Manisan @ Nisan Kerek yang kini sudah komersial di Terengganu



Manisan sangat sinonim dengan masakan yang digunakan sejak zaman-berzaman, namun bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, sebuah syarikat, Manis Sokmo Enterprise menyediakan manisan secara moden.
Cara lama dimensi baru. Slogan ini bertepatan dengan pembuatan manisan kerek kerana ramuannya masih dikekalkan, tetapi cara pembuatannya mengikut peredaran zaman.
Penggunaan teknologi dalam penyediaan makanan tradisional menjadikan perusahaan itu mampu dikomersialkan dengan lebih meluas.
Pengurus Manis Sokmo Enterprise, Suri Abdul Ghani berkata, bagi menyediakan manisan kerek, air nira kelapa, gula dan daun mengkuang perlu digunakan.
Katanya, setiap hari, 40 liter air nira kelapa diperlukan dan ia diambil dari kebun kelapanya di Kampung Jenang, Marang.
“Biasanya 20 batang pokok kelapa dicaras mayangnya sebelum ditadah untuk mendapatkan air nira dan kerja itu perlu dilakukan setiap hari.
“Selain itu, bekalan daun mengkuang diperoleh daripada penduduk berhampiran dengan harga RM45 bagi 100 helai manakala upah bagi mengeringkan daun berkenaan pula RM25 bagi 100 helai.
“Setiap hari, sebanyak 5,000 keping manisan perlu disiapkan bagi memenuhi permintaan pasaran dan dibekalkan ke Pasar Marang, Pasar Chabang Tiga, Kuala Terengganu dan Pasar Du­ngun, selain dihantar kepada lapan pasar raya di negeri ini,” katanya.
Menurutnya, perusahaan yang diusahakan sejak 11 tahun lalu itu mendapat pensijilan halal pada tahun 2007 dan Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggung­jawab Industri (MeSTI).
Suri berkata, beliau menyertai pelbagai kursus anjuran agensi kerajaan bagi mendalami ilmu perniagaan.
Katanya, tempahan biasanya meningkat setiap kali musim cuti dan perayaan sehingga membolehkannya menjual antara 10,000 ­sehingga 15,000 keping manisan sehari.
Berikutan permintaan makin meningkat, teknologi terkini seperti mesin pengacau dan dapur gas diperlukan bagi menggantikan dapur kayu api dan teknik mengacau secara manual.
“Tiga jenis manisan kerek dihasilkan iaitu manisan yang bahan campurannya terdiri daripada 90 peratus air nira kelapa dan 10 peratus gula dinamakan manisan asli, bagi campuran masing-masing 50 peratus air nira dan gula pula dipanggil manisan tuak.
“Bagi manisan biasa pula, nisbahnya ialah 90 peratus gula dicampur dengan 10 peratus air nira dan masing-masing dijual dengan harga RM1.70, RM1.20 dan RM1.
“Dengan bantuan enam pekerja tetap dan 12 sambilan, saya mampu mengusahakan produk sampingan antaranya dodol upih dan manisan kelapa,” katanya.
Menurut Suri, konsep cara lama demensi baru bersesuaian dalam penghasilan manisan berikutan penggunaan air nira kelapa dan daun mengkuang masih dikekalkan.
Bagaimanapun, katanya, dia kini berdepan masalah mendapatkan bekalan daun mengkuang .
“Saya bekerjasama dengan agensi kerajaan yang kini menjalankan kajian mencari alternatif bagi menghasilkan bingkai atau kerek yang lebih efisien.
Menceritakan pengalamannya dalam perusahaan itu, Suri berkata, idea menjadi pengusaha timbul apabila dia sering membantu jirannya menyiapkan manisan.
“Ketika itu saya bekerja kilang dengan pendapatan hanya RM350 sebulan. Memikirkan gaji rendah dan tidak setimpal dengan kudrat, timbul minat dan tekad untuk mengusahakan manisan.
“Majoriti penduduk kampung ini membuat manisan secara tradisional dan melalui pengalaman, saya mampu mengembangkan perusahaan ini secara tradisional kepada komersial,” katanya.

#Harian Metro

Comments

Popular post this month

Desa Ukiran Kayu Istana Tg Long, Kg Raja, Besut, Terengganu- Legasi Seni Ukir Melayu Yang Hebat

Nasi Berlauk Malam Sudin Kubis 3, fenomena baru makan malam di Kuala Terengganu.. beratur panjang

10 Pemain Pingpong TERBAIK MALAYSIA lelaki dan wanita

Tradisi Main dan Buat Wau

Lagu terbaru MOK oleh Saudara Naquib Mohamad- Ikon lagu loghat Terengganu

Kenali Pengarang Kitab Terkenal, 'Penawar Bagi Hati', Syeikh Abdul Qadir Al Mandili (1910-1965)

Senarai Pasar Malam di Kuala Terengganu sepanjang minggu..macam macam makanan dan kuih boleh cari..

Pengunjung blog