iklan nuffnang

Pelancongan Terengganu

Sunday 28 April 2013

Pondok Ubudiah Pasir Akar... melengkapkan anak-anak dengan ilmu Islam yang praktikal


Mengunjungi Pondok Ubudiah Pasir Akar, Besut, Terengganu suatu yang menenangkan. Ia adalah sebuah pondok moden yang diusahakan di sebuah tanah wakaf berhampiran pekan Pasir Akar, Besut.

Ia terbuka samada kepada anak-anak mahupun golongan dewasa yang ingin menimba ilmu serta beramal ibadah secara konsisten dengan bimbingan ustaz serta mudir yang bertauliah dan berpengalaman.


Di pondok ini turut disediakan penginapan secara asrama bagi pelajar dan bilik penginapan moden dan selesa bagi golongan dewasa dan berusia dengan dilengkapi kemudahan bilik air dalam bilik.

Bagi mereka yang ingin menghantar anak-anak semasa cuti sekolah juga boleh berbuat demikian bagi mendidik dan mendekatkan anak-anak dengan didikan dan penerapan nilai-nilai Islam yang tinggi dengan bimbingan mudir.

Ia terletak di sebelah kiri jalan sebelum pekan Pasir Akar jika anda daripada Bandar Jerteh.

Pengalaman admin sendiri singgah solat maghrib sambil mendengar kuliah maghrib juga suatu pengalaman berharga walaupun singkat dengan turut dihadiri penduduk sekitar yang dahagakan ilmu-ilmu dan didikan Islam.

Pendidikan pondok masih relevan dan amat diperlukan bagi mendidik dan menerapkan nilai-nilai Islam yang baik yang mungkin terabai dalam sistem pendidikan persekolahan sekarang. Ia membantu melengkapkan anak-anak kita dengan pengukuhan ibadat serta amalan yang praktikal seperti solat berjemaah 5 waktu, bacaan Al Quran dan hadis, serta pembentukan nilai-nilai akhlak yang baik di samping ilmu-ilmu lain yang penting bagi menjadi seorang muslim yang sempurna.

Makan Tom Yam.. Bukit Jong, Kuala Terengganu


Setiap kali ingin makan tom yam, pastinya kita akan mencari kedai yang akan memenuhi selera kita. Banyak sekali restoran dan warung yang menjual tom yam , tetapi setiap kedai mempunyai rasa yang berbeza dan tidak sama.

Di antara kedai tom yam yang memenuhi selera dan citarasa admin adalah kedai Tom Yam Bukit Jong, Kuala Terengganu yang berhadapan dengan kuari batu.

Rasa tomyamnya cukup memikat dengan Tom Yam putih yang cukup berbeza rasanya dan terasa keaslian Thainya. Ianya nampak ringkas sahaja tetapi apabila dihirupnya, cukup memikat.

Kedai ini bagaikan mempunyai pelanggan tetap terutama pemandu-pemandu lori yang melalui jalan Kuala Terengganu- Jerteh.

Menu yang sentiasa menjadi pilihan di sini adalah Tom Yam Campur, telur dadar dengan nasi putih. Kadang-kadang ditambah dengan kailan ikan masin.

Anda perlu cuba tom yam di sini dan rasai perbezaannya. Bagi menu lain rasanya, biasa-biasa sahaja.

Di antara restoran lain yang mempunyai tomyam yang cukup memikat adalah Restoran De Tunggal, di Bukit Tunggal. nanti admin akan preview semula rasa tom yamnya untuk sama-sama kita kongsi pengalaman dan rasanya.

Selamat mencuba

Tuesday 23 April 2013

Kenapa nak roboh Pasar Payang?




 
Saya berasa sangat sedih bahawa kerajaan negeri Terengganu masih hendak meneruskan keputusannya merobohkan Pasar Payang di Kuala Terengganu dan digantikan dengan Kompleks Perniagaan yang moden. 

Saya hairan dengan keputusan ini sedangkan rata-rata rakyat dan berbagai NGO membantah keputusan tersebut.

Selaku mantan menteri kebudayaan dan kesenian Malaysia, saya juga ingin merayu kepada pihak menteri besar dan kerajaan negeri Terenganu agar mengkaji semula keputusan tersebut.

