iklan nuffnang

Pelancongan Terengganu

Friday 16 May 2014

Legasi 300 tahun - Warisan unik penempatan minoriti Tionghua

LORONG pejalan kaki dengan hiasan tulisan Cina.

KAWASAN Kampung Cina yang pernah menjadi pusat perdagangan dan perniagaan antarabangsa terpenting di rantau ini pada abad ke-18 masih menyimpan pelbagai warisan bersejarah termasuk deretan bangunan tua yang berseni.

Kampung Cina yang didiami penduduk berketurunan Cina sejak hampir 300 tahun lalu itu juga mempunyai sebuah perigi yang dipercayai tertua di Terengganu.

Keistimewaan perigi ini bukan sahaja kerana usianya, namun dikatakan pernah berjasa kepada penduduk setempat serta membekalkan air kepada pedagang asing yang berniaga di situ.

Perigi itu juga mempunyai keistimewaan tersendiri kerana airnya didakwa tidak pernah kering malah masih digunakan sehingga kini.

Pengerusi Badan Perhubungan MCA Negeri Terengganu yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Ir. Wong Foon Meng berkata, pihaknya menyokong jika ada sebarang cadangan untuk menjadikan Kampung Cina sebagai salah satu tapak warisan dunia di negara ini.


KAMPUNG Cina wajar dijadikan tapak warisan dunia.

Katanya, dari segi sejarah, Kampung Cina dan kawasan sekitarnya pernah menjadi kawasan perdagangan dan perniagaan terpenting di kalangan ahli peniagaan daripada pelbagai bangsa dan negara termasuk Britain, China dan Thailand.

“Malah, pertumbuhan awal perniagaan di Kuala Terengganu bermula di Kampung Cina,” katanya.

Perkara itu turut disokong oleh bekas Exco kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bandar (1982-1990), Datuk Tok Teng Sai yang berpendapat Kampung Cina wajar dipulihara sebagai salah satu tapak warisan dunia di negara ini.

Menurutnya, langkah itu bukan sahaja mampu mempopularkan negeri ini malah memartabatkan kembali kawasan yang pernah menjadi tapak perniagaan dan perdagangan terpenting di rantau ini pada abad ke-18.

“Dulu saya pernah mendengar ura-ura pihak-pihak tertentu yang mahu mengusahakan Kampung Cina dijadikan tapak warisan dunia, tetapi sekarang ia diam begitu sahaja,” katanya.

Mengenai kewujudan perigi tua di Kampung Cina, Teng Sai memberitahu, ia dibina oleh empat orang kapitan Cina iaitu Law Kian Tee, Koo Swee Lin, Hin Khang Hoon dan Wee Teck Siew.


PINTU gerbang yang menjadi mercu tanda 
Kampung Cina di Kuala Terengganu.


Katanya, sebelum dibina, penduduk di Kampung Cina dan Kampung Tiong menggunakan air sungai untuk kegunaan harian.

“Perigi tersebut dibina dengan menggunakan simen, berukuran 20 kaki panjang dan 20 kaki lebar, berbentuk bulat dan dipisahkan kepada dua bahagian oleh tembok simen.

“Ketinggian tembok adalah lebih kurang tujuh kaki, satu bahagian adalah kegunaan kaum wanita manakala satu bahagian adalah untuk kaum lelaki,” katanya.

Tok menceritakan, kewujudan perigi itu mempunyai kaitan dengan sejarah pekerjaan awal penduduk di kawasan tersebut pada zaman dahulu.

Menurut cerita orang tua-tua, penduduk Kampung Cina yang miskin mengambil upah mengangkut air dari perigi itu untuk dibekalkan kepada golongan kaya sejak hampir 200 tahun lampau.

“Upah biasanya dibayar mengikut jumlah air yang diangkut iaitu satu sen setong.

“Bagaimanapun pekerjaan itu tidak kekal lama kerana menjelang tahun 1940-an golongan wanita sudah mempunyai pekerjaan lain termasuk menjalankan perniagaan di Pasar Besar Kedai Payang dan sekitarnya,” katanya.

Teng Sai memberitahu, masyarakat berketurunan Cina yang paling padat menetap di negeri ini ialah di Kampung Cina dan ia menjadi pilihan kerana kedudukannya di sebelah kanan muara Sungai Terengganu menjadi tempat berlabuh wangkang.

Menurutnya, rumah dibina bertiang tinggi bagi mengelakkan ancaman pasang surut air sungai atau banjir. Ia menyerupai bentuk rumah yang terletak di negeri China. 


PERIGI simen yang dipercayai tertua di negeri ini.

Sementara itu, menurut catatan sejarah, seorang mubaligh Kristian, Medhurst dikatakan pernah singgah di Kuala Terengganu pada tahun 1828 untuk menyebar agama Kristian di ka langan orang Cina.

Catatan beliau berbunyi: ‘Berada di kawasan yang bebas, saya telah menghampiri orang Cina daripada beratus-ratus penduduk yang tinggal di rumah-rumah yang diperbuat daripada batu-bata yang telah lama dibina.

‘Wanita-wanita dan kanak-kanak semuanya menggunakan bahasa Cina untuk berhubungan antara satu sama lain dan kurang bergaul dengan orang-orang Melayu’.

Sementara itu, menurut catatan sejarah, Munshi Abdullah telah tiba pada tahun 1838 dan membuat catatan mengenai Kampung Cina seperti yang diceritakan dalam Hikayat Munshi Abdullah ke Kelantan dan Terengganu.

Catatan itu berbunyi: ‘Kemudian sampailah sahaya di Kampung Yamtuan. Maka sahaja lihat rumahnya rumah batu, ada kira-kira 30 kaki lebarnya, maka bangunannya itu seperti rumah Cina, maka segala tembok itu penuh kotor ludah sirih dan lumut-lumut.

‘Dan lagi ada sebuah rumah batu tempat menaruh daging’.

Catatan seterusnya mengenai Kampung Cina dapat dilihat dalam laporan yang disediakan oleh Hugh Clifford yang telah memasuki kawasan pendalaman Terengganu dalam usahanya untuk mengejar dan menangkap pembesar-pembesar Pahang yang melancarkan gerakan menentang Inggeris pada awal abad ke-17.


@http://english1.cari.com.my/

No comments:

bookcafe com

AGODA Booking

Get the LOWEST RATE of your hotel BOOKING by Online

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Blog List

kongsi blog