Laporan Khas Pasar Payang- Sinar Harian



Leda Gordano bersama temannya, Bas Van Erp, sedang asyik menikmati makanan tradisional Terengganu di Pasar Payang.
Laporan Khas Pasar Payang: Kekalkan identiti asal
Abdullah menunjukkan gambar struktur asal Pasar Payang yang diambil pada 1970.
Laporan Khas Pasar Payang: Kekalkan identiti asal
Rohimah sedang mengupas bawang putih untuk dijual di tapak perniagaannya di Pasar Payang.
KUALA TERENGGANU – Hampir 95 peratus peniaga di Pasar Payang menolak sekiranya tapak pasar berkenaan digantikan dengan bangunan berhawa dingin setinggi empat tingkat.

Peniaga, Abdullah Chik, 52, berkata, mereka tidak menolak pembangunan malah ingin kawasan itu ditambah baik dengan membaik pulih serta menambah kawasan parkir kenderaan bagi mengelak kesesakan, namun mereka tidak setuju sekiranya struktur asal pasar warisan itu diruntuhkan dan dibina baru.


“Kita tidak tolak pembangunan, apa yang kita mahu ialah identiti asal Pasar Payang dikekalkan, sementara kawasan di sini dibaiki tanpa meruntuhkan struktur asal bangunan yang diwarisi sejak 46 tahun ini.

“Pelancong bukan mahu lihat bangunan yang gah, mereka mahu lihat warisan yang masih dikekalkan di setiap negara yang mereka kunjungi. Kalau kata nak bina bangunan gah, di tempat mereka pun dah banyak,” katanya.

Abdullah yang telah berniaga sejak 34 tahun lalu di situ berkata, Pasar Payang amat istimewa buatnya kerana di situlah punca rezekinya, malah perniagaannya itu diwarisi daripada bapanya yang mula mengasaskan perniagaan itu sejak Pasar Payang dikenali Pasar Tanjung pada 1967.


“Kalau sebut nama Pasar Payang, seluruh dunia tahu malah ia adalah pasar ketiga yang terkenal. Ramai pelancong asing telah berkunjung ke sini bahkan ia adalah salah satu daya tarikan yang mempengaruhi kunjungan pelancong ke Terengganu.

“Sejak berniaga di sini, pelbagai pengalaman telah saya tempuh, suka, duka. Sebab itulah saya mahu warisan ini dikekalkan malah hampir keseluruhan dan 95 peratus peniaga Melayu yang berniaga di sini menolak pembinaan bangunan setinggi empat tingkat bagi menggantikan struktur asal Pasar Payang,” katanya.


Sementara itu, seorang peniaga, Rohimah Abdullah, 50, berkata, sekiranya Pasar Payang dirombak, dia tidak tahu ke mana hala tujunya untuk meneruskan perniagaan yang diwarisi oleh arwah ibunya sejak 1960 an itu.

“Mak cik tak tahu kat mana nak berniaga selepas ini, kalau buat bangunan cantik, mestilah sewanya pun mahal. Peniaga seperti kami sudah tentu tidak mampu nak bayar kos sewa tapak.

“Tambahan pula, ia menyusahkan peniaga di sini yang terpaksa berpindah randah, sedangkan mereka telah selesa di sini dan telah mempunyai pelanggan yang tetap,” katanya.

Seorang pelancong asing dari Italy, Leda Gordano, 36, berkata, dia amat menyukai suasana dan persekitaran Pasar Payang, malah menyifatkan ia adalah satu warisan yang perlu dipelihara.

“Suasana di sini bagus. Saya suka ke sini untuk menikmati pelbagai jenis makanan, meninjau pelbagai koleksi warisan Terengganu yang ada di sini,” katanya yang turut disokong temannya, Bas Vaen Erp, 35.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan akan membina hotel bertaraf lima bintang setinggi 23 tingkat yang dijangka akan dibina di tapak Pasar Besar Kedai Payang hujung tahun ini.

Selain pembinaan hotel yang menyediakan 550 bilik itu, sebuah apartmen setinggi 30 tingkat turut akan dibina di kawasan berkenaan dan kesemua peniaga di pasar itu akan ditempatkan di tapak perniagaan sementara di Pulau Warisan sementara menunggu pembinaan pasar baru setinggi empat tingkat berhawa dingin disiapkan berhampiran hotel dan apartmen itu.

-sinar harian

Comments

Popular post this month

Desa Ukiran Kayu Istana Tg Long, Kg Raja, Besut, Terengganu- Legasi Seni Ukir Melayu Yang Hebat

Nasi Berlauk Malam Sudin Kubis 3, fenomena baru makan malam di Kuala Terengganu.. beratur panjang

10 Pemain Pingpong TERBAIK MALAYSIA lelaki dan wanita

Tradisi Main dan Buat Wau

Lagu terbaru MOK oleh Saudara Naquib Mohamad- Ikon lagu loghat Terengganu

Kenali Pengarang Kitab Terkenal, 'Penawar Bagi Hati', Syeikh Abdul Qadir Al Mandili (1910-1965)

Senarai Pasar Malam di Kuala Terengganu sepanjang minggu..macam macam makanan dan kuih boleh cari..

Pengunjung blog