Kios Adeq Sue Buka Peluang Kepada Usahawan Muda
Syarikat milik penuh bumiputera, Adeq Sue Resources Sdn. Bhd. (Adeq Sue) yang terlibat dalam industri berasaskan makanan bakal membuka peluang kepada usahawan-usahawan muda untuk memulakan perniagaan dengan menyediakan kios Adeq Sue dijadualkan beroperasi Jun ini.
Pengarahnya, Hairuddin Omar berkata, untuk memulakan perniagaan kios ini para usahawan muda hanya perlu menyediakan modal anggaran dalam RM8 ribu hingga RM10 ribu.
“Mereka hanya perlu menyediakan modal dan semua keperluan serta kelengkapan diuruskan pihak syarikat dimana kios yang berkonsepkan seperti gerai burger dengan menggunakan jenama Adeq Sue akan menjual nasi bersama masakan ikan bakar dan lain-lain.
“Kita juga bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional yang akan memudahkan usahawan muda ini untuk mendapat bantuan modal,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Jejak Usahawan anjuran Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu di syarikat itu yang turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi, Roslee Daud, semalam.
Hairuddin yang merupakan pemain bola sepak profesional negara yang juga tonggak utama pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan lebih dikenali sebagai Hai O berkata, setakat ini, 10 usahawan telah bersetuju untuk menyertai program ini dan mereka juga akan diberikan bimbingan dan latihan dari semasa ke semasa.
“Pembukaan kios Adeq Sue diharap dapat menjadi platform kepada usahawan-usahawan muda yang tidak mempunyai modal untuk menceburi bidang perniagaan,” ujarnya.
Menurut beliau, Syarikat Adeq Sue yang ditubuhkan pada 19 Mac 2014 bergiat aktif menghasilkan pes ikan bakar di Permint Perdana 2, Seberang Takir, Terengganu.
“Setakat ini, terdapat 14 produk berjenama Adeq Sue termasuk pes ikan bakar petai (pedas), sos tiga rasa, sambal bilis, serta sambal belacan,” ujarnya.
Katanya, syarikat juga telah dianugerahkan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada bulan Mac lalu.
#@teganukita
Comments