CERI TERENGGANU: TUMBUHAN UNIK BERKHASIAT TINGGI





Daya penarik pada pokok dan buahnya yang merah menjadikan pokok Ceri Terengganu seringkali dimanfaatkan sebagai tanaman hiasan untuk tujuan lanskap. Selain itu, tumbuhan unik ini juga sering dijadikan tanaman lebuh dan pohon teduhan di sekitar rumah dan tempat-tempat awam.Keseluruhan bahagian ceri Terengganu dipercayai mempunyai khasiat dan kegunaan tersendiri. Dalam perubatan tradisional, akarnya dikatakan mempunyai khasiat yang tinggi. Air rebusan akar yang diminum boleh mengurangkan rasa gatal dan merendahkan suhu badan yang tinggi akibat demam. Buah ceri Terengganu boleh dimakan segar dan mempunyai rasa yang manis apabila masak sepenuhnya. Buahnya dikatakan perlu digelek atau digentel terlebih dahulu di atas telapak tangan sebelum dimakan untuk melembutkan kulit dan isinya serta dapat memberikan rasa yang lebih enak. 

Selain itu, biji ceri Terengganu juga boleh dipanggang untuk dimakan. Manakala, dari sudut kajian saintifik seperti yang dijalankan di Pusat Penyelidikan Sumber Strategik, MARDI, hasil kajian menunjukkan bahawa buah ceri Terengganu mempunyai aktiviti antioksidan yang tinggi berbanding buah-buahan komersil seperti jambu batu, limau dan epal. Sebatian fenolik dalam buah ceri Terengganu juga didapati lebih tinggi berbanding buah-buahan komersil yang diuji. Fenolik adalah sebatian antioksidan semulajadi yang utama dalam tumbuhan yang dapat membunuh radikal bebas dalam badan yang menjadi punca utama kepada pelbagai penyakit pada manusia. Warna merah pada kulit buah ceri Terengganu juga berpotensi sebagai antioksidan. Seperti buah ceri, warna merah buah ceri Terengganu adalah disebabkan oleh sejenis sebatian kimia yang dikenali sebagai antosianin. Antosianin adalah pigmen merah yang secara semulajadi memberikan warna pada bunga, buah, daun, batang dan akar sesuatu tumbuhan. Salah satu fungsi antosianin yang penting adalah sebagai antioksidan yang dapat mencegah pelbagai penyakit seperti kanser dan arterosklerosis. Selain itu, kajian telah menunjukkan antosianin juga berfungsi dalam pelbagai aktiviti biologi sebagai anti-radang (mengurangkan inflamasi), anti-mikrob (mencegah jangkitan bakteria), anti-diabetik (mengawal paras gula dalam darah) dan anti-penuaan (membantu menjaga kesihatan kulit dan masalah penuaan pra-masa). Warna merah ini juga berpotensi untuk dijadikan pewarna semulajadi yang boleh menggantikan pewarna sintetik. Kelebihan pada ciri-ciri ceri Terengganu ini telah menarik perhatian pengeluar kosmetik terkemuka di Jepun untuk menjalankan penyelidikan bersama Thailand untuk menghasilkan produk berasaskan spesies tumbuhan tersebut. 

Satu penyelidikan saintifik telah dijalankan oleh National Center for Genetic Engineering and Biotechnology (BIOTEC) / National Science and Technology Development Agency (NSTDA) Thailand dengan kerjasama Shiseido Co., Ltd. untuk mengenalpasti aktiviti-aktiviti yang berpotensi daripada beberapa spesies tumbuhan. Hasil kajian mendapati ceri Terengganu mempunyai kesan anti-penuaan dan dapat membantu menurunkan berat badan. Penemuan ini telah memberi keyakinan kepada kedua-dua negara tersebut untuk membangunkan lebih banyak penyelidikan dan menghasilkan ramuan berasaskan spesies ceri Terengganu untuk produk kosmetik dan produk penjagaan kulit. Keberkesanan ceri Terengganu dalam menangani masalah penuaan mungkin boleh dikaitkan dengan aktiviti antioksidannya yang tinggi. Sebatian antioksidan (fenolik dan antosianin) yang tinggi dalam buah ceri Terengganu memainkan peranan yang penting dalam membunuh radikal-radikal bebas yang merupakan punca utama penuaan. Antioksidan melindungi kulit daripada serangan radikal-radikal bebas yang boleh menyebabkan kerosakan pada sel dan struktur kulit serta penuaan pra-masa. Radikal bebas berpunca daripada pelbagai faktor seperti pemakanan, cahaya ultra ungu (UV), asap rokok, pencemaran, alkohol dan tekanan. 

