iklan nuffnang

Pelancongan Terengganu

Saturday 6 November 2010

ISTANA MAZIAH.. berusia lebih 100 tahun namun tetap utuh

Pemandangan indah Istana Maziah di waktu malam


Bangunan warisan Istana Maziah yang berusia lebih daripada 100 tahun ini tetap utuh dan teguh  menghadap muara Sungai Terengganu.
Ia menjadi lokasi rasim bagi upacara istiadat negeri samada istiadat pertabalan, perkahwinan,menyambut tetamu dan sebagainya.

Gerbang masuk ke Istana Maziah

Keindahan malam di taman di hadapan Istana Maziah

Mari kita sorot sejarah asal usul Istana Maziah berdasarkan maklumat di bawah:

Istana Maziah adalah lambang kemegahan institusi kesultanan Terengganu. Istana ini terletak berhampiran dengan Bukit Puteri, kira-kira 220 meter dengan gigi air sungai Kuala Terengganu. Di istana inilah upacara rasmi negeri diadakan seperti istiadat pertabalan dan kemahkotaan Sultan Terengganu, berkhatan, bertindik, perkahwinan dan sambutan tetamu utama negeri.

Setakat ini terdapat percanggahan mengenai tarikh pembinaan Istana Maziah. Mengikut catatan Engku Pengiran Anum, batu asas pembinaan istana ini dimulakan pada hari Jumaat, pukul 10:00 pagi, 31 Mei 1895 ( 7 Zulhijjah 1312 ) di masa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III ( 1881-1918 ). Manakala catatan Dato’ Seri Amar Diraja Haji Ngah Muhammad bin Yusof pula, istana ini dibina pada tahun 1897.

Istana Maziah pada tahun 1920 an- gambar daripada Wikipedia)

Istana Maziah dibina untuk menggantikan Istana Hijau yang telah hangus terbakar. Istana Hijau dibina pada masa pemerintahan Sultan Omar ( Baginda Omar ) pada 10 Mac 1870 ( 7 Zulhijjah 1286 ). Tokoh yang diberi tanggungjawab sebagai pengurus pembinaan dan jurutera Istana Maziah ialah Tengku Chik Abu Bakar bin Tengku Abdul Jalil.

Dia adalah saudara ipar kepada Sultan Zainal Abidin III. Selain daripada itu terdapat beberapa tokoh lagi yang turut sama menyumbang dalam pembinaan istana ini. Mereka yang bertanggungjawab menyiapkan pelan dan binaan istana serta menghias bahagian dalaman istana ialah Engku Besar Paduka Raja Sayyid Abdullah bin Zin Al-Idrus, Encik Muhammad bin Abdul Rahim ( lebih dikenali dengan nama Encik Mat ) dan juga Dato’ Mata-Mata. Di samping itu tugas mendapatkan kayu, kebanyakannya dari Dungun diuruskan oleh Tengku Panglima Besar Tengku Muda Kechik. Manakala pengurusan batu bata dan kapur pula diserahkan kepada Tengku Besar Paduka Indera. Bahan yang digunakan dalam pembinaan istana ini terdiri daripada campuran kapur, tanah liat, pasir garam, putih telur dan manisan.
Istana Maziah sekarang.

Kira-kira 20 orang tukang Melayu dan Cina terlibat dalam pembinaan Istana Maziah. Masalah kewangan pada masa itu telah menyebabkan pembinaan istana ini tertangguh. Walaupun begitu, istana ini telah siap dan upacara " naik istana " diadakan pada 7 Ogos 1903 ( 14 Jamadil Awal 1312 ). Tidak berapa lama selepas Istana Maziah siap, Tengku Embong Musa, Ketua Jabatan Kerja Raya menambah lantai di bahagian anjung istana tersebut.

Pada ketika itu di bawah anjung Istana boleh dilalui kereta. Ketika pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah ( 1920 – 1942 ), layang-layang anak tangga dipinda. Seterusnya pindaan dilakukan lagi di masa pemerintahan Sultan Ismail Nasiruddin Shah ( 1945 – 1979 ). Bilik di tingkat bawah terletak Singgahsana di sebelah matahari naik telah dibuang pintunya supaya ia bertambah luas. Dengan itu, Singgahsana dipindahkan ke tingkat atas. Pada tahun 1954, dibina pula layang-layang tangga hadapan di sebelah matahari jatuh.

Selain itu, bilik di tingkat atas sebelah matahari naik telah dirobohkan untuk ditempatkan Singgahsana. Pada tahun 1972, sebuah bangunan tambahan dibina di bahagian rusuk sebelah barat. Seterusnya Singgahsana pula ditempatkan di tingkat atas bangunan baru Istana Maziah ini.Pada tahun 1998, satu tambahan baru telah dibina di bahagian hadapan istana ini.

(sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Istana_Maziah)


Manakala berdasarkan maklumat Tourism Malaysia adalah sebagaimana berikut:

Dibina dengan senibina Perancis, Istana DiRaja ini menjadi kediaman rasmi pemerintah negeri terdahulu. Kini, ia digunakan sewaktu upacara rasmi DiRaja atau majlis keraian rasmi negeri.

Terletak di Bukit Puteri di Kuala Terengganu, istana ini menjadi kebangaan rakyat negeri Terengganu. Ia masih digunakan untuk acara rasmi seperti pertabalan Sultan Terengganu, perkahwinan, serta meraikan kenamaan rasmi kerajaan negeri.



Istana Maziah sebenarnya dibina untuk menggantikan Istana Hijau yang terbakar dahulu. Istana Hijau dibina sewaktu pemerintahan Sultan Omar pada 10 Mac, 1870.

Arkitek pembinaan Istana Maziah ialah Tengku Chik Abu Bakar bin Tengku Abdul Jalil. Dia adalah saudara kepada Sultan Zainal Abidin III. Beberapa orang lain turut berjasa dalam menyediakan pelan dan menyiapkan Istana Maziah, iaitu Engku Besar Paduka Raja Sayyid Abdullah bin Zin Al-Idrus, Muhammad bin Abdul Rahim (Encik Mat), dan Dato’ Mata-Mata.

Bekalan kayu untuk membina istana datang dari Dungun dan diselia oleh Tengku Panglima Besar Tengku Muda Kechik. Bekalan batu-bata dan kapur pula diuruskan oleh Tengku Besar Paduka Indera.

Istana Maziah pada asalnya dibina dengan menggunakan campuran bahan binaan iaitu kapur, tanah liat, garam pasir, putih telur dan gula. Hampir 20 tukang kayu keturunan Melayu dan Cina bertanggungjawab dalam pembinaan Istana Maziah ketika itu.

Beberapa pengubahsuaian turut dilakukan sepanjang zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1920 -1942) dan Sultan Ismail Nasiruddin Shah (1945- 1979). Tambahan turut dibuat ke atas istana pada 1972 dan 1998.

(sumber: http://www.tourism.gov.my/my/destinations/item.asp?item=istanamaziah)


Jelas sekali biarpun usianya sentiasa ditelan zaman, namun ia masih tetap gagah berdiri dan terus mewarisi upacara rasmi istiadat Kesultanan Terengganu.
Warisan kita sesuatu yang tidak ternilai harganya...

Terengganu Welcomes The World..

(semua gambar-gambar adalah hak milik blogger kecuali dinyatakan sumbernya)

No comments:

bookcafe com

AGODA Booking

Get the LOWEST RATE of your hotel BOOKING by Online

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Blog List

kongsi blog