iklan nuffnang

Pelancongan Terengganu

Sunday 1 August 2010

Tasik Kenyir... memang mengasyikkan..



Tasik Kenyir
yang terletak 55 km daripada Kuala Terengganu adalah antara tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara dan di antara yang unik di dunia. Keluasan kawasannya meliputi 369 km persegi. Dengan kata lain, kita boleh ambil bandaraya Kuala Lumpur dan letak dalam Tasik Kenyir.

Ianya bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan yang terkenal dan unik, malah ia juga menyumbang kepada pembangunan negara melalui stesen hidroelektrik di Jenagor, Hulu Terengganu. Keseluruhan pulau yang ada di Tasik Kenyir selepas ia dilimpahi air adalah 340 buah pulau.


Dengan dikelilingi suasana Hutan Hujan Tropika, Tasik Kenyir amat popular bagi pencinta alam semulajadi, kaki pancing, jurugambar serta yang gemarkan cabaran. Di antara aktiviti yang selalu menambat hati pengunjung di sini adalah memancing, mandi air terjun, berkayak, menyusuri tasik dengan bot serta aktiviti lasak seperti kembara hutan, mendaki Gunung Gagau atau menjejak jejak Mat Kilau. AIr yang jernih di Tasik Kenyir pastinya mengimbau minat bagi kaki pancing untuk menawan pelbagai spesis ikan di sini seperti Baung, Toman, Kelah, Kelisa serta Sebarau. Dengan kemudahan seperti chalet, 'boathouse', resort dan kemudahan tapak khemah pastinya melengkapkan keseronokan percutian anda di sini.


Berhampiran Taman Negara Tasik Kenyir, terdapat kesan tinggalan sejarah dan penemuan terbaru telah menunjukkan bahawa penemuan rangka 'Bewah Man' adalah lebih tua daripada 'Perak Man'. Ia adalah bukti sejarah terkini arkeologi di Gua Bewah. Jabatan Muzium Negeri Terengganu masih meneruskan lagi kajian arkeologi di Gua Bewah ini untuk mengkaji lebih lanjut artifak-artifak dan tinggalan sejarah yang ada di sini. Tinggalan sejarah ini juga dapat didapati di gua berhampiran Gua Bewah iaitu Gua Taat. Kerajaan Negeri Terengganu bersama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengan (KETENGAH) telah menganjurkan pertandingan memancing di Tasik Kenyir bagi memburu ikan legenda di Tasik Kenyir iaitu dari Spesis Arapaima yang dikatakan agak besar. Tawaran RM10,000 juga telah dibuat oleh kerajaan negeri bagi sesiapa yang dapat menangkap ikan spesis ini.




Sebenarnya banyak lagi tarikan menarik di Tasik Kenyir ini iaitu Santuari Kelah di Sungai Cacing di bawah kelolaan Jabatan Perikanan, Taman Herba di Pulau Sah Besar, Santuari Gajah di Sungai Ketiar di bawah Jabatan Perhilitan, Taman Negara, air terjun Lasir, Saok dan lain-lain lagi. Dengan kata lain, jika datang dua hari masih belum cukup untuk kita meneroka semuanya. Cuma apa yang perlu diambil kira untuk bercuti di sini adalah kosnya sedikit tinggi kerana kebanyakan pergerakan kita adalah menggunakan bot untuk meneroka keindahan Tasik Kenyir. Jadi rancanglah percutian anda untuk meneroka keindahan Tasik Kenyir.

1 comment:

terengganulegend said...

geram tengok ikan-ikan kat Santuari Kelah di Tasik Kenyir... fuhhh kena asam pedas..

bookcafe com

AGODA Booking

Get the LOWEST RATE of your hotel BOOKING by Online

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Blog List

kongsi blog