utusan online: Kayu cengal aroma nira kelapa

DALAM usia yang lanjut, Abdul Razak Taib masih memiliki kudrat memanjat pokok kelapa menggunakan tangga untuk memproses nira di Kampung Gong Kulim, Pasir Puteh, baru-baru ini.
PASIR PUTEH 1 Nov. - Nira kelapa atau lebih dikenali sebagai tuak manis madu adalah produk utama di Kampung Gong Kulim dekat sini dan banyak memberi sumber pendapatan kepada penduduk yang gigih menjalankan kegiatan perniagaan berasaskan hasil pertanian.
Kerja sebagai penyandat nira kelapa memerlukan tenaga dan keringat serta kemahiran memanjat sehingga ke puncak pokok kelapa.
Selain itu, kerja itu juga menuntut kemahiran menarah mayang dan memproses air nira dengan campuran keratan kayu cengal yang dirincih halus atau dikenali sebagai 'laghu' untuk membangkitkan aroma dan keenakannya.
Peralatan yang sering digunakan penyandat nira ialah sabit yang tajam, tali pinggang keselamatan ketika memanjat dan tabung nira dikenali sebagai tukir untuk menadah air daripada mayang.
Tukir lazimnya diperbuat daripada batang buluh dan memiliki ruas yang panjang.
Namun pada masa ini, tukir tradisional tidak lagi digunakan dan ditukar kepada botol plastik yang memudahkan penyandat nira melihat kadar air nira yang keluar untuk diturunkan pada masa tertentu.
Di Kampung Gong Kulim setakat hari ini, dikatakan hanya tinggal 12 orang penyandat nira yang masih aktif meneruskan warisan kerja tradisi dengan memanfaatkan ribuan batang pokok kelapa yang tumbuh subur di perkampungan mereka.
Sebahagiannya pula berusia 50 tahun ke atas yang cekal meneruskan kerja dengan kudrat yang masih kuat bagi memastikan warisan tradisional itu tidak luput ditelan modenisasi zaman.
"Buat masa ini tidak ada generasi muda yang berminat mewarisi kerja sebegini walaupun Program Satu Kampung Satu Produk dalam menghasilkan nira dan lain-lain industri hiliran berkaitan turut dikembangkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani," kata seorang penyandat nira di kampung itu, Zakaria Yusof, 56, ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menurutnya, pasaran nira untuk dijadikan minuman adalah laris apabila ditempah dalam kuantiti yang banyak oleh pemborong, penjaja minuman atau pengusaha restoran dari pusat bandar.
Dia berkata, rezeki paling lumayan adalah sepanjang bulan Ramadan setiap tahun apabila penggemar minuman air nira ini datang sendiri ke kawasan tanaman kelapa untuk membeli selain mengambil peluang menyaksikan proses pembikinan dan kerja-kerja menghasilkan nira.
Katanya, perusahaan nira sebenarnya mempunyai prospek cerah dalam tempoh jangka masa panjang kerana mendapatkan bantuan daripada Jabatan Pertanian.
Antara bantuan yang diberikan ialah membangunkan semula projek tanaman semula pokok kelapa renek daripada jenis pandan yang menghasilkan air nira lebih enak dan beraroma.
"Apatah lagi kelapa pandan juga boleh diproses dalam bentuk jeli serta lain-lain produk yang berkaitan," katanya yang kini mengusahakan 60 batang pokok kelapa pandan berusia dua tahun di persekitaran rumahnya.
Zakaria berazam menanam sebanyak 1,500 batang pokok kelapa pandan bagi memenuhi impannya sebagai pengusaha produk hiliran air nira dan air kelapa termasuk menghasilkan kepingan manisan atau gula Melaka kepada pengguna.
Isterinya, Hamidah Yaacob, 54, adalah tenaga pembantu utama di rumah bagi kerja penyediaan dan pembungkusan nira serta memproses kepingan manisan yang boleh dipasarkan di Pasar Besar Pasir Puteh.
Dia berkata, kerja pertama yang perlu dilakukan setiap pagi ialah menapis semula hasil takungan air nira daripada tabung selepas dibawa turun dari pokok kelapa.
Tambahnya, perkara itu bagi memastikan kepingan kecil kayu cengal dan bahan-bahan lain termasuk lebah yang terperangkap di dalamnya dapat diasingkan.
Menurutnya, bagi pembelian secara borong, air nira akan diisi terus ke dalam bekas plastik mengikut ukuran tertentu manakala untuk pasaran runcit dibungkus dalam pembungkus plastik kecil bagi sukatan satu gelas kaca kecil dengan harga RM2 setiap satu.
"Untuk menghasilkan 25 hingga 30 kilogram gula Melaka memerlukan 200 liter air nira kelapa. Sebatang pokok kelapa pula cuma dapat menghasilkan kira-kira lima liter air nira sahaja.
"Gula Melaka asli akan dijual dengan harga sekitar RM8 ke RM10 sekilogram manakala gula Melaka yang dicampur harganya lebih murah," jelas Zakaria.
Seorang lagi pengusaha nira, Abdul Razak Taib, 73, berkata, meskipun tidak mempunyai pokok kelapa yang banyak, namun pengusaha nira masih boleh mengusahakan minuman itu dengan cara berkongsi hasil pendapatan dengan pemilik kebun.
"Sebanyak 70 peratus hasil jualan nira adalah milik pengusaha dan 30 peratus lagi diberikan kepada pemilik kebun. Sebahagiannya terus membayar dengan perjanjian 'menyewa' pokok kelapa pada kadar bayaran tertentu mengikut tempoh yang dipersetujui.
"Bidang kerja pengusaha hanya dalam ruang lingkup menyandat mayang kelapa sahaja manakala hasil buahnya diperoleh pemiliknya," katanya yang masih memiliki kekuatan memanjat lebih 10 batang pokok kelapa sehari.
Abdul Razak berkata, kerja memanjat pokok bukan perkara yang sukar walaupun sudah berusia kerana kebanyakan batang pokok kelapa sudah dibina tangga kayu yang kukuh.
"Namun penggunaan tali pinggang keselamatan tetap diutamakan bagi memastikan tidak berlaku sebarang kemalangan yang sukar untuk diduga," katanya.
Abdul Razak berkata, dia hanya memiliki tiga batang pokok kelapa sahaja namun masih mampu meraih pendapatan lumayan.