Memandangkan ceri Terengganu adalah salah satu spesies tumbuhan yang jarang dijumpai dan mempunyai khasiat yang tinggi, usaha telah diambil oleh Pusat Penyelidikan Sumber Strategik, MARDI untuk memuliharanya dengan cara mengumpul dan menanamnya di bank-bank gen. Malah, berdasarkan potensinya yang tinggi, spesies ini juga telah dijadikan ikon bagi satu projek kerjasama di antara MARDI dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) iaitu Taman Tropika Kenyir, di Tasik Kenyir, Terengganu. 

Melalui aktiviti pemuliharaan seperti ini, ia dapat memberi kesedaran kepada umum mengenai nilai dan kepentingan spesies ini agar generasi akan datang boleh menghargai keunikan dan keistimewannya. 

Taksonomi 
Alam: Tumbuhan 
Divisi: Magnoliophyta 
Kelas: Magnoliopsida 
Order: Sapindales 
Famili: Sapindaceae 
Genus: Lepisanthes 
Spesies: Lepisanthes fruticosa (Roxb.) Leenh. 

Nama Vernakular 
Ceri Terengganu, setengok, kelelek, gegelek (Malaysia); mojowontu (Indonesia); linaunau, buli-buli, ara (Filipina); kandak (Cambodia); kwad khaaz (Laos); chammaliang, phumriang, mathao (Thailand), kilinga (Borneo). Tiada nama Inggeris ditemui bagi spesies ini. 

Taburan 
Ceri Terengganu boleh ditemui di kawasan Asia Tenggara: Malaysia, Thailand, Indonesia, Myanmar, Indo-China dan Borneo. Di Malaysia, tumbuhan ini popular di negeri Terengganu, Kelantan dan Johor. Dikatakan, tumbuhan ini digelar ceri Terengganu berdasarkan bentuk buahnya seakan buah ceri dan ia mudah ditemui di sekitar Terengganu. 

Deskripsi Am 
Pokok ceri Terengganu merupakan sejenis tumbuhan yang tidak bermusim. Biasanya, ia hidup liar dan boleh ditemui di halaman rumah dan kebun kecil. Pokok ceri Terengganu berketinggian sederhana (4-10 m) dan berbanir kecil. Daya tarikan pokok ini terletak pada pokok dan buahnya. Kanopinya yang berbentuk bulat dan rendang diserikan dengan buah yang bergugus-gugus seperti buah anggur dan bergantungan secara majmuk pada dahan dan ranting kecil. Setiap gugus mengandungi lebih kurang 20 biji buah. Buahnya berukuran 2 sm dan berbentuk bulat dengan sedikit tajam di hujungnya. Kulit buah ceri Terengganu amat menarik seperti buah ceri; berwarna merah cerah, licin, berkilat, dan boleh menjadi merah gelap apabila matang. Rasa buahnya kelat-kelat manis dan manis apabila masak sepenuhnya. Isinya nipis dan bijinya besar. Setiap buah mengandungi 1 hingga 3 biji. Daunnya pula jenis majmuk pinat dengan beberapa pasang anak daun yang lancip dan bersayap. Pucuk daun ceri Terengganu yang lembut melentur dan berwarna ungu menambahkan lagi kecantikan pokok ini.

Oleh: Mirfat Haji Ahmad Hasan Salahuddin
(mirfat@mardi.gov.my)

@http://www.mytropikakenyir.com/

Comments

Unknown said…
Good morning
Very interesting article on the Ceri Terranggu tree.
Can I know. Why the tree
is called as Johor Tree.
Hope for your reply
Thank you
Unknown said…
Can I know why lepisanthes alata
Is called as Johor Tree.
Thank you

Popular post this month

Desa Ukiran Kayu Istana Tg Long, Kg Raja, Besut, Terengganu- Legasi Seni Ukir Melayu Yang Hebat

Nasi Berlauk Malam Sudin Kubis 3, fenomena baru makan malam di Kuala Terengganu.. beratur panjang

10 Pemain Pingpong TERBAIK MALAYSIA lelaki dan wanita

Tradisi Main dan Buat Wau

Lagu terbaru MOK oleh Saudara Naquib Mohamad- Ikon lagu loghat Terengganu

Kenali Pengarang Kitab Terkenal, 'Penawar Bagi Hati', Syeikh Abdul Qadir Al Mandili (1910-1965)

Senarai Pasar Malam di Kuala Terengganu sepanjang minggu..macam macam makanan dan kuih boleh cari..

Pengunjung blog