iklan nuffnang

Pelancongan Terengganu

Thursday 30 September 2010

Terengganu Secara Am

Terengganu secara amnya adalah salah satu negeri di Pantai Timur yang mempunyai keluasan seluas 12,995 km persegi dan 225 km panjang pantainya yang memutih dan cantik.

Ibu Negeri
Kuala Terengganu adalah ibu negeri dan bandar diraja yang terletak di pinggir Sungai Terengganu dan kini dikenali sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air.

Daerah
Mempunyai 7 daerah iaitu Kuala Terengganu, Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman

Populasi
Anggaran populasi di negeri Terengganu adalah lebih kurang 1 juta orang di mana 95% adalah orang-orang Melayu dan selebihnya adalah kaum Cina , India dan lain-lain.

Hari Bekerja
Hari Bekerja di negeri Terenganu adalah Ahad hingga Khamis dan Jumaat dan Sabtu adalah hari minggu dan kelepasan am.

Cuaca
Ia adalah beriklim tropika dengan purata cuaca di antara 26'C hingga 33'C. Dan kebiasaan mengalami hujan lebat dan berangin pada November hingga Januari setiap tahun. Dan kehidupan serta perniagaan adalah berjalan seperti biasa pada waktu tersebut.

Bahasa
Bahasa rasmi adalah Bahasa Malaysia. walaubagaimanapun Bahasa Inggeris juga digunakan dengan meluas.

Matawang
Matawang rasmi adalah Ringgit Malaysia (RM). Para pelawat boleh membuat tukaran di mana-mana "money changer' atau bank perdagangan. Walau bagaimanapun sesetengah premis perdagangan banyak menerima penggunaan kad kredit dengan meluas.

Kredit Kad
Semua kredit kad utama internasional adalah diterima seperti Visa, Mastercard, American Express, JCB dan sebagainya.

Agama
Islam adalah agama rasmi dan agama lain juga diamalkan dengan harmoni.

Kod Pakaian
Pelawat diingatkan agar tidak berpakaian menjolok mata bersesuaian dengan budaya tempatan terutama ditempat awam. Pelawat juga dilarang berpakain secara tidak sopan seperti berpakaian renang (swimsuit) di tempat awam atau tidak berpakaian ketika mandi di pantai.

Makanan Terengganu.. memang enak dan unik

Makanan-makanan Terengganu sentiasa menjadi kegilaan dan igauan bagi sesiapa yang pernah berkunjung ke negeri cantik ini.
Sebut sahaja Terengganu, pasti terbayang keenakan Nasi Dagang bersama Gulai Ikan Aya. Dari Besut sampai ke Kemaman, masing-masing ada destinasi terbaik untuk Nasi Dagang. Apa lagi kalau di kawasan Kuala Terengganu terutama Chendering dan Kuala Ibai.
Campuran nasi dan beras pulut ini sungguh enak sekali di makan dengan gulai ikan dengan aroma rempah yang sememangnya sebati dengan nasi. Ia juga boleh di makan bersama Gulai Udang, Gulai Telur atau Gulai Itik dan Ayam Kampung.

Laksam dan laksa ala Terengganu juga adalah makanan warisan dan tradisi di mana ia diperbuat daripada tepung gandum dan tepung beras. Manakalanya kuahnya pula adalah kuah lemak yang diperkaya dengan ikan. Bagi laksa ia juga boleh dimakan bersama kuah lemak serta kuah Terengganu atau pun kuah laksa Pinang. Ia di makan bersama ulam-ulaman, sambal dan belacan. Biasanya ia disaji pada waktu pagi dan waktu petang atau malam. Untuk mendapatkannya tidak begitu susah dan boleh didapati disepanjang jalan dari Besut hingga ke Kemaman.

Bagi makan petang, selain keropok lekor, yang menjadi pilihan adalah Sata dan Otak-Otak, Kuala Kemaman dan Kuala Besut adalah antara destinasi yang paling menjadi tumpuan dan amat terkenal dengan makanan ini.Ianya perlu diperbuat daripada ikan segar bagi mendapatkan rasa manis ikan selain rempah ratus yang lain. Baunya selepas dibakar amat mencabar perut dan selera.

