Apa yang menariknya, ada antara mereka masih mengekalkan tradisi membakar `damar raya’ yang diperbuat daripada tempurung kelapa.
Ratusan penduduk termasuk warga asing yang bertandang seakan-akan terpegun dengan suasana itu berikutan sukar didapati di lokasi lain atau di luar Terengganu.

Rata-rata mereka tidak melepaskan peluang merakam gambar untuk dijadikan kenangan atau ditunjukkan kepada saudara atau sahabat.

Peserta pertandingan anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) itu bakal menerima hadiah keseluruhan hampir RM46,500.

Pengarah LMNT, Haji Mohd Yusof Abdullah berkata, pihaknya berasa bangga kerana mampu menganjurkan program yang mampu menghidupkan kembali tradisi lama ini sejak 2009 lagi.

Di samping itu, ia juga dapat menceriakan suasana kampung, memupuk semangat kerjasama antara penduduk dan pemimpin setempat.

“Pertandingan ini akan diteruskan kerana bukan saja mampu menyemarakkan kembali tradisi nenek moyang malah dapat mengasah bakat penduduk berkaitan mereka cipta pelita raya.

“Apa yang membanggakan, pelita yang dipasang itu bukan hanya dibeli dari kedai malah diperbuat daripada pelbagai jenis barangan terbuang seperti tin makanan, tempurung kelapa, botol plastik dan buluh,” katanya.

Menurutnya, LMNT dengan dibantu pelbagai pihak termasuk pemimpin setempat akan terus menganjurkan program seumpama ini sebagai usaha mengekal dan mengembangkan tradisi itu.

bookcafe com

AGODA Booking

Get the LOWEST RATE of your hotel BOOKING by Online

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Blog List

kongsi blog