Bila makan durian, badan rasa panas.. kenapa yee



Memandangkan sekarang musim durian, ramai yang berkongsi kegembiraan menikmatinya dan tidak kurang pula yang berkongsi cara memilih yang betul agar tidak tertipu dengan penjual. Perumpamaan yang sering dikaitkan dengan buah durian ialah ‘tastes like heaven, smells like hell!’. Benar atau tidak, ianya subjektif kepada individu. Buat saya, si penggemar ‘tegar’ durian, bau dan rasa durian saya sangat gemari. Maka tiadalah istilah ‘hell’ pada saya 😌.
Ada yang bertanya kenapa makan durian badan kita akan menjadi ‘panas’🤔
Sebelum menjawab persoalan ini, kita haruslah faham apa yang dimaksudkan dengan ‘panas’ dan bagaimana mungkin ianya terjadi daripada tindakbalas yang dicetuskan oleh bahan kimia semulajadi dalam durian semasa penghadaman.
Apakah yang dimaksudkan dengan ‘panas’ badan?
‘Panas’ badan ini sebenarnya istilah yang dipraktikkan di dalam perubatan tradisional sama ada Melayu, Cina dan India. Selain daripada istilah ‘panas’, istilah berlawanan iaitu ‘sejuk’ juga sering digunakan. Banyak makanan umumnya diklasifikasikan sebagai ‘panas’ dan ‘sejuk’.
Dalam perubatan tradisional Cina, ianya dipanggil sebagai Shanghuo (上火) , yang mana menerangkan ketidakseimbangan tenaga haba dalam badan atau mudahnya ‘panas dalam badan’. Ianya digambarkan kepada kitaran tenaga ‘Yang’ (panas) dipasangkan dengan ‘Yin’ (sejuk) yang mampu dibawa oleh sesetengah makanan kepada badan.
Antara simptom ‘panas’ yang dimaksudkan ialah
• demam,
• sakit kepala,
• berpeluh,
• jantung berdegup dengan kencang,
• sakit tekak,
• ulser pada mulut,
• nafas berbau,
• bibir kering,
• hidung berdarah
• sembelit
Merujuk kepada simptom di atas, ‘panas’ ini dekat kepada istilah perubatan ‘hyperthermia’ iaitu kenaikkan suhu badan lebih dari yang normal 36-37 degree Celsius.
Setakat carian, terdapat satu kajian yang mengaitkan kesan kepada fungsi fisiologi badan apabila seseorang memakan durian. Namun dapatan kajian ini tidak signifikan.
Pun begitu, kebanyakkan berpendapat ‘panas’ makan durian adalah disebabkan oleh kenaikkan tekanan darah dan suhu badan secara mendadak disebabkan oleh kandungan gula yang tinggi dalam durian ini. Sejauh mana kebenarannya, mari kita teliti bahan-bahan kimia semulajadi dalam durian ini yang mempunyai kebarangkalian untuk mencetuskan rasa ‘panas’ itu.
Durian atau nama saintifiknya Durio zibethinus(family Bombacaceae) merupakan buah yang digelar ‘raja buah’ walaupun baru-baru ini takhta ini diberikan kepada buah betik oleh World Health Organisation (WHO). Tumbuhan ini natif kepada negara Asia Tenggara.