Itu adalah sebahagian keistimewaan Terengganu tentang makanan. Banyak lagi makanan yang enak-enak dan istimewa di Terengganu yang tiada bandingannya seperti ketupat sotong, pulut lepa, nasi kerabu, nasi minyak, nasi kuning, nekbat, akak telur, akak berlauk, buah gomok dan macam-macam lagi.

Nak dapat semua ini kena teroka dan jelajahi warung-warung di Terengganu, pasar-pasar malam, pasar utama Pasar Payang, Cabang Tiga, Batu Enam, Bukit Besar dan lain-lain.

Warisan Terengganu sememangnya hebat...

Terengganu welcomes the world.

Tradisi Main dan Buat Wau


Suatu ketika dahulu, semasa blogger masih dizaman kanak-kanak, bermain wau atau layang adalah satu kegilaan hingga lupa makan dan minum. Macam-macam jenis wau telah dicua. Semuanya hasil buatan tangan dan sendiri.

Dulu yang ada dikedai hanyalah layang-layang plastik. Nak main kena tambah ekornya. Selalunya wau yang dibuat adalah wau barat, wau burung, wau kucing dan lain-lain. Yang tak naik langsung pun ada juga. Bahan yang digunakan adalah kertas wau bersama benang dan gam kanji atau nasi. Buluh dicari dibelukar dan dijemur serta diraut. Kadang-kadang minta tolong orang yang lebih dewasa supaya wau yang dibuat seimbang dan yang paling penting adalah terajunya. Kalau tak seimbang maka tak naik lah wau itu.

Itu kenangan dulu, sekarang ini agak sukar melihat wau hasil kerja tangan. Kanak-kanak sekarang sudah banyak memiliki permainan lain. Main wau bukan lagi menjadi kegilaan. Namun begitu masih ada segelintir yang masih meminati dan memainkan wau ini.

Sebenarnya main wau ini memupuk kesabaran, ketekunan dan kelembutan dalam bertindak. Berkomunikasi dengan wau umpama berkomunikasi dengan manusia atau insan lain. Ianya perlukan kesabaan, tolak ansur, tak boleh paksa atau tergesa. Ibarat kata seni bermain wau selari dengan apa yang kita perlu lakukan dalam hidup.

Permainan ini juga berkait rapat dengan budaya hidup rakyat Terengganu di mana mereka selalunya bermain selepas musim menuai padi bagi yang tinggal di pedalaman dan juga diluar musim tengkujuh bagi yang tinggal di pantai.

Apa yang menarik, bagi wau bulan atau wau barat ada dengungnya yang tersendiri yang dibuat dan berbunyi apabila ditiup angin. Bunyi ini amat mengasyikkan dan merdu sekali.

Walaupun muncul pelbagai wau moden yang pelbagai bentuk dan warna dari negara luar, tetapi kehebatan wau bulan serta wau barat tetap terserlah terutama dari segi hiasan awan larat danseni halusnya. Wau bukan sekadar untuk naik malah ia adalah hasil seni yang hidup dan unggul. Sama-sama kita jaga warisan seni kita.

Terengganu welcomes the world

*Terima kasih Cik Adlan Grand Cont di atas perkongsian gambar yang menarik

Wednesday 29 September 2010

Dunia dan Gaya Hidup Orang Terengganu





Gaya dan budaya hidup orang Terengganu adalah amat rapat sekali dengan laut. Laut adalah sumber inspirasi hidup rakyat Terengganu. Dari perut laut datang sumber kekayaan yang membangunkan negeri dan rakyatnya.


Laut juga mempunyai interpretasi sendiri bagi penduduk Terengganu. Walaupun hari-hari menongkah arus ke laut mencari rezeki masih ada segelintir yang masih berhempas pulas memerah keringat untuk mendapatkan sesuap nasi.

Itulah dunia laut, ada yang mengecapi kekayaan dari laut dan ada yang terus bergantung kepada laut demi sesuap nasi.

Dari hasil laut jugalah yang telah membawa Terengganu ke persada dunia. Keropok lekor, ikan aya untuk nasi dagang, budu, hasil petroleum, monsoon cup, bot Pulau Duyung telah membawa Terengganu ke dimensi baru kepada dunia.

Jangan tinggalkan laut tapi bantulah mereka yang susah walaupun hari-hari ke laut. Dunia warisan kita perlu kita kekalkan dengan sama membantu meningkatkan lagi taraf ekonomi rakyat Terengganu.