Pasar Payang di Kuala Terengganu bersama Pasar Siti Khadijah, Kota Bahru adalah dua kompleks ikonik dan bersejarah dan merupakan imej yang hebat mengenai kekayaan warisan dan budaya bukan sahaja Kota Bahru dan Kuala Terengganu tetapi juga bagi seluruh negeri Terengganu dan Kelantan dan rakyatnya.

Semasa saya menjadi menteri kebudayaan, kesenian dan pelancongan dahulu saya telah meluluskan berbagai peruntukkan untuk membaiki dan menaikkan taraf kedua-dua kompleks bersejarah ini agar ia bukan sahaja lebih selesa kepada peniaga-peniaga di situ tetapi juga kepada ribuan pelancong yang datang melawatnya sepanjang masa.

Negeri Terengganu dan Kelantan memang terkemuka dari segi "Program Cuti-Cuti Malaysia". Dan antara tarikan utamanya adalah Pasar Payang dan Pasar Siti Khadijah. 

Kedua-dua kompleks warisan ini menjadi sebutan khususnya di kalangan rumpun Melayu bukan sahaja di Malaysia tetapi juga Selatan Thailand dan Indonesia.

Sehingga sekarang saya sendiri apabila berada di Kuala Terengganu atau di Kota Bahru akan mencari masa untuk bersiar-siar di kedua-dua Pasar Besar ini. 

Di seluruh dunia pasar-pasar seperti inilah yang menjadi tarikan utama kepada pelancong-pelancong dari luar negara.

Pihak kerajaan negeri Terengganu telah pun berbelanja beratus juta ringgit untuk menambak tanah sekitar pantai dan kuala Sungai Terengganu. 

Pada pandangan saya tempat ini adalah yang lebih sesuai untuk membina sebarang kompleks-kompleks baru termasuk hotel, kondominium dan juga kompleks perniagaan moden dan berhawa dingin.

Oleh itu, bagi pihak seluruh rakyat Malaysia dan juga industri pelancongan negara dan juga dari sudut usaha kerajaan hendak memelihara dan mempertahankan warisan-warisan negara.

Saya inginlah merayu agar Pasar Payang di Kuala Terengganu ini jangan dirobohkan dan sebaliknya ia boleh diperbaiki agar lebih selesa kepada semua.


NONEABDUL KADIR SHEIKH FADZIR presiden penaja Parti Ikatan Bangsa Malaysia. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.



sumber: Malaysia Kini

Tuesday 16 April 2013

Terkini Calon Barisan Nasional PRU13 di umumkan


Di antara calon-calon BN untuk PRU 13 di umumkan dan menamatkan penantian dan teka teki serta spekulasi sebelum ini.

Berikut adalah senarai calon Barisan Nasional daripada blog Teganu Kita:

P033 - BESUT - DATO' SERI IDRIS JUSOH
N01- KUALA BESUT - DR. ABD. RAHMAN MOKHTAR
N02- KOTA PUTERA - MAHADI MUSA
N03- JERTEH - MUHAMAD PEHEMI YUSOF
N04- HULU BESUT -EN. NAWI MOHD

P034 - SETIU - MOHD ZULKIFLI JUSOH
N05- JABI - ISKANDAR
N06- PERMAISURI - DATUK MOHD JIDIN BIN SHAFIE
N07- LANGKAP - SABRI MOHD NOR
N08- BATU RAKIT- BAZLAN ABDUL RAHMAN


P035- KUALA NERUS - DATO' MOHD NASIR IBRAHIM FIKRI
N09- TEPOH - MUHAMMAD RAMLI NUH
N10- TELUK PASU - DATO' ABDUL RAHIN MOHD SAID
N11- SEBERANG TAKIR - DATO' AHMAD RAZIF ABD. RAHMAN
N12- BUKIT TUNGGAL - HAJI ISMAIL NIK

P036- KUALA TERENGGANU - EN. ZUBIR EMBONG
N13- WAKAF MEMPELAM - WAN MAHYUDIN WAN NGAH
N14- BANDAR - DATO' TOH CHIN YAW
N15- LADANG - DATO' WAN AHMAD FARID WAN SALLEH
N16- BATU BURUK - DATUK CHE MAT JUSOH