Struktur Kimia Sebatian Sulfur terdapat di dalam (A) Durian & (B) Bawang


Rasa unik durian adalah disebabkan oleh bahan kimia semulajadi dari kumpulan ester dan sulfur seperti thioester, thioacetal, thiolanes dan juga alkohol. Durian juga mengandungi kadar karbohidrat (gula) yang sangat tinggi, sedikit protein, serat serta lemak tepu.
Bahan-bahan kimia bersulfur dan ester ini senang meruap. Inilah sebabnya kenapa durian ini dapat kita bau walaupun jauh.
Bolehkah bahan-bahan kimia dalam durian menyebabkan ‘panas’ ini?
BOLEH. Bergantung kepada sistem penghadaman individu, apabila dimakan dalam kuantiti yang signifikan, bahan kimia bersulfur meruap dalam durian ini mungkin boleh mengaktifkan protein (TRPA1) pada sistem penghadaman tertentu yang bertanggungjawab menyebabkan sensasi ‘panas’ (burning sensation). Mekanisma ini membuatkan kita berasa panas. Kesan sama boleh berlaku dengan pengambilan bawang putih, halia dan cili.
Sebahagian bahan kimia sulfur yang tidak ‘sempat’ meruap pula akan diproses oleh bakteria dalam usus besar dan menghasilkan gas hidrogen sulfida. Kehadiran bahan-bahan kimia dalam proses penghadaman ini akan menyebabkan pengumpulan gas (yang juga dipanggil dengan istilah ‘angin’) seterusnya boleh menyebabkan sendawa, pedih ulu hati (heartburn), kembung (bloated) atau kentut.
Bahan kimia lain seperti karbohidrat pula akan dimanfaatkan oleh tubuh untuk tenaga dan selebihnya (termasuk sebahagian bahan kimia bersulfur) akan dikumuhkan dalam air kencing dan najis. Sebab ini jugalah air kencing juga boleh berbau seperti durian.
Benarkah meminum air dari pangsa durian boleh mengurangkan ‘panas’?
Tiada kajian saintifik mengenai ini dan agak sukar untuk mengaitkan dengan komponen kimia dalam pangsa durian ini. Pun begitu, kesan placebo (berkat keyakinan tinggi mendorong bahan kimia dalam otak berfungsi) mungkin memainkan peranan di sini menyebabkan praktik ini berkesan.
Sebenarnya apa yang dipraktik oleh pengamal ubat tradisional China ialah dengan meminum air garam (calcium sulphate) untuk menurunkan suhu badan. Air garam jenis ini yang sangat popular ialah ‘air badak’. Air jenis ini mengandungi elektrolit yang mampu menyeimbangkan larutan dalam dan luar sel semasa dehydration (kehilangan air) disebabkan ‘panas’ tadi.
Tips untuk mengurangkan kesan ‘gas’ dari durian:
Makan durian bersama dengan susu (sebaiknya susu segar). Susu segar mengandungi casein yang boleh meneutralkan bahan kimia bersulfur ini.
Minum air kelapa juga membantu menurunkan ‘panas’ badan dengan menyeimbangkan elektrolit dalam sel.
Nota kaki: Selain daripada gula yang tinggi, durian juga tinggi dengan kandungan potassium. Maka mereka yang mempunyai masalah buah pinggang, haruslah mengelakkan pengambilan durian ini.
*Semoga bermanfaat 😊*

Rujukan:

1) Aziz, N.A.A., and Jalil, A.M.M.,2019. Bioactive Compounds, Nutritional Value, and Potential Health Benefits of Indigenous Durian (Durio Zibethinus Murr.): A Review. Foods, 8(3): 96.
2) Boone, C.; Bond, C.; Hallman, A.; Jenkins, J. 2017. Sulfur General Fact Sheet; National Pesticide Information Center, Oregon State University Extension Services.
3) Terada, Y., Hosono, T., Seki, T., Ariga, T., Ito, S., Narukawa, M., Watanabe, T., 2014. Sulphur-containing compounds of durian activated thermogenesis-inducing receptors TRPA1 and TRPV1. Food Chemistry 157:213-20.
4) Porkert, M., 1974. The Theoretical Foundations of Chinese Medicine: Systems of Correspondence. MIT Press East Asian Science series.
kredit: majalah sains com

Comments

michelle said…
This comment has been removed by a blog administrator.

Popular post this month

Desa Ukiran Kayu Istana Tg Long, Kg Raja, Besut, Terengganu- Legasi Seni Ukir Melayu Yang Hebat

Nasi Berlauk Malam Sudin Kubis 3, fenomena baru makan malam di Kuala Terengganu.. beratur panjang

10 Pemain Pingpong TERBAIK MALAYSIA lelaki dan wanita

Tradisi Main dan Buat Wau

Lagu terbaru MOK oleh Saudara Naquib Mohamad- Ikon lagu loghat Terengganu

Kenali Pengarang Kitab Terkenal, 'Penawar Bagi Hati', Syeikh Abdul Qadir Al Mandili (1910-1965)

Senarai Pasar Malam di Kuala Terengganu sepanjang minggu..macam macam makanan dan kuih boleh cari..

Pengunjung blog