Ayuh Terengganu teruskan ke persada dunia...

*terima kasih Cik Adlan Grand Cont di atas sumbangan gambar-gambar yang penuh bererti

Jeti Penambang Pasar Payang... lambang kuasa maritim suatu ketika dahulu




Dulu ia adalah nadi dalam menghubungkan penduduk di Seberang Takir, Pulau Duyung, Pulau Sekati malah sampai ke Manir, Teluk Pasu serta Tanjung Sabtu dengan pusat bandar Kuala Terengganu.

Bagi sesetengah penduduk yang tinggal di pinggir sungai Terengganu, adalah lebih mudah menggunakan perahu atau bot untuk ke Pasar Payang daripada jalan darat.

Jeti penambang semakin ditelan arus, dengan arus kemodenan serta pembangunan yang kini telah pesat telah memberi kesan kepada pengangkutan ini. Apakah ia akan kekal dalam menongkah arus kemodenan di mana boleh dikatakan setiap rumah mempunyai kenderaan masing. Jeti kini semakin lesu.

Perlu ada usaha untuk mengekalkan pengangkutan tradisi yang boleh dianggap sebagai warisan rakyat Terengganu. Ia juga melambangkan bahawa ornag Terengganu dahulu adalah mahir dan pakar dalam dunia maritim. Masakan perusahaan bot di Pulau Duyung diiktiraf antara pembuatan bot terbaik dunia, juga kapal-kapal dari Terengganu sentiasa berdagang ke Singgora atau Songkla di Thailand malah mungkin lebih dari itu lagi.

Dunia sungai dan laut adalah nadi nyawa kepada Terengganu. Usaha mempertahankan warisan dunia pelayaran perlu diusahakan supaya bangsa Terengganu yang hebat dalam dunia maritim perlu ditonjolkan atau dikembalikan kegemilangan silam sesuai dengan perkembangan dunia moden.

*Terima kasih Cik Adlan Grand Cont... atas sumbangan dan berkongsi gambar-gambar yang menarik

Taman Shahbandar.. panorama malam




Jalan-jalan di Taman Shahbandar pada waktu malam memang meriah dan menyeronokkan. Seronok anak-anak melihat kerlipan lampu yang berwarna warni memenuhi ruang.

Dengan suasana yang sejuk dan tenang membuatkan kunjungan berasa selesa sambil menghirup udara di benteng sungai. Kelihatan kaki-kaki pancing dengan joran masing memburu ikan-ikan sambil bersembang dengan kawan-kawan.

Beikut adalah rakaman gambar-gambar suasana malam di Taman Shahbandar.

* Terima kasih Cik Adlan Grand Cont di atas kongsian gambar-gambar yang menarik dan bermakna sekali

Kenangan di Laguna Setiu





Laguna Setiu di Kg Gong Batu sentiasa menggamit rasa dan memori bagi sesiapa yang pernah datang ke sini.

Banyak sekali aktiviti boleh dilakukan di sini. Yang pasti ia boleh meredakan stress dan tekanan kerja anda. Memang seronok bila dapat melakukan aktiviti bersama-sama terutama sekali dengan bos anda sekali seperti mencari kerang dan tiram, memukat dan menarik pukat, bermain bola sepak dan bola tampar pantai.


Apabila matahari mula mengundurkan diri, jelas sekali dapat dilihat dan dinikmati suasana 'sunset'. Sungguh memukau pandangan mata.Kemudian sama-sama ber'bbq' dengan hasil tangkapan pada siang tadi. Bagi kaki pancing, mereka masih meneruskan aktiviti dengan joran masing-masing untuk mencuba sentapan siakap, pari, dingkis dan lain-lain mangsa yang sentiasa diburu.



Yang paling best tidur bergelimpangan bagaikan pelarian, tidak mengira anda bos atau pegawai biasa, semuanya tidak diendahkan yang penting melelapkan mata dengan selesa dan damai dengan tiupan bayu laut.


Pada waktu dinihari, sekali lagi sama-sama menyaksikan bangkitnya mentari pagi, orang putih cakap 'sunrise'. Memang indah sekali alam dalam suasana begini.


