iklan nuffnang

Pelancongan Terengganu

Saturday 26 May 2012

Cendawan Tiram Kelabu...senang diusahakan.. sedap dimakan



Inilah rupa cendawan tiram kelabu di bongkahnya


Inilah dia kalau nak kenal cendawan tiram kelabu. Ia mudah untuk di tanam di rumah atau tempat yang bersesuaian.

I sesuai bagi sesiapa yang ingin membuat kecil-kecilan atau belajar menjadi usahawan kecil-kecilan. Bila dah biasa mengusahakannya dan memahami tabiat dan habitat cendawan ini bolehlah kalau nak serius menjadi usahawan cendawan.

Pantang larang tentang cendawan ini, ia amat sensitif dengan bahan kimia, asap rokok, minyak wangi, atau sebarang bauan. Dan yang penting ia perlu kepada tempat yang teduh, lembap dan sedikit gelap.
Mudah dijaga tapi perlu tahu caranya

Menu apa yang sesuai? oh banyak sekali, yang paling asas adalah sup cendawan bersama lada hitam, atau goreng bersama telur, juga enak kalau digoreng celup tepung. Selain itu dimasak tomyam, chinese style, western style dan macam-macam lagi.

Kos untuk satu bongkah bagi yang berminat adalah antara RM1.50 hingga RM2.00 bergantung kepada kos pengusaha dan selalunya ia siap disuntik dengan benih cendawan.
Bestkan kalau dapat petik sendiri

Kalau nak tengok macam mana ia diusahakan di ladang, boleh ke Agro Resort, Setiu, Terengganu sebagaimana gambar-gambar ini.
Sesuai untuk sesiapa yang ingin jadi usahawan

Banyak kita boleh belajar macamana cendawan ini tumbuh, jangka hayatnya serta lain-lain yang berkaitan dengan cendawan.

Wednesday 23 May 2012

Makanan Tradisional dan peluang di LPT Pantai Timur.


makan ketupat, lemang dan rendang RM11.00


Baru-baru ini semasa menghadiri mesyuarat di Port Dickson, Negeri Sembilan, sempat singgah di R&R Seremban menuju ke selatan tanahair untuk berhenti rehat dan pekena kopi panas.

Apa yang menarik perhatian blogger adalah gerai jualan ketupat dan lemang bersama rendang. Tak payah tunggu hari raya, hari-hari boleh dapat di sini. Ideanya, menu atau juadah tradisional telah melangkah ke satu dimensi yang baru dan kini semua orang boleh merasanya terutama pengunjung atau pelancong yang singgah di sini.

Kalau diambil kira harganya, tidaklah murah, dengan seketul lemang dan 2 biji ketupat berharga RM6 dan 6 ketul rendang yang dikira timbang kira-kira 100g berharga RM5, jadi semuanya RM11.00. Tetapi ianya berbaloi sebab bukan senang nakjumpa makanan sebegini selain musim perayaan.

Tak payah tunggu raya nak makan
R&R lebuhraya adalah pemangkin ekonomi kepada warga tempatan terutama pengusaha makanan samada makanan ringan, kuih muih mahupun makanan tradisional. Di harap dengan pembukaan R&R di lebuhraya pantai Timur di negeri Terengganu nanti akan memberi peluang ekonomi yang lebih luas kepada warga tempatan dan sekaligus memajukan industri makanan tempatan dan tradisional.

Pelbagai makanan tradisi yang semakin pupus dapat dibangkitkan semula untuk hidangan warga Malaysia yang akan melalui LPT Pantai Timur nanti.

