Terrapuri : Sebuah Mahakarya Cinta

TP3

Dia mengambil masa selama 19 tahun untuk melengkapkan impiannya yang dinamakan Terapuri, suatu yang dianggap oleh sebilangan rakan sebagai ‘kerja gila’.
Satu demi satu rumah-rumah lama berusia beratus tahun yang hampir runtuh dan dianggap tidak lagi bernilai oleh para pemilik, begitu juga perkakas di dalamnya termasuk kukur kelapa dan sarang kuih.
Satu demi satu dicerai dan dibangunkan semula dengan kaedah tradisional oleh tukang-tukang yang masih mewarisi kemahiran, dikembali kepada bentuk asal dengan kesempurnaannya.
Ia mengembali seri, keindahan dan keunikan sebenarnya untuk diberi nilai baru demi kepentingan warisan negeri dan dunia perniagaan yang diceburinya.
TP1
Suatu yang mungkin berakhir sebagai bahan terbuang dan lenyap begitu sahaja kini menghiasi Terrapuri (tanah istana) di Kampung Mangkuk Penarik, hampir sejam perjalanan dari Kuala Terengganu.
Alex Lee Yun Ping, 42, membelanjakan kira-kira RM2 juta untuk itu dan rumah-rumah tradisional antik berkenaan menjadi sebuah resort mewah untuk ruang penginapan, spa, galeri seni dan restoran.
Malah ia juga bagaikan perkampungan warisan atau mungkin boleh dikatakan sebagai muzium terbuka yang memancarkan ketinggian seni bina Terengganu yang memberi ruang kepada pengunjung menatap kepelbagaiannya di samping merasai sama semangat kediaman silam dengan simbol dan pengertian.
Ia terletak di kawasan seluas kira-kira empat hektar di pinggir pantai dengan pandangan laut dan pulau, dihiasi landskap tumbuhan tempatan termasuk cermai dan belinja serta peralatan tradisional seperti perahu, baloh, lesung batu dan tempayan.
TP2
Ia dilingkari juga dengan hutan paya serta nipah yang belum terusik manakala gunung Tebu melatari belakangnya.
Dengan apa yang diusahakan sekian lama secara beransur-ansur, rumah kayu yang lazimnya dikaitkan sebagai simbol kemiskinan dan ketinggalan zaman dijelmakan sebagai satu simbol kemewahan.
Justeru setiap bilik untuk dihuni semalaman bernilai sekitar RM500 hingga RM1,200. Setelah sekian lama, ia cukup berbaloi baginya dan pelancong yang tahu menghargai.
”Dalam usaha mengembalikan seni warisan tempatan ini ke mata dunia, pelbagai kekangan yang terpaksa ditempuh, ia tidak semudah yang disangka, termasuk soal kewangan apabila ia tidak memberi pulangan segera.
TP6
”Kebanyakan rumah yang dibeli sudah 50 hingga 60 peratus rosak dan diubah suai. Banyak yang perlu dibalik pulih menggunakan bahan dan bentuk sebagaimana asal termasuk atap, dinding, pintu dan lantai diganti yang baru.
“Kemahiran seni pertukangan silam ini semakin pupus yang menuntut dicari tukang-tukang yang berkebolehan,” ujar Alex yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Ping Achorage, sebuah syarikat pengendali pelancongan terbesar di negeri ini.
Di samping itu katanya, proses untuk mendapatkan hak milik rumah-rumah pusaka ini sangat rumit sehingga memakan masa yang begitu lama.
”Sukar untuk menjadikan Terrapuri suatu realiti kerana ada pewaris dipujuk sehingga tiga tahun untuk menjual sebuah rumah dan ada juga menawarkan sehingga RM3,000 hanya untuk sebuah tangga rumah yang tidak lagi digunakan.
“Saya menjelajah ke seluruh pelusuk negeri untuk mengumpul rumah-rumah ini seperti Rumah Bujang, Rumah Tiang Berserambi dan Rumah Tiang 12.
