Budu, cencalok serta tempoyak.. rupanya sumber probiotik yang hebat...




Apabila kita bercakap mengenai probiotik, tentunya dadih (yogurt) serta minuman susu kultur seperti Vitagen, Yakult akan terlintas di fikiran kita dahulu. Ini kerana kita sedia maklum  terdapatnya kandungan kultur bakteria baik di dalam minuman tersebut. Namun bagaimana pula dengan makanan tradisional kita seperti budu, cencalok dan tempoyak, adakah mereka  boleh dikategorikan  sebagai sumber probiotik dan juga prebiotik?.

Apa beza di antara prebiotik, probiotik dan juga sinbiotik ?

Sebelum kita membincangkan topik ini dengan lebih lanjut, mari kita fahami dahulu istilah – istilah berikut; probiotik, prebiotik dan sinbiotik. Apakah perbezaan utama di antara ketiga-tiga istilah ini?. Probiotik menurut definisi daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan daripada Amerika Syarikat (FDA)  serta Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bermaksud bakteria baik yang jika diambil dalam jumlah yang mencukupi akan memberikan manfaat kesihatan kepada penggunanya. Dua bakteria baik yang utama  terdiri daripada spesis Bifidobacteria dan juga Lactobacillus.Manakala prebiotik pula bermaksud makanan yang tidak dapat dicernakan oleh hos itu sendiri dan ia memberi manfaat kesihatan kepada hosnya dengan menggalakkan pertumbuhan serta aktiviti bakteria baik di dalam usus besar hos tersebut. Antara contoh prebiotik adalah seperti inulin, oligofruktosa dan galaktooligosakarida. Akhir sekali, sinbiotik pula adalah gabungan sinergi di antara prebiotik dan probiotik di mana kandungan prebiotik di dalam sinbiotik itu akan membantu serta menggalakan pertumbuhan probiotik yang turut terkandung di dalamnya.


Adakah makanan tradisi kita seperti budu, cencalok dan tempoyak juga boleh dikategorikan sebagai sumber  probiotik ?

Berbalik kepada persoalan sama ada  makanan tradisi  seperti budu, cencalok dan juga tempoyak boleh dikategorikan sebagai sumber prebiotik dan juga probiotik. Jawapannya adalah ya kerana ketiga-tiga makanan ini dihasilkan melalui proses fermentasi yang mengandungi kultur bakteria hidup. Fermentasi ikan bilis bersama garam, asam jawa dan gula melaka selama beberapa hari akan menghasilkan budu manakala  fermentasi udang geragau bersama nasi dan juga garam selama beberapa hari akan  menghasilkan cencaru. Begitu juga fermentasi durian bersama garam akan menghasilkan tempoyak. Bagaimana pula dengan tempeh di mana ianya juga merupakan produk fermentasi kacang soya?. Perlu di ingat di sini, sekiranya produk makanan ini dipanaskan atau disterilkan maka kandungan kultur bakteria hidup akan mati maka ia tidak lagi boleh berfungsi sebagai probiotik. Jikalau kita lihat, tempeh kebiasaannya di ambil dalam bentuk hidangan yang telah di masak. Maka sudah tentu kandungan kultur bakteria hidupnya telah mati akibat suhu panas ketika memasaknya . Berbeza pula dengan budu, cencalok dan juga tempoyak di mana kita memakannya begitu sahaja tanpa perlu memasaknya atau mengambilnya sebagai cecahan. Maka kandungan kultur bakteria hidup masih ada dan kekal terpelihara. Namun begitu tempeh masih boleh dikategorikan sebagai prebiotik berikutan kandungan kacang soya yang mempunyai serat yang tinggi.
Kajian terkini daripada Kalil et al (2018) menunjukkan kehadiran  tujuh  strainLactobacillus iaitu L. plantarumL. fermentumL. crispatusL. reuteri, and L. pentosusdi dalam tempoyak. Kesemua spesis ini dibuktikan mempunyai aktiviti antioksidan yang tinggi (32.3 – 73.4 %), boleh menurunkan kadar kolestrol (22.6 – 75.2 %) serta mampu merencat aktiviti patogen . Berdasarkan sifat-sifat di atas, tempoyak telah dibuktikan boleh bertindak sebagai sumber probiotik yang bagus. Kajian oleh Liasi et al (2009) juga telah menunjukkan kehadiran  tiga strain Lactobacillus iaitu L. plantarum, L. casei dan juga L.paracasei di mana ketiga-tiga strain ini telah dibuktikan mampu merencat aktiviti patogen.

Apakah kelebihan utama pengambilan prebiotik dan juga probiotik terhadap kesihatan kita?

Kelebihan utama prebiotik dan juga probiotik adalah peranannya dalam memanipulasi populasi atau aktiviti bakteria yang menghuni di dalam usus besar manusia. Pengambilan  probiotik atau prebiotik secara berterusan mempunyai impak positif terhadap kesihatan penggunanya di mana ia meningkatkan sistem ketahanan tubuh badan, mengurangkan berlakunya jangkitan di usus serta memperbaiki sistem pencernaan dan sistem perkumuhan manusia. Selain itu, probiotik dan prebiotik juga dikatakan mampu mencegah penyakit kanser berikutan aktiviti antioksidanya yang tinggi. Justeru itu, pengambilan probiotik atau prebiotik amat digalakkan dalam usaha kita menjaga kesihatan serta menghindari penyakit-penyakit merbahaya.

Rujukan: 

  • Khalil E.S., Abd Manap M.Y., Mustafa S., Alhelli A.M & Shokryazdan P., 2018. Probiotic properties of exopolysaccharide-producing Lactobacillus strain isolated from Tempoyak Molecules 23 (398)
  • Liasi S.A, Azmi, T.I., Hassan M.D., Shuhaimi M., Rosfarizan M., & Ariff A.B., 2009. Antimicrobial activity and antibiotic sensitivity of three isolates of lactic acid bacteria from fermented fish product, Budu Malaysian Journal of Microbiology (5)33-37

Comments

michelle said…
This comment has been removed by a blog administrator.

Popular post this month

Desa Ukiran Kayu Istana Tg Long, Kg Raja, Besut, Terengganu- Legasi Seni Ukir Melayu Yang Hebat

Nasi Berlauk Malam Sudin Kubis 3, fenomena baru makan malam di Kuala Terengganu.. beratur panjang

10 Pemain Pingpong TERBAIK MALAYSIA lelaki dan wanita

Tradisi Main dan Buat Wau

Lagu terbaru MOK oleh Saudara Naquib Mohamad- Ikon lagu loghat Terengganu

Kenali Pengarang Kitab Terkenal, 'Penawar Bagi Hati', Syeikh Abdul Qadir Al Mandili (1910-1965)

Senarai Pasar Malam di Kuala Terengganu sepanjang minggu..macam macam makanan dan kuih boleh cari..

Pengunjung blog