Buat masa sekarang sudah ada beberapa destinasi tetap yang menjadi tumpuan untuk makanan tempatan serta kuih tradisional seperti di Pasar Batu 6, Pasar Cabang 3, Gerai Kuih Jalan Batas Baru, Jalan Pasir Panjang dan sebagainya, tetapi medium jualan ini boleh diperluaskan lagi, terutama di daerah seperti Marang, Setiu dan Besut.
mendapat sambutan baik pengunjung di R&R Seremban

Juga kerjasama pihak PBT dan Pejabat Daerah dalam merancang pembangunan tempatan agar mengambil kira isu dan perkara sebegini supaya perkembangan dan pembangunan sosio ekonomi tempatan dapat berkembang seiring dengan kemajuan seterusnya meningkatkan lagi warisan tradisi ke tahap yang lebih baik.

T Holidays, Setiu terus melangkah setapak lagi dalam industri pelancongan


Tahniah kepada T Holidays Travel & Tours yang beribu pejabat di Bandar Permaisuri, Setiu, Terengganu kerana telah maju selangkah dalam memajukan agensi pelancongan di daerah Setiu.

Dengan memiliki sebuah van pelancongan versi Thailand dengan kapasiti 14 penumpang, lengkap dengan sistem audio visual, ia memberi pilihan untuk melancong dalam negara dengan selesa.

Daripada seorang Kerani di Perpustakaan Awam Setiu, kini Nik Man telah selangkah menjadi usahawan pelancongan sepenuhnya dengan mengendalikan pelbagai pakej pelancongan dalam negara dan luar negara. Juga tempahan bilik hotel-hotel dan resort seluruh negara.

Sama-sama kita memberi sokongan kepada beliau dalam memajukan industri pelancongan domestik. Dan khabarnya pada bulan Jun ini, T Holidays akan mempunyai sebuah bas persiaran yang baru bagi merancakkan lagi industri pelancongan di Setiu dan Terengganu.

Syarikat beliau juga turut mengendalikan tempahan tiket untuk bas ekspres di Perhentian Bas Bandar Permaisuri.

Sekalung tahniah dari bloggers Terengganu My Heritage buat T Holidays!!

Untuk maklumat lanjut dan pakej pelancongan, bolehlah berhubung dengan Saudara Nik Man di talian 019-9836398

Tuesday 22 May 2012

LATA CHAKAH, Setiu, indah bagai anak dara desa yang belum diusik.

Keindahan dan keunikan alam semulajadi di Lata Chakah, Setiu
Kali ini destinasi pilihan blogger adalah LATA CHAKAH, Setiu, Terengganu. Orang tempatan memanggilnya 'Lata Sawa'. Mengapa dipanggil sedemikian, masih menjadi tandatanya.
Memang cantik dan setaraf dengan destinasi perkelahan Sekayu mahupun Lata Tembakah
Apapun ianya memang cantik dan indah dan belum tercemar oleh kemajuan. Kata orang cantik bagai anak dara desa yang belum diusik . Bagi warga tempatan ia sememangnya sudah dikenali tetapi bagi mereka yang diluar daerah Setiu, ia memang belum popular . 

Kawasan Lata Chakah ini telah dilengkapi dengan kemudahan asas oleh pihak berkuasa tempatan dan sentiasa dijaga dengan baik. Cuma promosi atau hebahan untuk mempopularkan tempat ini sahaj masih belum cukup meluas.

Ia boleh menjadi destinasi perkelahan hujung minggu untuk keluarga setaraf dengan destinasi popular lain seperti Lata Tembakah, Sekayu mahupun Lata Belantan.

Dengan air yang jernih dengan landskap berbatu semulajadi memang ia memukau sesiapa sahaja yang hadir di sini.
Kanak-kanak yang paling gembira dapat mandi manda di sini

Lokasinya yang mudah dilalui dengan prasarana yang baik dengan jalan bertar hingga ke tebing. Ia terletak di jalan menuju ke Hulu Seladang jika anda dari Bandar Permaisuri, selepas jambatan belok kiri. Dan jika anda dari Jerteh, belok kanan menuju ke SK Kg Buluh dan jaraknya kira-kira 13 km dari simpang di Bandar Permaisuri.

