Pelancong dan Pengunjung kena 'Sembelih' di KualaTerengganu
Pagi tadi dalam perjalanan menuju ke tempat kerja, sedang asyik mendengar celoteh DJ di THR Gegar blogger terdengar aduan seorang pengunjung atau pelancong yang baru pulang dari mengunjungi Kuala Terengganu kerana telah kena 'sembelih' di Kuala Terengganu. Ingatkan sempena Hari Raya Korban ini, hanya lembu dan kambing yang patut disembelih tetapi pelancong dan pengunjung ke Kuala Terengganu turut terkorban sama walaupun tidaklah sampai menemui ajal.
Kata pengadu itu, beliau sekeluarga telah makan di sebuah kedai makan di Kuala Terengganu dengan masakan panas yang berlaukkan tomyam untuk 4 orang makan, sayur serta nasi dan harga yang kenakan adalah RM250.00. Mahal tu... memang betul-betul sembelih.
Hasrat blogger mencoret catatan ini bukanlah mahu atau berniat memburukkan sesiapa tetapi blogger juga turut bersimpati dengan nasib keluarga yang telah terkena caj melampau dengan apa yang dimakan.
Sebagai warga Terengganu yang kini giat mempromosikan Terengganu ke seluruh dunia, blogger turut terpukul dan ralat dengan kejadian yang menimpa mangsa. Dalam etika berniaga sendiri pun ia juga telah melampaui batas dan etika perniagaan yang berhemah apalgi dalam memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada pelanggan.
Blogger amat berharap para peniaga di Terengganu sama-sama berniaga dengan beretika, baik hati, ikhlas dan dengan khidmat yang berkualiti supaya orang luar akan terus datang lagi ke Terengganu. Dengan peristiwa sebegini boleh membuatkan orang serik untuk datang ke premis kita. Kita untung hanya sekali tetapi reputasi kita amat buruk sekali dan percayalah tak lama lagi perniagaan sebegini akan tutup kedai.
Kita juga perlu ingat, pelanggan sanggup membayar dengan harga yang mahal jika kehendak dan perkhidmatan yang diterima memuaskan dan memenuhi kehendak. Pelanggan sendiri boleh menilai mana yang baik dan mana yang buruk.
Sekali lagi blogger melahirkan rasa simpati atas kejadian di atas. Ayuh sama-sama kita beranjak minda supaya pelancongan Terengganu berkelas dunia. Selangkah ke hadapan adalah lebih baik daripada tidak berubah langsung.
Terengganu welcomes the world
Comments
eloknya kabor nama kedai senang kita baikot