Pengiktirafan pertama kali dibuat oleh institusi pendidikan tinggi itu berasaskan komitmennya yang berterusan, bersama dalam  usaha pemuliharaan dan pembangunan Tanah Bencah Setiu sejak 2006 .
Dari seorang peserta projek penyelidikan yang langsung tidak tahu apa itu 'paya bakau' sedekad yang lalu, beliau sekarang menjadi pakar tentang penyemaian benih bakau, termasuk spesis terancam seperti Berus Mata Buaya (Brugueira hainesii).
Beliau yang lebih dikenali sebagai Ayah Ku yang juga Pengerusi Sahabat Setiu, arif  tentang konsep kepelbagaian biologi seperti ahli sains biologi pemuliharaan (conservation biologist).
Tengku Azam menerima penghormatan itu dalam  Majlis Apresiasi Media 2018 di Hotel Permai di sini malam tadi yang disempurnakan oleh Naib Canselor UMT,  Prof. Datuk Nor Aieni Mokhtar.
Bercakap kepada pemberita dalam majlis tersebut, Nor Aieni berkata, UMT akan  terus menjadikan program  alam sekitar dan projek penyelidikan sebagai agenda utama  bagi memastikan pemindahan ilmu berlaku secara berterusan.
Melalui program tersebut katanya, pembelajaran tidak hanya akan berlaku dalam kampus sahaja, tetapi pensyarah dan pelajar turut turun padang  dengan menjadikan masyarakat sebagai mantee.
"Sejajar dengan perkembangan itu UMT buat pertama kali mengiktiraf pakar tempatan dari kalangan penduduk dengan gelaran Saintis Masyarakat  berdasarkan komitmen, pengalaman dan pengetahuan yang tinggi dalam satu-satu bidang,’’ ujarnya.UTUSAN ONLINE