P037- MARANG- DATO' HAJI YAHYA KHATIB MOHAMAD
N17- ALOR LIMBAT - HAJI ALIAS ABDULLAH
N18- BUKIT PAYONG - ZAIDI MUDA
N19- RHU RENDANG - NIK DIR NIK WAN KU
N20- PENGKALAN BERANGAN - A. LATIF AWANG

P038- HULU TERENGGANU - DATO' JAILANI JOHARI
N21- TELEMONG - ROZI MAMAT
N22- MANIR - YUSOF AWANG HITAM
N23- KUALA BERANG - DATO' TENGKU PUTERA TENGKU AWANG
N24- AJIL- RAZALI BIN TAIB

P039- DUNGUN - DATO' ROSLI MAT HASSAN
N25- BUKIT BESI - ROSLI BIN DAUD
N26- RANTAU ABANG - DATO' ZAABAR MOHD ADIB
N27- SURA - ZAKARIA BIN ALI
N28- PAKA - MATULIDI BIN JUSOH

P040- KEMAMAN - DATO' SERI AHMAD SHABERY CHEEK
N29- KEMASIK - ROSLI BIN OTHMAN
N30- KIJAL - DATO' SERI AHMAD BIN SAID
N31- CUKAI - DATO' WAN AHMAD NIZAM
N32- AIR PUTEH - WAN ABDUL HAKIM WAN MOKHTAR


Inilah barisan yang sah yang akan bertanding pada PRU kali ini. Selamat berjuang

Senarai Pencalonan BN Terengganu PRU 13


Ramai sekali yang tidak sabar-sabar ingin tahu siapa calon-calon YB bagi Parlimen dan DUN negeri Terengganu yang akan diumumkan dalam jam 2.30 petang 16 April 2013, kira-kira 20 minit daripada entry ini di tulis.



Pelbagai andaian dan spekulasi telah dibuat mengatakan ada calon itu kekal, ada yang digugurkan. Apapun hanya sedikit sahaja kesabaran lagi, semuanya akan terungkai.


Senarai penuh daripada pembangkang pun masih dalam teka teki. Insyalah admin akan update seberapa segera setelah mendapat maklumat terkini.


Harap bersabar.

Monday 15 April 2013

Promosi Agro Resort kini di Living Social .com.. promosi istimewa dan terhad!!


Peladang Setiu Agro Resort kini mengorak langkah dengan menjalinkan hubungan promosi dengan dengan laman web promosi terkenal iaitu www.livingsocial.com yang mencecah jutaan pengunjung setiap bulan bagi mempromosikan resort yang berkonsepkan Agrotourism ini.

Kerjasama strategik ini dijangka akan melonjakkan lagi nama Agro Resort yang dimiliki oleh Pertubuhan Peladang Kawasan Setiu.

Promosi 3 Hari 2 Malam dengan harga RM299.00 untuk dua orang ini akan bermula pada 16 April 2013 sehingga 25 April 2103. Baucer ini sah sehingga 31 Disember 2013.

Untuk maklumat lanjut tentang promosi ini, anda boleh melayari www.livingsocial.com bermula 16 April 2013 iaitu hari Selasa.

Maklumat lanjut berkenaan resort ini juga boleh didapati di www.agroresort.com

Friday 12 April 2013

Makan CHIM CHUM di Kota Bharu, Kelantan... steamboat + BBQ... best



Kali ini blogger ingin berkongsi tentang makan CHIM CHUM yang enak di D MINA Kota Bharu, Kelantan. Ia menjanjikan sedikit kelainan berbanding steamboat kerana ia adalah gabungan masakan steamboat dan BBQ. Lagipun menu dan pilihan bahan mentahnya juga banyak.

suasana restoran yang menarik bercahaya di waktu malam
Selain itu, pakej juga disediakan dengan pilihan nasi, mee goreng, somtam, pelbagai jenis pencuci mulut seperti pengat dan bubur dan juga aiskrim. Memang seronok jika makan ramai-ramai. Ambillah setakat yang diingini. Apapun janganlah sampai membazir. Ia amalan yang tidak baik.


Blogger dan keluarga telah mencuba Chim Chum ini di D Mina Restoran , jalan Pengkalan Chepa. Seronok tengok anak-anak makan dengan mencuba untuk merebus dan membakar sendiri apa yang di ambil Ada yang cuba belajar pegang 'chopstick'. Kesempatan ini adalah luang yang terbaik untuk mengeratkan kemesraan keluarga sekian saban harisibuk dengan agenda masing-masing.