TP7
“Ada yang dibeli di Jeram Tepoh, Pulau Bahagia, Pulau Manis, Pulau Duyung, Losong, Gelugur Raja, Seberang Takir, Paloh, Pulau Musang, Kubang Jela, Serada, Binjai Rendah dan Kedai Buluh,” ujar Alex dalam loghat Terengganu yang masih pekat.
Resort yang berinspirasikan istana Terengganu pada era Sultan Manshor Shah Ke- 2, juga Kesultanan Kelantan dan Patani ini muncul sebagai salah satu mahakarya bagi pelancongan negeri ini.
Pembinaan Terrapuri sedikit sebanyak menterjemahkan bahawa warisan merupakan produk pelancongan yang paling mahal di dunia dan perlu dieskploitasi bagi menyuburkan industri ini.
Alex yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Pelancongan Terenganu menceritakan mengapa beliau sanggup berhabisan masa, wang dan tenaga bagi semua ini.
”Saya dilahirkan membesar di pinggir pantai di Marang di rumah seni bina Melayu dalam lingkungan kehidupan tradisional masyarakat tempatan yang beransur menyemaikan kecintaan saya terhadap semua yang telah saya lalui.
”Saya ingin mengembalikan apa yang semakin menghilang dari pandangan saya dan umum yang saya anggap besar nilainya bagi diri saya, negeri dan rakyat,” ujarnya.
TP4
Beliau yang sudah 22 tahun aktif dalam bidang pelancongan menyingkap bagaimana pelancong asing amat menghargai khazanah warisan dan mereka juga berbangga dengan warisan mereka.
”Apabila deretan bangunan usang di pinggir Marang dirobohkan pihak berkuasa untuk pembangunan semula dengan binaan konkrit lebih sedekad yang lalu, para pelancong sudah tidak lagi berpaling ke sini,” ujarnya.
“Justeru saya memberi fokus kepada pelancongan warisan dengan sentiasa cuba ketengahkan keunikan negeri ini untuk ditonjolkan sebagai produk pelancongan,” ujarnya.
Katanya, negeri ini perlu tonjolkan warisan dan identiti sendiri untuk dikomersialkan ketika banyak negara berbangga apa yang pernah dan masih menjadi milik mereka.
TP5
Walaupun Terrapuri belum siap sepenuhnya, ia telah menerima kunjungan lebih 4,000 pelancong dari serata pelosok dunia.
Lokasi ini turut didatangi oleh penyelidik dan pelajar dari beberapa universiti tempatan dan ternama dunia kerana mereka boleh melakukan tugasan tanpa perlu tercari-cari ke merata tempat.
Ia juga mendapat liputan daripada media asing seperti Discovery Channel dan Amazing Race serta dipilih sebagai lokasi pengambaran filem Merong Mahawangsa terbitan KRU Production Sdn. Bhd.
Terrapuri sebenarnya menjadi lambang kecintaan Alex untuk dihadiahkan kepada Terengganu selaku anak negeri dan berkongsi kebanggaan terhadap warisan yang telah membentuk siapa dirinya kini.
Fauzimohd@teganu kita

Comments

Popular post this month

Desa Ukiran Kayu Istana Tg Long, Kg Raja, Besut, Terengganu- Legasi Seni Ukir Melayu Yang Hebat

Nasi Berlauk Malam Sudin Kubis 3, fenomena baru makan malam di Kuala Terengganu.. beratur panjang

10 Pemain Pingpong TERBAIK MALAYSIA lelaki dan wanita

Tradisi Main dan Buat Wau

Lagu terbaru MOK oleh Saudara Naquib Mohamad- Ikon lagu loghat Terengganu

Kenali Pengarang Kitab Terkenal, 'Penawar Bagi Hati', Syeikh Abdul Qadir Al Mandili (1910-1965)

Senarai Pasar Malam di Kuala Terengganu sepanjang minggu..macam macam makanan dan kuih boleh cari..

Pengunjung blog