iklan nuffnang

Pelancongan Terengganu

Thursday 28 December 2017

PERDEBATAN SYARAK TENTANG BITCOIN



Image result for bitcoin
Oleh Prof. Madya Dr. Amir Shaharuddin, Dekan Fakulti Ekonomi & Muamalat, USIM
Bitcoin mula diperkenalkan pada tahun 2008 oleh seorang yang menamakan dirinya sebagai Satoshi Nakamoto. Namun, sehingga kini maklumat secara terperinci mengenai beliau masih menjadi misteri. Bitcoin adalah satu kod perisian secara digital yang digunakan sebagai catatan transaksi kewangan di dalam jaringan yang dikenali sebagai blockchain. Transaksi Bitcoin dilakukan melalui dompet eloktronik yang merekod segala transaksi secara maya.
Semasa mula diperkenalkan, Bitcoin tidak mempunyai nilai yang signifikan. Kod-kod digital yang diwujudkan tidak dapat ditukar dengan aset berharga. Namun begitu, fenomena ini berubah sejak kebelakangan ini. Nilai bagi satu Bitcoin kini melonjak kepada USD11,000. Penerimaan syarikat-syarikat perniagaan terhadap Bitcoin sebagai medium pertukaran semakin bertambah. Hal ini menimbulkan persoalan sama ada Bitcoin diiktiraf oleh syarak ataupun tidak? Adakah Bitcoin satu bentuk harta yang boleh dimiliki (mal al-mutaqawwam) oleh masyarakat Islam dan diharuskan berjual beli dengannya?
Ulama-ulama kotemporari berbeza pandangan dalam menentukan hukum Bitcoin dan juga mata wang krypto yang seumpamanya. Kumpulan pertama berpendapat bahawa Bitcoin adalah patuh syariah. Kumpulan kedua berpendapat bahawa Bitcoin tidak patuh syariah manakala kumpulan ketiga iaitu yang paling ramai masih meneliti dan mengkaji hukum bagi instrumen transaksi yang baharu ini.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Bitcoin hanyalah satu kod perisian digital yang pada dasarnya tidak mempunyai nilai. Namun, disebabkan Bitcoin telah digembar-gemburkan sebagai mata wang masa hadapan, maka ia bertukar menjadi aset yang bernilai tinggi. Kumpulan yang mengharuskan, melihat Bitcoin sebagai satu bentuk harta baharu. Kumpulan ini berhujah bahawa syarak tidak ada sekatan dalam perkara ini. Selagi tidak ada nas Qur’an dan Hadith yang melarang, manusia bebas mencipta sumber kekayaan baharu.

Image result for bitcoin
Hujah yang sama digunakan untuk mengharuskan Bitcoin sebagai medium pertukaran barangan. Kumpulan ini berhujah bahawa syarak tidak pernah membuat ketetapan tertentu tentang jenis medium pertukaran atau mata wang. Sejarah mata wang menunjukkan bahawa pelbagai komoditi dan aset seperti kulit kerang, garam, binatang ternakan, emas dan perak telah digunakan sebagai medium pertukaran barangan sepanjang peradaban manusia. Syarat utama bagi sesuatu aset agar boleh diiktiraf sebagai medium pertukaran ialah penerimaan komuniti. Selagi mana penjual dan pembeli bersetuju dengan Bitcoin sebagai medium pertukaran, maka jual beli tersebut adalah sah dari segi syarak.
Kumpulan kedua tidak begitu terpesona dengan kecanggihan Bitcoin. Malah mereka melihat Bitcoin adalah satu mudarat kepada ekonomi negara. Kumpulan ini curiga dengan masa depan Bitcoin. Kebimbangan ini berasaskan kepada ketiadaan satu sistem kawal selia dalam penghasilan Bitcoin dan wang krypto seumpamanya. Hal ini kerana hak untuk ‘melombong’ Bitcoin diberikan kepada sesiapa sahaja yang mempunyai komputer canggih dan dapat menyelesaikan puzzle di dalam blockchain. Ini tentunya terdedah kepada manipulasi oleh pihak tertentu yang mempunyai keupayaan luar biasa untuk menjana Bitcoin sendiri dan boleh menjadi kaya raya dalam sekelip mata.
Image result for bitcoin

Oleh sebab itu, penerima anugerah Nobel di dalam bidang ekonomi Joseph Stiglitz menegaskan bahawa ‘Bitcoin sepatutnya tidak diiktiraf dari segi undang-undang kerana ia tidak memberi kebaikan kepada masyarakat’. Kumpulan ini turut berhujah bahawa ketiadaan sistem kawal selia yang jelas menyebabkan nilai Bitcoin tidak stabil. Di dalam sistem kewangan semasa, peranan ini dimainkan oleh bank negara. Sebagai pihak berautoriti (uli amri), bank negara menentukan nilai mata wang dan mengawal jumlah duit di dalam sesebuah negara. Menurut kumpulan kedua, kesemua ini dikaitkan dengan unsur gharar (ketidakpastian) yang menjadi hujah bahawa Bitcoin tidak patuh syarak.
Setelah meneliti kedua-dua hujah dan pandangan, saya cenderung untuk bersetuju dengan Datuk Dr. Mohd Daud Bakar, pengasas kumpulan Amanie yang menyatakan ‘Bitcoin adalah patuh syariah tetapi tidak mempunyai masa depan’ (Bitcoin is shariah compliant but has no future). Pandangan ini meraikan hujah kumpulan pertama dan kedua. Penguna dan pelabur diharuskan melakukan transaksi Bitcoin, namun perlu sedar risiko yang mereka bakal hadapi. Negara-negara seperti China, India, Sweden, Russia, Peranchis, Thailand dan Vietnam telah menghalang urusniaga Bitcoin. Risiko kedua ialah fenomena buih-buihan (bubles) yang diingatkan oleh ramai pakar ekonomi. Nilai Bitcoin mencanak naik hanya berasaskan sentimen pelabur semata-mata. Kenaikan mendadak ini mungkin bersifat sementara sahaja. Selain itu, pelabur juga perlu berwaspada dengan skim ponzi yang sering mengambil kesempatan ke atas keghairahan kita terhadap keuntungan singkat.
Wallahu ‘alam bi sawwab.....
Prof. Madya Dr. Amir Shaharuddin
Universiti Sains Islam Malaysi

No comments:

bookcafe com

AGODA Booking

Get the LOWEST RATE of your hotel BOOKING by Online

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Blog List

kongsi blog