Masakan chim chum ini adalah sebenarnya popular di Thailand dan di bawa masuk ke Malaysia. Blogger pernah mencubanya di Bangkok di sebuah restoran Muslim di sana.

Ia menjanjikan suasana makan yang santai sambil bersembang. Keadaan begitulah yang menyeronokkan. jangan lupa anda patut mencubanya. Lagipun harganya tak mahal. Untuk dewasa dalam Rm16.90 seorang dan kanak-kanak RM11.00 seorang.



Di mana boleh cari restoran ini :-
Restorans ini terletak di jalan pengkalan chepa , dekat jalan masuk ke taman sabariah.
Bagi yang ingin membuat tempahan boleh menghubungi nombor telefon ini 09-7963423/012-9211553




Wednesday 10 April 2013

Melihat Bangau di sawah, interaksi alam kehidupan


Panorama indah di sawah

Semasa melalui perjalanan Jerteh ke Kg Raja di Kg Nyiur Tujuh, terpandang suasana yang menarik di mana burung bangau mengikut mesin pembajak sawah. Ia suatu yang klasik. Mungkin ikan-ikan kecil yang dicari oleh burung bangau.
Burung bangau bertebaran mencari makan


Blogger memberhentikan kereta bagi merakam detik-detik yang indah dan menarik ini.

Sunday 7 April 2013

Makan 'LOCONG' waktu petang...di Kuala Terengganu

Inilah LOCONG yang enak

Nak minum petang di Kuala Terengganu? banyak tempat boleh menjadi pilihan anda. Tempat yang menjadi pilihan blogger biasa-biasa sahaja, warung bawah pokok kayu tetapi menyajikan banyak sekali pilihan makanan. Apatah lagi jenis kuih-muih yang jarang di jumpai.

Memang sedap

Di antara kuih yang menjadi pilihan adalah 'LOCONG' bukan 'pocong'. Menurut tuan punya kedai sedap dan laris kuih ni. Ianya dimakan dengan sedikit santan. Ia sememangnya paling laris terutama bulan Ramadhan. Apabila dicuba memang enak sekali dengan rasa sedikit aroma nangka, ia membangkitkan selera.

Banyak kuih tradisi Terengganu di sini

Turut menjadi pilihan petang adalah 'karipap 4 segi' atau karipap petak, ada yang memanggilnya 'pora' (kalau tak kena tolong betulkan) dengan berlaukkan inti karipap dan daging memang enak dimakan. Di tambah dengan kek coklat kukus kecil yang comel. Airnya pula adalah cendol bersantan yang enak sekali bagi menghilangkan dahaga.

keropok gotel @ keropok lekor

Manakala menu wajib adalah makanan asasi orang Terengganu iaitu 'keropok gotel' atau keropok lekor yang digoreng. Kira lengkaplah menu makan petang ini dengan teduhan dan bayu petang memang seronok sambil berbual bertanya khabar dengan teman blogger seorang jurufoto, videografer, designer dan macam-macam kerja lagi iaitu Saudara Azizi Embong. Banyak sekali isu yang disembang petang ini.

Suasana yang santai

Lokasi warung ini adalah di jalan Sultan Omar berhadapan dengan Kolej PTPL Kuala Terengganu, berhampiran dengan SK Sultan Sulaiman 1 dan pejabat Yayasan Pembangunan Keluarga Negeri Terengganu.

Jika datang datang Terengganu, anda patut mencuba gerai-gerai atau warung-warung yang menyediakan juadah petang yang enak dan kuih tradisi Terengganu.

Inilah Terengganu, negeri yang penuh tradisi, negeri cantik, budaya menarik dan orang baik.

Saturday 6 April 2013

Makan Gulai Siput dan Nasi Ulam Budu di Kg Raja... kecur air liur

Pasti berselera dengan lauk begini

Setiap kali buat entry pasal makan-makan pasti kecur air liur, apatah lagi bila menaip ketika perut tengah lapar. Selepas edit gambar tentang makan nasi ulam budu di Kg Raja Besut, idea untuk menaip terus datang. Terutama selepas melihat gambar ulam-ulaman bersama budu, gulai siput, sayur cendawan dan macam-acam lagi.