Jika anda melalui jalan ini pada musim buah-buahan iaitu pada Julai hingga September setiap tahun, kelihatan banyak sekali buah durian di sepanjang jalan ini kerana ia adalah kawasan yang kaya dan banyak dengan dusun buah-buahan.
Airnya yang jernih dan deruan yang mengasyikkan

Apa kata anda merancang untuk ke sini pada hujung minggu atau cuti sekolah bersama keluarga dan anak-anak. Tentu ia menjadi percutan yang menyeronokkan Apa pun keselamatan dan pengawasan anak-anak perlu di ambil perhatian.

Monday 14 May 2012

Tebu Mountain Challenge telah di tunda ke 15 hingga 16 Jun 2012


Semalam, blogger telah mendapat mesej dari urusetia bahawa Kerajaan Negeri Terengganu sebagai penganjur utama TEBU MOUNTAIN CHALLENGE telah memaklumkan bahawa program yang sepatutnya di adakan pada 18 hingga 19 Mei ini telah di tunda ke tarikh 15 hingga 16 Jun 2012 atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
maklumat asal boleh diikuti disini


untuk maklumat lanjut, bolehlah berhubung 012-9297837 dan 019-9178000
Harap maklum

Admin
Terengganu My Heritage

Thursday 10 May 2012

Foto Segmen: Langit Indah di Lembah Jaya, Setiu, Terengganu

Memang indah fenomena langit ini
Ini adalah gambar yang sempat dirakam semasa menghantar anak ke sekolah di waktu pagi di SK Lembah Jaya, Setiu, Terengganu.


Tak rugi menjengok ke langit dan menikmati keindahan dan kebesaran ciptaan ilahi.

matahari baru nak menjengah dunia pagi
Hati puas dan tenang memehatikan keunikan fenomena langit.

Setiap hari langit berubah dan sentiasa berubah samada kita sedar atau tidak.

Sup Herba Tongkat Ali, Ginseng ala Cina di Kg Bukit Bayas, Kuala Terengganu.. memang power

kombinasi pilihan yang mantap... berpeluh
Destinasi pilihan blogger untuk makan tengahari walaupun jam dah menunjukkan 6.00 petang adalah restoran yang menyajikan Sup Herba istime iaitu Restoran Hijrah Oasis, Kg Bkt Bayas, Kuala Terengganu.

Sup herba yang di adun unik bersama tongkat ali, ginseng serta bermacam herba terpilih, rasa berbeza dan enak dan pasti berpeluh


Di antara yang istimewa dan special di sini adalah Sup Daging herba yang di masak bersama tongkat ali, ginseng dan ramuan herba pilihan. Ia dimasak secara masakan Cina. Lagipun tuan punya restoran ini adalah Cina Muslim. Memang berbeza rasa dan teksturnya daripada sup yang biasa kita makan kat warung atau restoran.

Blogger juga memilih Sup Herba ini bersama Nasi Goreng Daging Bakar bersama sos lada hitam dan Kopi Arab yang di adun sendiri. Rasa kopi ini juga unik dan enak dan ada rasa habbatussauda' yang memang berkhasiat.
Nasi Goreng Daging Bakar dengan sos lada hitam

Banyak pilihan juga di sini samada nasi ayam bakar, nasi daging bakar, masakan ala barat serta macam-macam lagi.

Air atau minuman di sini juga menarik, selain kopi arab tadi turut dijualm teh cina, teh bunga, air rebusan tongkat ali, Nescafe Tongkat ali dan macam-macam lagi.

Katanya waktu paling popular untuk kedai ini adalah 'malam Jumaat', mungkin selepas minum dan makan sup herba dapat memanaskan badan dan berpeluh serta menyihatkan badan. Apapun kalau anda nak tahu rasa dan kesannya kena datanglah sendiri mencuba dan  nikmati khasita herbanya.

Lokasi nya jika anda dari Kuala Ibai boleh masuk ke simpang menuju ke Sg Derhaka atau Kg Tok Molor dan ambil kanan dan kanan sekali lagi menuju ke Bukit Besar, dari simpang itu lebih kurang 200 meter di sebelah kanan anda terletaknya kedai tersebut.