blogger: Air nira ini selalunya mudah untuk didapati samada di Kelantan mahupun Terengganu, tetapi kurangnya 'penyadat' atau mereka yang mahir memproses air tuak ini membuatkan ia tidak semudah dahulu untuk diminum atau dibelu dan harganya sudah mula meningkat sedikit. Apapun ia tetap enak diminum terutama pada bulan Ramadhan. Perlu ada usaha bagi mengekalkan warisan tradisi ini bagi kesinambungan generasi akan datang.

Comments

Popular post this month

Desa Ukiran Kayu Istana Tg Long, Kg Raja, Besut, Terengganu- Legasi Seni Ukir Melayu Yang Hebat

Nasi Berlauk Malam Sudin Kubis 3, fenomena baru makan malam di Kuala Terengganu.. beratur panjang

10 Pemain Pingpong TERBAIK MALAYSIA lelaki dan wanita

Tradisi Main dan Buat Wau

Lagu terbaru MOK oleh Saudara Naquib Mohamad- Ikon lagu loghat Terengganu

Senarai Pasar Malam di Kuala Terengganu sepanjang minggu..macam macam makanan dan kuih boleh cari..

Kenali Pengarang Kitab Terkenal, 'Penawar Bagi Hati', Syeikh Abdul Qadir Al Mandili (1910-1965)

Pengunjung blog