Terengganu Bakal Perkenal T-Food Tawar Harga Berpatutan
Terengganu akan mewujudkan medan selera baharu, T-Food di Tanjung, Kuala Terengganu dengan mengenakan harga terkawal dalam usaha menggalakkan lebih ramai pengunjung dan mengubah persepsi buruk orang ramai mengenai kedai makan di negeri ini yang mengenakan harga mahal.
Menteri Besar, Dato’Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pembinaan kemudahan itu juga dapat mengembalikan semula tarikan ramai pengunjung di medan selera sedia ada dengan menggunakan konsep `cara lama, dimensi baru.
“Kemudahan baharu itu akan memberi keselesaan kepada pelanggan kerana akan dilengkapi penghawa dingin serta tukang sapu dengan konsep yang lebih santai, moden dan bersih.
“Semua makanan Terengganu seperti keropok, satar, kuih akok dan apa sahaja akan ditempatkan di medan selera baharu itu. Peniaga berkenaan akan kita pilih dan menerima insentif daripada kerajaan negeri supaya harga yang ditawarkan nanti berpatutan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Perhimpunan Bulanan Warga Wisma Darul Iman (WDI) 2015, di Dewan Besar WDI, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’Osman Muda; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail; Pengarah Pejabat Tanah dan Galian, Mohd Nor Ibrahim dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Samiun Salleh.
Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri akan berusaha dengan bersungguh-sungguh dan berbincang dengan pihak berkaitan untuk menetapkan kaedah terbaik bagi menangkis tohmahan negatif ramai pihak berhubung kadar harga makanan di Terengganu mahal dan membebankan.
“Kadangkala hanya beberapa kedai sahaja yang mengenakan harga yang mahal, tetapi disebabkan oleh tanggapan negatif ramai pihak menyebabkan harga yang murah di sesetengah kedai juga didakwa mahal. Kasihan peniaga yang menjual dengan harga murah dan berpatutan.
“Oleh itu, semua peniaga perlu mempunyai keesedaran yang tinggi dengan mengenakan kadar yang berpatutan. Peniaga perlu merekodkan bayaran dengan jelas supaya pelanggan dapat membandingkan harga kerana mengetahui senarai harga itu sudah menjadi hak setiap pelanggan,”katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri akan meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) supaya dapat memperhebatkan pemantauan bagi memastikan setiap premis meletakkan tanda harga dan memaparkan senarai harga makanan serta barangan yang ditawarkan.
Tambah beliau, semua pengusaha kedai makan seluruh Terengganu bukan sahaja perlu mengenakan kadar yang berpatutan, malah lebih menitikberatkan nilai kesopanan dan berbudi bahasa ketika melayani pelanggan.
“Sikap negatif akan mengundang persepsi buruk di kalangan pengunjung khususnya dari luar Terengganu. Layanan yang baik dengan harga yang murah dan berbaloi dikenakan kepada pelanggan akan menjadi satu pelaburan yang memberi hasil terbaik pada jangka masa panjang kepada peniaga,”katanya.
aidaabdulrahman@teganukita
Comments