Dan jika anda dari Bandar Kuala Terengganu, anda boleh melalui jalan Bukit Besar  dan sebelum simpang ke Tok Molor/ Sg Derhaka/ Kubang Ikan, ia di sebelah kiri anda. Manakala jika anda melalui jalan Pasir Panjang, tiba di  simpang ke Tok Molor /Sg derhaka/ K Ibai/ Kubang Ikan, terus ke hadapan kira-kira 200 meter dan ia di sebelah kanan anda.



Wednesday 9 May 2012

Foto segmen: Langit cantik Kuala Terengganu



Petang tadi masa singgah solat di surau Hj Ibrahim di Hyperuncit Sabasun di Wakaf Tembesu, nampak view langit yang cantik. Dah dekat pukul 7.00 ptg lebih kurang terus ambil peluang belajar ambil gambar.

Kadang apabila kita melihat keindahan alam dan langit yang sentiasa berubah dan fenoma langit ini tidak akan pernah sama pada setiap ketika cukup menabjukkan. 

Memang terasa kekerdilan diri kita. Bukan bermakna mendongak ke langit menjadikan kita sombong, Tetapi kalau kita membiarkan nafsu menguasai kita, pasti ia mencorakkan perlakuan negatif.

Monday 7 May 2012

Warga Setiu, Jom Senamrobik setiap pagi Jumaat


seronok bersenam beramai-ramai


Kepada semua warga Setiu, anda semua dijemput untuk sama-sama menyertai aktiviti senamrobik pada setiap pagi Jumaat di padang astaka Sungai Tarom Setiu.


Acara akan dimulakan dari jam 7.30 pagi hingga 8.30 pagi. Bawa bersama anak-anak bagi sama-sama memeriahkan aktiviti yang menyihatkan ini. Ia akan dipimpin oleh jurulatih yang terlatih dan bertauliah dari Pejabat Kesihatan Daerah Setiu . Program ini juga mendapat kerjasama YB Abd Halim Bin Jusoh, ADUN Permaisuri yang turut menyumbangkan hamper dan t shirt ADIDAS sebagai hadiah cabutan bertuah.
kecil besar tua muda turut sama bersenam robik


Sambil bersenam anda juga berpeluang untuk mendapat hadiah cabutan bertuah setiap minggu. Program ini mendapat sambutan yang baik di kalangan warga Setiu dan bilangannya sentiasa bertambah dari anak-anak kecil hinggalah warga emas.


Jom kita menyihatkan badan dengan aktiviti riadah yang menyihatkan badan. Bersenam dengan baik boleh mencegah penyakit-penyakit kritikal seperti sakit jantung, kencing manis, darah tinggi, obesiti dan sebagainya.

Saturday 5 May 2012

Sambutan Hari Perhutanan Sedunia Peringkat Negeri Terengganu 2012 di Agro Resort, Setiu, Terengganu

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu,Tuan Haji Azmi Bin Nordin menanam pokok sebagai perasmian Sambutan Hari Perhutanan Sedunia peringkat Negeri Terengganu

Pada hari ini 5 Mei 2012, telah di adakan Sambutan Hari Perhutanan Sedunia peringkat Negeri Terengganu oleh Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu di Peladang Setiu Agro Resort, Setiu, Terengganu.

Program ini telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu iaitu Tuan Haji  Azmi Bin Nordin dan turut dihadiri oleh semua anggota jabatan seluruh negeri.
Pengurus Besar Agro Resort, Tuan Haji Nik Wan Bin Mustaffa turut sama menyumbang tenaga menanam pokok sempena majlis

Sempenan dengan sambutan ini, lebih daripada 300 anak pokok hutan terutama spesis yang semakin pupus  serta yang menjadi khazanah negara seperti Karas, Damar, Kecupu, Cengal dan bermacam-macam lagi telah ditanam sebagai simbol menghargai dan menjaga warisankhazanah hutan kita.
Penolong Pengarah, Puan Norzalyta juga turut sama-sama menanam pokok bagi memulihara warisan hutan kita.