Sedap gulai siput ni.

Lama dah tak makan kat kedai ni yang sentiasa menyediakan pelbagai lauk tradisional serta ulam-laman yang menarik dan unik seperti kunyit muda, terung kecil, daun pegaga, celur jantung pisang dan macam-macam lagi.

Besar udang dan segar, udang okel

Lokasi kedai terletak di jalan menuju ke jambatan untuk ke Kg Tok Sabuh. Jika anda dari Jerteh, tiba di lampu isyarat Kg Raja, ambil kiri dan kedai adalah disebelah kiri, kira-kira 200m daripada simpang.

Macam-macam lauk ada di sini, semuanya lauk kampung dari Gulai Ayam Kampung, Gulai Itik, Asam Pedas Tempoyak dan macam-macam.

Budu cecah ulam dan ikan tawar.. mana tak tambah nasi

Apalagi kalau pekena nasi dengan budu, tak sah kalau tak tambah nasi. Sapa yang lalu kat sini boleh singgah, memang tidak mengecewakan anda.

Pasar Kg Raja Besut... banyak kuih tradisi di sini


Pasar Kg Raja yang terletak di Pekan Kg Raja menyediakan pelbagai kemudahan asas bagi keperluan warga tempatan. Boleh dikatakan semua ada daripada bekalan bahan kering hinggalah bahan mentah basah.

Bagi blogger, apa yang paling menarik kat sini adalah jualan kuih-muihnya yang pelbagai dan macam-macam dengan harga yang berpatutan. Banyak kuih-kuih tradisi yang enak ada dijual disini. Walaupun jualannya nampak secara longgok dan tambun sahaja, tetapi rambang mata untuk memilihnya.


Jualan ikan masin juga menarik dan nampak segar di sini. Cubalah singgah terutama di waktu pagi.


Sememangnya Kg Raja adalah pekan yang menarik dan mempunyai pelbagai daya tarikan serta warisan tradisi. Banyak keunikannya dibiarkan begitu sahaja tanpa ada pemuliharaan seperti rumah-rumah lama yang mempunyai nilai warisan pertukangan Melayu dengan keunikan senibinanya. Sayang kalau ianya dibiarkan.


Thursday 4 April 2013

Mesyuarat Agung MBHA Terengganu




Kepada semua ahli Persatuan Hotel Budget Negeri Terengganu (MBHA TERENGGANU), Mesyuarat Agung Tahunan 2012 akan di adakan sebagaimana berikut:


  • Hari:   SABTU
  • 20 APRIL 2013
  • Jam 11.00 pagi
  • Dewan Desa, MOTEL DESA, Kuala Terengganu
Di harap semua ahli dapat menghadirkan diri kerana tahun ini adalah tahun pemilihan jawatankuasa baru bagi merencanakan dan menggerakkan MBHA Terengganu.

Wednesday 3 April 2013

Dengan rasminya Parlimen Malaysia 2013 telah dibubarkan 3 April 2013 jam 11.30 pagi




Bertarikh 3 April 2013 jam 11.30 pagi dengan rasminya Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak telah membubarkan parlimen bagi memberi laluan untuk Pilihanraya Umum yang ke 13 yang akan dilaksanakan dalam tempoh 60 hari.

berikut adalah petikan daripada Utusan Online,

"KUALA LUMPUR 3 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pembubaran Parlimen mulai hari ini bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) diadakan dalam tempoh 60 hari.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri dalam ucapan khasnya yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen dari pejabatnya, di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, pembubaran Parlimen itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mua'zam Shah pagi ini. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pilihan_Raya/20130403/px_26/Parlimen-bubar-PRU-13-dalam-tempoh-60-hari#ixzz2PNA1ckDg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dengan ini rasmilah pembubaran parlimen yang sekian lama ditunggu oleh rakyat Malaysia .

Maka bermula-lah kerja-kerja parti-parti yang bertanding bagi mengemukakan cadangan dan manifesto untuk memenangi hati rakyat.

Sama-samalah kita berkempen dengan cara yang baik dan berhikmah demi masa depan negara. 

selamat berpilihanraya.

blogger
terengganumyheritage

bookcafe com

AGODA Booking

Get the LOWEST RATE of your hotel BOOKING by Online

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Blog List

kongsi blog