Sesekali beraktiviti sebegini walaupun penat tapi otak dan minda dirasakan ringan sekali.

Terima kasih Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu, semua PPK termasuk tuan pengarah, pegawai-pegawai kanan, pengurus-pengurus besar PPK kerana sama-sama menikmati percutian dan aktiviti yang meriangkan di sini.


*Laguna Agro diuruskan oleh Agro Resort, maklumat lanjut boleh hubungi talian 09-6902245 dan lawati laman web www.agroresort.com
Terima kasih Cku Izan dan Cku Bakar di atas sumbangan gambar yang cantik

Masjid Sultan Zainal Abidin @ Masjid Putih




Masjid Sultan Zainal Abidin atau Masjid Putih antara masjid utama di negeri Terengganu. Ia mempunyai sejarah yang tersendiri dan nilai tradisinya sendiri.

Ia juga boleh dikatakan nadi kepada Kuala Terengganu suatu masa dahulu hinggalah kini. Kedudukannya yang terletak di tengah-tengah atau berhampiran dengan pusat tumpuan orang ramai seperti Pasar Payang, Jeti Penambang, Istana Maziah pusat pentadbiran dan perniagaan serta lain-lain kemudahan.

Kini ia telah dinaik taraf dan dibaik pulih dengan mengekalkan keaslian bangunan utama dan turut dilengkapi dengan penghawa dingin bagi keselesaan pengunjung.

Ia juga menjadi lokasi bagi program Suara Masjid anjuran RTM dan Terengganu FM yang berlangsung setiap malam.

Dengan wujudnya program-program ilmu menjadikannya lebih bermakna dan sentiasa memberi manfaat kepada jemaah yang dahagakan ilmu kerohanian.

Dibelakang masjid juga terdapat tanah perkuburan di raja dan juga para pembesar-pembesar negeri serta rakyat jelata. Ia juga dijaga dengan baik dan mempunyai nilai sejarah yang tinggi.

Masjid ini tetap teguh mengharungi zaman dan terus menjadi antara tunggak warisan dan sejarah negeri Terengganu.

Melepak di Oldtown Kuala Terengganu



Pada Sabtu lepas, semasa dan kebetulan ada program di Kuala Terengganu rasa nak cuba kopitiam yang baru bertapak di Terengganu iaitu Oldtown Whitecoffee Kopitiam, Jalan Air Jernih. Dulunya ia adalah Ganu Cafe Kopitiam.


Memang tidak dapat dinafikan dekorasi dalaman dan hiasan lampunya memang cantik dan menarik. Gabungan hiasan moden dan klasik menzahirkan kesan yang dramatik.

Pelbagai menu menarik dapat dilihat pada menu. Mencuba Roti Bakar ala Oldtown, bersama Hazelnut Coffee dan macam-macam lagi. Sekadar ingin mencuba.

Kelihatan ramai juga pengunjung yang melepak di sini.

Jelas sekali Kuala Terengganu kian mendapat sambutan untuk produk-produk francais bertapak di sini.

Recce Tourism di Agro Resort


Recce daripada Tourism Malaysia Terengganu dan Bhgn Domestik ibu pejabat Tourism Malaysia telah dibuat di Agro Resort. Walaupun telah sampai pada lewat petang, kesemua pegawai masih bersemangat untuk melihat kawasan persekitaran Agro Resort.

Mereka telah dijamu dengan teh tarik, sata serta goreng pisang roti bakar dan lain-lain masakan seperti mee ratna dan mee tomyam. Masing-masing berselera walaupun sudah keletihan.

Lawatan ini adalah ekoran Program Misi Jualan Domestik Tourism Malaysia Terengganu pada hujung Oktober nanti yang melibatkan media serta peserta dari luar Terengganu.

Tuesday 28 September 2010

Panorama Di Tanjung Jara....



Ini adalah gambar-gambar yang dirakam blogger ketika berkunjung ke Tanjung Jara Resort tempohari. Tak puas berjalan mengelilingi resort di sini.

Ia sememangnya resort yang indah dan sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

Kawasan persekitaran termasuk Kg Tanjung Jara sendiri cukup kuat menzahirkan elemen tradisional.

bookcafe com

AGODA Booking

Get the LOWEST RATE of your hotel BOOKING by Online

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Blog List

kongsi blog