Pesta Pelita Raya di Tepoh, Terengganu memang meriah

Oleh: Suriati Ali

Peserta Pertandingan Pelita Raya 2012 membabitkan lima kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh mempamerkan kreativiti masing-masing dengan memasang pelita mengikut kerangka buluh atau kayu yang dicipta.



Terdapat di antara mereka membentuk kerangka bangunan Kuala Lumpur City Center (KLCC), Menara Kuala Lumpur, kapal terbang dan kubah masjid, astaka, kapal layar dan penyu.



Kira-kira 200 rumah di Kampung (Kg) Padang Hangus, Kg Pagar Ubi, Kg Raja, Kg Baru dan Kg Tokeng mula diterangi cahaya pelita kira-kira jam 10 malam atau sebaik saja jemaah pulang dari mengerjakan solat sunat Tarawih.

Suasana menarik serta cukup unik itu dapat dilihat selama tiga malam berturut-turut dan berakhir pada malam ini (5 Ogos).

Tinjauan Teganukita di sekitar kampung yang terlibat mendapati peserta yang terlibat berganding bahu antara ahli keluarga untuk memasang pelita pada kerangka yang dibentuk.

Apa yang menariknya, ada antara mereka masih mengekalkan tradisi membakar `damar raya’ yang diperbuat daripada tempurung kelapa.
Ratusan penduduk termasuk warga asing yang bertandang seakan-akan terpegun dengan suasana itu berikutan sukar didapati di lokasi lain atau di luar Terengganu.

Rata-rata mereka tidak melepaskan peluang merakam gambar untuk dijadikan kenangan atau ditunjukkan kepada saudara atau sahabat.

Peserta pertandingan anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) itu bakal menerima hadiah keseluruhan hampir RM46,500.

Pengarah LMNT, Haji Mohd Yusof Abdullah berkata, pihaknya berasa bangga kerana mampu menganjurkan program yang mampu menghidupkan kembali tradisi lama ini sejak 2009 lagi.

Di samping itu, ia juga dapat menceriakan suasana kampung, memupuk semangat kerjasama antara penduduk dan pemimpin setempat.

“Pertandingan ini akan diteruskan kerana bukan saja mampu menyemarakkan kembali tradisi nenek moyang malah dapat mengasah bakat penduduk berkaitan mereka cipta pelita raya.

“Apa yang membanggakan, pelita yang dipasang itu bukan hanya dibeli dari kedai malah diperbuat daripada pelbagai jenis barangan terbuang seperti tin makanan, tempurung kelapa, botol plastik dan buluh,” katanya.

Menurutnya, LMNT dengan dibantu pelbagai pihak termasuk pemimpin setempat akan terus menganjurkan program seumpama ini sebagai usaha mengekal dan mengembangkan tradisi itu.

Comments

TRAVELOG ATEH said…
Aslmkm admin. Salam ramadhan. info nie menarik. ada dngr tentang pesta nie tapi sayang xdpt plak nak ker sana. rasanya tiap2 tahun ada pesta pelita kat sana kan. .mm... mintak izin dr admin untuk share post nie. tq
silakan, sama-sama share, ,memang pesta ini dibuat setiap tahun dan setiap tahu semakin meriah, macam-macam kreativiti..panjut atau pelita raya. memang menarik tq

Popular post this month

Desa Ukiran Kayu Istana Tg Long, Kg Raja, Besut, Terengganu- Legasi Seni Ukir Melayu Yang Hebat

Nasi Berlauk Malam Sudin Kubis 3, fenomena baru makan malam di Kuala Terengganu.. beratur panjang

10 Pemain Pingpong TERBAIK MALAYSIA lelaki dan wanita

Tradisi Main dan Buat Wau

Lagu terbaru MOK oleh Saudara Naquib Mohamad- Ikon lagu loghat Terengganu

Kenali Pengarang Kitab Terkenal, 'Penawar Bagi Hati', Syeikh Abdul Qadir Al Mandili (1910-1965)

Senarai Pasar Malam di Kuala Terengganu sepanjang minggu..macam macam makanan dan kuih boleh cari..

Pengunjung blog