Blogger turut sama berpeluang menanam pokok sebagai kenang-kenangan sempena sambutan Hari Perhutanan Sedunia.


Bersempena dengan sambutan Hari Perhutanan ini juga, telah diadakan sambutan Hari Keluarga Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu yang telah diadakan pada waktu dan hari yang sama. Ianya telah dimeriahkan dengan pelbagai acara seperti sukaneka, bintang karaoke, pertandingan memancing, cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah lumayan dan menarik serta diserikan dengan acara kemuncak iaitu tarik tali antara zon.
















Program ini bukan sahaja dapat menceriakan anak-anak dan kanak yang turut dihiburkan dengan aksi badut, malah dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan antara kakitangan jabatan dan silaturahim.
wajah riang kanak-kanak bersama badut


Tuesday 1 May 2012

Kadar Gaji Minimum Swasta Di tetapkan RM900

semalam 30 APril sempenan Hari Pekerja, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumlan kadar gaji minimum bagi sektor swasta di mana ia ditetapkan pada kadar RM900 bagi semenanjung dan RM800 bagi sabah/ sarawak/labuan. Dan kalau di kira mengikut jam, kadar minimum adalah RM4.33 satu jam semenanjung dan RM3.85 satu jam.


Ia akan di laksanakan dalam tempoh 6 bulan hingga setahun dari tarikh di wartakan bagi memberi peluang kepada majikan kecil menyesuaikan kadar gaji di syarikat masing-masing.


Walaubagaimanapun kadar gaji ini tidak termasuk bagi perkhidmatan domestik seperti pembantu rumah, tukang kebun dan pemandu.


Kadar yang ditetapkan ini adalah satu kadar bagi semua sektor dan ianya sama samada pekerja tempatan mahupun pekerja asing.


Bagi pekerja kontrak dan sambilan juga tertakluk kepada arahan ini walaupun mereka dibayar mengiku jam bekerja masing-masing.


Jika berlaku pengingkaran , bagi kesalahan pertama boleh didenda RM10,000 setiap pekerja , jika ingkar: RM1000 setiap pekerja sehari. Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 5 tahun atau kedua-duanya sekali.


Kadar gaji minum ini akan disemak setiap dua tahun.


Bagi blogger, pengumuman ini adalah satu rahmat bagi pekerja yang purata gaji mereka jika di Setiu ini di tempat blogger adalah sekitar RM550 hingga RM600 sebulan. Namun bagi majikan ia adalah satu cabaran yang besar di mana kenaikan kadar upah sebanyak 64% adalah suatu yang cukup besar. 


Ada kemungkinan pengambilan pekerja akan dihadkan atau pekerja sambilan atau kontrak akan digunapakai bagi menyerap kos kenaikan upah ini.


Jika tidak dibuat demikian, harga perkhidmatan mahupun barangan akan meningkat dan pelanggan terpaksa menanggung kos ini dan mengakibatkan dayasaing dalam perniagaan akan menjadi ketat dan sukar.


Dan diantara perkara yang paling membimbangkan adalah, mereka yang berkelulusan rendah mungkin akan sedikit sukar mendapatkan pekerjaan jika mereka tidak mempunyai kemahiran tertentu. Pihak majikan terpaksa berfikir dan memilih pekerja yang mempunyai pelbagai kemahiran serentak @ multi skilling atau tasking bagi memenuhi keperluan gaji minimum ini.


Selalunya mereka yang berkelulusan Diploma atau mempunyai sijil kemahiran di tawarkan gaji permulaan minima RM900, melainkan mereka telah mempunyai pengalaman dan kemahiran yang bersesuaian.


sumber: Berita Harian selasa 1 Mei 2012

bookcafe com

AGODA Booking

Get the LOWEST RATE of your hotel BOOKING by Online

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Blog List

kongsi blog